(d) Kemungkinan akses oleh pihak ketiga terhadap barang kes dadah yang dipertuduhkan. [20] Mengenai alasan rayuan pertama di (a), peguam bela menghujahkan P16 tidak wajar diterima masuk sebagai keterangan kerana pra syarat di bawah seksyen 32 Akta Keterangan 1950 tidak dipenuhi. Fahad telah ditangkap dan dipertuduhkan bersama Perayu namun pertuduhan terhadapnya telah ditarik balik. Pihak pembelaan memberi indikasi memerlukan Fahad sebagai saksi pembelaan namun selepas P16 dirakamkan, Fahad telah diusir ke negara asal. Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan Fahad telah diusir. Walaupun P16 tidak dibantah oleh pihak pembelaan, ketiadaan Fahad telah meninggalkan lompang dalam kes pendakwaan. Peguam bela juga berhujah kegagalan pendakwaan mengemukakan Fahad menarik pemakaian anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap pihak pendakwaan dan pihak pendakwaan juga telah dikatakan gagal untuk mengecualikan (negate) kemungkinan barang kes dadah diletakkan dalam beg ‘Mizuno’ milik 9 Perayu oleh Fahad. Peguam bela merujuk kepada keputusan dalam kes PP v. Abu Bakar Abdul Malek [1990] 2 MLRH 8. [21] Mengenai alasan kedua rayuan, peguam bela berhujah keterangan SP5 tidak wajar diterima oleh hakim bicara untuk mensabitkan Perayu. Keterangan SP5 sepatutnya dinilai secara berhati-hati apabila SP5 menyatakan barang kes dadah adalah milik Perayu sedangkan dadah jenis yang sama ditemui dalam poket seluar yang dipakai oleh SP5. SP5 telah dituduh, mengaku salah dan telah dihukum bagi kesalahan tersebut. Selain itu, keterangan SP5 di Mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapannya di bawah seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (ex. D1). [22] Untuk alasan rayuan ketiga, peguam bela menghujahkan bahawa terdapat percanggahan yang material antara keterangan SP4 dengan keterangan SP5. Dalam keterangan SP4, beliau mengatakan selepas pemeriksaan di dalam bilik dan penemuan dadah ganja di dalam beg ‘Mizuno’, beliau telah membawa beg dan kandungannya ke ruang tamu dan bertanyakan siapakah pemilik beg itu, dan Perayu telah mengakui beg itu kepunyaannya. Manakala SP5 dalam keterangannya menyatakan SP4 telah membawa ‘bongkah dadah’ duhulu dan bertanyakan tentang pemiliknya tetapi tiada siapa yang mengaku. SP4 kemudiannya membawa keluar beg ‘Mizuno’ dan diakui oleh Perayu sebagai miliknya. [23] Untuk alasan rayuan terakhir, peguam bela menghujahkan bahawa hakim bicara telah gagal untuk membuat pertimbangan tentang kemungkinan akses oleh orang lain terhadap beg ‘Mizuno’ dan barang kes dadah yang dipertuduhkan kerana beg dan bilik di mana beg ‘Mizuno’ ditemui tidak berkunci. Terdapat keterangan bahawa sekurang-kurangnya 10 ada lapan (8) orang lain tinggal di dalam rumah tempat kejadian yang mempunyai akses terhadap beg dan bilik itu selain rakan-rakan penghuni yang kerap datang ke Rumah tersebut. Bilik yang dihuni oleh Perayu juga turut didiami oleh Fahad dan Abbas dan ada kemungkinan dadah diletakkan oleh mereka ke dalam beg milik Perayu. [24] Kami seterusnya akan membincangkan setiap satu alasan rayuan Perayu di hadapan kami. Dapatan dan keputusan kami [25] Isu Fahad, keterangan pegawai penyiasat (SP7) menyatakan bahawa penama itu telah diusir ke negara asal oleh pihak Imigresen. Pada hemat kami, mustahil bagi pihak pendakwaan untuk mengesan dan mengemukakan saksi itu ke Mahkamah. Keterangan SP7 bukanlah sesuatu yang dengar cakap. Ini merupakan hasil siasatan oleh SP7 dengan pihak Imigresen berdasarkan rekod. Tidak perlulah rekod itu dikemukakan atau pegawai Imigresen dipanggil untuk mengesahkan fakta itu. Adalah selamat untuk menerima keterangan SP7 bahawa Fahad telah diusir ke negara asalnya, Pakistan. [26] Mengenai penerimaan percakapan seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (P16) daripada Fahad oleh hakim bicara, kami mendapati hakim bicara telah membuat keputusan yang betul. Kami bersetuju dengan hakim bicara bahawa pra syarat di bawah seksyen 32 Akta Keterangan, 1950 telahpun dipenuhi. [27] Kami telah meneliti rekod-rekod rayuan dan kami mendapati bahawa Fahad bukanlah saksi material yang menjadi sebahagian daripada naratif 11 kes pendakwaan. Tanpa Fahad, kes pendakwaan adalah kukuh melalui keterangan SP4 (pegawai serbuan) dan SP5, rakan serumah Perayu. Kami juga mendapati dalam kes ini bahawa tidak ada sebarang cadangan oleh pihak pembelaan bahawa dadah yang dipertuduhkan milik Fahad, Abbas atau mana-mana penghuni yang lain dan tidak juga dicadangkan telah diletakkan di dalam beg ‘Mizuno’ milik Perayu oleh Fahad, Abbas atau lain-lain orang. Oleh itu, kami mendapati hujahan peguam bela bahawa anggapan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan, 1950 terpakai tidak dapat diterima dan satu hujahan yang tersasar. [28] Kami juga mendapati fakta kes Abu Bakar, supra, yang dirujuk oleh peguam bela boleh dibezakan kerana dalam kes itu tidak terdapat rakaman percakapan direkodkan sebelum saksi dibebaskan. Dalam kes terhadap Perayu pula, terdapat rakaman percakapan daripada Fahad (P16) yang diterima masuk sebagai sebahagian daripada keterangan kes pendakwaan. [29] Mengenai bantahan peguam bela bahawa pemeriksaan (search) yang dilakukan oleh SP4 tidak disaksikan oleh Perayu dan penghuni Rumah tersebut, kami mendapati seksyen 65 Kanun Prosedur Jenayah yang dirujuk oleh peguam bela yang menghendaki prosedur ini dilakukan bukanlah sesuatu yang mandatori. Dengan mengambil kira bahawa pada waktu serbuan itu terdapat Perayu, SP5 yang sedang tidur di bilik berasingan dan Fahad telah dikumpulkan di ruang tamu semasa pemeriksaan di dalam bilik Perayu dilakukan dan bahawa bilik Perayu yang agak kecil, maka tiga penghuni tersebut tidak dibawa bersama masuk ke dalam bilik tidur Perayu tersebut. Pada pandangan kami perkataan ‘shall’ 12 dan ‘be permitted’ tidak menunjukkan sesuatu yang wajib. Seksyen 65 menyatakan: “65. The occupant of the place searched, or some person in his behalf, shall in every instance be permitted to attend during the search, and a copy of the list prepared and signed under this section shall be delivered to that occupant or person at his request.”. [30] Mengenai bantahan peguam bela bahawa keterangan SP5 tidak boleh dipercayai dan wajar ditolak, alasan peguam bela adalah bahawa dadah yang sama turut ditemui di dalam poket seluar yang dipakai oleh SP5. Kami tidak bersetuju dengan hujahan peguam bela. Fakta bahawa penjumpaan dadah jenis yang sama (ganja) dalam jumlah yang kecil di dalam poket seluar SP5 tidak secara otomatik menjadikan dadah di dalam beg ‘Mizuno’ dimiliki oleh SP5 kerana beg ‘Mizuno’ itu telah diakui sebagai milik Perayu dan turut dirampas di dalam bilik tidur Perayu. [31] Semasa pasukan serbuan polis sampai di Rumah tersebut, SP5 sedang tidur di bilik kedua dan SP5 yang telah membuka pintu rumah untuk pihak polis masuk. Pada masa itu hanya Perayu, SP5 dan Fahad berada di Rumah tersebut. Apa yang lebih penting, pihak pembelaan tidak pernah mencadangkan kepada SP5 bahawa dadah dalam beg ‘Mizuno’ tersebut milik SP5 atau telah diletakkan oleh SP5 ke dalam beg itu. Tidak juga dicadangkan dadah itu adalah milik Fahad. Oleh itu, kami mendapati hakim bicara betul dalam menerima keterangan SP5 dalam kes ini. [32] Alasan ketiga rayuan Perayu berkait rapat dengan alasan rayuan kedua, bahawa keterangan SP5 wajar ditolak kerana bercanggah dengan keterangan SP4. Telah dihujahkan bahawa percanggahan keterangan 13 antara dua orang saksi itu adalah satu percanggahan yang material. Oleh itu, dihujahkan tidak ada keterangan prima facie bahawa dadah yang dipertuduhkan ditemui di dalam beg ‘Mizuno’ milik Perayu. [33] Peguam bela telah merujuk kepada keterangan SP4 dan keterangan SP5 yang dikatakan bercanggahan antara satu sama lain. Peguam bela berhujah bahawa keterangan SP5 tidak mengatakan dia telah melihat dadah ditemui di dalam beg ‘Mizuno’ milik Perayu. Keterangan SP5 seperti berikut di muka surat 66-69 Rekod Rayuan Jilid 2: “Q: En. Nadeem, setuju dengan saya bila polis masuk ke dalam rumah itu, dadah itu diambil dari balcony? Itu dalam bilik lah. Dalam bilik balcony right, dadah itu diambil plastik beg yang mempunyai dadah itu diambil dari sana, right? Aku tak ada tengok bila polis mari ambil dari mana tapi bila dia tunjuk itu dadah dia tunjuk beg macam ini (saksi tunjuk tangan ke atas). Dia tunjuk macam ini lah, dari mana dia ambil you tak tahu lah? Kita duduk hall lah saya tak ada nampak polis. Tapi you setuju dengan saya sekarang dadah itu diambil dari dalam bilik tapi you tak tahu dari mana tetapi dia bawa dan tunjuk ni macam kerana kamu semua di dalam? Hall. Mahkamah: Polis bawa keluar beg daripada bilik Sohail ke hall dan tanya kita siapa punya. Sohail mengaku beg dia selepas itu polis pegang. 14 Kamu masih ingat, kamu boleh camkan polis yang ketuk pintu dan kamu buka kamu nampak polis itu, boleh camkan? Adakah ini polis yang semasa kamu buka pintu kamu nampak dia? Dicamkan. t.t. (Dato’ Hj. Azman bin Abdullah) Saya tiada re. Cuma itu tadi berkenaan dengan itu beg Sohail punya? Kemudian kamu ada nampak polis membuka beg tersebut atau tidak? Tidak. Tidak Nampak? Mahkamah: Tak nampak polis tunjuk barang ganja pada awak? Tak da. TPR Bila beg Sohail mengaku dia punya, polis ada tunjuk dadah tak pada kamu? Dia tak ada tunjuk dadah. Pada yang lain Sohail dan Fahad? Tak tahu. 15 Kamu ingat baik-baik, cuba ingat baik-baik ada tunjuk ke tak, ingat kan dulu? Itu jam ada tanya sama Sohail ni apa dia cakap ‘saya pun tak tahu’. Mahkamah: Dia ada tunjuk ganja dia tunjuk ganja tanya Sohail? Dia terus tanya Sohail, ini apa? Mahkamah: Ini apa rujuk pada apa, rujuk pada beg ke apa? Ada satu peket dalam yang dia tanya ini apa tapi dia terus tanya Sohail, dia cakap saya tak ktahu ini apa lepas itu polis dia.. Mahkamah: Itu beg dia mengaku dia punya, yang Sohail tak mengaku tak tahu apa-apa tu apa benda yang polis tunjuk. Itu pun saya tak tahu itu dalam packing macam itu yang gambar tu. TPR Pohon dibantu saksi, gambar P6D. Yang mana satu tu, tunjuk? Yang ini (saksi tunjuk). Gambar P6D yang dihujung sebelah kiri saya. Mahkamah: Tadi kamu ada sebut ganjakan jadi dalam beg itu ada tak polis bawa keluar barang dalam beg tunjuk bungkusan mampat ganja itu pada kamu dan Sohail ke siapa-siapa. Tak, ada bawa satu beg dulu lepas tu dia tanya ini apa sama Sohail, Sohail cakap tak tahu lepas itu dia ambil tu dibawa beg ini siapa punya lepas tu Sohail cakap beg saya punya. Mahkamah: Mula-mula dia bawa bungkusan bongkah itu dalam gambar tu lah? 16 Mahkamah: Lepas Sohail kata tak tahu dan selepas itu dia tanya beg siapa? Sohail kata saya punya. Defence Cross: Tambahan You setuju dengan saya, sesiapa barang yang polis ambil tu bukan dari beg? Itu tak tahu lah pasal dia bawa dari bilik bukan depan-depan dia buka. TPR: Re tambahan tiada Mahkamah: Saksi dilepas dan dibebaskan. t.t. (Dato’ Hj. Azman bin Abdullah) [34] Berdasarkan keterangan SP5, peguam bela menghujahkan bahawa SP4 pada mulanya telah menunjukkan hanya satu ketulan (bongkah) ganja kepada Perayu, SP5 dan Fahad yang berada di ruang tamu. Kemudiannya SP4 dikatakan telah masuk semula ke dalam bilik dan keluar semula membawa beg ‘Mizuno’ lalu bertanya beg itu milik siapa dan telah diakui oleh Perayu sebagai miliknya. Dihujahkan keterangan SP5 ini berbeza dengan keterangan SP4 yang menyatakan bahawa SP4 hanya sekali membawa keluar beg ‘Mizuno’ yang di dalamnya mengandungi satu ketulan mampat ganja dan menunjukkan kepada tiga tangkapan itu beg dan ganja tersebut serta bertanya siapa pemilik beg ‘Mizuno’ tersebut dan telah diakui oleh Perayu. [35] Kami merujuk kepada keterangan SP4 seperti di muka surat 31-56, seperti berikut (setakat yang berkaitan dengan isu yang sama): 17 Ya? Seterusnya saya jalankan pemeriksaan lanjut dalam rumah telah menjumpai di atas lantai di dalam bilik sebelah kanan 1 beg warna biru jenama Mizuno di dalamnya tedapat 1 beg plastic warna hitam bertulis ‘Gorgeous Boutique’ di dalamnya terdapat satu balutan plastic lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja jumpa juga dalam beg tersebut 1 kad warganegara Pakistan dan 1 kad Foreign Workers atas nama Sohaili Khan, 1 kemeja warna hijau dan 1 seluar jeans warna biru. Ya? Seterusnya saya rampas kesemua barang kes, saya telah serahkan sesalinan Borang Bongkar kepada suspek dan saya bawa suspek bersama barang kes ke pejabat Narkotik Sentul untuk tindakan selanjutnya. …….. Boleh jelaskan pada Mahkamah bagaimana keadaan beg yang dijumpai pada tarikh kejadian? Beg dalam keadaan berzip tutup dan bersandar pada dinding di bahagian ‘X’. Setelah Inspektor berjumpa dengan beg tersebut apa yang Inspektor lakukan terhadap beg tersebut? Saya telah buka beg tersebut dan mengeluarkan isi di dalam bag tersebut. Apa yang terkandung isi dalam beg tersebut boleh jejaskan kepada Mahkamah? Terdapat satu bungkusan plastik warna hitam di dalamnya 1 balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja, 1 kad foreign workers, 1 kad warganegara Pakistan 18 atas nama Sohail Khan, 1 baju kemeja warna hijau dan 1 seluar jeans warna biru. Seterusnya apa lagi yang dilakukan setelah pemeriksaan terhadap beg tersebut telah dilakukan? Saya masukkan semula barang-barang kes ke dalam beg tersebut dan rampas dan bawa balik pejabat Narkotik Sentul. …… Melainkan apa yang kamu rampas dari beg Mizuno itu melainkan apa yang kamu rampas dari beg Mizuno tu ok, adakah kamu bertanya kepada Sohail Khan ataupun Nadeem ataupun Fahad itu beg kepunyaan siapa, beg Mizuno? Ada. …… Saya cadangkan kamu, ini adalah cadangan, saya cadangkan kepada kamu sebenarnya melainkan barang-barang peribadi memang tiada apa barang salah yang dijumpai dalam beg biru itu, saya cadangkan kepada kamu? Tidak setju. Saya juga cadangkan kepada kamu seperti apa yang diberitahu oleh untuk saya daripada tertuduh lain dadah tersebut dijumpai di atas balcony dan dibawa masuk: Tidak setuju. Saya cadangkan kepada kamu, semasa kamu masuk ke rumah itu kamu sedang mencari barang dadah itu kamu telah bertanya 3 budak itu mana barang-barang dan mereka kata “kami tak tahu apa yang kamu cakap”?. Tidak setuju.”. 19 [36] Kami tidak bersetuju terdapat percanggahan dalam keterangan SP5 dengan keterangan SP4 dalam kes ini berkaitan sama ada SP4 ada menunjukkan dadah kepada Perayu dan dua lagi penghuni rumah itu. Begitu juga kami tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa SP4 telah menunjukkan kepada mereka beg ‘Mizuno’ dan dadah secara berasingan. Kami telah meneliti keterangan SP4 dan SP5 dan kami tidak mendapati bahawa ini yang telah berlaku. Keterangan SP5 tidak ada menyatakan dengan jelas bahawa SP4 telah membawa keluar barang kes beg dan dadah dari dalam bilik secara berasingan. Kami juga memahami keterangan SP5 bahawa setelah beg ‘Mizuno’ berisi dadah ditunjukkan kepada mereka dan diakui oleh Perayu sebagai kepunyaannya, SP4 telah mengeluarkan satu ketulan mampat dadah itu dan ditunjukkan hanya kepada Perayu sambil berkata “Ini apa?”. Ini menjelaskan keterangan SP5 mengapa dia mengatakan tidak melihat SP4 menunjukkan dadah kepada mereka. [37] Peguam bela turut menghujahkan bahawa dadah itu bukan kepunyaan Perayu walaupun jika benar telah ditemui di dalam beg ‘Mizuno’ milik Perayu. Peguam bela telah mencadangkan dadah ditemui atas lantai dalam bilik tetapi tidak dipersetujui oleh SP4. Begitu juga cadangan bahawa dadah ditemui di balkoni rumah juga tidak dipersetujui oleh SP4 dan SP5. Namun, peguam bela tidak pernah mencadangkan bahawa dadah itu telah diletakkan ke dalam beg ‘Mizuno’ oleh SP4, SP5 atau oleh penghuni yang lain. [38] Alasan rayuan terakhir Perayu ialah pihak pendakwaan gagal untuk mengetepikan akses pihak ketiga terhadap dadah yang dipertuduhkan. Peguam bela berhujah terdapat seramai 8 orang selain Perayu tinggal di 20 dalam Rumah tersebut dan kemungkinan dadah diletakkan oleh pihak ketiga di dalam beg milik Perayu. Walaupun itu hujahan peguam bela, namun tidak pernah dicadangkan begitu kepada saksi-saksi utama pendakwaan seperti SP4, SP5 dan SP7. Saksi SP5 menafikan dadah itu miliknya. Begitu juga dengan Fahad, dalam P16 menafikan dadah itu miliknya. [39] Selain itu, penghuni lain didakwa bernama Abbas, Suib, Kamalan, Farouk, Ridzuan dan Faizal. SP5 menyatakan setiap penghuni mempunyai kunci Rumah tersebut dan dua bilik Rumah tersebut tidak berkunci. SP7 mengakui dia tidak ada menyiasat terhadap penama-penama tersebut selain terhadap tiga tangkapan (Perayu, SP5 dan Fahad). Tidak dinafikan bahawa Perayu dan peguam bela tidak pernah memberikan maklumat lanjut dan jelas mengenai penama Abbas, Suib, Kamalan, Farouk, Ridzuan dan Faizal untuk membolehkan penyiasatan yang bermakna dapat dilakukan oleh SP7. Kami mendapati bahawa tidak ada ‘Notis Alcontara’ yang sempurna telah diberikan kepada pihak polis. Oleh itu pihak polis tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan untuk menyiasat penama-penama tersebut. [40] Dalam kes rayuan ini, kami berpendapat dapatan dan keputusan hakim bicara telah diasaskan kepada keterangan dan hakim bicara telah membuat dapatan fakta yang tidak wajar dicampuri oleh Mahkamah ini (Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 dan Magendran Mohan v. PP [2011] 1 CLJ 805). 21 Kesimpulan [41] Berdasarkan alasan-alasan yang kami sebutkan di atas, kami dengan sebulat suara mendapati bahawa rayuan Perayu tidak mempunyai sebarang merit. Kami mendapati sabitan adalah selamat dan disokong oleh keterangan yang mencukupi. Dengan itu, rayuan Perayu ditolak. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi disahkan dan dikekalkan. Bertarikh: 20 Jun 2018 t.t. (KAMARDIN BIN HASHIM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Peguam cara Bagi Pihak Perayu: Afifuddin Mohd Hafifi Tetuan Salehuddin Saidin & Associates Wisma Salehuddin No. 14, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A Seksyen 9 40100 Alam SELANGOR Bagi Pihak Responden: Tengku Intan Suraya bt Tengku Ismail Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara PUTRAJAYA