dan muka surat 671-672. • B5 mukasurat 914-917. • B9 muka surat 1789 • B10 Muka surat 1808,1810 Dokumen tersebut adalah merujuk kepada penyata transaksi kad kredit SD-1 bagi pembelian untuk Plaintif dan Defendan menuntut bayaran balik daripada Plaintif; pembayaran gaji pekerja Plaintif, pembelian komputer oleh SD-1 untuk kegunaan Plaintif, pembayaran cukai tanah di Seremban, dan Term Loan yang mana bayaran dimasukkan ke akaun SD-1 untuk dibayar kepada bank. [72] Keterangan Defendan sendiri yang bersandarkan kepada pengetahuannya mengenai perincian dan selok belok bayaran yang dibuat oleh Plaintif ke akaun Defendan telah memuaskan hati Mahkamah bahawa Defendan tidak melakukan penyelewengan sepertimana yang didakwa oleh Plaintif. [73] Melihat kepada dokumen penyata bank yang ditunjukkan dalam perbicaraan, Mahkamah ini mendapati jumlah yang dikatakan diselewengkan oleh Defendan sebenarnya adalah bertujuan untuk pembayaran bagi pihak syarikat Plaintif dan SP-1 dan wang tersebut bukanlah untuk kegunaan peribadi Defendan. [74] Isu pelarasan di dalam akaun syarikat Plaintif pada 31/12/2018 sebanyak RM867,865.75 dikatakan suatu penyelewengan. Dapatan ini dibuat oleh ZR Management dan keterangan SP-5 sendiri menunjukkan bahawa pelarasan itu dibuat tanpa diketahui puncanya. Hujahan Balas Plaintif [75] Berdasarkan Hujahan balas, Plaintif membalas seperti berikut: • Defendan gagal membuktikan pemindahan wang sebanyak RM357,463.00 bagi pemindahan ketiga, keempat, kelima, keenam dan kelapan. • pemindahan pertama, kedua dan ketujuh tidak dibuktikan pemindahan tersebut benar-benar dipindahkan daripada akaun Defendan kepada pihak-pihak yang didakwa menerima pembayaran tersebut. • Defendan yang membuat pelarasan tersebut dan Defendan gagal memberikan alasan yang kukuh mengapakah pelarasan tersebut dibuat. • Defendan mempunyai kawalan pada token akaun bank Plaintif. • alasan yang diberikan oleh Defendan bahawa bagi pemindahan ketiga, keempat, kelima, keenam dan kelapan tersebut adalah tidak perlu dihujahkan kerana Puan Nur Farahin Binti Md Noor, SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd dan SNR Autovia Sdn Bhd tidak dijadikan pihak dalam kes ini adalah satu alasan yang tidak munasabah sama sekali. • Defendan mempunyai tanggungan terhadap seluruh urusan kewangan syarikat Plaintif kerana jawatannya sebagai pengurus akaun Plaintif. • adalah menjadi pengakuan Defendan sendiri di dalam penyata saksi Defendan bahawa beliau bekerja sebagai “Akauntan”. Walaupun tidak dijelaskan akauntan untuk syarikat apa, tetapi adalah menjadi fakta yang tidak dinafikan bahawa beliau adalah akauntan bagi SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd dan SNR Autovia Sdn Bhd. Ini adalah kerana Defendan mengakui bahawa beliau berurusan dengan Encik Fakhruddin (SP-2) yang juga Setiausaha Syarikat bagi SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd dan SNR Autovia Sdn Bhd dan bekas Setiausaha Syarikat Plaintif. [76] Plaintif menekan juga fakta bahawa Defendan adalah pengarah dan pemegang saham SNR Autovia Sdn Bhd, maka, apabila beliau berurusan dengan Setiausaha Syarikat, dan juga auditor bagi ketiga-tiga syarikat, maka adalah benar kes Plaintif bahawa Defendan mengawal selia akaun bank syarikat bagi ketiga-tiga syarikat tersebut. Maka adalah tidak wajar Defendan menggunakan alasan beliau hanya menguruskan akaun Plaintif pada tahun 2019 berdasarkan Surat Lantikan bertarikh 1- 2-2019 di Ikatan B-9 muka surat 1736-1744 (yang mana dipertikaikan kewujudannya dan kebenarannya oleh Plaintif) sedangkan kenyataan Defendan semasa disoal balas seperti di atas, Defendan mengakui beliau berurusan dengan Setiausaha Syarikat Plaintif dan auditor Plaintif pada tahun “2017, 2018 dan 2019”. [77] Keterangan Defendan jelas bercanggah dengan kes Defendan sendiri. Apabila telah dibuktikan bahawa Defendan menguruskan kewangan bagi ketiga-tiga syarikat tersebut, adalah menjadi alasan yang tidak munasabah untuk dihujahkan oleh Defendan bahawa SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd dan SNR Autovia Sdn Bhd serta Puan Farahin tidak dijadikan pihak di dalam kes ini. [78] Defendan yang menguruskan akaun SNR Car Aircond Services & Accessories Sdn Bhd dan SNR Autovia Sdn Bhd serta adalah pengarah dan pemegang saham SNR Autovia Sdn Bhd, maka Defendan bertanggungjawab untuk menerangkannya kepada Mahkamah ini. [79] Kegagalan Defendan untuk menjawab berkenaan pemindahan wang berjumlah RM357,463.00, jelas terdapat perkara yang ingin disembunyikan oleh Defendan. [80] Maka, untuk isu ini, peguam cara Plaintif terpelajar menghujahkan bahawa amat wajar untuk Mahkamah ini menggunakan anggapan di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 (Akta 56). [81] Defendan tetap gagal menunjukkan wang yang dipindahkan ke akaun peribadi beliau sememangnya dipindahkan kepada pihak-pihak yang kononnya menerima pembayaran tersebut seperti JPJ (bagi pembayaran roadtax), syarikat penerbangan AirAsia (bagi pembelian tiket penerbangan) dan pihak/individu lain. [82] Pertikaian mengenai pindahan ke akaun Defendan bagi tujuan bayaran untuk Plaintif tetap kekal kerana tiada alasan dan bukti kukuh mengapakah Plaintif perlu pindahkan kepada Defendan dahulu dan kemudiannya kepada SNR Autovia Sdn Bhd. [83] Keterangan SD-2 menyatakan bahawa Defendan yang sediakan lejer tahun 2018 tersebut, Defendan mengakui bahawa beliau ada mengemaskinkani data lejer tahun 2018, Defendan yang wajib menerangkan mengapakah terdapat perlarasan (adjustment) pada penyata atau lejer akaun syarikat pada tahun 2018 sebanyak RM867,865.75. Bukan Plaintif dan bukannya SP-5 yang perlu menerangkannya. [84] Peguam cara Plaintif terpelajar memetik perenggan dalam International Standard on Auditing, The Auditor’s Responsibility to Consider Fraud in an Audit of Financial Statements yang disediakan oleh The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia) [ISA 240 (Revised) Issued December 2007] di mana Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (IAABM) telah meletakkan garis panduan untuk mengenal pasti tindakan fraud di dalam penyata lejer sesuatu syarikat. [85] Tuntutan Plaintif bagi ganti rugi atas tindakan tort of deceit oleh Defendan kerana Defendan telah menipu Plaintif dalam penyediaan lejer syarikat Plaintif pada tahun 2018 dan melaporkan keuntungan syarikat sedangkan terdapat pelarasan yang tidak berasas dibuat olehnya menyebabkan Defendan bertanggungjawab untuk membayar RM867,865.75 adalah berasas dan bermerit. Dapatan Mahkamah: [86] Mahkamah ini memutuskan bahawa untuk meletakkan “liabiliti” dan “menyalahkan” Defendan atas paksi Defendan ialah pegawai kewangan syarikat Plaintif adalah suatu salah arah. Apabila Plaintif gagal untuk melepaskan beban pembuktian berkaitan dengan isu pelarasan memandangkan SP5 juga gagal menunjukkan bahawa adanya pengeluaran sebanyak RM867,865.75 yang boleh dikaitkan dengan Defendan, maka kegagalan ini amat serius dan fatal kepada tuntutan Plaintif. [87] Sekadar memetik dan merujuk International Standard on Auditing, The Auditor’s Responsibility to Consider Fraud in an Audit of Financial Statements adalah tidak memadai untuk Mahkamah ini memutuskan bahawa Defendan telah melakukan frod kepada akaun syarikat Plaintif. Apakah perlanggaran Garis Panduan yang dimaksudkan itu. Perkara ini hanya muncul dalam hujahan bertulis Plaintif dan unpleaded. [88] Sebagai pengarah syarikat Plaintif sewajarnya En Pazlan walaupun sekadar berstatus pemastautin tetap dan menjalankan perniagaaan di negara ini hendaklah mempunyai pengetahuan jitu mengenai kewangan dan perakaunan syarikatnya. Apa fungsi dan kuasa token “maker” dan “approval”, apa itu IBG dan “instant transfer” perlu dipelajari oleh En Pazlan yang telah berkecimpung dalam perniagaan di negara ini. [89] Apabila En Pazlan (SP-1) mencurigai mengenai transaksi kewangan syarikat Plaintif dan terus meletakkan bom jangka kepada Defendan, maka keterangan SP-5 iaitu “Sebab apa yang saya tahu, apa yang saya lihat Encik Pazlan tak tahu apa pun pasal account”, maka tuduhan bahawa wang sebanyak RM1,408,126.04 didapati telah dikeluarkan daripada akaun syarikat Plaintif oleh Defendan adalah suatu tuduhan liar. [90] Peguam cara Defendan terpelajar merujuk kepada peruntukan seksyen 157 Akta Keterangan 1950 dan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes CGU Insurance Bhd v. Asean Security Paper Mills Sdn Bhd [2006] 1 MLRA i sebagai bukti sokongan bahawa bayaran-bayaran yang dimasukkan ke dalam akaun Defendan adalah bertujuan untuk bayaran bagi pihak Plaintif dan/atau SP1. [91] Peguam cara Defendan terpelajar menghujahkan mengenai Demeanour of witness dan Mahkamah ini bersetuju bahawa semasa prosiding perbicaraan berlangsung SD-1 pada setiap masa perbicaraan berlangsung sangat konsisten dan mempunyai pengetahuan berhubung dengan dokumen yang dikemukakan dan dirujuk oleh peguam cara Plaintif terpelajar mahupun peguam caranya sendiri. Berbanding dengan kredibiliti SP-1 sebagai saksi semasa perbicaraan, Mahkamah ini mendapati SP-1 gagal menjawab soalan mudah mengenai pemegangan hartanya seperti kereta mahupun rumah. Penafian “bare denial” ke atas alamat rumah sendiri menunjukkan ketidakjujuran SP-1 untuk membantu Mahkamah ini mencapai keputusannya. [92] Bagi isu penubuhan syarikat oleh Defendan iaitu Hars Auto Sdn Bhd oleh Defendan dan Muhammad Aizzat Bin Falzi yang merupakan bekas pekerja Plaintif adalah “out of tangent” dengan tuntutan Plaintif. Plaintif gagal membuktikan adakah penubuhan syarikat oleh Defendan iaitu Hars Auto Sdn Bhd menggunakan wang yang diseleweng daripada syarikat Plaintif. Sebagai ilustrasi/analogi, jika Plaintif boleh menubuhkan syarikat SNR Tyre & Services Sdn Bhd maka tiada isu berbangkit bagi penubuhan syarikat Hars Auto Sdn Bhd. [93] Berkenaan dengan isu atau perkara wasiat dan/atau hibah Jamilah binti Ahmad, hal perkara mengenai tindakan Defendan sememangnya berniat untuk menjatuhkan dan menyusahkan Plaintif adalah tidak relevan dalam tuntutan Plaintif terhadap Defendan. Defendan bukan pengarah dan pemegang saham yang menjatuhkan syarikat Plaintif. [94] Berkenaan dengan isu tindakan Defendan adalah jelas satu tort penipuan (tort of deceit), tiada sekelumit keterangan yang kukuh dikemukakan oleh Plaintif selain berulang kali menyatakan En Pazlan menandatangani Laporan dan Penyata Kewangan tahun 2018 bertarikh 21-10-2019 atas dasar kepercayaan ke atas pihak Defendan. Kecuaian En Pazlan tidak boleh dilepaskan kepada Defendan. [95] Mahkamah ini memutuskan bahawa tuntutan kewangan Plaintif terhadap Defendan ditolak maka relief bagi ganti rugi atas tindakan Defendan melakukan tort of deceit tidak perlu diawardkan. [96] Dalam kes ini, atas imbangan kebarangkalian, saya berpuas hati bahawa sebagai pekerja syarikat Plaintif, Defendan mempunyai hubungan erat dengan Plaintif. Dalam buku Legal Aspects of Fiduciary Duties in Malaysia, Wan Azlan Ahmad dan Mohsin Hingun, Sweet & Maxwell, 2022 – “[1.004] The word “fiduciary” for the purposes of fiduciary law denotes the duties of a person (a fiduciary) to ascribe paramountcy to serve the interest of the person or persons to whom the duty is owed. These duties come into being in relationships between parties that are characterized by the elements of trust and confidence. [1.005] The word “fiduciary” can also be understood in a related sense to the above, that is, as related to the nature of the obligations of a person in a fiduciary relationship which imposes on that person a duty of loyalty, or fidelity. A fiduciary owes that duty to the principal (or to beneficiaries in case of trustees), and certain specific duties (commonly referred to as fiduciaries duties) are imposed on the fiduciary in consequence thereof. [1.006] Fiduciary relationship is thus a legal relationship, creating obligations on the fiduciaries involved. It is a prominent feature in many areas of civil law. Its contemporary importance has been put in this manner (The Principles of equity and Trusts, para [15.1.4]): … the significance of the law of fiduciaries is not confined to imposing additional duties on trustees. The categories of fiduciary relationship are much wider and encompass a wide variety of commercial relationships, all of which can be characterized as relationship of trust and confidence. It follows that the law of fiduciaries is particularly relevant in the commercial world in imposing onerous duties on fiduciaries and significant remedies if the duties are breached. [1.044] A breach of fiduciary duty, it has been explained (The Principles of equity and Trusts, para [17.2.1]): … involves a breach of those negative duties that arise from the fundamental obligation of loyalty to the principal, namely the no-conflict and the no-profit rules. But a fiduciary may breach other non-fiduciary duties, triggering liability for breach of contract, or for the commission of a tort, or for unjust enrichment.”. [97] Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan yang memegang jawatan sebagai pegawai kewangan telah melaksanakan obligasinya dan mematuhi arahan pengarah dan pemegang syarikat. Penyelewengan dan penipuan yang dikatakan dilakukan oleh Defendan dan kerugian Plaintif bagi Perintah Jabatan Tenaga Kerja adalah akibat daripada Plaintif dan/atau pengarahnya sendiri. Tuntutan balas: [98] Defendan yang menuntut balas terhadap Plaintif gagal mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong tuntutannya. Oleh yang demikian, Plaintif tidak bertanggungan untuk membayar tunggakan gaji yang dituntut Defendan. Kesimpulan [99] Mahkamah ini telah meneliti nota prosiding yang direkodkan, nota yang ditulis oleh saya sendiri dan hujahan peguam-peguam terpelajar. Berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah ini iaitu keterangan lisan dan keterangan dokumentar, penyelewengan, penipuan dan penggelapan wang syarikat Plaintif yang dilakukan oleh Defendan itu telah dijawab dan ditangkis oleh Defendan satu persatu. [100] Maka, Mahkamah ini mendapati atas imbangan kebarangkalian, Plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap Defendan. Selanjutnya, Mahkamah hanya membenarkan relief yang dipohon oleh Plaintif iaitu Defendan perlu mengembalikan dan menyerahkan semua dokumen dan aset Plaintif iaitu laptop milik Plaintif, baucer bayaran/invois berkenaan dengan Plaintif dan syarikatnya yang berada dalam milikan Defendan dan password Plaintif dengan agensi seperti KWSP, LHDNM, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, alamat e-mel Plaintif, dan domain Plaintif. Bertarikh: 3 Mei 2023. RoziBainon ( ROZI BINTI BAINON ) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi NCvC12 Shah Alam Peguam cara: Bagi pihak Plaintif: Datuk Adnan bin Seman @ Abdullah Tetuan Adnan Sharida & Associates, Bandar Baru Bangi, Selangor. Bagi pihak Defendan: Mohd Hisham bin Abdul Samad Tetuan Azam Idzham Azman & Partners, Kuala Lumpur