Lampiran
Lampiran 6 dan juga Laporan Balas Penilai Responden di Lampiran 9, perenggan 5 dan 6.2). Pelan Bangunan yang diluluskan pada 24.07.2014 dan tempoh kelulusan dilanjutkan daripada 24.07.2015 hingga 23.07.2016. Perayu tidak mengemukakan sebarang permohonan perlanjutan masa untuk kelulusan Pelan Bangunan itu. 57. Subseksyen 24(1) Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] memperuntukkan bahawa – “Suatu kebenaran merancang yang diberikan di bawah subseksyen 22(3) hendaklah, melainkan jika dilanjutkan tempohnya, luput dua belas (12) bulan selepas tarikh ia diberikan jika, dalam masa itu, pemajuan belum dimulakan secara yang ditentukan dalam kebenaran merancang itu.”. [Penekanan ditambah] 58. Seksyen 2 Akta 172 mentafsirkan “kebenaran merancang” sebagai— “menjalankan apa-apa kerja bangunan, kejuruteraan, pelombongan perindustrian, atau apa-apa kerja lain yang seumpamanya pada, di atas, di sebelah atas atau di bawah tanah, membuat apa-apa perubahan material mengenai penggunaan mana-mana tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya, atau memecah sempadan atau mencantumkan tanah; dan “memajukan” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.”. [Penekanan ditambah] 59. Maka, berdasarkan tafsiran di bahawa seksyen 2 dan bagi maksud subseksyen 24(1) Akta 172, Perayu hendaklah menunjukkan bahawa KM yang mereka perolehi masih berkuat kuasa dan terdapat pembangunan atas Lot 444. Namun di dalam kes ini, adalah didapati KM luput pada 21.01.2015 dan Pelan Bangunan telah luput pada 23.07.2016. Tiada sebarang pembangunan dan apa-apa bangunan atau struktur di atas Lot 444 semasa pengambilan tanah dibuat pada tahun 2020. 60. Sehubungan itu, saya berpandangan bahawa hujahan Perayu bahawa pembinaan pangsapuri perkhidmatan 58 tingkat di masa kelak adalah sesuatu yang spekulatif memandangkan KM asal telah luput sejak 21.01.2015 dan tiada apa-apa pembangunan di atas Lot 444 sejak itu. Tiada keterangan yang dikemukakan melalui Penilai Perayu untuk menyokong Lot 444 akan turun nilai sebanyak 80% dan dengan itu menyokong tuntutan bagi kesan mudarat dan pecah pisah di bawah perenggan 2 (c) dan (d) Jadual Pertama, Akta 486. 61. Walau bagaimanapun, saya telah mengambil kira bahawa akibat dari pengambilan sebahagian Lot 444, tanah bakinya tidak boleh lagi dicantumkan dengan Lot 1188 dan mengakibatkan hilangnya ciri-ciri berdampingan dan bersempadan, dan seterusnya membawa impak atau kesan ke atas daya maju (viability) pembangunan dan potensi pembangunan. 62. Selanjutnya, adalah didapati kedudukan asal lokasi lapisan pertama telah mengakibatkan Lot 444 dan Lot 1188 terpisah di mana tanah baki Lot 444 menjadi lapisan kedua dari Jalan Tebrau, manakala Lot 1188 sahaja tinggal berada di lapisan pertama Jalan Tebrau. Akses dan kemudahsampaian asal dari jalan utama, Jalan Tebrau bagi kedua-dua lot tersebut juga berubah dan terputus kerana kedudukan fizikal kedua-dua lot telah dipisahkan dan tidak lagi berdampingan atau bersempadan. Oleh itu, kedua-dua Lot 444 dan Lot 1188 tidak boleh lagi dicantumkan di masa depan. (sila rujuk Lampiran 74, NOP mengenai keterangan Puan Ratnawati di muka surat 12). Perayu tidak boleh lagi akses Lot 444 melalui Lot 1188 akibat pengambilan tanah ini dan juga Lot 444 tidak lagi mempunyai akses ke Jalan Mohd Taib. 63. Ekoran daripada pengambilan tanah, akses dan kemudahsampaian ke tanah baki Lot 444 telah terganggu dan hilang kelebihannya yang asal dari jalan utama iaitu Jalan Tebrau. Menurut Responden, akses ke tanah baki Lot 444 akan melalui penjajaran semula (realignment) Jalan Wadi Hana Baru di masa kelak (jangkaan tahun 2026) yang mempunyai kelebaran 13 meter berbanding dengan piawaian perancangan 20.116 meter sekiranya Perayu berhasrat memajukan baki tanah Lot 444, maka anjakan perlu di serahkan untuk membina akses dari Jalan Wadi Hana Baru. Jalan Wadi Hana Baru bila siap dibina kelak akan merupakan jalan sekunder berbanding dengan akses asal sebelumnya, iaitu jalan utama Jalan Tebrau. Ianya juga tidak separas dengan rupabumi baki tanah Lot 444 (sila rujuk Lampiran 46- Afidavit Pakar (2) Jururancang Bandar, Puan Ratnawati, muka surat 13, perenggan 36, yang menyatakan seperti yang berikut: “Selanjutnya, saya juga sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa paras sedia ada baki tanah tersebut adalah +111.5 m manakala paras sedia ada Jalan Wadi Hana adalah RL107m. Dalam hal ini, paras Jalan Wadi Hana baru tersebut akan dinaikkan kepada +RL110.152m (telah diluluskan oleh MBJB) selepas pembangunan Wadi Hana Depot tersebut. Justeru, perbezaan paras antara baki lot tanah tersebut dan Jalan Wadi Hana baru akan dikurangkan kepada +1.4m selepas pembangunan Wadi Hana Depot tersebut.”. [Penekanan ditambah] 64. Menurut Puan Ratnawati, akses alternatif boleh diadakan melalui jalan susur di hadapan satu deretan kedai berdekatan. Laporan pakar trafik BNP Consultants pula menyatakan jalan susur tersebut tidak mungkin menjadi jalan keluar masuk ke tanah baki Lot 444. Menurut Puan Ratnawati, pandangan BNP Consultant tidak boleh dipertimbangkan memandangkan ia adalah perunding luar dan terdapat solusi kejuteraan untuk menyelesaikan isu akses ini. Saya mendapati bahawa Perayu masih boleh akses kepada Lot 444 melalui jalan susur di hadapan satu deretan kedai berdekatan dengan Lot 444 dan juga Jalan Wadi Hana Baru yang dijajarkan semula yang jangka siap pada tahun 2026. Memandangkan tiada pembangunan di baki Lot 444 sehingga kini, maka isu tiada akses kepada Lot 444 tidak berbangkit. Apabila pembangunan di baki Lot 444 siap selepas tahun 2026, Perayu sudah mempunyai akses melalui Jalan Wadi Hana Baru atau menggunakan jalan alternatif. 65. Walau bagaimanapun, saya mendapati tiada aku janji (undertaking) secara bertulis oleh Kerajaan Persekutuan mengenai hal akses ini. Menurut seksyen 2 (f), Jadual Pertama, Akta 486 yang memperuntukkan bahawa— “Jika hanya sebahagian tanah itu sahaja hendak diambil, apa-apa pengusahaan oleh Kerajaan Negeri, atau oleh Kerajaan, orang atau perbadanan yang bagi pihak siapa tanah itu hendak diambil, bagi membina atau mendirikan jalan, longkang, bindung, papan atau kemudahan-kemudahan lain yang memberi faedah pada mana-mana bahagian tanah yang belum diambil, melainkan pengusahaan itu jelas dan boleh dikuatkuasakan.”. [Penekanan ditambah] 66. Susulan daripada pengambilan tanah, saiz tanah baki Lot 444 menjadi lebih kecil mengakibatkan kekangan pembangunan di masa kelak berbanding dengan saiz Lot 444 asal sebelum pengambilan tanah. Kekurangan saiz Lot 444 akan memberikan impak kepada kawasan alas tiang (plinth), had ketinggian pangsapuri dan sebagainya. Cadangan pembangunan 512 unit pangsapuri perkhidmatan akan dikurangkan kepada 227 unit iaitu pengurangan lebih kurang 50%. Ini akan memberi impak dan kesan ke atas daya maju kepada potensi pembangunan ke atas baki tanah tersebut. 67. Dalam hal ini, Pengapit Kerajaan dan Pengapit Swasta telah mencadangkan awad yang berikut diberikan: Perkara Pengapit Kerajaan Pengapit Swasta Lot 444 Tanah baki (3,346 mp) Kesan Mudarat: 5% Pecah Pisah: tiada Kesan Mudarat: -jalan akses 15% - saiz baki tanah 15% Pecah Pisah: tiada Lot 1188 (928.2477 mp) tiada 15% 68. Setelah mengambil kira pandangan Pengapit Kerajaan dan Pengapit Swasta, saya berpandangan bahawa waluapun potensi pembangunan baki Lot 444 terjejas dari segi saiz dan jumlah unit yang boleh dibina di baki Lot 444 di masa kelak, pembangunan masih boleh diteruskan di atas baki Lot 444 di masa kelak. Sekiranya pembangunan pangsapuri perkhidmatan atas Lot 444 adalah berpotensi tinggi dan berdaya maju sebagaimana yang dituntut oleh Perayu, Perayu pasti telah membangunan Lot 444 dan Lot 1188 sebelum pengambilan tanah berlaku. Fakta bahawa tiada pembangunan dijalankan sejak kelulusan KM dan Pelan Bangunan di tahun 2015 menunjukkan potensi pembangunan adalah tidak tinggi dan pembangunan itu adalah tidak berdaya maju. Ini secara langsung menyangkal apa yang dituntut oleh Perayu. 69. Namun demikian, saya telah mengambil kira kehilangan akses dan kemudahsampaian Lot 444 melalui Lot 1188 selepas pengambilan tanah dan juga tiada aku janji diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui MRTS, saya membenarkan pampasan bagi kesan mudarat sebanyak 5% bagi baki tanah Lot 444 sebanyak 3,346 mps. Saya juga membenarkan pampasan kesan mudarat bagi Lot 1188 sebanyak 10% atas keluasan tanah 928.2477 mps. 70. Saya tidak mengawadkan pecah pisah bagi Lot 444 dan Lot 1188 memandangkan tiada permohonan untuk mencantumkan Lot 444 dan Lot 1188 dikemukakan oleh Perayu dan tiada kelulusan diberikan oleh pejabat tanah. Perkara ini disahkan oleh Laporan Balasan Penilai Responden di muka surat 4-5 Lampiran 9 dan juga dinyatakan oleh Laporan Pakar oleh Puan Ratnawati di perenggan 6.131, muka surat 23 Lampiran 15. 71. Sehubungan itu, pengiraan kesan mudarat bagi Lot 444 dan Lot 1188 adalah seperti yang berikut: (a) kesan mudarat atas baki tanah Lot 444 adalah RM1,026,385.50 [3,346 mps x (5% daripada RM6,135.00) = RM1,026,385.50]; dan (b) kesan mudarat atas tanah Lot 1188 adalah RM569,479.96 [928.2477 mps x (10% daripada RM6,135.00) = RM569,479.96]. 72. Tuntutan Lain Berkenaan dengan tuntutan lain, iaitu kos sampingan (incidental cost) sebanyak RM3,445,132.00 oleh Perayu, saya berpandangan bahawa segala usaha dan kos termasuk fi professional, fi pemprosessan bangunan, fi KM dan lain-lain telah dibelanjakan bagi tujuan untuk permohonan dan mendapatkan KM. Ia merupakan kos pembangunan yang harus ditanggung oleh Perayu bagi tujuan perniagaan atau pembangunan. 73. Tambahan pula, tiada pembangunan atas Lot 444 sejak kelulusan KM dan Pelan Bangunan daripada tahun 2014 sehingga 2021. Kelulusan asal tidak diperbaharui dan dengan itu tiada kos tambahan ditanggung oleh Perayu. Oleh itu, saya menolak tuntutan ini. 74. KESIMPULAN Berdasarkan analisa di atas, dan setelah mengaplikasikan Jadual Pertama Akta 486 serta prinsip-prinsip yang berkenaan seperti yang ditetapkan oleh kes-kes terdahulu, setelah meneliti hujahan bertulis pihak-pihak dan setelah mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak, awad yang diberikan oleh Pentadbir Tanah sebagai Responden adalah dipinda seperti yang berikut: (a) nilai pasaran tanah bagi Lot 444 dipinda kepada kadar RM6,135.00 mps. Maka jumlah awad pampasan tambahan adalah RM545,670.00 [4,042 mps x (RM6,135.00 – RM6,000.00) = RM545,670.00]; (b) kesan mudarat atas baki tanah Lot 444 adalah RM1,026,385.50 [3,346 mps x (5% daripada RM6,135.00) = RM1,026,385.50]; dan (c) kesan mudarat atas tanah Lot 1188 adalah RM569,479.96 [928.2477 mps x (10% daripada RM6,135.00) = RM569,479.96]. (d) tuntutan kos sampingan tidak dibenarkan; (e) lain-lain awad yang diberikan oleh Pentadbir Tanah dikekalkan; (f) wang pampasan tambahan sebanyak RM2,141,535.46 hendaklah dibayar oleh Responden kepada Perayu, dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh penerimaan perintah bermeterai ini, dan jika gagal, caj lewat pada kadar 5% setahun ke atas jumlah pampasan tambahan hendaklah dikenakan dari tarikh pengeluaran Borang K iaitu 19.04 2021 sehingga tarikh pembayaran penuh; (g) Responden mengembalikan kepada Prayu wang deposit sebanyak RM3,000.00; dan (h) kos Pengapit Kerajaan dan kos Pengapit Swasta sebanyak RM1,500.00 (RM500.00 x 3 sesi) masing-masing hendaklah dibayar oleh Perayu dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh perintah ini. Bertarikh 6 Februari 2026. Ditandatangani: t.t ………………….. Wong Mee Ling Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Johor Darul Ta’zim. Peguam Bagi Perayu: Encik George Neo (Cik Wong Wan Ting, Cik Christie Liau Hui Min dan Cil Sin Jia Jing bersamanya) Tetuan Gan & Lim Peguam Bagi Responden: Encik David Ng Yew Kiat (Encik Ananthan A/L Nithya Moorthi dan Encik Arief Aiman Bin Hamir Hamzah, Peguam Persekutuan bersamanya) Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor