2.15 Plaintif telah mendakwa bahawa Defendan telah gagal mematuhi Notis bertarikh 15.9.2016 tersebut, justeru Saman Pemula di Kandungan 1 ini difailkan pada 20.1.2017. [3] Plaintif dengan itu, di dalam memohon perintah-perintah di Kandungan 1 telah bersandarkan kepada alasan-alasan berikut: i. Perjanjian 2012 yang ditandatangani Plaintif dan Defendan adalah suatu perjanjian baru dengan terma-terma yang baru. Defendan telah melanggar Perjanjian 2012 apabila gagal menyempurnakan pembangunan ke 12 atas hartanah tersebut walaupun tempoh masa perjanjian (kontrak) telah melampaui tiga (3) tahun sejak ia ditandatangani. ii. Defendan telah melanggar klausa 3.7 Perjanjian 2012 apabila gagal memastikan hartanah tersebut bebas dari sebarang bebanan apabila hartanah tersebut telah digadai oleh Defendan sebagai cagaran kepada Malaysia Building Society Berhad (MBSB). iii. Defendan telah gagal membuat bayaran terhadap pinjaman yang telah diperolehi daripada MBSB sehingga suatu perintah lelongan ke atas hartanah tersebut telah dibuat oleh Pejabat Tanah yang ditetapkan untuk lelongan pada 24.2.2017. Plaintif telah diserahkan dengan Saman kepada Penggadai oleh Pentadbir Tanah Klang untuk hadir siasatan menurut seksyen 261 (1)(c) Kanun Tanah Negara pada 18.10.2016. 13 iv. Defendan telah gagal untuk meremedikan perlanggaran Perjanjian 2012 dalam tempoh 60 hari dari tarikh notis Plaintif (15.9.2016) sebagaimana yang dikehendaki oleh klausa 7.13 Perjanjian. C. TENTANGAN DEFENDAN [4] Defendan telah membantah dengan kerasnya permohonan Plaintif dengan memfailkan afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Hamzah bin Bero yang merupakan Pengarah Defendan. [5] Di dalam afidavit jawapan Defendan, walaupun diakui oleh Defendan bahawa terdapat kelewatan di dalam penyempurnaan projek pembangunan tersebut di mana projek tidak dapat disempurnakan dalam tempoh yang dipersetujui atas lebihan kos dan perubahan harga barang yang ditanggung Defendan, namun Defendan telahpun memaklumkan perkara kelewatan ini kepada Plaintif melalui kontraktor Defendan bernama Mohd Yusof bin Hasan sejak tahun 2015 lagi. 14 [6] Bagi membantah permohonan Plaintif, Defendan telah membangkitkan pengataan-pengataan berikut: i. Defendan tidak pernah memasuki sebarang perjanjian gadaian dengan mana-mana institusi kewangan selaras dengan Klausa 3.7 Perjanjian 2012 tersebut. ii. Gadaian yang wujud di hartanah tersebut adalah gadaian yang didaftarkan pada tahun 2008 di mana ia telah dimasuki selaras Perjanjian 2007 dan gadaian-gadaian (gadaian) ini telah dimasukki / dilaksanakan dengan kebenaran Plaintif sendiri. iii. tiada sebarang klausa atau terma di dalam Perjanjian 2012 yang menyatakan hartanah tersebut perlu bebas daripada sebarang bebanan. iv. Pembangunan hartanah tersebut tidak dapat disempurnakan dalam tempoh yang dipersetujui kerana terdapat lebihan kos dan perubahan pada harga barang 15 dan yang harus ditanggung oleh Defendan dan faktor-faktor lain yang telah dimaklumkan kepada Plaintif dan ianya dalam pengetahuan Plaintif. v. Perjanjian 2012 masih belum berakhir tempohnya dan tidak boleh ditamatkan sebelum 3 Disember 2017. Unit-unit yang telah dibina di atas hartanah tersebut telah dibeli oleh pembeli-pembeli dan mereka telah menandatangani Perjanjian Jual Beli. Sekiranya, Perjanjian 2012 tersebut ditamatkan sebelum masanya, Defendan pasti tidak dapat menyempurnakan obligasi kepada pembeli-pembeli tersebut. [7] Plaintif di dalam kes ini telah cuba memohon daripada Mahkamah ini satu perintah deklarasi untuk mengisytiharkan Perjanjian 2012 yang dimasuki olehnya dan Defendan terbatal dan tidak sah atas alasan bahawa terdapat pemecahan terma-terma perjanjian di pihak Defendan khasnya atas alasan bahawa projek pembangunan telah tidak disempurnakan dalam 16 tempoh yang dipersetujui di bawah Perjanjian 2012 dan perlanggaran klausa 3.7 dan klausa 10.1 perjanjian tersebut. [8] Pertamanya, adalah dihujahkan bagi pihak Plaintif bahawa Perjanjian 2012 adalah perjanjian baru dan bukanlah perjanjian lanjutan bagi Perjanjian 2007 kerana Perjanjian 2012 telah ditandatangani selepas Perjanjian 2007 tamat pada 3.12.2012 dengan terma-terma perjanjian yang baru. [9] Peguam Plaintif telah menghujahkan bahawa Defendan telah gagal menyempurnakan projek pembangunan tersebut dalam tempoh yang dipersetujui iaitu pada 30.9.2015 dan telahpun mengakui kelewatan tersebut di dalam perenggan 8 afidavit jawapannya yang menentang permohonan Plaintif. Atas pengakuan Defendan yang mengakui projek pembangunan tidak dapat disempurnakan pada tempoh yang dipersetujui kerana terdapatnya lebihan kos dan perubahan pada harga barang yang harus ditanggung sendiri oleh Defendan. Atas pengakuan tersebut, peguam Plaintif telah bergantung kepada 17 kes Ng Hee Thong & Anor V Public Bank Berhad [1995] 1 CLJ 609 Mahkamah Rayuan yang memutuskan berikut: “[2] It is a well settled principle governing the evaluation of affidavit evidence that where one party makes a positive assertion upon a material issue, the failure of his opponent to contradict is usually treated as an admission by him of the fact so asserted.” [10] Adalah menjadi hujahan Plaintif juga bahawa Defendan telah gagal untuk memastikan hartanah Plaintif bebas daripada sebarang bebanan seperti yang diehendaki di dalam klausa 3.7 Perjanjian 2012 yang tidak membenarkan Defendan meletakkan sebarang bebanan ke atas hartanah-hartanah tersebut. [11] Plaintif telah mendakwa bahawa Defendan yang telah gagal untuk menebus semula hartanah tersebut selepas menandatangani Perjanjian 2012 sehingga menyebabkan hartanah tersebut telah ditetapkan untuk lelongan awam pada 24.2.2017. Kegagalan menebus semula hartanah tersebut 18 adalah merupakan suatu perlanggaran kontrak oleh pihak Defendan. [12] Peguam Plaintif seterusnya menghujahkan bahawa apabila Defendan gagal untuk meremedikan perlanggaran tersebut dalam tempoh masa 60 hari menurut klausa 7.13 Perjanjian 2012 melalui notis Plaintif bertarikh 15.9.2016, maka kegagalan Defendan ini telah mengakibatkan Perjanjian 2012 terbatal. [13] Plaintif juga telah mendakwa bahawa beliau terpaksa berusaha mendapatkan wang untuk menebusbalik hartanah tersebut demi mengelakkan hartanah tersebut daripada dijual melalui lelongan awam. [14] Adalah dihujahkan oleh peguam Plaintif juga bahawa perjanjian jual beli-perjanjian jual beli yang ditandatangani oleh Defendan dan pembeli-pembeli unit adalah tidak sah kerana perjanjian-perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Defendan yang bersandar kepada SKW 2012 yang telah tamat tempoh. 19 [15] Defendan telah menafikan pengataan Plaintif yang Defendan telah memasuki perjanjian pinjaman dan memasuki gadaian pihak ketiga dengan mana-mana institusi kewangan selepas Perjanjian 2012 tersebut ditandatangani. Menurut Defendan, gadaian pihak ketiga telah dimasuki pada 3.4.2008 bagi faedah Malaysia Building Society Berhad (MBSB) yang mana Plaintif mempunyai pengetahuan mengenai gadaian tersebut. Malahan menurut Defendan lagi, gadaian yang telah dimasuki tersebut telah dimasuki sebelum Perjanjian 2012 dan adalah dengan kebenaran Plaintif sendiri. [16] Defendan seterusnya mengatakan bahawa ia telahpun menyempurnakan pembayaran pinjaman kepada MBSB melalui Deposit Cash Maybank berjumlah RM549,951.60