Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: CB-22NCvC-2-01/2020 ANTARA SILVERPACK SDN BHD (No. Syarikat: 894934-D) … PLAINTIF
CB-22NCvC-1-01/2020
High Court of Malaysia20 Mar 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ction by a plaintiff to be met by a cross-claim ofthe defendant against the plaintiff. The court simply left the defendant to commence a separate action. It was only by virtue of the Supreme Court of Judicature Act, 1873, s. 24 (3) that enabled the defendant's counterclaim to be added to the plaintiff'ssuit. In so far”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI TEMERLOH DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: CB-22NCvC-2-01/2020 ANTARA SILVERPACK SDN BHD (No. Syarikat: 894934-D) … PLAINTIF
1
WONG SAI WENG berniaga di bawah Syarikat WSW Multi Construction No. Syarikat: 001440461-M (No. K/P: 671025-06-5271)
2
WONG SIEW MUN berniaga di bawah Syarikat Venus & Mars Enterprise No. Syarikat: 002471198-V (No. K/P: 901115-14-6228)
3
EDGAR CHAN THIAN SENG berniaga di bawah Syarikat Venus & Mars Enterprise No. Syarikat: 002471198-V (No. K/P: 940824-06-5481) … DEFENDAN-DEFENDAN 24/04/2025 15:17:09 CB-22NCvC-1-01/2020 Kand. 91 ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Plaintif adalah sebuah syarikat yang didaftarkan di Malaysia yang menjalankan aktiviti-aktiviti pembungkusan. Defendan Pertama pula adalah merupakan seorang yang mengusahakan perniagaan pembinaan. Wakil Plaintif iaitu Ng Lip Chye telah melantik Defendan Pertama untuk melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan kilang Plaintif. [2] Defendan Pertama telah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan tersebut atas arahan Plaintif. Namun demikian tiada sebarang dokumen yang dikemukakan berkenaan dengan terma-terma kontrak pengubahsuaian dan pembaikan tersebut. [3] Plaintif mengemukakan tuntutan ini setelah tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh Defendan Pertama. Malahan Defendan Pertama juga telah dikatakan merosakkan beberapa bahagian di dalam kilang tersebut. Ini adalah disebabkan Defendan Pertama dikatakan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak Plaintif dan Defendan Pertama. Keterangan [4] Selain daripada itu Mahkamah juga mendapati bahawa pembinaan yang dibuat oleh pihak Defendan itu adalah berdasarkan kepada pelan yang disediakan, bukannya oleh jurupelan yang bertauliah. Lakaran-lakaran tersebut dapat dilihat di muka surat 51 sehingga 80 Ikatan Dokumen B. [5] Penelitian kepada pelan-pelan tersebut hanya menunjukkan coretan-coretan ringkas yang menjadi panduan kepada pihak Defendan Pertama untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan tersebut. Selain daripada itu juga Mahkamah juga telah dikemukakan dengan beberapa invois yang menunjukkan kerja-kerja yang telah dijalankan. Di samping itu ia juga menunjukkan beberapa sebut harga yang dibuat seperti yang terdapat di muka surat 129 hingga 151 Ikatan Dokumen B. Analisa dan Dapatan [6] Mahkamah juga telah dikemukakan dengan penyata bank Defendan Kedua yang menunjukkan perbelanjaan dan bayaran yang berlaku dalam urus niaga tersebut. Setelah meneliti dokumen-dokumen tersebut Mahkamah berpendapat terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh Mahkamah. Isu (a) - Adakah terdapatnya perhubungan kontraktual di antara Plaintif dan Defendan Pertama [7] Bagi menjawab persoalan ini Mahkamah mengambil perhatian bahawa tiada sebarang dokumen bertulis yang dikemukakan bagi menunjukkan terdapatnya satu perjanjian di antara Plaintif dan Defendan untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan di kilang Plaintif. Apa yang ada ialah beberapa siri perbincangan di antara Plaintif dan Defendan Pertama yang akhirnya telah dimuktamadkan dengan persetujuan kedua-dua pihak untuk melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan kilang tersebut. [8] Adakah perjanjian lisan tersebut memadai? YA Hakim Gunn Chit Tuan menyatakan seperti yang berikut dalam kes Diamond Peak Sdn Bhd & Anor v Dr Tweedie [1982] 1 MLJ 97: “Under our law, as in India, an oral contract for the sale of immovable property is valid and enforceable.” [9] Ia juga dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Accolade Land Sdn Bhd v Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd & Ors [2020] 2 CLJ 295. Malahan tidak semua kontrak dikehendaki untuk dijadikan secara bertulis seperti yang dinyatakan dalam kes Tan Swee Hoe Ltd v Ali Hussain Bros [1980] 2 MLJ 16 yang menyatakan bahawa perjanjian lisan yang diberikan semasa perjanjian mengatasi sebarang percanggahan di dalam perjanjian bertulis. YAA Raja Azlan Shah menyatakan seperti yang berikut: “In our view those cases are strong authority for the proposition that an oral promise, given at the time of contracting which induces a party to enter into the contract, overrides any inconsistent written agreement. This device of collateral contract does not offend the extrinsic evidence rule because the oral promise is not imported into the main agreement. Instead it constitutes a separate contract which exists side by side with the main agreement.” [10] Ini bermakna perjanjian lisan yang boleh dibuktikan adalah berkuat kuasa. Dalam kes ini Mahkamah perlu meneliti sama ada keterangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak dapat menunjukkan terdapatnya perjanjian lisan tersebut. Oleh itu Mahkamah perlu meneliti keadaan urus niaga di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Mahkamah mendapati bahawa ekoran daripada perjanjian lisan yang dikatakan telah dilakukan di antara Plaintif dan Defendan Pertama adalah didapati terdapat dokumen-dokumen lakaran pelan, invois-invois malahan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan telah dijalankan oleh Defendan Pertama di premis Plaintif. Ia juga dapat digambarkan melalui gambar-gambar yang dirakamkan di premis Plaintif yang menunjukkan bahawa kerja-kerja telah dilakukan. Ini menyokong dakwaan bahawa wujudnya perjanjian lisan di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Mahkamah ini berpendapat perjanjian lisan tersebut adalah mengikat Plaintif dan Defendan Pertama serta boleh dikuatkuasakan oleh pihak-pihak. Dalam erti kata lain terdapat “consensus ad idem” di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Isu (b) – Adakah terdapat perlanggaran terma-terma perjanjian di antara Plaintif dan Defendan Pertama [11] Berdasarkan kepada penyata tuntutan Plaintif adalah didapati bahawa Plaintif tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dijalankan oleh Defendan Pertama di premisnya. Ini dapat dilihat melalui mutu kerja yang dilakukan oleh Defendan Pertama menurut Plaintif tidak mencapai piawaian yang telah dipersetujui oleh Plaintif dan Defendan Pertama. Plaintif menyatakan bahawa Defendan Pertama tidak menggunakan piawaian simen yang telah dipersetujui di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Ia menyebabkan simen atau lantai kilang tersebut telah rosak dan tidak sesuai untuk ditempatkan mesin-mesin di tempat tersebut. Selain daripada itu terdapat juga dakwaan bahawa Defendan Pertama telah merosakkan alat penggera kebakaran sehingga menimbulkan kerugian kepada Plaintif. [12] Sebaliknya Defendan Pertama mendakwa bahawa dia menjalankan kerja-kerja di premis tersebut adalah atas arahan pihak Plaintif. Ia berdasarkan kepada pelan yang disediakan dan spesifikasi yang ditetapkan. Malahan Defendan Pertama menyatakan kerosakan yang dialami pada lantai dan alat penggera kebakaran tersebut adalah disebabkan oleh tindakan Plaintif sendiri dan bukannya Defendan Pertama. [13] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas di dalam satu tuntutan sivil beban pembuktian adalah terletak kepada Plaintif bagi membuktikan kesnya pada tahap imbangan kebarangkalian. Mana- mana pihak yang menyatakan sesuatu fakta adalah dikehendaki untuk membuktikan fakta tersebut. Ini dinyatakan di bawah seksyen 101 Akta Keterangan 1950 seperti yang berikut: “101 Burden of proof
1
Whoever desires any court to give judgment as to any legal right or liability, dependent on the existence of facts which he asserts, must prove that those facts exist.
2
When a person is bound to prove the existence of any fact, it is said that the burden of proof lies on that person. ILLUSTRATIONS
a
A desires a court to give judgment that B shall be punished for a crime which A says B has committed. A must prove that B has committed the crime.
b
A desires a court to give judgment that he is entitled to certain land in the possession of B by reason of facts which he asserts and which B denies to be true. A must prove the existence of those facts.” [14] Dalam kes Nanyang Development (1966) Sdn Bhd v How Swee Poh [1970] 1 MLJ 145 YAA Hakim Azmi telah menyatakan seperti yang berikut: “I am afraid I cannot understand this argument. Viscount Maugham in Joseph Constantine Steamship Line Ltd v Imperial Smelting Corporation Ltd The Kingswood [1941] 2 All ER 165 179 dealing with the question of burden of proof in that case says this: “Agreeing with the trial judge, I think the burden of proof in any particular case depends on the circumstances in which the claim arises. In general the rule which applies is ei qui affirmat non ei qui negat incumbit probatio. It is an ancient rule founded on considerations of good sense, and it should not be departed from without strong reasons.” That rule means “the burden of proving a fact rests on the party who substantially asserts the affirmative of the issue and not upon the party who denies it: for a negative is usually incapable of proof.” [15] Dalam kes Hong Leong Bank Bhd lwn Chan Siew Tneg (p) dan satu lagi [2012] 6 MLJ 81 di mana Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bagaimana pemakaian beban pembuktian di bawah seksyen 101 Akta Keterangan 1950 digunakan seperti yang berikut: “[16] Kes ini adalah satu kes yang amat mudah untuk dibuktikan. Plaintif hanya perlu mengemukakan resit asal simpanan tetap kepada defendan bagi menyokong tuntutannya atau mengemukakan resit tersebut semasa perbicaraan. Seksyen 101 Akta Keterangan jelas memperuntukkan bahawa beban bukti adalah terletak pada plaintif. Plaintif gagal berbuat demikian. Kami mendapati plaintif tidak ada memplid bahawa resit asal simpanan tetap telah hilang atau wang tersebut telah tersalah bayar atau dituntut oleh pihak ketiga tanpa pengetahuan mereka. Adalah jelas bahawa hakim perbicaraan telah tersalah arah dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa defendan gagal membuktikan ‘secara konklusif tanpa sebarang keraguan’ bahawa resit asal simpanan tetap telah diserahkan oleh plaintif kepada defendan dan gagal membuktikan salinan resit-resit tersebut telah diserahkan kepada plaintif. Hakim perbicaraan juga memutuskan defendan gagal membuktikan akaun simpanan tetap telah ditutup dan wang tersebut telah diakuiterima oleh plaintif. Hakim perbicaraan nampaknya telah meletakkan beban ke atas defendan untuk menunjukkan bahawa plaintif pernah menyerahkan resit asal simpanan tetap kepada defendan. Hakim perbicaraan bukan sahaja tersalah arah mengenai obligasi plaintif untuk membuktikan kesnya tetapi telah meletakkan beban yang terlalu berat ke atas defendan bagi menyangkal tuntutan plaintif, iaitu dengan ‘secara konklusif tanpa sebarang keraguan’.” [16] Mahkamah ini juga perlu melihat garis panduan yang dinyatakan dalam kes Selvaduray v Chinniah [1939] 1 MLJ 253 berkenaan dengan pertimbangan Mahkamah dalam menentukan sama ada pihak Plaintif membuktikan kesnya terhadap Defendan. Ini dinyatakan seperti yang berikut: “In my opinion this line of reasoning cannot be supported. In a case such as the present the position has been clearly stated in the judgment of Brett M. R. in Abrath v North Eastern Railway Co 11 QBD page 440 at p 452:– “But then it is contended (I think fallaciously), that if the plaintiff has given prima facie evidence, which, unless it be answered, will entitle him to have the question decided in his favour, the burden of proof is shifted on to the defendant as to the decision of the question itself. This contention seems to be the real ground of the decision in the Queen's Bench Division. I cannot assent to it. It seems to me that the propositions ought to be stated thus: the plaintiff may give prima facie evidence which, unless it be answered either by contradictory evidence or by the evidence of additional facts, ought to lead the jury to find the question in his favour: the defendant may give evidence either by contradicting the plaintiff's evidence or by proving other facts: the jury have to consider upon the evidence given upon both sides, whether they are satisfied in favour of the plaintiff with respect to the question which he calls upon them to answer; if they are, they must find for the plaintiff; but if upon consideration of the facts they come clearly to the opinion that the question ought to be answered against the plaintiff, they must find for the defendant. Then comes this difficulty–suppose that the jury, after considering the evidence, are left in real doubt as to which way they are to answer the question put to them on behalf of the plaintiff: in that case also the burden of proof lies upon the plaintiff, and if the defendant has been able by the additional facts which he has adduced to bring the minds of the whole jury to a real state of doubt, the plaintiff has failed to satisfy the burden of proof which lies upon him”. Applying the principles laid down by the Court of Appeal in the above case, it is clear that the onus is on the plaintiff to prove his case. After the conclusion of the whole case there must be some preponderance in his favour. It may be true that the plaintiff established a prima facie case, but at the conclusion of the trial the learned Judge has found that the position was exactly even, i.e. that any preponderance in the plaintiff's favour had disappeared. That being the case the plaintiff must necessarily fail, as he has not discharged the onus which is upon him. No doubt the defendant would equally have failed if he had been the claimant and had tried to establish, as a substantive part of his case, the alternative version which he tried to prove in answer to that of the plaintiff. But as he was not the claimant, that consideration is quite immaterial. It is quite sufficient for his purpose if he can satisfy the Court that the plaintiff has not established his case and the learned Judge has so found.” [17] Ini bermakna beban pembuktian adalah terletak kepada Plaintif bagi membolehkan Mahkamah membenarkan tuntutan yang dikemukakan kepada Defendan. Ia seperti yang diungkapkan dalam buku The Modern Law of Evidence 10th Edition oleh Adrian Keane & Paul McKeown, Oxford University Press 2012 di muka surat 101 seperti yang berikut: “The legal burden of proof will generally lie on the party asserting the affirmative of such an issue. For example, in an action for negligence, the claimant bears the legal burden of proving duty of care, breach of such duty, and loss suffered in consequence. The legal burden of proving a defence which goes beyond a simple denial of the claimant's assertions, such as volenti non fit injuria or contributory negligence, lies on the defendant. The burden of proving a failure to mitigate is also borne by the defendant. Similarly, the legal burden of proving a contract, its breach, and consequential loss lies on the claimant; and the legal burden of proving a defence which goes beyond a simple denial of the claimant's assertions, such as discharge by agreement or by frustration, lies on the defendant.” [18] Pada masa yang sama Mahkamah juga perlu mengambil perhatian bahawa darjah pembuktian bagi kes sivil adalah pada perimbangan kebarangkalian. Dalam hal ini wajar Mahkamah merujuk kepada keputusan dalam kes Miller v Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372 di mana Hakim Denning menyatakan seperti yang berikut: “If at the end of the case the evidence turns the scale definitely one way or the other, the tribunal must decide accordingly, but if the evidence is so evenly balanced that the tribunal is unable to come to a determine conclusion one way or the other, then the man must be given the benefit of the doubt. This means that the case must be decided in favour of the man unless the evidence against him reaches the same degree of cogency as is required to discharge a burden in a civil case. That degree is well settled. It must carry a reasonable degree of probability, but not so high as is required in a criminal case. If the evidence is such that the tribunal can say: “We think it more probable than not,” the burden is discharged, but, if the probabilities are equal, it is not.” [19] Oleh yang demikian dalam suatu tindakan di Mahkamah adalah menjadi tanggungjawab pihak yang menuntut atau Plaintif membuktikan kesnya pada perimbangan kebarangkalian. Ia dapat dilakukan dengan keterangan saksi-saksi, keterangan-keterangan dokumen dan semasa menilai keterangan tersebut Mahkamah juga boleh menggunakan apa-apa anggapan di bawah undang-undang. Dalam erti kata lain Mahkamah hendaklah memutuskan kes berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan di Mahkamah mengikut jalur undang-undang. Ia tidak boleh dilakukan dengan hanya berdasarkan kepada spekulasi atau fakta yang tidak dibuktikan di Mahkamah. Pihak yang menuntut sama ada Plaintif atau Defendan boleh menyatakan kepada Mahkamah bahawa mengikut kefahaman mereka fakta yang timbul daripada urus niaga mereka adalah seperti yang difahami oleh mereka. Mahkamah ini berpendapat Mahkamah tidak terikat dengan apakah pandangan pihak-pihak di dalam suatu tuntutan. Sebaliknya Mahkamah memerlukan keterangan bagi menyokong naratif atau fakta yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Inilah yang menjadi pertimbangan utama dalam penentuan kes ini. [20] Pada masa yang sama Mahkamah juga tidak boleh menolak tuntutan Plaintif semata-mata disebabkan tiadanya perjanjian bertulis di antara Plaintif dan Defendan. Ini adalah disebabkan perjanjian lisan tersebut boleh dibuktikan oleh Plaintif berdasarkan keterangan-keterangan saksi yang dikemukakan di Mahkamah. Ia juga boleh disanggah melalui keterangan saksi-saksi Defendan. Malahan tuntutan balas oleh Defendan kepada Plaintif juga mengikut pendekatan yang sama dalam membuktikan tuntutan balas tersebut. [21] Mahkamah juga dalam kes ini meneliti pliding yang difailkan oleh pihak-pihak terutamanya penyata tuntutan Plaintif dan mendapati di perenggan [11] penyata tuntutan menyatakan fakta-fakta berkenaan dengan kecuaian Defendan-Defendan dalam kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan di kilang Plaintif. Apa yang dilihat dalam penyataan tuntutan tersebut ialah dakwaan yang menyatakan Defendan telah gagal untuk menyediakan pelan pembangunan yang disediakan oleh arkitek berkelayakan. Ia juga adalah disebabkan Defendan gagal untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Bentong sebelum pelaksanaan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan kilang tersebut. Plaintif juga mendakwa bahawa Defendan telah gagal memasang semula sistem penggera kebakaran untuk memenuhi syarat-syarat keselamatan yang diperuntukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. [22] Plaintif juga dalam penyata tuntutan tersebut menyatakan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan itu tidak sesuai dengan kegunaan kilang. Ini adalah disebabkan terdapatnya kerosakan kepada lantai yang retak dan mengakibatkan ketidakseimbangan bagi menempatkan jentera-jentera Plaintif di premis tersebut. Dalam erti kata lain Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah cuai dalam menjalankan kerja-kerja seperti yang dipersetujui oleh Plaintif dan Defendan. Ekoran daripada kecuaian tersebut Plaintif telah mengalami kerugian pada anggaran RM 1,953,520.00. Di perenggan [26] penyata tuntutan Plaintif telah memasukkan butiran kerosakan yang dialami. [23] Mahkamah ini juga meneliti pliding yang difailkan oleh pihak-pihak iaitu penyata tuntutan dan penyataan pembelaan. Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa pliding adalah hanya merupakan penyataan-penyataan yang dinyatakan oleh pihak sebelum sesuatu perbicaraan. Ini dinyatakan dalam Bullen & Leake & Jacob’s, Precedents of Pleadings, Vol. 1, 14th Edition, Sweet & Maxwell di muka surat 1 seperti yang berikut: “Each system of law requires a method of defining the dispute that is to be decided by the court. In the English common law tradition this role was played by “pleadings”. Pleadings is a generic term to describe the formalised process by which each party states its case prior to trial.” [24] Pada masa yang sama Mahkamah juga memahami bahawa apabila sesuatu fakta dinyatakan di dalam pliding atau penyata tuntutan adalah menjadi tanggungjawab untuk membuktikan fakta tersebut. Hubung kait di antara pliding dan pembuktian telah dijelaskan dengan menarik dalam Phipson on Evidence, 14th Edition, London Sweet & Maxwell 1990 di halaman 1 seperti yang berikut: “The rules of procedure regulate the general conduct of litigation; the object of pleading is to ascertain for the guidance of the parties and the court the material facts in issue in each particular case; proof is the establishment of such facts by proper legal means to the satisfaction of the court, and in this sense includes disproof.” [25] Plaintif dalam kes ini telah memanggil empat orang saksi untuk membuktikan tuntutannya. Malahan terdapat saksi yang merupakan jurutera professional yang telah menjalankan penilaian kepada tapak kilang Plaintif. Di samping itu laporan juga turut disediakan untuk menunjukkan kerosakan-kerosakan tersebut. Pihak Plaintif juga telah mengemukakan keterangan dokumen-dokumen pembayaran yang dibuat kepada pihak Defendan. Namun begitu persoalan yang masih belum terjawab ialah adakah kerosakan-kerosakan tersebut ekoran daripada kegagalan Defendan untuk memenuhi terma-terma perjanjian lisan yang telah dipersetujui di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Apa yang ada ialah keterangan Plaintif yang dipertikaikan oleh pihak Defendan. Keterangan kejuruteraan adalah dikemukakan melalui saksi yang terlibat selepas berlakunya kerosakan-kerosakan tersebut. Malahan pada masa yang sama terdapat juga keterangan yang menunjukkan bahawa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan tidak dibuat disebabkan ianya akan dilakukan kemudian dan bukannya tanggungjawab pihak Defendan. Ini adalah disebabkan tuan punya premis yang bertanggungjawab untuk mendapat kelulusan pihak berkuasa dan bukannya pihak Defendan. [26] Mahkamah ini mendapati dalam kes ini kesukaran yang dihadapi ialah apabila tiadanya kontrak bertulis. Apa yang ada hanyalah perjanjian lisan di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Terma-terma dan syarat-syarat perjanjian tidak dapat dilihat secara hitam putih dicoretkan di mana-mana dokumen. Ia juga bergantung kepada tafsiran Plaintif dan Defendan Pertama terhadap apakah yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak. Malahan dalam kes ini ia lebih menarik apabila arahan Plaintif itu diberikan melalui seorang pekerjanya. Pada masa yang sama Plaintif juga telah melantik penilai bebas untuk meneliti kerja-kerja yang dilakukan oleh Defendan Pertama yang dikatakan tidak memenuhi terma-terma perjanjian. [27] Persoalannya apakah terma-terma perjanjian tersebut? Di manakah rujukan terma perjanjian secara bertulis? Adakah kefahaman Defendan Pertama terhadap arahan Plaintif itu adalah tepat? [28] Pada masa yang sama Mahkamah pula tiada sebarang rujukan syarat-syarat dan terma bertulis untuk dijadikan rujukan bagi menentukan sama ada terdapatnya pemecahan terma kontrak di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Apa yang ada ialah sebut harga berkenaan barang-barang yang digunakan untuk pengubahsuaian dan pembaikan di premis Plaintif, tuntutan-tuntutan Plaintif kepada Defendan Pertama, bayaran yang dikatakan dibayar melalui akaun Defendan Kedua kepada Defendan Pertama oleh Plaintif dan gambar-gambar yang dikemukakan di Mahkamah sebagai sokongan dakwaan Plaintif bahawa Defendan Pertama telah tidak melakukan kerja-kerja seperti yang dipersetujui. [29] Persoalanya ialah adakah ia dapat menunjukkan sebarang pemecahan terma-terma kontrak oleh Defendan Pertama. Adakah keterangan sedemikian dikemukakan di Mahkamah ini. Di samping itu adakah Plaintif telah melunaskan tanggungjawab untuk membuktikan tuntutan terhadap Defendan Pertama. [30] Adalah menjadi prinsip undang-undang yang jelas bahawa sebarang pemecahan kontrak boleh menyebabkan Mahkamah menimbangkan perkara-perkara seperti yang dinyatakan dalam kes Triple Equity Sdn Bhd & Anor v Golden Success Property Sdn Bhd [2023] 3 MLJ 323 seperti yang berikut: “[41] In Law of Contract (4th Ed), Dato’ Seri Visu Sinnadurai referred to Treitel, in The Law of Contract (12th Ed) at para 18– 048 which summarises: Are there three categories of terms? … The general rule is that there are three classes of contractual terms: conditions; the breach of which at common law invariably give rise to a right to terminate, warranties, the breach of which give rise only to a right to damages; and intermediate terms, the breach of which give rise to a right to terminate if it sufficiently serious but otherwise sounds only in damages.” [31] Pada masa yang sama Mahkamah juga perlu meneliti dokumen-dokumen yang dikemukakan bagi mengesan apakah pemecahan kontrak yang dikatakan telah dilakukan oleh Defendan Pertama. Ini perlu dilakukan disebabkan tiadanya perjanjian bertulis bagi menentukan terma-terma kontrak yang telah tidak dipatuhi oleh Defendan Pertama. Mahkamah ini mendapati bahawa di antara dokumen-dokumen yang berkaitan ialah laporan yang disediakan oleh Gagasan Teguh Sdn Bhd yang terdapat di muka surat 323 hingga 360 Ikatan Dokumen C yang disediakan pada Jun 2019. Ia meliputi ujian-ujian yang dijalankan berkenaan dengan lantai premis Plaintif tersebut. Begitu juga dengan laporan penilaian bebas bertarikh 13.01.2024 yang memperincikan kerosakan-kerosakan yang dialami di premis Plaintif. Laporan-laporan tersebut menunjukkan bahawa terdapatnya kerosakan-kerosakan ekoran daripada siasatan melalui laporan yang disediakan. Misalnya, di Ikatan Dokumen O yang mendedahkan bahawa kegagalan mematuhi standard simen yang menyebabkan berlaku kerosakan pada lantai premis Plaintif. Namun ia tidak dapat membantu Mahkamah untuk memutuskan sama ada kerosakan- kerosakan tersebut adalah ekoran daripada pemecahan kontrak di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Fakta bahawa telah berlaku kerosakan di premis tersebut tidak dapat dinafikan. Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana kerosakan tersebut mempunyai hubung kait dengan pemecahan kontrak di antara Plaintif dengan Defendan Pertama. [32] Mahkamah juga meneliti keterangan yang dikemukakan oleh pihak Defendan yang secara keseluruhannya menyatakan bahawa segala kerja-kerja yang dilakukan di premis tersebut adalah atas arahan Plaintif atau wakilnya. Penggunaan kualiti simen, kawasan pembinaan, pembaikan alat penggera kebakaran semuanya dilakukan dengan arahan daripada Plaintif atau wakilnya. Defendan tidak melaksanakan kerja-kerja tersebut tanpa persetujuan daripada pihak Plaintif. Oleh yang demikian Defendan menyatakan bahawa tidak timbul isu bahawa Defendan telah memecahkan terma-terma kontrak di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Ini ditambah pula dengan tindakan Plaintif membuat sebahagian pembayaran kepada tuntutan yang telah dibuat oleh pihak Defendan di atas kerja-kerja yang telah dilakukan di premis Plaintif tersebut. Pembayaran tersebut oleh Plaintif walaupun tidak sepenuhnya menunjukkan bahawa Plaintif telah mempersetujui kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak Defendan. Walaupun terdapat bayaran yang masih belum diselesaikan oleh pihak Plaintif ekoran daripada tuntutan Defendan. Jumlah bayaran tersebut telah dijadikan asas kepada tuntutan balas oleh pihak Defendan kepada Plaintif. [33] Begitu juga keterangan yang dikemukakan tidak dapat menunjukkan bahawa kerugian yang dialami oleh pihak Plaintif ekoran daripada kerosakan yang berlaku di premis Plaintif adalah disebabkan oleh kecuaian Defendan Pertama dalam melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan premis Plaintif. [34] Pada hemat Mahkamah setelah menimbangkan keterangan pihak Plaintif dan Defendan serta mengambil kira tanggungjawab Plaintif untuk membuktikan kes terhadap Defendan pada tahap perimbangan kebarangkalian Mahkamah berpendapat Plaintif tidak berjaya melunaskan tanggungjawabnya untuk membuktikan bahawa terdapat pemecahan kontrak oleh Defendan Pertama pada tahap perimbangan kebarangkalian. Dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh Plaintif pada hemat Mahkamah hanyalah berdasarkan kepada dokumen-dokumen yang dikemukakan dan keterangan lisan saksi tanpa dapat menunjukkan di manakah tindakan-tindakan Defendan Pertama itu adalah merupakan pemecahan terma kontrak. Ini menyebabkan Mahkamah tidak dapat mempertimbangkan tuntutan Plaintif terhadap pihak Defendan. [35] Ini ditambah pula Plaintif tidak dapat menunjukkan Defendan telah mengakibatkan telah melakukan pemecahan kontrak. Oleh itu adalah menjadi amalan yang baik untuk perjanjian-perjanjian atau suatu kontrak itu dinyatakan di dalam perjanjian bertulis walaupun tiada kehendak undang-undang kontrak di bawah Akta Kontrak 1950 untuk melakukan sedemikian namun ia boleh membantu Mahkamah dalam mempertimbangkan tuntutan yang berkaitan dengan pemecahan terma-terma kontrak. Ini disebabkan terdapat rujukan secara bertulis berkenaan dengan terma kontrak dan Mahkamah boleh menentukan adakah terdapat pemecahan terhadap terma kontrak tersebut. Hal ini tidak berlaku di dalam kes ini. Isu (c) - Adakah Plaintif layak untuk mendapatkan gantirugi [36] Ekoran daripada dapatan Mahkamah bahawa Plaintif tidak dapat menunjukkan terdapat pemecahan kontrak oleh Defendan Pertama maka ia secara langsung menyebabkan Plaintif tidak dapat memperolehi gantirugi di dalam kes ini. Tuntutan Balas [37] Defendan Pertama dalam penyata pembelaan juga mengemukakan tuntutan balas iaitu jumlah pembayaran yang belum dijelaskan oleh Plaintif terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan oleh pihak Defendan. Defendan Pertama di perenggan [21] penyata pembelaan telah menyatakan bahawa Plaintif telah gagal membuat bayaran baki kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan di premis tersebut sebanyak RM 341,192.32. Notis berkenaan baki bayaran tersebut telah dimaklumkan kepada Plaintif melalui notis bertarikh 13.11.2018. [38] Hakikat tuntutan balas telah dijelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Permodalan Plantations Sdn Bhd v Rachuta Sdn Bhd [1985] 1 MLJ 157 seperti berikut: “What then is a counterclaim? A counterclaim on the other hand is also a cross-claim which a defendanthas against a plaintiff but in respect of which the defendant can bring a separate action against the plaintiff if he wishes to do so. Thus, to all intents and purposes a counterclaim is a separate and independent action by the defendant, which the law allowsto be joined to the plaintiff's action in order to avoid multiplicity or circuity of suits. Like set-off, a counterclaim is also the creation of Statutes. At common law the court has no power to allow an action by a plaintiff to be met by a cross-claim ofthe defendant against the plaintiff. The court simply left the defendant to commence a separate action. It was only by virtue of the Supreme Court of Judicature Act, 1873, s. 24 (3) that enabled the defendant's counterclaim to be added to the plaintiff'ssuit. In so far as our law is concerned, a counterclaim is governed by the provisions of 0.15 r. 2 which we have already set out earlier. It is, therefore, clear that a counterclaim is wider than a defence of set-off andthat whilst the former is a separate action by a defendant against a plaintiff, the latter is essentially a defence, although a defendant is entitled to add it as counterclaim. …” [39] Apa yang jelas ialah satu tuntutan balas boleh berdiri dengan sendiri sekiranya satu tindakan lain diambil oleh Defendan terhadap Plaintif. Ini bermakna di dalam suatu tuntutan balas Defendan adalah bertanggungjawab untuk membuktikan tuntutan balas tersebut seperti yang dikehendaki pada pada darjah pembuktian pada perimbangan kebarangkalian. Ia adalah sama seperti beban pembuktian dan darjah pembuktian yang diletakkan kepada Plaintif bagi tuntutan kepada Defendan dalam tuntutan utama. [40] Mahkamah ini mendapati di muka surat 28 Ikatan Dokumen B terdapat surat daripada Defendan Pertama bertarikh 02.12.2019 yang memohon bayaran sebanyak RM 537,223.15 yang dikatakan bayaran tertunggak yang masih belum dijelaskan oleh Plaintif. Berdasarkan perhubungan di antara peguam Plaintif dan Defendan Pertama adalah didapati bahawa pihak Plaintif tidak menjelaskan jumlah yang dinyatakan oleh Defendan Pertama disebabkan pemecahan kontrak yang didakwa telah dilakukan oleh Defendan Pertama. [41] Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan Pertama hanya mengemukakan beberapa bil dan notis tuntutan yang dikemukakan kepada Plaintif yang masih belum dijelaskan. Namun tuntutan tersebut telah tidak dijelaskan oleh Plaintif atas alasan kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak Defendan tersebut adalah tidak mematuhi perjanjian di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Namun begitu Defendan Pertama tidak dapat menunjukkan kepada Mahkamah bagaimanakah jumlah tersebut diperolehi dan apakah kerja-kerja yang dilakukan secara khusus bagi mendapatkan jumlah tersebut. Mahkamah meneliti invois-invois yang dikemukakan dan dokumen-dokumen lain bagi mengesan jumlah yang dituntut oleh Defendan Pertama kepada Plaintif namun tidak dapat ditunjukkan sama ada melalui keterangan saksi-saksi atau dokumen berkenaan jumlah tersebut. Di samping itu tiada keterangan yang dapat mengesahkan bahawa Plaintif telah gagal menjelaskan jumlah tuntutan yang dinyatakan oleh pihak Defendan dan tiada keterangan yang dapat menunjukkan ianya telah dijelaskan oleh Plaintif. Apa yang jelas ialah jumlah tersebut masih belum dijelaskan oleh pihak Plaintif kepada Defendan Pertama namun adakah Plaintif bertanggungjawab untuk membuat pembayaran tersebut kepada Defendan Pertama tidak dapat ditunjukkan di Mahkamah ini. Begitu juga adakah bayaran tersebut berkaitan dengan kerja-kerja yang telah dipersetujui di antara Plaintif dan Defendan untuk dilakukan oleh Defendan Pertama juga tidak dapat dibuktikan di Mahkamah oleh Defendan Pertama. [42] Oleh yang demikian Mahkamah ini berpendapat pihak Defendan Pertama tidak dapat membuktikan tuntutan balas yang dikemukakan kepada Plaintif adalah berdasarkan kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh Defendan Pertama berdasarkan perjanjian di antara Plaintif dan Defendan. Dalam erti kata lain Defendan Pertama tidak dapat membuktikan tuntutan balas terhadap Plaintif pada tahap perimbangan kebarangkalian. Oleh itu tuntutan balas Defendan Pertama terhadap Plaintif ditolak. Penutup [43] Adalah menjadi harapan pihak Plaintif untuk mendapatkan kembali kerugian yang dikatakan berlaku ekoran daripada Defendan Pertama tidak mematuhi terma-terma perjanjian di antara Plaintif dan Defendan Pertama. Defendan Pertama pula berhasrat untuk mendapatkan kembali pembayaran terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan di premis Plaintif. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa Plaintif dan Defendan mempunyai pertimbangan dan telah dinasihati dengan sewajarnya sebelum memfailkan tuntutan di Mahkamah. Walau bagaimanapun Mahkamah ini adalah terikat kepada undang-undang keterangan dan pembuktian di Mahkamah. Mahkamah akan hanya berdasarkan kepada dokumen-dokumen keterangan-keterangan saksi yang boleh menzahirkan tuntutan Plaintif dan Defendan. Mahkamah ini tidak boleh memutuskan kes tuntutan Plaintif dan Defendan ini berdasarkan kepada sentimen Plaintif dan Defendan-Defendan. Begitu juga Mahkamah tidak boleh memutuskan kes ini hanya berdasarkan kepada kerosakan-kerosakan premis dan kegagalan pembayaran oleh Plaintif kepada Defendan tanpa sebarang keterangan yang dapat mengaitkan kerosakan dan kegagalan pembayaran tersebut dengan terma-terma di dalam perjanjian antara Plaintif dan Defendan-Defendan. Jika ini dilakukan oleh Mahkamah, Mahkamah tidak lagi memutuskan kes ini berdasarkan kepada fakta dan undang-undang tetapi diasaskan kepada perkara-perkara yang di luar daripada undang-undang. Ini wajar dielakkan daripada dilakukan oleh Mahkamah. [44] Sesungguhnya undang-undang keterangan dan prosedur adalah merupakan tatacara yang diperuntukkan bagi pihak-pihak mengemukakan tuntutan di sisi undang-undang. Pihak-pihak harus memastikan bahawa dakwaan dan tuntutan tersebut dibuat selari dengan undang-undang keterangan dan prosedur. Inilah asas utama kepada kelestarian sistem pentadbiran sivil yang perlu dipertahankan. [45] Akhirnya, Mahkamah ini berpendapat tuntutan Plaintif terhadap Defendan ditolak dengan kos. Pada masa yang sama tuntutan balas Defendan juga ditolak dengan kos. Bertarikh: 24 hb. April 2025 (ROSLAN BIN MAT NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA TEMERLOH, PAHANG DARUL MAKMUR PIHAK-PIHAK: Bagi Pihak Plaintif Pramjit Singh Tetuan Pramjit, Wan Jin & Partners Kuala Lumpur Bagi Pihak Defendan-Defendan M. Ramachelvam dan Ameerul Radzi bin Azlan Tetuan Rama-Rozi & Associates Temerloh, Pahang Darul Makmur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.