Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET JENAYAH 13 (TRAFIK) DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO KES : WA-87-455-02/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN SRI THEVEN TRAVEL & TOURS SDN BHD [NO SYARIKAT: 200301022089] ALASAN PENGHAKIMAN
WA-87-455-02/2025
Magistrates Court of Malaysia2 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“26. Di dalam satu lagi kes terkini SRI BHUMI ENTERPRISE V PP [2025] CLJU 928, Mahkamah Tinggi telah menerima rayuan perayu dan menolak perintah Majistret yang melucuthakan kenderaan di bawah Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana nombor pendaftaran Iori yang d”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET JENAYAH 13 (TRAFIK) DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR NO KES : WA-87-455-02/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN SRI THEVEN TRAVEL & TOURS SDN BHD [NO SYARIKAT: 200301022089] ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini adalah rayuan bersilang dari pihak orang kena saman (selepas ini dirujuk sebagai OKS) dan Pendakwaan terhadap hukuman yang diberikan oleh Mahkamah pada 2.7.2025. OKS juga merayu terhadap perintah pelucuthakan yang diberikan oleh Mahkamah terhadap kenderaan yang disita.
2
OKS, Sri Theven Travel & Tours Sdn Bhd [No Syarikat: 200301022089] yang diwakili Pengarah bernama Thevindran A/L Ramasamy (No K/P: 790930-08-6541) telah membuat pengakuan salah di bawah Seksyen 22(1)(b)()i) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(3) Akta yang sama dan boleh dilucuthakan di bawah Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sepertimana berikut: “Bahawa kamu pada 01.11.2024 lebih kurang jam 1602 hrs bertempat di Terminal Bersepadu Selatan dalam daerah Kuala Lumpur pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pengendali berlesen kenderaan jenis bas – bas nombor pendaftaran kenderaan BKP 7776 yang telah dilesenkan dibawah lesen pembawa nombor rujukan permit 2b0110733-6/10 nombor siri permit pk 343270 telah didapati membenarkan pemandu Saharuddin bin Hassan nombor kad pengenalan 620307-10-6457 memandu kenderaan tersebut di atas jalanraya dengan beroperasi sebagai bas ekpress dengan membawa penumpang secara pembelian tiket sedangkan berdasarkan permit kenderaan adalah sebagai bas henti-henti sepertimana yang dibenarkan di dalam lesen pengendali. oleh yang demikian, kamu telah didapati melanggar peruntukkan dibawah Seksyen 22(1)(b)(i) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum dibawah seksyen 22 (3) Akta yang sama dan boleh dilucuthakan di bawah seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Hukuman Seksyen 22(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 denda tidak kurang daripada RM 1,000 tetapi tidak melebihi RM 500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya dan Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 apabila disabitkan suatu kesalahan kenderaan yang berkaitan hendaklah dibuat pelucuthakan atau pelepasan oleh mahkamah”.
3
OKS telah dijatuhkan hukuman denda RM5000 gagal bayar 5 bulan penjara. Mahkamah memerintahkan bas no pendaftaran BKP 7776 dilucuthakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
4
FAKTA KES Pihak pendakwaan telah mengemukakan fakta kes yang yang ditandakan sebagai P3.
5
Fakta kes seperti berikut: Pada 1 November 2024 sepasukan anggota penguatkuasa JPJWPKL yang diketuai oleh KP19 Norsaiful Izzwan Bin Abdul Rahman bersama anggota lain iaitu AB22 Ridhuan Effandi bin Sabarudin, KP19 Muhammad Hazree Bin Juhari dan KP19 Mohammad Fazrul Azam bin Abdul Rani dari Unit Operasi JPJ WPKL telah diarahkan untuk menjalankan operasi di sekitar Lembah Klang. Jam lebih kurang 1602 hrs, bertempat di Terminal Bersepadu Selatan pasukan ini telah menahan sebuah kenderaan jenis Bas no pendaftaran BKP 7776 yang telah disyaki telah melanggar syarat permit dalam mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam daripada kelas kenderaan perkhidmatan awam yang dinyatakan dalam kelas pengendali. Kenderaan telah ditahan kerana beroperasi sebagai Bas Ekspres sedangkan kenderaan tersebut dikelaskan sebagai Bas Henti-Henti sepertimana yang dibenarkan oleh Lesen Pengendali nombor rujukan permit 2B 0110733-6/10 nombor siri permit PK 343270. Pemandu kenderaan bas yang ditahan pada tarikh kejadian adalah Saharuddin Bin Hassan nombor kad pengenalan 620307-10-6457. Oleh yang demikian, kamu didapati telah melanggar peruntukkan di bawah seksyen 22(1)(b)(i) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan boleh dihukum di bawah seksyen 22(3) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 80(4) Akta yang sama di mana kenderaan bernombor pendaftaran BKP 7776 boleh dilucuthakan.
6
PENGAKUAN SALAH OKS Mahkamah berpuas hati bahawa fakta-fakta yang dinyatakan dalam eksibit P3 tersebut terjumlah kepada suatu kesalahan sebagaimana yang terkandung dalam pertuduhan. Pada peringkat ini, Mahkamah sedar bahawa jika OKS mengakui fakta kes itu secara bersyarat atau jika pengakuannya adalah tidak jelas dan meragukan, maka Mahkamah hendaklah menganggap pengakuan OKS sebagai pengakuan tidak bersalah dan meneruskan perbicaraan.
7
Oleh itu, kesemua hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa pengakuan salah OKS adalah teratur, tidak bersyarat dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Mahkamah berpuas hati bahawa OKS mengaku bersalah dan telah memahami sepenuhnya sifat dan akibat pengakuan, maka pengakuan salah OKS diterima.
8
HUJAHAN MITIGASI HUKUMAN OKS ini tidak diwakili peguam. Dalam rayuan mitigasinya, OKS mohon denda dikurangkan kerana bas itu masih mempunyai hutang dan jika bas tersebut disita, pemandu akan hilang pekerjaan kerana masih ada anak dan isteri untuk ditanggung.
9
HUJAHAN PEMBERATAN HUKUMAN Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan terpelajar dalam hujahannya menyatakan kes ini melibatkan kenderaan perkhidmatan awam iaitu bas henti henti dijadikan bas ekspres. Pihak pengendali lesen sepatutnya bertanggungjawab memastikan syarat-syarat permit dipatuhi dan bukan hanya mengaut untung semata-mata. Perbuatan ini mendatangkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat serta perspesi buruk terhadap agensi kerajaan dalam melaksanakan undang-undang. Pegawai Pendakwa memohon hukuman setimpal kepada lesen pengendali dan kenderaan dilucuthak kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia.
10
Mahkamah mendapati OKS bersalah sebagaimana pertuduhan dan dijatuhkan hukuman denda RM5000 gagal bayar 5 bulan penjara. Mahkamah memerintahkan bas no pendaftaran BKP 7776 dilucuthakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
11
Mahkamah mendapati OKS telah mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan. Mahkamah berpendapat pengakuan salah pada peringkat awal wajar diberikan kredit peringanan hukuman denda.
12
Tidak dinafikan pengakuan salah segera OKS ini telah menyelesaikan kes ini dengan cepat tanpa melalui perbicaraan terus sekaligus menjimatkan masa, kos dan tenaga semua pihak.
13
Mahkamah turut mempercayai pengakuan salah OKS di peringkat paling awal mencerminkan penyesalan dan keinsafan
14
Dalam kes ini, Mahkamah amat menitikberatkan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi OKS. Hal ini kerana kenderaan yang digunakan ini adalah sebuah bas henti henti yang telah disalah guna menjadi sebuah bas ekspres. Mahkamah telah merujuk definisi bas henti-henti di dalam laman sesawang Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menyatakan bas henti-henti sebagai bas yang berulang alik sepanjang laluan yang dibenarkan oleh APAD untuk membawa penumpang pada suatu perkhidmatan yang mengandungi peringkat tambang, dengan tambang, jadual waktu dan jadual tambang yang berasingan bagi setiap peringkat tambang. Manakala bas ekspres sebagai bas yang berulang-alik sepanjang laluan yang dibenarkan oleh APD dengan jadual waktu dan tambang, untuk membawa penumpang mengikut tambang berasingan pada suatu perkhidmatan yang tidak mengandungi peringkat tambang dan jaraknya kurang daripada tiga puluh dua kilometer.
15
Berhubung isu kepentingan awam, Mahkamah merujuk kepada kes PP V. GOVINDNAN CHINDEN NAIR [1998] 2 CLJ 370 Hakim Augustine Paul JC (as His Lordship then was) berkata: “In passing sentences public interest must necessarily be one of the prime considerations. A major element of public interest is that justice means justice not only to the accused but also to society. Accordingly, in passing sentence a court has to consider not only the offence and the offender but also the interest of society. Where a person is found to be a persistent offender then it is in the interests of justice that a deterrent sentence should be passed.”
16
Mahkamah cakna berhubung kekerapan kadar kemalangan bas ekspres di negara ini. Paling memilukan baru-baru ini pada tanggal 9.6.2025 negara dikejutkan dengan kemalangan maut 15 orang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM 53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik yang menaiki sebuah bas ekspres. Hasil siasatan dari kemalangan ini mendapati permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS. Permit syarikat bas tersebut juga telah dibatalkan serta merta.
17
Walaupun fakta kes kemalangan tersebut berbeza dengan kes rayuan ini, namun aspek keselamatan penumpang adalah paling dititikberatkan dalam pengendalian sesebuah bas apatah lagi penumpang telah membuat bayaran tambang untuk jarak perjalanan yang jauh.
18
Mahkamah ini mendapati berdasarkan tiket penumpang yang dikemukakan eksibit P7, perjalanan bas ini adalah TBS-SHA-KLG-KSR-SBR-TKN. Mahkamah meneliti eksibit ini dan mendapati penumpang akan diturunkan di dua lokasi iaitu Sungai Besar dan Teluk Intan. Jarak dari Terminal Bas Bersepadu dan dua lokasi ini lebih kurang 137.3 KM dan 171.2 KM. Kedua-dua jarak ini boleh dikategorikan perjalanan yang jauh dan sekiranya bas henti-henti yang telah digunakan, adakah bas henti-henti ini mempunyai keupayaan untuk dipandu bagi perjalanan jauh seperti bas ekspres? Adakah bas henti-henti mempunyai prosedur operasi standard yang sama dengan bas ekspres dari segi aspek penyelenggaran sebelum memulakan perjalanan? Gambar 1 jarak dari Terminal Bersepadu Selatan ke Sungai Besar Selangor. Gambar 2 jarak dari Terminal Bersepadu Selatan ke Teluk Intan, Perak.
19
Maka, kepentingan awam perlu dititikberatkan dalam pertimbangan hukuman yang tinggi kerana terdapat seramai 13 orang penumpang di dalam bas ini semasa ditahan.
20
Jika hukuman berat tidak dikenakan ke atas OKS, maka pengendali-pengendali bas berlesen akan berterusan menyalahgunakan permit kenderaan demi mengaut keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keselamatan penumpang. PELUCUTHAKAN KENDERAAN DI BAWAH SEKSYEN 80(4) AKTA PENGANGKUTAN AWAM DARAT 2010 21. Mahkamah telah memerintahkan bas dalam kes ini untuk dilucuthakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
22
Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat seperti berikut: “Sesuatu perintah bagi pelucuthakan suatu kenderaan yang berkaitan di bawah subseksyen (3) hendaklah dibuat jika dibuktikan sehingga memuaskan hati mahkamah bahawa suatu kesalahan terhadap mana-mana peruntukan yang disebut di bawah subseksyen (1) telah dilakukan dan bahawa kenderaan itu ialah hal perkara bagi kesalahan itu, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu”.
23
Merujuk seksyen 80(1) Akta ini, dinyatakan bahawa: “Mana-mana kenderaan yang berkaitan yang berkenaan dengannya terdapat atau ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa telah berlaku apa-apa kesalahan terhadap seksyen 16, 28, 36, 46, 51 atau 63, subseksyen 22(3), 41(3) atau 57(3), atau perenggan 23(1)(b), 42(1)(b) atau 58(1)(b) boleh disita oleh mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, pegawai pengangkutan jalan atau pegawai pengangkutan awam darat di mana-mana tempat”
24
Mahkamah berpuas hati OKS telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 22(3) Akta ini. Berdasarkan fakta kes eksibit P3 yang diakui benar oleh OKS, bas henti-henti no pendaftaran BKP 7776 telah digunakan sebagai bas ekspres. Maka syarat di bawah seksyen 80(4) telah dipenuhi dan bas ini diperintahkan untuk dilucuthakan.
25
Mahkamah telah merujuk kepada kes REZA KIANMEHR v PP [2013] 7 CLJ 265, yang mana YA Kamardin Hashim telah menolak rayuan perayu dan mengekalkan perintah Majistret berhubung pelucuthakan sebuah kenderaan. Mahkamah tersebut juga menyatakan seperti berikut: “The said vehicle had been proven as the subject matter of the offence. The conditions provided under subsection (4) of s. 80 had been fulfilled. Therefore, the Magistrate shall order forfeiture of the said vehicle. Once the conditions under that subsection (4) of s. of Act 715 had been fulfilled, the forfeiture therefore becomes mandatory. There is no discretion given to the Magistrate because of the words “shall be made” in s. 80(4) of” Act 715. When the provision of the statute is clear without any ambiguity, then the court must give effect to the clear and explicit language of the enacting words of the statute.”
26
Di dalam satu lagi kes terkini SRI BHUMI ENTERPRISE V PP [2025] CLJU 928, Mahkamah Tinggi telah menerima rayuan perayu dan menolak perintah Majistret yang melucuthakan kenderaan di bawah Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana nombor pendaftaran Iori yang dipohon untuk disita adalah WCJ 6961, manakala nombor pendaftaran Iori perayu yang terlibat dalam kesalahan di bawah s.57(3) APAD 2010 adalah BPD 2819. Berdasarkan kepada nombor-nombor pendaftaran yang berlainan, maka kedua-dua Iori ini adalah berlainan antara satu sama lain. Maka, dapatan Mahkamah Tinggi adalah perintah pelucuthakan boleh diberikan jika dibuktikan (i) kesalahan terhadap mana-mana peruntukan yang disebut di bawah s. 80(1) telah dilakukan [dalam kes ini adalah s. 57(3)] dan (ii) kenderaan tersebut adalah hal perkara bagi kesalahan itu.
27
Berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan di atas dan setelah Mahkamah ini mengambil kira kesemua faktor yang telah dinyatakan, maka hukuman yang telah dikenakan terhadap OKS adalah wajar dan setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Hukuman yang djatuhkan tersebut adalah menurut prinsip landasan undang-undang dan tidak menyalahi mana-mana prinsip undang-undang. (KHAIRUNNISAK BINTI HASSNI) Majistret Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Bertarikh: 18 Julai 2025 Timbalan Pendakwa Raya: Pendakwa Raya, Kamar Peguam Negara, Unit Pendakwaan Wilayah Persekutuan, Tingkat 7, Sayap Kanan, Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan Damansara Height, 50512 Kuala Lumpur Peguambela: Tetuan Ganeson Gomathy Fadzlin M. Nava & Co. Suite A-3A-6, Tingkat 4. Kuchai Exchange, No. 43, Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, 58200 Kuala Lumpur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.