Subsection
(2014) 3 CLJ 607, Magendran Mohan v PP (2011) 1 CLJ 805. [13] Berkenaan isu (c), peguam menghujahkan bahawa ekshibit P26 yang telah diterima masuk dan ditandakan melalui pegawai penyiasat (SP16) adalah bertentangan dengan prinsip s. 399 (1) Kanun Prosedur Jenayah. Seterusnya dihujahkan bahawa tiada keterangan menunjukkan pihak pendakwaan telah menyerahkan ekshibit P26 kepada perayu mengikut tempoh 10 hari sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang. Bahkan tidak juga penyerah salinan ekshibit P26 dipanggil sebagai saksi untuk memberikan keterangan penyerahan ekshibit tersebut atau sekurang-kurangnya keterangan berkaitan penyerahan melalui keterangan pegawai penyiasat. Oleh yang demikian, kemasukan ekshibit P26 bertentangan dengan s. 399 (1) Kanun Prosedur Jenayah dan wajar tidak diterima. Peguam seterusnya menegaskan bahawa ekshibit P26 wajar ditolak dan tidak diterima sebagai ekshibit yang telah dibuktikan. Tanpa ekshibit P26, sebab kematian si mati tidak dapat ditentukan oleh Mahkamah dan perkara ini menyebabkan elemen pertuduhan gagal dibuktikan pada tahap prima facie oleh pihak pendakwaan. (Rujuk kes Ooi Lean Chai v PP (1991) 2 MLJ 552, dan, Shamsul Kamar Karia @ Halim v PP (2013) 9 CLJ 387). [14] Atas alasan yang dikemukakan, peguam memohon agar rayuan perayu dibenarkan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada pendakwaan atau secara alternatifnya, rayuan dibenarkan dan pertuduhan dipinda kepada s. 304(b) Kanun Keseksaan. 11 [15] Responden pula dalam menjawab hujahan perayu mengatakan pembelaan perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Ini kerana kecederaan yang dialami oleh si mati telah disahkan oleh saksi-saksi perubatan bahawa kecederaan itu berlaku dalam tempoh 48 jam sebelum dia dihantar ke hospital. Punca kematian si mati iaitu ‘head injury due to blunt force trauma’ yang terdapat keretakan di tengkorak kepala si mati merupakan satu kecederaan yang ‘fatal in nature’. Pendakwaan telah bergantung pada keterangan ikut keadaan dan semua keterangan tersebut menjurus kepada perayu selaku satu-satunya orang yang boleh menyebabkan kecederaan tersebut berlaku. Pembelaan perayu hanyalah bersifat penafian semata-mata dan tidak memihak kepada perayu. Keputusan Kami [16] Kami telah meneliti isu-isu yang dibangkitkan dan penghujahan kedua-dua pihak serta menelaah keterangan dalam rekod. Kami mengambil pendirian bahawa rayuan ini tidak bermerit. Kami memutuskan sedemikian atas alasan yang berikutan. Isu (a)(c) dan (d) : Kegagalan pembuktian kehendak s.300 (c) dan (d) Kanun Keseksaan, Ekshibit P26 dan Keterangan SD2 [17] Kami akan pertimbangkan kesemua isu di atas bersekali. Dengan berlandaskan kes Tham Kai Yau & Ors v PP, supra, dan Mohd Yasser Shaik Mahmad v PP, supra, peguam menegaskan bahawa pendakwaan telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan daripada ahli patologi mengenai isu sama ada bencana tubuh yang dialami oleh si mati 12 mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Dihujahkan lagi bahawa mahkamah tidak boleh bergantung pada laporan post-mortem oleh SD2 ie ekshibit P26, untuk mengisi kelompangan itu memandangkan ekshibit tersebut tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan kerana pendakwaan telah gagal mematuhi kehendak s.399 (1) Kanun Prosedur Jenayah. [18] Kami tidak diyakinkan dengan hujahan tersebut. Dalam mempertimbangkan isu yang ditimbulkan, tidak perlu bagi kami untuk mengulangi perbezaan antara peruntukan s.299 dan s.300 memandangkan kedudukan itu kini sudah mantap terutamanya daripada kes-kes yang telah dirujuk dalam penghujahan kedua-dua pihak. Kami akan hanya memberikan fokus utama kepada peruntukan s.300(c) kerana itu yang ditegaskan secara kritikal oleh peguam. Daripada autoriti yang disandari, s.300(c) mengetepikan pengetahuan secara subjektif. Klausa (c) ini menyentuh tentang perbuatan yang dilakukan dengan niat untuk menyebabkan bencana tubuh pada seseorang dan bencana tubuh yang diniatkan untuk diakibatkan itu adalah mencukupi pada lazimnya untuk menyebabkan kematian. Dalam klausa ini kesan (result) daripada bencana tubuh yang diniatkan itu mestilah dipertimbangkan secara objektif. Jika bencana tubuh yang diniatkan dan dilakukan oleh pelaku itu adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian, maka itu akan terjumlah kepada kesalahan membunuh tidak kira sama ada pelaku berniat untuk menyebabkan kematian atau tidak, dan sama ada pelaku ada pengetahuan subjektif tentang kesannya atau tidak. Sepertimana yang diputuskan dalam kes locus classicus Virsa Singh v The State of Punjab ([1968] S.C.R. 1495) 1958 Indlaw SC 82, bagi pemakaian klausa (c) ini mesti dibuktikan 13 bahawa bencana tubuh telah dilakukan, kemudian hendaklah dibuktikan secara objektif apakah jenis bencana tubuh itu dalam keadaan lazimnya. Jika bencana tubuh itu didapati mencukupi untuk menyebabkan kematian, kehendak ini dipenuhi. Selanjutnya, hendaklah dibuktikan adanya niat untuk mengakibatkan bencana tubuh itu dan bukan yang lain serta bencana tubuh itu bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan (accidental) atau tidak diniatkan (unintentional). Jika semua ini dibuktikan, kesalahan membunuh telah dibangkitkan. [19] Jelasnya, pertimbangan mengenai kesan bencana tubuh yang diniatkan itu bagi maksud s. 300(c) hendaklah dibuat secara objektif. Persoalannya, pertimbangan secara objektif (ujian objektif) itu dilakukan oleh siapa? Pada pandangan kami, sudah semestinya oleh mahkamah kerana di akhir mana-mana perbicaraan dan dalam mempertimbangkan apa jua keterangan yang dikemukakan, sama ada oleh saksi biasa atau pakar, akan menjadi peranan muktamad mahkamah untuk membuat keputusan dan dapatan. Dalam kes Wong Swee Chin v PP [1980] 1 LNS 138; [1981] 1 MLJ 212, telah dinyatakan bahawa peranan keterangan pakar adalah untuk membantu hakim dalam mencapai keputusannya. Bagaimanapun tanggungjawab untuk memutuskan apa jua isu secara muktamad dalam mana-mana pertikaian akhirnya akan terletak ke atas hakim-Chin Sen Wah v PP [1957] 1 LNS 14; [1948] MLJ 154; Sek Kim Wah v PP [1988] 2 CLJ Rep 679; [1988] 1 CLJ 739; [1988] 1 MLJ 348. (Lihat juga Dato Mokhtar bin Hashim v PP [1983] CLJ Rep 101; [1983] 2 CLJ 10; [1983] 2 MLJ 232, Collector of Land Revenue v Alagappa Chettiar [1968] 1 LNS 31; [1971] 2 MLJ 43, 46 (PC). Tambahan lagi, dalam 14 kes Mahkamah Rayuan Jitweer Singh Ojagar Singh v Public Prosecutor [2017] 2 CLJ 561; [2016] 1 LNS 784 diyatakan: "It is trite law that a judge must not consider expert evidence in a vacuum in the sense that the same should not be artificially separated from the rest of the evidence.” [20] Mengaplikasikan prinsip dan ujian di atas, perlu ditentukan dahulu apakah bencana tubuh yang telah buktikan. Dicatatkan pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang terperinci daripada SP8 dan juga para doktor iaitu SP10, SP11, SP13, SP14 dan SP15 mengenai bencana tubuh yang dialami oleh si mati dalam tempoh 48 jam sebelum si mati dihantar ke hospital. SP10 mendapati antara lain adanya bengkak di bahagian belakang kanan dan saiznya agak besar lebih kurang 5cm x 3 cm. Bengkak tersebut dikatakan mungkin disebabkan oleh pendarahan dan retak tulang tengkorak. SP14 juga mengesahkan kepala mangsa lembut dan tengkoraknya tidak dapat dirasai serta terdapatnya lebam di kepala si mati itu. Begitu juga dengan penemuan oleh SP13 yang menambah lanjut bahawa si mati mengalami kecederaan di bahagian kanan kepala dan bengkak di bahagian kanan muka sehingga ke bahagian belakang telinga. Selain itu, terdapat juga 2 garisan di sebelah mata kanan berukuran 5 cm x 4cm dan di bawah garisan tersebut adanya lebam berukuran 2 cm diameter. Selanjut, SP11 Dr. Mohd Hamizzuri bin Huri, Radiologis, setelah diperiksa, mendapati adanya antara lain: