Lampiran
Lampiran A adalah atau pada bila-bila masa telah berada dalam milikan, jagaan atau kuasa SSM dan/atau ejen, pekerja atau wakilnya berpisah dengan laporan aduan dan apa yang telah berlaku dengan dokumen tersebut; ii. Bahawa SSM hendaklah dalam masa 7 hari dari tarikh perintah ini, membenarkan Defendan dan/ atau peguamcara Defendan untuk memeriksa dan membuat Salinan dokumen yang dinyatakan dalam Lampiran A. A. ALASAN-ALASAN PERMOHONAN [1] Plaintif adalah salah seorang pengarah Defendan dan telah disingkirkan sebagai Pengarah pada 19.10.2022. Defendan pula adalah sebuah syarikat sendirian berhad dalam perniagaan pembuatan komponen tembaga. [2] Pada 6.4.2023, Plaintif telah memulakan tindakan ini terhadap Defendan yang menuntut antara lain sejumlah RM399,919.35 sebagai gaji kasar yang didakwa terhutang kepada Plaintif oleh Defendan. Pada 26.5.2023, Defendan telah memfailkan Pembelaan dan Tuntutan Balas dimana mereka memplidkan antara lain, pembayaran telah dibuat kepada Plaintif tanpa kebenaran dan/ atau kelulusan dan dibawah duress dan/ atau paksaan. Defendan mendakwa Plaintif tidak berhak atas bayaran sedemikian. Defendan kini menuntut balas terhadap Plaintif atas kerugian yang dialaminya akibat daripada pelannggaran Plaintif terhadap kewajipan fidusiarinya sebagai pengarah. [3] Pada 9.6.2023, Plaintif telah memfailkan Jawapan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas dan pada 26.2.2024, Defendan telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah untuk memfailkan dan menyampaikan Rejoinder atau jawapan kepada Jawapan dan Pembelaan kepada Tuntutan Balas. Pada 3.4.2024, Plaintif telah memohon untuk membatalkan sebahagian dari Pembelaan dan Tuntutan Balas yang telah dibenarkan oleh Mahkamah ini pada 10.6.2024. Defendan kemudian telah memfailkan dan menyampaikan Pembelaan dan Tuntutan Balas Terpindanya pada 18.6.2024. [4] Pada atau sekitar Oktober 2022, seorang bernama Tuan Mohd Shamsul bin Ahmad yang merupakan pegawai SSM telah meminta dan seterusnya telah diberikan dokumen kesetiausahaan Defendan oleh setiausaha syarikat Defendan, En Soon Kok Thiam. Dokumen-dokumen yang diserahkan adalah buku minit (2 set), Fail Setiausaha Syarikat (2 set) dan Buku Daftar (1 set). [5] Pada 7.12.2022, pembantu setiausaha syarikat Defendan, Vinothani a/p Karleswaran telah disampaikan dengan perintah meminta kehadirannya di premis SSM pada 9.12.2022, untuk memberikan maklumat dan/ atau bantuan berhubung siasatan berkenaan dengan Defendan melalui perintah yang dikeluarkan oleh SSM pada 7.12.2022. Pada sekitar Januari 2023, Defendan dan Pengarahnya telah dihubungi oleh Tuan Mohd Shamsul untuk membantu siasatan yang timbul akibat dari aduan Plaintif kepada SSM terhadap Defendan. Pada 26.1.2023, Pengarah Defendan telah hadir di premis SSM untuk siasatan dan telah menyerahkan dokumen-dokumen seperti dokumen dan bukti pelantikan pengarah, dokumen pemfailan SSM bertarikh 8.2.2022, notis, minit dan kehadiran mesyuarat Lembaga pengarah, notis, minit dan kehadiran EGM, pekeliling pengarah bertarikh 17.11.2021 dan 17.12.2021, ugutan Subramaniam kepada Setiausaha Syarikat, Surat Jawapan Rasmi daripada Setiausaha Syarikat, Pertanyaan dan aduan kepada SSM, dokumen kes berterusan (BA- 22NCvC-520-12/2021), dokumen rujukan kes (WA-24NCC-43- 01/2019). [6] Ketika mesyuarat siasatan dengan SSM, Defendan telah dimaklumkan secara lisan oleh pegawai SSM bahawa Plaintif telah mendakwa bahawa Defenndan telah menjual bahan lusuh kepunyaan GM Corporation, yang merupakan pelanggan utama Defendan tanpa pengetahuan GM Corporation. Walaubagaimanapun, pegawai SSM tidak memberikan kepada Defendan, pengarah dan setiausaha syarikat Salinan laporan aduan yang dikemukakan terhadap Defendan. [7] Pada 3.2.2023, Defendan telah memberikan dokumen-dokumen seperti dokumen pembelian bahan GMC dari 2015 hingga 2021, senarai pemindahan daripada Sandra Sheagar kepada Subramaniam daripada penjualan sekerap kepada Prestige Alloy Sdn Bhd (dengan nombor akaun bank, tarikh cek dan nombor cek, sebahagian daripada resit deposit cek dan draf bank untuk pemindahan daripada Sandra Sheager kepada Subramaniam daripada penjualan sekerap kepada Prestige Alloy Sdn Bhd dan senarai pemindahan daripada Sandra Sheager kepada perniagaan dan syarikat yang gagal dimulakan oleh Subramaniam daripada penjualan sekerap kepada Prestige Alloy Sdn. Bhd. (dengan nombor akaun bank, tarikh cek dan nombor cek). [8] Apa yang Defendan perlukan adalah dokumen iaitu laporan aduan yang dibuat oleh Plaintif perlu dizahirkan kerana identiti pembuat laporan aduan iaitu Plaintif telah diplidkan dan diterangkan secara khusus; penerima laporan aduan iaitu SSM adalah dinyatakan dan kandungan laporan aduan yang dibuat oleh Plaintif adalah diplidkan dan diterangkan secara cukup. Pada setiap masa material, laporan aduan tersebut adalah berada dalam milikan, kawalan dan kuasa SSM. Laporan aduan tersebut adalah penting untuk membuktikan samada Plaintif telah membuat sebarang tuduhan palsu terhadap Defendan kepada GM Corporation pada masa yang material. Jika ya, adakash laporan aduan tersebut merupakan satu contoh dimana Plaintif membuat dakwaan palsu terhadap Defendan. Selain itu samada Plaintif telah membuat laporan palsu kepada SSM yang mendakwa, termasuk tetapi tidak terhad kepada bahawa Defendan telah menjual bahan lusuh milik GM Corporation. Laporan aduan itu juga untuk membuktikan bahawa ketika Plaintif membuat laporan kepada SSM ketika dia masih seorang pengarah Defendan sebelum penyingkirannya pada 19.10.2022. Jika ya, adakah tindakan Plaintif merupakan pelanggaran kewajipan fidusiarinya. [9] Permohonan penzahiran terhadap Pihak Ke 3 adalah perlu untuk pelupusan adil bagi pertikaian antara pihak-pihak kerana laporan aduan tersebut akan membantu Mahkamah dalam menentukan samada Defendan telah berjaya membuktikan bahawa laporan aduan tersebut adalah laporan palsu dan/ atau menafikan pembelaan atau penafian kosong Plaintif terhadap fakta yang didakwa. B. JAWAPAN PLAINTIF [10] Plaintif sebagai pengarah Defendan (sebelum dipecat pada 19.10.2022) adalah berhak atas gajinya yang tertunggak dengan Defendan bagi tempoh perkhidmatan Plaintif sebagai pengarah Defendan. [11] Defendan merupakan pihak yang membangkitkan isu mengenai laporan aduan kepada SSM dalam pliding mereka secara spesifik melalui perenggan 42 Lampiran 47. Ini adalah jelas permohonan Defendan sebagai percubaan untuk memperbaiki pliding Defendan melalui Lampiran 48. [12] Surat daripada SSM (Lampiran 51 eskshibit SSC6), tiada sebarang indikasi diberikan oleh SSM mengenai kewujudan mahupun laporan aduan tersebut adalah dalam milikan, kawalan dan/ atau kuasa SSM. Kandungan surat tersebut hanya merujuk kepada status laporan tersebut adalah sulit. C. KEPUTUSAN [13] Asas kepada satu permohonan penzahiran dokumen adalah: - i. ianya adalah dokumen; ii. dokumen itu adalah relevan dan iii. dokumen itu dalam milikan dan kawalan pihak dimana permohonan penzahiran ini dibuat. 3 elemen ini diambil dari keputusan kes Yekambaran s/o Marimutu v Malayawata Steel Bhd [ 1994] 2 CLJ 581: - “ The essential elements for an order for discovery are threefold; namely, first, there must be a “document”, secondly, the document must be “relevant” and thirdly, the document must be or have been in the possession, custody or power” of the party against whom the order for discovery is sought.”. [14] Lampiran A kepada permohonan ini (Lampiran 48) menyatakan: - “Laporan aduan yang dibuat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia oleh Plaintif yang dinamakan di atas terhadap Defendan yang mendakwa bahawa Defendan telah menjual bahan lusuh milik GM Corporation Sdn Bhd yang merupakan atau merupakan pelanggan utama Defendan tanpa pengetahuan mereka (“Laporan Aduan”). Dalam konteks permohonan ini Pihak Ketiga (SSM) tidak menafikan wujudnya aduan yang dibuat oleh Plaintif kepada Pihak Ketiga tetapi melalui Borang Aduan dan bukannya Laporan Aduan dan Borang Aduan tersebut ada dalam milikan dan kawalan Pihak Ketiga. Pihak Ketiga menyatakan mereka tidak pernah memberikan persetujuan untuk memberikan Borang Aduan tersebut kepada Defendan. [15] Pihak Ketiga didalam affidavit mereka (Lampiran 57) mengesahkan bahawa aduan yang difailkan oleh Plaintif adalah berstatus “Sulit” dan butirannya tiada kaitan dengan tindakan Plaintif terhadap Defendan disini. Tuntutan Plaintif terhadap Defendan adalah untuk gantirugi tuntutan gaji sejumlah RM399,919.35 yang tidak dibayar oleh Defendan kepada Plaintif ketika berkhidmat sebagai pengarah Defendan. Defendan pula didalam tuntutan balas mereka menuntut sejumlah RM2,2000,000 bagi jumlah yang telah dibayar kepada Plaintif dan sejumlah RM10,000,000.00 sebagai kehilangan keuntungan, pampasan equity dan faedah pada kadar 5% atas jumlah yang dituntut. Selain itu, Borang Aduan Defendan kepada Pihak Ketiga adalah tanpa bukti untuk menyokong dakwaan mereka. [16] Permohonan penzahiran satu dokumen adalah tidak mencukupi sekadar ianya relevan tetapi adalah perlu untuk melupuskan satu tindakan secara adil dan untuk menjimatkan kos. Aturan 24 Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 memperuntukkan: - “8. Discovery to be ordered only if necessary. On the hearing of an application for an order under rule 3, 7 or 7A, the Court, if satisfied that discovery is not necessary, or not necessary at that stage of the cause or matter, may dismiss or adjourn the application and shall in any case refuse to make such an order if and so far as it’s of the opinion that discovery is not necessary either for disposing fairly of the cause or matter or for saving costs. [17] Mahkamah telah melihat surat balasan dari SSM (Lampiran 51 ekshibit SSC6) berkenaan permohonan Defendan untuk melihat kepada laporan aduan Defendan dan SSM mengklasifikasikan dokumen itu sebagai sulit dan tidak akan mengeluarkannya tanpa persetujuan Plaintif. Apa yang Defendan cuba lakukan adalah menggunakan proses Mahkamah untuk mendapatkan dokumen tersebut apabila dia tidak berjaya mendapatkannya dari SSM. Jika permohonan sebegini dibenarkan, ianya akan menjadi satu cara untuk mendapatkan suatu dokumen dari pihak berkuasa atas dokumen itu yang telah diklasifikasikan sebagai sulit untuk menggunakannya terhadap Plaintif. [18] Mahkamah ini memutuskan tanpa Borang Aduan yang difailkan oleh Plaintif dengan SSM (yang telah disahkan oleh SSM, butirannya tiada kaitan dengan tuntutan Plaintif), Defendan masih boleh memfailkan pembelaan dan tuntutan balasnya terhadap Plaintif. Tuntutan Plaintif sangatr spesifik dan Defendan juga telah menjawabnya dan tanpa aduan Plaintif yang dikemukakan kepada SSM, tindakan ini masih boleh diteruskan untuk satu perbicaraan yang adil. Apa yang penting disini, dari pembacaan Mahkamah ini, Defendan gagal menunjukkan bagaimana aduan itu boleh mempercepatkan satu perbicaraan adil kecuali ia lebih merupakan kepada satu “fishing expedition” yang mana akan memprejudiskan Plaintif dalam membela tuntutannya. [19] Kesimpulannya, setelah Mahkamah membaca affidavit pihak-pihak dan hujah-hujah, Mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan Defendan di Lampiran 48 dengan kos sebanyak RM2000.00 dibayar kepada Plaintif dan Pihak Ketiga. Bertarikh 25 September 2024 t.t. (NORLIZA BINTI OTHMAN) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MAHKAMAH TINGGI MALAYA KLANG PEGUAMCARA BAGI PLAINTIF : Tetuan J.S.Pillay & Mohd Haaziq Unit B- 1-22, Block B, Avenue 8, Seksyen 8, Jalan Sg. Jernih, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan PEGUAMCARA BAGI DEFENDAN : Tetuan Pierre Chuah & Associates Level 6 (West Wing), Lot 06-27, Berjaya Times Square, No. 1, Jalan Imbi, 55100 Kuala Lumpur