paket plastik lutsinar berisi hablur disyaki methamphetamine, satu (1) botol kaca yang diubah suai disyaki alat menghisap dadah dan satu (1) pemetik api. [11] Perayu telah ditangkap dan barang kes telah dirampas. Kemudiannya dibawa balik ke pejabat untuk tindakan selanjutnya. Barang kes yang disyaki dadah telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk analisis. SP1 mengesahkan bahawa bahan kristal jernih yang dianalisis adalah methamphetamine seberat 0.50 gram, iaitu dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. F. Pembelaan Perayu [12] Semasa dalam kes pendakwaan, Perayu telah mengemukakan pembelaan bahawa dadah tersebut bukan miliknya. Perayu selanjutnya mendakwa bahawa sebelum dia ditangkap, terdapat seorang individu bernama Thiruselvam a/l Subramaniam, juga dikenali sebagai “Thiru” berada di dalam keretanya. Perayu dan Thiru berada di lokasi tersebut kerana Perayu memanggil Thiru Page 10 of 27 untuk membaiki masalah wiring atau fius cermin kereta. Perayu mendakwa bahawa Thiru masuk ke dalam kereta dan menghisap dadah di dalam kereta tersebut, kemudiannya Thiru beredar dari situ sebelum polis tiba. Versi ini juga telah dibangkitkan oleh Perayu di dalam percakapan dalam pemeriksaannya. G. Prinsip Undang-Undang [13] Bagi pertuduhan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan bahawa bahan yang dirampas adalah dadah berbahaya, berada dalam milikan atau kawalan tertuduh dan tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan dan sifat dadah tersebut. [14] Dalam konteks milikan, prinsipnya jelas bahawa kawalan fizikal semata-mata tidak mencukupi. Pihak pendakwaan hendaklah membuktikan kawalan atau jagaan yang disertai pengetahuan. Pengetahuan boleh dibuktikan melalui keterangan langsung atau inferens daripada keadaan sekeliling. Namun inferens tersebut mestilah satu-satunya inferens munasabah yang boleh dibuat berdasarkan keseluruhan keterangan. Page 11 of 27 [15] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah hendaklah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan pendakwaan. Soalan asasnya ialah sama ada, jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, adakah Mahkamah bersedia mensabitkan tertuduh berdasarkan keterangan pendakwaan yang ada. Jika jawapannya tidak, maka prima facie tidak dibuktikan dan tertuduh tidak sepatutnya dipanggil membela diri. [16] Di akhir kes pembelaan pula, Mahkamah hendaklah menilai keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan, dan menentukan sama ada kes pendakwaan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Mahkamah ini merujuk prinsip di dalam kes tersohor, Mat v Public Prosecutor [1963] 1 MLJ 263 bahawa Mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh sekiranya pembelaan, walaupun tidak diterima sepenuhnya, masih menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [17] Mahkamah Rayuan juga berulang kali menegaskan bahawa dalam kes jenayah, apabila wujud dua inferens yang munasabah daripada fakta yang sama, inferens yang memihak kepada tertuduh hendaklah dipilih. Ini amat penting dalam kes milikan dadah kerana sabitan tidak boleh diasaskan kepada andaian, kecurigaan atau sangkaan semata-mata. Page 12 of 27 H. Analisis dan Dapatan Mahkamah ini [18] Untuk membuktikan pertuduhan tersebut, pihak pendakwaan hendaklah membuktikan dua elemen kesalahan dalam pertuduhan iaitu bahan yang dirampas dari Perayu adalah dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya dan Perayu mempunyai milikan iaitu kawalan, jagaan dan pengetahuan terhadap dadah berbahaya tersebut. [19] Dalam rayuan ini, isu utama yang perlu diputuskan sama ada sabitan keatas Perayu selamat untuk dikekalkan. Mahkamah ini akan meneliti empat isu utama seperti berikut: 1) sama ada elemen milikan, kawalan dan pengetahuan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah; 2) sama ada terdapat percanggahan material berhubung lokasi sebenar barang kes dijumpai di dalam kenderaan; 3) sama ada pembelaan berkaitan kehadiran dan peranan Thiru telah dinilai secara betul; dan 4) sama ada penggunaan anggapan di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah menyebabkan salah arah atau prejudis kepada Perayu. Page 13 of 27 [20] Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan. Keterangan SP1 dan laporan kimia yang disediakan oleh SP1 mengesahkan bahawa bahan yang dianalisis adalah methamphetamine seberat 0.50 gram. Mahkamah ini mendapati elemen ini tidak dipertikaikan. Isu sebenar dalam rayuan ini adalah berkaitan elemen milikan, kawalan dan pengetahuan. Di mana barang kes dijumpai? [21] Adalah tidak diragui bahawa barang kes telah dijumpai di dalam kereta Perayu. Namun persoalan penting adalah di bahagian manakah barang kes tersebut dijumpai dan sama ada kedudukannya membolehkan inferens yang selamat dibuat bahawa Perayu mempunyai pengetahuan dan kawalan terhadapnya. [22] Dalam Alasan Penghakiman, dapatan Majistret bahawa barang kes dijumpai di bahagian tengah ruangan tempat letak air dalam kereta tersebut. Namun, Mahkamah ini mendapati semasa SP2 disoal balas, beliau telah merujuk kepada gambar P13(E) dan P13(F) dan menyatakan barang kes ditemui di bahagian belakang gear pada lokasi bertanda “X”. Page 14 of 27 [23] Sebaliknya, SP4 menyatakan barang kes dijumpai di tempat letak air di hadapan gear seperti dalam gambar IDD15(A-B). Selanjutnya SP4 bersetuju bahawa terdapat percanggahan berhubung tempat barang kes dijumpai. [24] Mahkamah ini berpendapat bahawa percanggahan tersebut bukan percanggahan kecil atau remeh. Tambahan pula pihak pendakwaan banyak bergantung kepada kedudukan barang kes dalam kereta bagi menimbulkan inferens bahawa Perayu mempunyai kawalan dan pengetahuan. [25] Mahkamah ini berpendapat bahawa lokasi sebenar barang kes dijumpai adalah satu fakta yang material, maka ianya mestilah dibuktikan dengan kukuh, jelas dan konsisten oleh saksi-saksi pendakwaan. [26] Memandangkan saksi-saksi pendakwaan sendiri tidak konsisten tentang kedudukan barang kes semasa ianya dijumpai, maka inferens terhadap milikan dan pengetahuan menjadi tidak selamat. Faedah keraguan haruslah diberikan kepada pihak Perayu. [27] Dalam isu ini Responden berhujah bahawa percanggahan tersebut tidak material kerana barang kes tetap dijumpai di dalam kereta Page 15 of 27 milik Perayu. Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan Responden kerana walaupun Perayu merupakan pemilik kereta tersebut pada masa dia ditahan, ianya tidak secara automatik membuktikan Perayu memiliki dadah tersebut, khususnya apabila terdapat versi pembelaan ada individu lain yang telah berada di dalam kereta sebelum Perayu ditangkap. [28] Dalam keadaan sedemikian, kedudukan sebenar barang kes menjadi penting bagi menentukan sama ada Perayu mengetahui dan mempunyai kawalan sebenar terhadap barang kes itu. Kehadiran Dan Peranan Thiru [29] Pihak pembelaan dari peringkat awal telah mengemukakan pembelaan bahawa “Thiru” ada bersamanya pada malam tersebut sebelum Perayu ditangkap. [30] Perayu telah memberikan satu versi yang khusus bahawa pada malam tersebut Thiru telah berada bersama Perayu kerana Thiru diminta untuk membaiki masalah wiring atau fius cermin kereta Perayu. Thiru berada di dalam kereta tersebut sebelum dia beredar sejurus sebelum Perayu ditangkap. Page 16 of 27 [31] Mahkamah ini berpandangan bahawa pembelaan Perayu berkaitan kehadiran Thiru tidak boleh dikatakan sebagai rekaan semata-mata atau penafian kosong bahawa dadah tersebut bukan milik Perayu. [32] Versi pembelaan ini telah menamakan individu tertentu, serta memberikan konteks mengapa Perayu berada di tempat kejadian pada waktu malam. Perayu juga menyatakan bahawa Thiru telah menghisap dadah di dalam kenderaan dan kemudian beredar sebelum polis tiba. [33] Mahkamah mendapati isu mengenai kewujudan Thiru telah dikemukakan dalam percakapan beramaran Perayu dan SP4 mengesahkan kewujudan Thiru. SP4 dalam keterangannya menyatakan bahawa pada awal siasatan beliau tidak menyiasat Thiru, tetapi kemudiannya siasatan dibuat dan beliau mengetahui rumah Thiru. Ini menunjukkan bahawa Thiru bukan satu watak kosong yang muncul secara tiba-tiba dalam kes pembelaan. [34] Mahkamah perbicaraan seharusnya memberi pertimbangan yang serius atas isu ini apabila pihak pembelaan telah menamakan individu tertentu sebagai orang yang ada kaitan dengan barang Page 17 of 27 kes, dan individu itu berada di dalam kereta sebelum Perayu ditangkap. [35] Pegawai penyiasat sepatutnya mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan atau menolak versi tersebut. Kegagalan menjalankan siasatan yang rapi terhadap Thiru telah meninggalkan satu keraguan munasabah yang tidak dijawab oleh pendakwaan. [36] Dalam Alasan Penghakiman juga jelas menunjukkan bahawa Majistret telah menolak pembelaan Perayu yang antara lain atas alasan bahawa Perayu, sebagai seorang anggota polis narkotik, sepatutnya menahan Thiru jika benar Thiru menghisap dadah di dalam kereta Perayu. [37] Mahkamah ini berpendapat bahawa pendekatan oleh Majistret yang tersebut adalah tidak tepat dan ianya tidak menjawab isu teras dalam kes ini. Isu di hadapan Mahkamah bukanlah sama ada Perayu sebagai anggota polis telah bertindak sempurna, tetapi sama ada pendakwaan telah membuktikan bahawa Perayu memiliki dan mengetahui dadah tersebut. [38] Mahkamah berpendapat bahawa kegagalan Perayu menahan Thiru boleh menjadi faktor dalam menilai tingkah laku dan Page 18 of 27 kebolehpercayaan pembelaan, tetapi tidak boleh digunakan untuk menggantikan beban pendakwaan membuktikan milikan dan pengetahuan. [39] Dalam meneliti dan menilai isu kewujudan Thiru dan pemilikan dadah, adalah jelas melalui keterangan yang dikemukakan menunjukkan Thiru adalah satu watak yang benar-benar wujud dan boleh menjadi saksi yang penting bagi pihak pendakwaan untuk menyangkal dakwaan Perayu bahawa dadah itu bukan miliknya. Mahkamah ini berpendapat bahawa Majistret telah gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap kesan kegagalan siasatan keatas Thiru. Kegagalan Menyiasat Telefon Bimbit Dan Dusting (Pengesanan Cap Jari) [40] Pihak Perayu berhujah bahawa telefon bimbit Perayu adalah sangat penting untuk disiasat kerana ia boleh menunjukkan komunikasi antara Perayu dan Thiru sebelum kejadian. SP2 dikatakan menyimpan telefon bimbit Perayu untuk mengelakkan Perayu menghubungi orang lain, tetapi telefon itu tidak diserahkan kepada SP4 untuk siasatan dan analisis lanjut. Page 19 of 27 [41] Mahkamah ini berpendapat bahawa dalam kes biasa, kegagalan merampas atau menganalisis telefon bimbit tidak semestinya membawa kepada keraguan munasabah. Namun dalam kes ini, pembelaan Perayu bergantung kepada komunikasinya dengan Thiru. Maka telefon bimbit tersebut bukanlah satu isu sampingan. Ia berpotensi menyokong atau menolak versi Perayu. Kegagalan menyiasat aspek ini menyebabkan satu ruang pembelaan yang material tidak disemak secara objektif. [42] Begitu juga dengan isu dusting atau pengesanan cap jari terhadap barang kes. Mahkamah ini menerima hujahan Responden bahawa ketiadaan cap jari atau DNA tidak semestinya menjejaskan kes pendakwaan jika terdapat keterangan lain yang kukuh. [43] Namun dalam kes ini, apabila wujud pembelaan khusus bahawa Thiru telah berada di dalam kenderaan dan barang kes bukan milik Perayu, maka ujian saintifik sedemikian boleh membantu untuk menentukan sama ada barang kes pernah disentuh oleh Perayu atau individu lain. [44] Mahkamah ini menegaskan bahawa kegagalan tersebut bukan secara automatik membebaskan Perayu, tetapi apabila dibaca bersama percanggahan lokasi barang kes, kegagalan menyiasat Page 20 of 27 Thiru, tiada pemeriksaan kesan cap jari, maka kegagalan tersebut menguatkan bahawa wujudnya keraguan munasabah dalam kes pendakwaan. Pemakaian Anggapan Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 [45] Mahkamah ini turut meneliti isu pemakaian anggapan di bawah seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952. Peruntukan tersebut membolehkan Mahkamah menganggap bahawa seseorang yang mempunyai jagaan atau kawalan terhadap sesuatu benda yang mengandungi dadah berbahaya sebagai mempunyai milikan terhadap dadah tersebut dan mengetahui sifat dadah itu, sehingga dibuktikan sebaliknya. [46] Walau bagaimanapun, haruslah diambil ingatan bahawa anggapan di bawah seksyen 37(d) tidak beroperasi secara automatik. Sebelum anggapan tersebut boleh digunakan, pihak pendakwaan hendaklah terlebih dahulu membuktikan fakta bahawa tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan terhadap benda yang mengandungi dadah tersebut. Pihak pendakwaan juga mesti menunjukkan bahawa tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut. Page 21 of 27 [47] Terdapat banyak autoriti duluan yang telah membincangkan mengenai s. 37(d) ADB ini. Mahkamah ini hanya merujuk kepada satu kes iaitu Public Prosecutor v Onyinye Joseph Metuh [2018] 1 LNS 1279, di mana YA Hakim menjelaskan bahawa walaupun seseorang tertuduh mungkin mempunyai kawalan fizikal terhadap sesuatu (dalam kes ini parcel), pihak pendakwaan masih mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan bahawa tertuduh mengetahui kewujudan dadah di dalam parcel tersebut. YA Hakim seterusnya merujuk kepada prinsip dalam kes Phrueksa Taemchim (Thailand) v PP yang menyatakan bahawa seksyen 37(d) boleh beroperasi apabila jagaan dan kawalan terhadap dadah dibuktikan, tetapi tanpa bukti pengetahuan, adalah tidak mencukupi untuk menggunakan anggapan milikan. [48] Mahkamah ini berpendapat bahawa prinsip tersebut adalah terpakai kepada rayuan ini. Isu dalam rayuan ini bukan semata-mata sama ada bahan yang dijumpai adalah dadah berbahaya jenis methamphetamine; elemen ini telah dibuktikan. Isu sebenar ialah sama ada Perayu mempunyai milikan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut. [49] Dalam Alasan Penghakiman, Majistret menyatakan bahawa Mahkamah “menggunapakai anggapan pemilikan di bawah Page 22 of 27 Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya”. Namun berdasarkan Nota Keterangan ketika keputusan di akhir kes pendakwaan disampaikan, tidak dinyatakan dengan jelas bahawa Perayu telah dipanggil membela diri atas asas anggapan statutori tersebut. Ini menimbulkan kekeliruan kerana beban yang perlu dipikul oleh Perayu adalah berbeza bergantung kepada sama ada kes pendakwaan diasaskan kepada keterangan langsung atau kepada anggapan statutori. [50] Jika pendakwaan bergantung kepada keterangan langsung, maka Perayu hanya perlu menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Sebaliknya, jika pendakwaan atau Mahkamah bergantung kepada anggapan seksyen 37(d), maka Perayu perlu menyangkal anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian. [51] Oleh itu, keputusan memanggil Perayu membela diri mestilah jelas kerana ianya adalah penting bagi memastikan Perayu memahami beban yang perlu dijawab dalam pembelaannya. [52] Seperti mana yang dibincangkan di awal tadi, dalam kes ini fakta asas untuk mengaktifkan anggapan seksyen 37(d) tidak dibuktikan dengan selamat. Percanggahan mengenai lokasi barang kes, isu Thiru, kegagalan menyiasat telefon bimbit dan kegagalan Page 23 of 27 pemeriksaan cap jari semuanya menimbulkan keraguan terhadap jagaan, kawalan dan pengetahuan Perayu. [53] Oleh itu, seksyen 37(d) tidak boleh digunakan bagi menampung kelemahan kes pendakwaan. Anggapan tersebut tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk membuktikan milikan dan pengetahuan apabila fakta asas mengenai jagaan, kawalan dan pengetahuan kewujudan dadah masih diragui. [54] Mahkamah ini tidak mengatakan bahawa anggapan seksyen 37(d) tidak boleh digunakan dalam kes di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Namun jika Mahkamah Bicara bergantung kepada anggapan tersebut, tertuduh hendaklah dimaklumkan dengan jelas agar pembelaan dapat dijalankan dengan kefahaman yang betul tentang beban yang perlu dipenuhi. Dalam kes ini, kekaburan tersebut telah menyebabkan risiko prejudis kepada Perayu. Ia menjadi lebih serius kerana fakta kes ini sendiri tidak bebas daripada keraguan. [55] Kesimpulannya, Majistret telah terkhilaf apabila bergantung kepada anggapan tersebut sedangkan asas faktanya tidak dibuktikan dengan kukuh dan Perayu tidak dimaklumkan secara jelas pada akhir kes pendakwaan bahawa dia dipanggil membela Page 24 of 27 diri atas asas anggapan statutori tersebut. Kekhilafan ini adalah material dan menyebabkan sabitan tidak selamat. I. Penilaian Keseluruhan [56] Setelah menilai keseluruhan keterangan, Mahkamah ini mendapati sabitan Perayu tidak selamat. Kelemahan kes pendakwaan bukan bersifat teknikal atau remeh. Ia menyentuh elemen teras pertuduhan, iaitu milikan, kawalan dan pengetahuan. [57] Mahkamah ini mengakui fakta bahawa dadah dijumpai dalam kereta milik Perayu dan Perayu berada di tempat duduk pemandu merupakan satu keadaan yang mencurigakan. Namun, walaupun kecurigaan itu kuat, ianya masih tidak memadai untuk sabitan jenayah. Pendakwaan masih perlu membuktikan bahawa Perayu mengetahui kewujudan dadah tersebut dan mempunyai kawalan terhadapnya. [58] Dalam kes ini, inferens bahawa Perayu mempunyai pengetahuan tidak merupakan satu-satunya inferens munasabah. Terdapat satu versi pembelaan yang spesifik dikemukakan berhubung kewujudan Thiru di dalam kereta sebelum Perayu ditangkap. Versi tersebut sepatutnya dinilai dengan teliti, bukan ditolak semata- Page 25 of 27 mata kerana Thiru tidak hadir di Mahkamah atau kerana Perayu merupakan seorang anggota polis. [59] Pada pandangan Mahkamah ini kegagalan untuk menyiasat secara rapi terhadap Thiru dan telefon bimbit Perayu telah melemahkan kes pendakwaan kerana ia membiarkan wujudnya satu keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan. [60] Penggunaan anggapan di bawah seksyen 37(d) seperti yang dinyatakan dalam Alasan penghakiman tanpa diberitahu kepada Perayu dengan jelas semasa keputusan di akhir kes pendakwaan disampaikan telah menyebabkan salah arah yang material. [61] Dalam keadaan sabitan bergantung kepada inferens milikan dan pengetahuan, kegagalan tersebut menyebabkan sabitan menjadi tidak selamat. [62] Persoalan undang-undang tetap sama: adakah milikan, kawalan dan pengetahuan telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah? Pada hemat Mahkamah ini, jawapannya adalah tidak. Page 26 of 27 J. Keputusan [63] Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa rayuan Perayu adalah bermerit. Sabitan terhadap Perayu adalah tidak selamat untuk dikekalkan. [64] Oleh itu, rayuan Perayu terhadap sabitan dan hukuman dibenarkan. Sabitan dan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 21.07.2025 diketepikan. Perayu, Shuhaimi bin Sulaiman, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. Bertarikh: 21 Jun 2026 ………………………………. (FATHIYAH BINTI IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Butterworth Pulau Pinang PIHAK-PIHAK: Bagi pihak Perayu: Chandra Segaran a/l Achannah Tetuan Chandra Segaran Peguam Bela dan Peguam Cara Pulau Pinang Page 27 of 27 Bagi pihak Responden: Wan Amira Ruzaini binti Wan Abdul Razak Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang