(ii) OKT/Pemohon menghadapi masalah Kesihatan [16] Daripada Affidavit Sokongan, OKT/Pemohon menyatakan bahawa beliau sedang menghadapi masalah kesihatan seperti asthma, sakit hempedu, dan gerd. Mahkamah mendapati bahawa tiada apa-apa laporan pakar dikemukakan sedangkan beban pembuktian terletak di bahu OKT/Pemohon. Apa yang ada adalah laporan perubatan biasa yang bertarikh 6.12.2022, surat kemasukan hospital bertarikh 28.11.2022 dan gambar hidung dan bibir yang tidak dapat membantu Mahkamah. [17] Sebaliknya, pihak Pendakwa Raya/Responden telah mengakaskannya dengan memfailkan Affidavit Jawapan dari Dr. Sunita a/p S. Shanmugam, iaitu Pegawai Perubatan di Klinik Penjara Wanita Kajang yang mengendalikan pemeriksaan Kesihatan terhadap OKT/Pemohon. Menurut Dr. Sunita, beliau telah memeriksa OKT/Pemohon pada 12 Mei 2023 dan mendapati Pemohon adalah di dalam keadaan stabil dan tidak mengalami apa-apa komplikasi kesihatan dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius. Malahan menurutnya, pihak penjara mempunyai kemudahan dan akses yang mencukupi untuk merawat dan menyelia kesihatan yang dihadapi Pemohon. [18] Dr. Sunita di dalam Affidavitnya juga telah berikar “saya telah memeriksa Pemohon dan memaklumkan Pemohon bahawa pihak Penjara boleh membuat rujukan ke Klinik Pakar di Hospital Kajang bagi masalah yang dihadapinya namun Pemohon tidak berminat.” [19] Adalah ketara bahawa OKT/Pemohon sendiri menolak bantuan dan kemudahan yang ditawarkan kepadanya. [20] Dr. Sunita juga berikar “Saya mengesahkan sepanjang Pemohon berada di Penjara dari 3 Mei 2023 sehingga pada tarikh Affidavit ini di buat, Pemohon tidak mengalami apa-apa masalah kesihatan yang memudaratkan dan Pemohon juga tidak pernah membuat sebarang aduan kesakitan atau masalah kesihatan kepada saya atau mana-mana Pegawai Penjara.” [21] Mahkamah mendapati bahawa tidak ada apa-apa Affidavit Balasan telah difailkan oleh pihak Pemohon untuk mematahkan laporan dan pendapat Dr. Sunita tersebut. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa jika tidak ada apa-apa Affidavit Balasan difailkan maka Mahkamah menganggap bahawa laporan dan pendapat Dr. Sunita sebagai diakui dan diterima oleh pihak OKT/Pemohon. Lihat kes Ng Hee Thong & Anor v. Public Bank [1995] 1 MLRA 1 dan kes Alloy Automative v. Perusahaan Ironfield [1995] 1 MLRA 309. Kegagalan pihak OKT/Pemohon untuk berbuat demikian adalah fatal dan memudaratkan permohonan OKT/Pemohon ini. [22] Pihak Pemohon/OKT cuba memberi alasan bahawa pihaknya menerima Affidavit tersebut lewat. Mahkamah memutuskan alasan ini merupakan satu “afterthought” kerana sebelum ini, pada tarikh sebutan yang lalu pada 8.5.2023, Peguam OKT/Pemohon memaklumkan Mahkamah bahawa mereka tidak akan menfailkan apa-apa Affidavit Balasan ke atas apa-apa Affidavit yang difailkan Pendakwa Raya/Responden. Pun begitu, Mahkamah berpendapat jika pun OKT/Pemohon ingin menjawab kepada Affidavit Pendakwa Raya/Responden tersebut ianya boleh dilakukan selewat-lewatnya pada pagi 18.5.2023 (hari hujahan lisan) kerana hujahan lisan ditetapkan di sebelah petang. Namun, peluang ini tidak diambil oleh OKT/Pemohon. [23] Mahkamah juga mendapati bahawa untuk menyokong Affidavit Sokongan OKT/Pemohon, satu Affidavit telah difailkan oleh rakan OKT/Pemohon yang bernama Noor Marliana binti Ramlee mengikrarkan bahawa dia telah menerima panggilan telefon daripada OKT/Pemohon yang berada di dalam penjara bahawa keadaan kesihatan OKT/Pemohon adalah amat teruk. Mahkamah mendapati maklumat ini bercanggah dengan dapatan Dr. Sunita yang dinyatakan tadi. Ke arah itu, Mahkamah perlu berhati-hati dengan apa yang diikrarkan oleh rakan OKT/Pemohon ini kerana beliau adalah juga saksi Pembelaan di dalam perbicaraan penuh OKT/Pemohon yang berpotensi memberi akuan yang berat sebelah yang memihak kepada OKT/Pemohon. Apapun setelah menelitinya secara keseluruhan, Affidavit yang diikrarkannya mempunyai elemen “dengar cakap” (hearsay), yang bukan sahaja tidak disokong dan bercanggah, malahan tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan. [24] Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah memutuskan isu mengenai kesihatan OKT/Pemohon, dengan hormatnya tidak boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah ini, dan alasan kesihatan ini ditolak.