sama ada terdapat merit dalam Permohonan Habeas Corpus pihak Pemohon. DAPATAN DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH Isu Pertama dan Isu Kedua [28] Mahkamah ini akan menjawab kedua-dua isu undang-undang tersebut secara bersekali. [29] Setelah Mahkamah ini meneliti dan mempertimbangkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Responden serta hujahan dan nas-nas undang-undang yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak Responden dan Pemohon, Mahkamah ini bersetuju dengan bantahan awal dan hujahan yang dikemukakan oleh Responden tersebut. Oleh itu, Mahkamah ini telah membenarkan bantahan awal Responden tersebut dan telah menolak Permohonan Habeas Corpus Pemohon seperti dalam Notis Usul di Kandungan 1. Alasan Mahkamah ini adalah seperti di bawah. [30] Pertama, salah satu peruntukan yang dirujuk dalam intitulement Permohonan Habeas Corpus Pemohon ialah seksyen 365 Kanun Tatacara Jenayah. Menurut peruntukan tersebut, Mahkamah Tinggi antara lain apabila difikirkan patut, boleh mengarahkan mana-mana orang yang ditahan dengan menyalahi undang-undang atau tidak sepatutnya dalam jagaan awam atau persendirian dalam lingkungan Malaysia, dibebaskan. [31] Berdasarkan prinsip undang-undang yang mantap, seseorang pemohon hendaklah menamakan secara spesifik detaining authority yang telah menahannya secara tidak sah dan salah (illegally and improperly detained) di sisi undang-undang dalam permohonan habeas corpusnya. Kegagalan pemohon berbuat demikian akan menyebabkan permohonan habeas corpusnya fatal (lihat kes Theresa Lim Chin Chin & Ors v. Inspector General of Police [1988] 1 LNS 132; Sugumar Balakrishnan v. Pengarah Imigresen Negeri Sabah & Anor And Another Appeal [1998] 3 CLJ 85; Madjai Sanusi v Pengarah Imigresen Negeri Johor & Ors [1999] 7 CLJ 569, Mohamed Ezam v. Ketua Polis Negara [2002] 4 CLJ 309; Kerajaan Malaysia & Ors v Nasharuddin Nasir [2004] 1 CLJ 81; SK Tangakaliswaran Krishnan v. Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors [2009] 6 CLJ 705). [32] Dalam kes undang-undang yang dirujuk di atas, antara detaining authority yang dinamakan sebagai pihak responden dalam permohonan habeas corpus ialah Ketua Polis Negara, Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri, Malaysia. [33] Walau bagaimanapun, dalam kes ini Pemohon telah gagal menamakan secara spesifik detaining authority yang telah menahannya secara tidak sah dan salah dalam Permohonan Habeas Corpusnya. Tiada apa-apa penjelasan diberikan oleh Pemohon mengenai kegagalannya menamakan detaining authority dalam Afidavit Sokongannya. Sebaliknya, Pemohon telah menamakan Pendakwa Raya yang telah membuat pendakwaan ke atas Pemohon di bawah seksyen 26A ATIPSOM sebagai Responden dalam Permohonan Habeas Corpus tersebut. [34] Keperluan untuk menamakan secara spesifik detaining authority dalam permohonan habeas corpus telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors v Nasharuddin Nasir (supra) dan SK Tangakaliswaran Krishnan v. Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors (supra). [35] Dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors v Nasharuddin Nasir (supra), Steve Shim CJ (Sabah & Sarawak) yang menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seperti yang berikut: “Held: [2] The learned judge had proceeded to hear the s. 8 motion on the basis that art. 5 of the Constitution was stated in the recital. This is a misconception. It is trite law that the remedy of habeas corpus is intended to facilitate the release of persons actually detained in unlawful custody. That being so, the writ of habeas corpus had to be addressed to the person or authority having actual custody of the person alleged to be detained illegally. (pp 89 d-e & 90 b)”. [Penekanan ditambah] [36] Dalam kes SK Tangakaliswaran Krishnan v. Menteri Dalam Negeri, Malaysia & Ors (supra) pula, Gopal Sri Ram FCJ yang menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan telah menyatakan bahawa – “[5] In my considered judgment the point at stake falls to be resolved with reference to the principles governing the burden of proof in an application for habeas corpus. It is settled law that on an application for habeas corpus the burden of satisfying the court that the detention is lawful lies throughout on the detaining authority.”. [Penekanan ditambah] [37] Berdasarkan alasan dan autoriti di atas, memandangkan Pemohon telah gagal menamakan secara spesifik detaining authority yang telah menahannya secara tidak sah dan salah dalam Permohonan Habeas Corpusnya, maka pada pendapat Mahkamah ini, Permohonan Habeas Corpus tersebut adalah tidak bermerit dan fatal. [38] Kedua, undang-undang adalah mantap bahawa dalam prosiding habeas corpus, tugas dan tanggungjawab Mahkamah adalah untuk menentukan sama ada penahanan yang dibuat ke atas seseorang itu adalah sah dan betul di sisi undang-undang. [39] Justeru, untuk berjaya dalam sesuatu permohonan habeas corpus, pemohon hendaklah menunjukkan yang dia telah ditahan secara tidak sah dan salah oleh detaining authority. Sekiranya penahanan pemohon tersebut dibuat oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten (court of competent jurisdiction), maka penahanan tersebut adalah sah dan betul di sisi undang-undang. [40] Prinsip undang-undang ini telah diputuskan oleh Abdul Malik Ishak J dalam kes Madjai Sanusi v Pengarah Imigresen Negeri Johor & Ors (supra) seperti yang berikut: “... To succeed in an application for a writ of habeas corpus, the applicant must show to this court that he is “illegally or improperly detained”. In my judgment, a person cannot be said to be “illegally or improperly detained” when that person is serving a jail sentence that has been lawfully passed by a court of competent jurisdiction (Re Gurdit Singh [1933] MLJ 224; Re Gurbachan Singh’s Application [1967] 1 MLJ 74; Re Datuk Harun Haji Idris [1981] 1 MLJ 47; and Datuk Harun Haji Idris v. Officer-In-Charge, Pudu Prison [1981] 2 MLJ 72 FC) and I may add, in the context of the present case, where the applicant is detained in custody under a warrant of remand lawfully passed by the magistrate of Johor Bahru – a court of competent jurisdiction, he cannot be said to be “illegally or improperly detained”. ... It is trite law that in habeas corpus proceedings, the court is only concerned with the legality or otherwise of the detention on the date of the hearing. If it is clear that on the date of the hearing it cannot be said that the aggrieved party has been wrongfully deprived of his personal liberty and his detention is contrary to law, the writ of habeas corpus cannot be issued (Latif Hussain v. State of J&K, AIR [1971] SC 122).”. [Penekanan ditambah] [41] Dalam kes ini, berdasarkan kertas-kertas kausa yang telah difailkan serta penghujahan kedua-dua pihak Pemohon dan Responden, Mahkamah ini mendapati Pemohon telah gagal menunjukkan sebarang bukti yang dia telah ditahan secara tidak sah dan salah oleh mana-mana detaining authority. Bukan sahaja tiada sebarang bukti dikemukakan oleh Pemohon, menamakan detaining authority dalam Permohonan Habeas Corpus pun telah gagal dilakukan oleh Pemohon. [42] Apa yang pasti mengikut fakta kes ialah penahanan Pemohon tersebut dibuat berdasarkan Perintah Mahkamah ini, iaitu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada, pada 7 Disember 2023 di bawah seksyen 30 SOSMA. [43] Memandangkan Pemohon telah ditahan di dalam penjara tersebut melalui Waran Menahan yang dikeluarkan oleh Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten, Mahkamah ini berpendapat bahawa penahanan Pemohon tersebut adalah sah dan betul di sisi undang-undang dan oleh itu, tiada sebab untuk Mahkamah ini membenarkan Permohonan Habeas Corpus Pemohon tersebut. [44] Ketiga, Pemohon telah memfailkan rayuan terhadap perintah penahanan di bawah subseksyen 30(3) SOSMA yang diberikan oleh Mahkamah ini terhadap Pemohon pada 7 Mac 2024 dan rayuan itu masih belum dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan. Memandangkan tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Pemohon telah ditahan secara tidak sah dan salah oleh mana-mana detaining authority, Mahkamah ini berpendapat bahawa rayuan adalah remedi yang tepat untuk Pemohon mencabar perintah penahanan bertarikh 7 Mac 2024 tersebut dan bukannya melalui permohonan habeas corpus. [45] Keempat, sebaik sahaja Mahkamah ini memerintahkan Pemohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah seksyen 26A ATIPSOM pada 7 Disember 2023, pihak pendakwaan terus bangun dan membuat permohonan secara lisan supaya Pemohon ditahan di dalam penjara menurut subseksyen 30(1) dan (3) SOSMA sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan Notis Rayuan dan sehingga rayuan tersebut dibereskan. Ini kerana, kesalahan yang dipertuduhkan ke atas Pemohon tersebut adalah melibatkan keselamatan negara. [46] Pada pendapat Mahkamah ini, jika seksyen 30 SOSMA dibaca secara keseluruhan (in totality), boleh difahami bahawa adalah menjadi hasrat penggubal undang-undang untuk memberi kuasa kepada Mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk memerintahkan mana-mana orang yang dilepas dan dibebaskan daripada kesalahan yang berkaitan dengan keselamatan negara ditahan di dalam penjara sementara menunggu Notis Rayuan difailkan oleh Pendakwa Raya dan sehingga rayuan itu dibereskan oleh mahkamah atasan. [47] Bagi maksud ini, penggunaan perkataan “hendaklah” atau “shall” dalam subseksyen 30(2) dan (4) SOSMA tersebut menunjukkan yang ia bersifat mandatori. Oleh itu, sekiranya terdapat permohonan daripada Pendakwa Raya untuk menahan seseorang di dalam penjara di bawah seksyen 30 SOSMA, Mahkamah hendaklah membenarkan permohonan penahanan tersebut dan ia hendaklah berkuat kuasa sehingga rayuan itu dibereskan. [48] Selanjutnya, memandangkan subseksyen 30(3) SOSMA tidak menetapkan suatu tempoh tertentu untuk Pendakwa Raya membuat permohonan kepada mahkamah perbicaraan bagi suatu perintah untuk memenjarakan seseorang tertuduh sementara menunggu beresnya rayuan yang difailkan di bawah subseksyen 30(1) SOSMA dan perkataan yang digunakan dalam subseksyen 30(3) SOSMA tersebut adalah “boleh” atau “may” yang tidak bersifat mandatori, maka adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa tiada tempoh dan had masa tertentu untuk Pendakwa Raya membuat permohonan penahanan selanjutnya di bawah subseksyen 30(3) SOSMA tersebut. [49] Oleh itu, apabila seseorang tertuduh telah diperintahkan untuk ditahan di dalam penjara di bawah subseksyen 30(1) SOSMA, penahanan tersebut hendaklah berterusan sehingga rayuan terhadapnya dibereskan. [50] Untuk rekod, Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ini telahpun memaklumkan Mahkamah ini seawal 7 Disember 2023 tentang hasrat pihak pendakwaan untuk memohon perintah penahanan di bawah subseksyen 30(1) dan (3) SOSMA terhadap Pemohon apabila Mahkamah ini memerintahkan Pemohon dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di bawah seksyen 26A ATIPSOM tersebut. [51] Oleh itu, Mahkamah ini tidak dapat bersetuju dengan hujahan pihak Pemohon bahawa penahanan Pemohon tersebut adalah tidak sah kerana wujud sela masa dalam perintah penahanan Pemohon tersebut. [52] Kelima, memandangkan Pemohon telah gagal menunjukkan yang dia telah ditahan secara tidak sah dan salah oleh mana-mana detaining authority, maka Mahkamah ini berpendapat bahawa Permohonan Habeas Corpus Pemohon tersebut adalah tidak bermerit dan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah. Oleh itu, ia wajar ditolak. [53] Sebagai kesimpulan –