Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI AMPANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BC-A52C-1-02/2022 ANTARA SITI JULIANA BINTI SUMARDI …PLAINTIF
BC-A52C-1-02/2022
Sessions Court of Malaysia18 Dec 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“here is sufficient evidence to establish elements of an entering into, or a carrying on of a business by the very terms of the relevant agreements. It is necessary to stress the width of s. 38 of the Bankruptcy Act, in particular s. 38(1)(d) which refers to "(d) the bankrupt shall not, except with the previous permissi”
“yang mana Mahkamah memutuskan seperti berikut: “[27]… this Court agrees with the submission by the plaintiff, that if the defendant were an undischarged bankrupt, the provisions of s 8(1)(a) of the Insolvency Act 1967 do not apply to the facts of this appeal. The plaintiff’s claim against the defendant in the main acti”
“erujuk kepada kes Lim Cheong Kern dan/atau Penghuni-Penghuni dan/atau Orang-Orang yang Menuntut Pemilikan Premis Yang Dikenali Sebagai No. 326, Jalan Pulau, Ujong Pasir 75050 Melaka v. Sio Chih Chien [2022] MLRHU 25 yang mana Mahkamah memutuskan seperti berikut: “[27]… this Court agrees with the submission by the plain”
“n ketiga dan memplidkan bahawa plaintif tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan defendan pertama dan kedua. Peguamcara defendan telah merujuk kepada kes Lim Chee Tat v. Maybank Islamic Berhad [2023] MLRAU 192 di mana Mahkamah memutuskan bahawa kegagalan untuk mendapatkan kebenaran sebelum memfailkan tindakan ad”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI AMPANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BC-A52C-1-02/2022 ANTARA SITI JULIANA BINTI SUMARDI …PLAINTIF
1
MUHAMAD AZAM BIN ABDULLAH (didakwa sebagai rakan-kongsi perniagaan NBI Construction)
2
NORWALENA BINTI ABDUL WAHAB (didakwa sebagai rakan-kongsi perniagaan NBI Construction)
3
NAZAM BIN ISMAIL …DEFENDAN-DEFENDAN PENGHAKIMAN [1] Plaintif merupakan pemilik hartanah di Lot PT 19743, No. 18, Jalan Cempaka 20, Taman Cempaka Ampang. Plaintif berhasrat untuk membina sebuah rumah di tapak tersebut dan kemudiannya telah melantik defendan sebagai kontraktor pembinaan. [2] Defendan pertama dan kedua merupakan rakan kongsi dalam sebuah perniagaan atas gaya dan nama NBI Construction manakala defendan ketiga merupakan rakan kongsi terdahulu di dalam perniagaan tersebut. [3] Plaintif dan defendan-defendan telah memasuki satu perjanjian melalui surat Sebut Harga yang ditandatangani plaintif dan defendan ketiga dan melantik defendan-defendan untuk kerja-kerja pembinaan rumah teres dua tingkat di Lot PT 19743, No. 18, Jalan Cempaka 20, Taman Cempaka, Ampang (“projek tersebut”). [4] Plaintif mendakwa telah membuat bayaran RM 230,000.00 kepada defendan-defendan, namun projek pembinaan tersebut tidak disiapkan sebagaimana perjanjian. [5] Plaintif kemudiannya telah memfailkan tuntutan ini terhadap defendan-defendan atas dakwaan bahawa defendan-defendan telah gagal menyiapkan projek tersebut. Plaintif menuntut ganti rugi RM 155,903.00 berserta faedah dan kos serta bil elektrik dan air berjumlah RM 2,102.73, RM 3,500.00 untuk laporan kerja siap dan RM 2,000.00 bagi perbelanjaan elaun kehadiran saksi. [6] Semasa perbicaraan, plaintif telah mengemukakan dua orang saksi, iaitu plaintif sendiri dan seorang juruukur bahan manakala defendan-defendan mengemukakan tiga orang saksi iaitu mereka sendiri. Fakta Kes [7] Berdasarkan keterangan, fakta bahawa bayaran RM 230,000.00 telah dibuat secara berperingkat sejak Jun 2019 adalah tidak dipertikaikan. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh plaintif dan defendan ketiga selaku wakil syarikat. Namun, berdasarkan keterangan lanjut, defendan ketiga adalah seorang bankrap sejak 17 Januari 2006. [8] Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa defendan ketiga merupakan bapa saudara kepada suaminya. Defendan kedua pula merupakan isteri kepada defendan ketiga dan defendan pertama merupakan menantu kepada defendan kedua dan ketiga. Menurut plaintif, defendan ketiga telah menyerahkan sesalinan Sebut Harga untuk projek tersebut yang berjumlah RM 232,030.00. Sebut harga itu telah ditandatangani oleh defendan ketiga. Atas persetujuan tersebut, plaintif menyatakan telah membuat bayaran secara berperingkat bermula bulan Jun 2019 sebanyak RM 230,000.00. Menurut plaintif lagi, pada sekitar penghujung bulan Disember 2020, defendan-defendan telah memberhentikan kerja-kerja projek tersebut tanpa sebarang alasan. Para pekerja juga telah meninggalkan tapak projek tersebut tanpa menyiapkan projek sepertimana yang dipersetujui dalam surat sebut harga yang telah ditandatangani. Plaintif menyatakan bahawa hasil pemeriksaannya mendapati kerja-kerja yang telah dijalankan adalah tidak memadai dengan pembayaran yang telah dibuat. [9] Plaintif kemudiannya telah menyerahkan surat bertarikh 15 Januari 2021 kepada defendan ketiga, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada defendan-defendan. Plaintif menyatakan dia telah merujuk perkara tersebut kepada peguamnya dan hasil semakan mendapati defendan ketiga adalah seorang bankrap sejak tahun 2006. Plaintif menyatakan dia amat terkejut apabila mengetahui perkara itu kerana defendan ketiga telah menandatangani surat sebut harga tersebut. [10] Plaintif seterusnya mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis tuntutan kepada defendan-defendan pada 30 Mac 2021, menuntut defendan-defendan menyempurnakan kerja-kerja projek tersebut sebagaimana dalam Sebut Harga dan menyerahkan projek tersebut secara sempurna kepada plaintif dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh surat tersebut. Malangnya, notis tuntutan tersebut juga tidak diendahkan. [11] Plaintif seterusnya menyatakan bahawa dia telah mendapatkan nasihat dan khidmat Juruukur Bahan Berdaftar iaitu Syarikat Ukur Bahan Kelana Sdn Bhd bagi membuat penilaian terhadap kerja-kerja yang telah dijalankan oleh defendan-defendan. Hasil penilaian Juruukur Bahan Berdaftar tersebut mendapati jumlah hasil kerja setakat yang telah dilakukan oleh defendan-defendan ialah RM 74,097.00 sahaja. [12] Akibat keengganan defendan-defendan menyiapkan projek tersebut, plaintif terpaksa melantik kontraktor lain untuk menyambung kerja-kerja yang mana sebut harga baru ditetapkan sebanyak RM 205,312.90. [13] Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah mengarahkan peguamnya untuk membuat tuntutan terhadap kerugian yang telah dialaminya, termasuklah bil air dan elektrik yang berjumlah RM 2,102.73, elaun saksi Juruukur Bahan berdaftar serta kos laporan penilaian sebanyak RM 3,500.00. [14] Saksi kedua plaintif merupakan seorang Juruukur Bahan bertauliah, Ooi Chun Kiat (SP2). SP2 merupakan Juruukur Bahan Bertauliah berdaftar di bawah Lembaga Juruukur Bahan Malaysia No. 2022/CQS02221. SP2 beramal sebagai Juruukur Bahan Binaan dan Pengarah di Syarikat Ukur Bahan Kelana Sdn Bhd. SP2 telah mengikrarkan affidavit yang melampirkan keterangan berkenaan latar belakang dan pengalamannya dalam bidang juruukur bahan serta Laporan Penilaian bertarikh 22 September 2021 yang mana telah ditandakan sebagai eksibit P1. [15] Berdasarkan keterangan di dalam affidavit dan resume, SP2 mempunyai kelayakan akademik BSc (Hons) Quantity Surveying and Commercial Management dari University of West England di Bristol, United Kingdom. SP2 mempunyai pengalaman bekerja sejak tahun 2013 dan telah terlibat dalam pelbagai projek pembinaan di Malaysia. Berdasarkan keterangan SP2, projek yang telah dilaksanakan oleh defendan-defendan hanyalah setakat nilaian RM 74,097.00 sahaja. Keterangan lengkap ini dibuat menerusi Laporan Kerja Siap yang disediakan oleh SP2 bertarikh 22 September 2021. Keterangan SP2 tidak dicabar dan dibuat berdasarkan nilaian terhadap tapak projek dan dokumen yang telah dibekalkan kepada SP2. [16] Saksi defendan pertama merupakan defendan kedua (SD1). SD1 dalam keterangannya menyatakan beliau merupakan adik-beradik angkat defendan pertama dan isteri kepada defendan ketiga. Beliau merupakan pekongsi perniagaan NBI Construction sejak 21 Mei 2008 hingga 18 Februari 2010. Kemudian, beliau kembali menjadi salah seorang pekongsi pada 28 Jun 2012 dan akhirnya telah keluar sebagai pekongsi pada 19 Ogos 2024. [17] SD1 menyatakan beliau tidak terlibat dalam segala urusan berkenaan perniagaan NBI Construction kerana ia dijalankan oleh suaminya, iaitu defendan ketiga. Namun, SD1 menyatakan dia telah dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa Encik Sumardi bin Kassim telah melantik NBI Construction untuk melaksanakan kerja-kerja projek tersebut dan defendan ketiga menerima arahan daripada Encik Sumardi. SD1 turut menyatakan bahawa pada masa yang sama, Encik Sumardi ada meminta defendan ketiga melakukan kerja-kerja renovasi di Taman Ehsan. [18] Selanjutnya, SD1 dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah dimaklumkan oleh defendan ketiga berkenaan projek tersebut bahawa pelan kelulusan projek telah diperolehi pada penghujung tahun 2019 dan kerja-kerja awalan pembinaan projek telah bermula pada Januari 2020. Namun, kerja-kerja tersebut telah terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan Kerajaan atas penularan wabak Covid-19. [19] Seterusnya, SD1 menyatakan bahawa kerja-kerja projek di Ampang telah terganggu kerana sebahagian kos telah digunakan atas arahan Encik Sumardi bagi menjalankan kerja-kerja projek di Taman Ehsan, yang mana tidak diketahui oleh plaintif dan plaintif tidak terlibat dengan projek di Ampang dan Taman Ehsan tersebut. [20] Berikutnya, SD1 menyatakan bahawa plaintif sendiri tidak pernah berhubung dengan mana-mana defendan bagi tujuan sebut harga dan kemajuan kerja-kerja projek tersebut. Harga barang binaan dan upah pekerja juga telah mengalami kenaikan mendadak. Perkara ini telah dikatakan oleh SD1 yang sebelum ini dimaklumkan oleh defendan ketiga kepada Encik Sumardi dan suami plaintif. Menurut SD1 lagi, kerja-kerja projek tersebut telah dijalankan dengan mengambil kira keadaan pandemik wabak Covid-19, kenaikan harga barang binaan dan upah serta yang paling utama perbelanjaan yang telah digunakan bagi kerja-kerja di Taman Ehsan atas arahan Encik Sumardi bin Kassim. [21] SD1 menyatakan bahawa Encik Sumardi telah bertindak menghalau defendan ketiga dan pekerja-pekerjanya keluar dari tapak pembinaan projek tersebut. SD1 turut menafikan nilaian kerja yang dilakukan hanya setakat RM 74,097.00 dan mengatakan bahawa butiran tidak tepat memandangkan terdapat variation order yang diarahkan Encik Sumardi bin Kassim. SD1 seterusnya menafikan bahawa plaintif memasuki kontrak ini dengan NBI Construction sebaliknya Encik Sumardi bin Kassim yang telah melantik dan mengarahkan NBI Construction bagi kerja-kerja pembinaan tersebut. [22] Saksi defendan yang kedua pula ialah Encik Nazam bin Ismail, yang merupakan defendan ketiga dalam kes ini (SD2). SD2 dalam keterangannya menyatakan bahawa Syarikat perkongsian NBI Construction ini ditubuhkan pada tahun 2006 sebelum beliau diisytiharkan bankrap. SD2 menyatakan bahawa NBI Construction telah dilantik oleh Encik Sumardi bin Kassim yang merupakan bapa kepada plaintif, apabila anak saudaranya, iaitu Encik Mohd Fithri Abdul Razak yang merupakan suami plaintif telah membawa Encik Sumardi bin Kassim berjumpa dengannya. SD2 menyatakan bahawa suami plaintif telah mencadangkan kepada bapa plaintif untuk meminta SD2 melakukan kerja-kerja projek tersebut dan suami plaintif telah meminta komisyen daripada SD2 kerana memperkenalkan dan mendapatkan projek tersebut. [23] Selanjutnya, SD2 menyatakan bahawa arahan bagi kerja-kerja renovasi projek tersebut telah diberikan oleh bapa plaintif kepadanya dan plaintif langsung tidak terlibat dalam memberi apa-apa arahan kepadanya dan juga defendan-defendan lain. Selanjutnya SD2 turut menyatakan bahawa sebut harga sebanyak RM 232,030.00 telah dipersetujui oleh Encik Sumardi bin Kassim yang mana telah diberikan melalui surat NBI Construction yang dialamatkan kepada plaintif. [24] SD2 turut menyatakan bahawa bayaran sebanyak RM 230,000.00 telah dibuat secara berperingkat bermula bulan Jun 2019. Selepas bayaran pertama sebanyak RM 30,000.00 dibuat, SD2 mengatakan bahawa dia telah diarahkan oleh Encik Sumardi bin Kassim untuk menggunakan wang tersebut bagi melakukan kerja-kerja ubahsuai di Taman Ehsan atas alasan pelan kelulusan bagi kerja-kerja projek di Ampang hanya akan diperoleh pada Disember 2019. Menurut SD2 lagi, tiada sebarang perjanjian bertulis bagi menjalankan kerja di Taman Ehsan kerana ia dibuat atas dasar hubungan kekeluargaan dan kepercayaan. [25] SD2 menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan projek di Ampang bermula pada Januari 2020 namun terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan wabak pandemik Covid-19. Berikutan itu, kerja-kerja projek tersebut telah terganggu kerana sebahagian kos telah digunakan untuk kerja-kerja renovasi di Taman Ehsan, kenaikan mendadak harga barang binaan dan upah pekerja. [26] SD2 seterusnya menyatakan bahawa dia dan pekerja-pekerjanya tidak pernah meninggalkan kerja-kerja projek tersebut sebaliknya telah diusir dari tapak projek selepas projek di Taman Ehsan siap. SD2 mengatakan plaintif telah datang membuat pemeriksaan di tapak projek dan telah meminta SD2 menyiapkan projek dalam tempoh sebulan yang mana adalah mustahil kerana wang projek tersebut telah digunakan untuk kerja-kerja di Taman Ehsan. [27] SD2 selanjutnya menyatakan bahawa NBI Construction tidak mempunyai apa-apa kontrak dengan plaintif memandangkan Encik Sumardi bin Kassim yang melantik dan memberi arahan kepada NBI Construction bagi kerja-kerja projek tersebut dan kerja-kerja renovasi di Taman Ehsan. Menurut SD2, nama plaintif hanya digunakan kerana plaintif merupakan pemilik berdaftar di atas geran tanah tapak projek tersebut dan SD2 menyatakan dia diperkenalkan kepada Encik Sumardi oleh anak saudaranya yang memberitahu bahawa Encik Sumardi ingin membuat lantikan kontraktor bagi kerja-kerja pengubahsuaian di Ampang. [28] Saksi defendan ketiga merupakan defendan pertama, Encik Muhamad Azam bin Abdullah (SD3). SD3 dalam keterangannya menyatakan bahawa dia merupakan rakan-kongsi NBI Construction sejak 16 Februari 2010 sehingga kini. SD3 menyatakan dia tidak mengetahui berkenaan tuntutan plaintif ini kerana segala urusniaga perniagaan NBI Construction dijalankan oleh defendan ketiga. SD3 juga mengatakan bahawa beliau tidak terlibat secara peribadi dan tidak mempunyai pengetahuan peribadi tentang kerja-kerja projek tersebut. [29] SD3 seterusnya menyatakan bahawa dia telah dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa Encik Sumardi bin Kassim telah melantik NBI Construction untuk melaksanakan kerja-kerja projek tersebut dan defendan ketiga menerima arahan daripada Encik Sumardi. Selanjutnya, SD3 turut menyatakan bahawa pada masa yang sama, Encik Sumardi ada meminta defendan ketiga melakukan kerja-kerja renovasi di Taman Ehsan. [30] SD3 seterusnya dalam keterangannya menyatakan bahawa dia telah dimaklumkan oleh defendan ketiga berkenaan projek tersebut bahawa pelan kelulusan projek telah diperolehi pada penghujung tahun 2019 dan kerja-kerja awalan pembinaan projek telah bermula pada Januari 2020. Namun, kerja-kerja tersebut telah terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan Kerajaan atas penularan wabak Covid-19. [31] Selanjutnya, SD3 menyatakan bahawa kerja-kerja projek di Ampang telah terganggu kerana sebahagian kos telah digunakan atas arahan Encik Sumardi bagi menjalankan kerja-kerja projek di Taman Ehsan, yang mana tidak diketahui oleh plaintif dan plaintif tidak terlibat dengan projek di Ampang dan Taman Ehsan tersebut. [32] Berikutan itu, SD3 menyatakan bahawa plaintif sendiri tidak pernah berhubung dengan mana-mana defendan bagi tujuan sebut harga dan kemajuan kerja-kerja projek tersebut. Harga barang binaan dan upah pekerja juga telah mengalami kenaikan mendadak. Perkara ini telah dikatakan SD3 dimaklumkan oleh defendan ketiga kepada Encik Sumardi dan suami plaintif. Menurut SD3 lagi, kerja-kerja projek tersebut telah dijalankan dengan mengambil-kira keadaan pandemik wabak Covid-19, kenaikan harga barang binaan dan upah serta yang paling utama perbelanjaan yang telah digunakan bagi kerja-kerja di Taman Ehsan atas arahan Encik Sumardi bin Kassim. [33] SD3 menyatakan bahawa Encik Sumardi telah bertindak menghalau defendan ketiga dan pekerja-pekerjanya keluar dari tapak pembinaan projek tersebut. SD1 turut menafikan nilaian kerja yang dilakukan hanya setakat RM 74,097.00 dan mengatakan bahawa butiran tidak tepat memandangkan terdapat variation order yang diarahkan Encik Sumardi bin Kassim. SD3 seterusnya menafikan bahawa plaintif memasuki kontrak ini dengan NBI Construction sebaliknya Encik Sumardi bin Kassim yang telah melantik dan mengarahkan NBI Construction bagi kerja-kerja pembinaan tersebut. [34] Isu-isu yang perlu diputuskan dalam kes ini adalah seperti berikut:
1
Sama ada kontrak yang ditandatangani oleh plaintif dan defendan ketiga iaitu seorang bankrap itu sah dan terpakai;
2
Sama ada defendan-defendan telah memungkiri perjanjian tersebut; dan
3
Sama ada defendan-defendan bertanggungan ke atas tuntutan plaintif. Analisa [35] Berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan, adalah didapati terdapat satu surat perjanjian sebut harga yang telah ditandatangani oleh plaintif dan juga defendan ketiga. Kewujudan surat sebut harga tersebut adalah tidak dinafikan oleh pihak-pihak. Berdasarkan kewujudan dokumen sebut harga yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh plaintif dan defendan tersebut, Mahkamah ini mendapati terdapat ikatan perjanjian yang telah dimeterai oleh plaintif dan juga defendan-defendan. [36] Namun, sepertimana keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi, surat sebut harga yang menjadi perkara asas dalam kes ini telah ditandatangani oleh defendan ketiga yang merupakan seorang bankrap. Oleh itu, isu utama yang perlu diputuskan ialah keesahan perjanjian yang ditandatangani oleh seorang bankrap. [37] Peguamcara plaintif menghujahkan bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh seorang bankrap adalah terbatal sepertimana yang diperuntukkan seksyen 24(a) Akta Kontrak 1950 kerana defendan ketiga yang menandatangani kontrak tersebut merupakan seorang bankrap. Peguamcara plaintif berhujah bahawa seksyen 38(1) (d) Akta Insolvensi 1967 memperuntukkan bahawa seorang bankrap adalah dilarang daripada memasuki atau menjalankan apa-apa perniagaan sama ada secara persendirian atau secara perkongsian, atau menjadi pengarah, atau secara langsung atau tidak langsung mengambil bahagian dalam pengurusan mana-mana syarikat, tanpa kebenaran awal daripada Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi. Peguamcara plaintif telah merujuk kepada kes Foo Fatt Chuen v. Jacobson Cheong Weng Hin & Ors [2012] 3 CLJ 632, yang mana Mahkamah telah memutuskan sebarang perjanjian yang dibuat tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi hendaklah dianggap sebagai terbatal. [38] Adalah menjadi hujahan peguamcara plaintif juga bahawa memandangkan kontrak tersebut dianggap terbatal dan plaintif tidak mengetahui berkenaan status kebankrapan defendan ketiga sebelum menandatangani perjanjian, maka remedi untuk plaintif adalah restitusi sepertimana diperuntukkan oleh seksyen 66 Akta Kontrak 1950. [39] Peguamcara plaintif juga berhujah bahawa tiada keperluan untuk plaintif mendapatkan sanksi sebelum memfailkan tindakan ini kerana tuntutan ini bukan berkaitan dengan hutang dan aset peribadi defendan ketiga yang terlibat dengan kes kebankrapan tersebut. Ini kerana tindakan yang difailkan plaintif adalah terhadap defendan-defendan lain juga yang merupakan rakan kongsi NBI Construction. Peguamcara plaintif telah merujuk kepada kes Lim Cheong Kern dan/atau Penghuni-Penghuni dan/atau Orang-Orang yang Menuntut Pemilikan Premis Yang Dikenali Sebagai No. 326, Jalan Pulau, Ujong Pasir 75050 Melaka v. Sio Chih Chien [2022] MLRHU 25 yang mana Mahkamah memutuskan seperti berikut: “[27]… this Court agrees with the submission by the plaintiff, that if the defendant were an undischarged bankrupt, the provisions of s 8(1)(a) of the Insolvency Act 1967 do not apply to the facts of this appeal. The plaintiff’s claim against the defendant in the main action before the Magistrate’s Court was essentially for the delivery of vacant possession of the property. The plaintiff is not a “creditor to whom the debtor is indebted in respect to any debt provable in bankruptcy”. Thus, the plaintiff is not required under section 8(1) (a) of the Insolvency Act 1967 to seek and secure the consent of the DGI before commencing the main action against the defendant in the Magistrates’ Court.” [40] Peguamcara defendan pula menghujahkan bahawa sanksi untuk meneruskan tindakan terhadap defendan ketiga adalah diperlukan sepertimana peruntukan yang termaktub di Seksyen 8 (1) (a) Akta Insolvensi 1967. Peguamcara defendan seterusnya berhujah bahawa tuntutan plaintif harus ditolak kerana plaintif telah gagal mendapatkan kebenaran bagi memfailkan tuntutan ini terhadap defendan ketiga dan memplidkan bahawa plaintif tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan defendan pertama dan kedua. Peguamcara defendan telah merujuk kepada kes Lim Chee Tat v. Maybank Islamic Berhad [2023] MLRAU 192 di mana Mahkamah memutuskan bahawa kegagalan untuk mendapatkan kebenaran sebelum memfailkan tindakan adalah satu perlanggaran undang-undang yang nyata di bawah Seksyen 8 (1)
a
Akta Insolvensi 1967. Dapatan Mahkamah [41] Berkenaan isu tersebut, adalah jelas bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur kemasukan perjanjian telah ditandatangani oleh plaintif dan defendan ketiga, untuk pembinaan kediaman atau projek tersebut. Berdasarkan keterangan plaintif, beliau tidak mengetahui bahawa defendan ketiga merupakan seorang bankrap ketika menandatangani perjanjian. Mahkamah ini merumuskan bahawa keterangan plaintif bahawa dia tidak mengetahui berkenaan status defendan ketiga adalah boleh dipercayai. [42] Mahkamah ini juga berpandangan bahawa plaintif hanya mengetahui berkenaan status defendan ketiga sebagai seorang bankrap setelah carian dibuat oleh peguamcaranya. Jelas bahawa perjanjian yang dimasuki oleh plaintif dan defendan-defendan adalah terbatal kerana perlanggaran Seksyen 38(1)(d) dan (e) Akta Kebankrapan 1967, yang mana peruntukan tersebut tidak membenarkan apa-apa tindakan seorang bankrap berkaitan dengan memasuki atau menjalankan sesuatu perniagaan, atau berkaitan dengan secara langsung atau tidak langsung mengambil Bahagian dalam pengurusan syarikat kecuali dia telah memperoleh kebenaran awal daripada Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi. Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati perjanjian tersebut adalah terbatal berdasarkan Seksyen 24 Akta Kontrak 1950. Dapatan ini dibuat dengan rujukan kes Mahkamah Tinggi Foo Fatt Chuen v. Jacobson Cheong Weng Hin & Ors [2012] 3 CLJ 632 yang telah memutuskan bahawa: “[50] On the facts of this case, there is sufficient evidence to establish elements of an entering into, or a carrying on of a business by the very terms of the relevant agreements. It is necessary to stress the width of s. 38 of the Bankruptcy Act, in particular s. 38(1)(d) which refers to "(d) the bankrupt shall not, except with the previous permission of the Director General of Insolvency or of the court, enter into or carry on any business either alone or in partnership, or become a director of any company or otherwise directly or indirectly take part in the management of any company." Based on the accepted principles on illegality, as noted above, it is plain the legislative intent of the Bankruptcy Act is not to condone any act of the undischarged bankrupt in relation to the entry into or the carrying on of a business, or in relation to directly or indirectly taking part in the management of a company, unless he has the prior permission of the Director General of Insolvency. To protect his creditors and the sections of public at large who may be persuaded unsuspectingly to have business dealings with him, it must surely be right for the law to regard his contracts for any of these purposes to be held void. A similar reasoning should apply in relation to the effects of the prohibition in s. 38(1)(e). Section 38(2) then provides for the penal consequences arising from what is deemed to be contempt of court which is punishable upon an application of the Director General of Insolvency. The existence of s. 38(2) cannot, to my mind, be a sufficient reason to displace the argument that the contracts are to be held void.” [43] Berikutan itu, apabila sesuatu perjanjian terbatal, maka berdasarkan seksyen 66 Akta Kontrak 1960, remedi yang sewajarnya adalah restitusi (“restitution”), yang mana bermaksud pihak-pihak hendaklah dikembalikan kepada kedudukan yang asal. Seksyen 66 Akta Kontrak 1950 memperuntukkan seperti berikut: “Obligation of person who has received advantage under void agreement, or contract that becomes void.
66
When an agreement is discovered to be void, or when a contract becomes void, any person who has received any advantage under the agreement or contract is bound to restore it, or to make compensation for it, to the person whom he received it.” [44] Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff dalam penghakimannya dalam kes Foo Fatt Chuen v. Jacobson Cheong Weng Hin & Ors [2012] 3 CLJ 632 yang telah membenarkan tuntutan plaintif memutuskan bahawa Mahkamah tidak boleh mengabaikan kesan undang-undang terhadap ketidakesahan perjanjian yang dimasuki pihak-pihak berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 24(a), (b) dan
e
Akta Kontrak yang dibaca bersama Seksyen 66. [45] Prinsip ini juga diperkukuhkan dalam kes Mahkamah Persekutuan Detik Ria Sdn Bhd v. Prudential Corporation Holdings Limited & Anor [2025] 3 MLRA 592, di mana Mahkamah memutuskan bahawa kontrak yang menyalahi undang-undang adalah terbatal, dan remedi yang sesuai ialah restitution untuk mengembalikan kedudukan pihak-pihak kepada keadaan asal. (Rujuk juga kes UE E&C Sanjia (M) Sdn Bhd v. Lee Jeng Yuh & Anor & Another Appeal [2022] 1 MLRA 203). [46] Isu selanjutnya adalah sama ada defendan-defendan telah memungkiri perjanjian tersebut. Adalah dipersetujui pihak-pihak bahawa perjanjian sebut harga bagi pembinaan projek ini ditetapkan pada harga RM 232,030.00 yang mana RM 230,000.00 telahpun dibayar kepada defendan-defendan. Namun, projek tersebut gagal disiapkan sepertimana perjanjian dan defendan-defendan telah memberikan alasan bahawa sebahagian jumlah wang yang dibayar telah digunakan untuk tujuan renovasi rumah Encik Sumardi, yang merupakan bapa plaintif di Taman Ehsan. Adalah jelas bahawa jumlah RM 232,000.00 yang dibayar plaintif adalah untuk kegunaan dan pembinaan projek di Ampang. Perjanjian yang ditandatangani plaintif dan defendan-defendan adalah untuk pembinaan rumah di Ampang. Tiada sebarang klausa di dalam perjanjian yang mengatakan bahawa pembinaan juga dilakukan di Taman Ehsan. Defendan-defendan sepatutnya hanya berpandukan perjanjian yang ditandatangani bersama plaintif dan tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa arahan diterima dari bapa plaintif yang melantik mereka selaku kontraktor sedangkan jelas dalam perjanjian ia adalah di antara plaintif dan defendan-defendan. [47] Justeru, adalah jelas bahawa defendan-defendan telah memungkiri perjanjian kerana gagal menyiapkan projek pembinaan sepertimana yang telah dipersetujui dan ditandatangani dengan plaintif. Encik Sumardi bin Kassim bukanlah pihak di dalam perjanjian dan defendan-defendan sepatutnya memeriksa keadaan dan mengambil arahan daripada plaintif berkenaan projek ini dan bukannya Encik Sumardi bin Kassim. [48] Keterangan SP2 adalah kukuh dan dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya dalam bidang pembinaan ini. Mahkamah ini berpandangan bahawa keterangan SP2 bahawa pembinaan hanyalah pada setakat nilaian RM 74,097.00 berdasarkan dokumen dan lawatan tapak yang dibuat adalah kukuh dan tidak boleh dicabar. [49] Isu seterusnya adalah berkenaan sanksi untuk membawa tindakan terhadap defendan-defendan, khususnya defendan ketiga. Adalah menjadi satu undang-undang yang mantap bahawa seksyen 8
1
(a) Akta Insolvensi 1967 memperuntukkan bahawa seorang bankrap tidak boleh disaman atau membawa tindakan melainkan mendapat kebenaran atau sanksi dari Pengarah Jabatan Insolvensi. Namun, di dalam kes ini, defendan-defendan disaman sebagai rakan kongsi di bawah satu perniagaan NBI Construction. Si bankrap hanyalah defendan ketiga, manakala defendan pertama dan kedua bukanlah seorang bankrap. Maka, Mahkamah ini berpendapat tindakan ini boleh dibuat dan tidak terhalang disebabkan kebankrapan defendan ketiga. Tindakan terhadap defendan pertama dan kedua tidak terhalang atas faktor tiada kebenaran untuk memfailkan tindakan terhadap defendan ketiga. Kebankrapan defendan ketiga tidak boleh menjadi perisai terhadap tindakan terhadap defendan pertama dan kedua. [50] Mahkamah ini juga mendapati kesemua defendan-defendan adalah bertanggungjawab secara bersama-sama terhadap perjanjian tersebut. Hal ini adalah kerana kesemua defendan-defendan merupakan rakan-kongsi dalam perniagaan NBI Construction. Seksyen 11 Akta Perkongsian 1961 memperuntukkan seperti berikut: “Liability of partners
11
Every partner in a firm is liable jointly with the other partners for all debts and obligations of the firm incurred while he is a partner; and after his death his estate is also severally liable in a due course of administration for such debts and obligations, so far as they remain unsatisfied but subject to the prior payment of his separate debts.” [51] Berdasarkan peruntukan tersebut, jelas defendan-defendan adalah bertanggungan secara bersesama ke atas kesemua hutang dan obligasi firma perkongsian yang mana ditanggung semasa mereka menjadi rakan kongsi. Adalah jelas keterangan kesemua saksi bahawa mereka mempunyai pengetahuan berkenaan status kebankrapan defendan ketiga namun masih tidak mengambil sebarang tindakan dan membenarkan defendan ketiga menandatangani perjanjian tersebut. Alasan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam perniagaan ini adalah tidak boleh diterima memandangkan mereka merupakan rakan kongsi perniagaan tersebut setelah sekian lama. Tambahan pula, mereka mempunyai pertalian keluarga yang rapat dan tentu sahaja segala perjalanan perniagaan ini dibincangkan dan dikongsi maklumat bersama. Atas dasar itu juga bahawa defendan pertama dan kedua mempunyai pelbagai maklumat berkenaan projek ini sebagaimana segala keterangan yang telah dikemukakan di Mahkamah berkenaan perjalanan pembinaan projek tersebut. Kesimpulan [52] Hasil penelitian dan pertimbangan keseluruhan keterangan dokumen, saksi-saksi, penelitian terhadap undang-undang dan analisa terhadap fakta kes, Mahkamah ini berpendapat terdapat ketidakpatuhan yang nyata terhadap peruntukan Seksyen 38(1)(d) dan (e) Akta Insolvensi 1967 oleh defendan ketiga dalam kes ini, yang menyebabkan perjanjian yang dimasuki tersebut adalah terbatal sebagaimana peruntukan Seksyen 24 (a), (b) Akta Kontrak 1950. Oleh yang demikian, Mahkamah ini, sepertimana kes duluan yang mengikat, tidak boleh mengabaikan kesan undang-undang terhadap perjanjian yang dimasuki pihak-pihak dalam kes ini. Plaintif selayaknya perlu mendapat remedi sepertimana peruntukan di bawah Seksyen 66 Akta Kontrak 1950. [53] Berdasarkan keterangan juga, plaintif bukanlah pihak yang terlibat dalam kesalahan (no pari delicto), oleh itu Mahkamah ini membenarkan tuntutan plaintif sepertimana yang diplidkan, iaitu RM 155,903.00, RM 2,102.73 untuk bil elektrik dan air, RM 3,500.00 untuk laporan kerja siap, RM 2,000.00 untuk elaun kehadiran saksi berserta faedah dan kos RM 10,000.00. Bertarikh: 20 Februari 2026. (Fadzlin Suraya binti Mohd Suah) Hakim Mahkamah Sesyen (2) Ampang Selangor Darul Ehsan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.