Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET PONTIAN DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM KES JENAYAH NO.JI-83-135-03/2024 PENDAKWARAYA V SUGANTHI A/P SANDER KUMAR ALASAN PENGHAKIMAN A. PERTUDUHAN 1) Pertuduhan terhadap OKT - Bahawa kamu pada 07.05.2023 bertempat di No.31, Kampung Sungai Boh, Kukup, di dalam daerah Pontian, dalam negeri Johor Darul Takzim, telah didapati memiliki wang berjumlah RM1,500.00/- dalam akaun Maybank bernombor 164717225610 atas nama kamu yang didapati secara frod, yang mana kamu gagal memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana kamu mendapatkan wang tersebut. oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. B. EKSIBIT YANG DIKEMUKAKAN 2) OKT telah mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dikemukakan dan Pihak Pendakwaan telah mengemukakan eksibit berikut – a. P1 – Fakta Kes b. P2 – Laporan Polis Permas 810/23 c. P3 – Laporan Polis Sri Muda 7060/24 d. P4 – Resit Pembayaran e. P5 – Penyata Akaun OKT C. FAKTA KES 3) Pada 08/03/2023 jam lebih kurang 12.38 tengahari, semasa pengadu berada di rumah alamat No 31, Kampung Sungai Boh, Kukup, Johor telah berminat dengan tawaran harga kereta terpakai Proton Saga di laman Instagram dan berurusan dengan 1 lelaki cina di nombor talian 011-16105362 bagi perbincangan lanjut. 4) Pengadu telah diberikan oleh agen satu nombor akaun Maybank 164717225610 atas nama Suganthi a/p Sander Kumar. Pada 07/05/2023, pengadu telah membuat satu kali pindahan wang berjumlah RM1,500.00/- ke dalam akaun tersebut. Namun setelah pindahan wang tersebut, pengadu tidak menerima kereta seperti yang dijanjikan. Kemudian, pengadu hadir ke Balai Polis Pontian dan membuat laporan polis sepertimana Permas 810/23. 5) Hasil semakan terhadap penyata akaun OKT mendapati pindahan wang tersebut telah masuk ke dalam akaun bank milik OKT yang telah dibuka oleh OKT pada 21/04/2017 di cawangan KL Sentral 6) Hasil siasatan mendapati OKT memiliki wang pengadu berjumlah RM1,500.00/- yang didapati secara frod dan OKT gagal memberi penjelasan yang memuaskan tentang pemilikan wang pengadu yang masuk ke dalam akaun OKT. D. DAPATAN MAHKAMAH 7) Walaupun OKT telah mengaku salah atas pertuduhan, namun tetap menjadi tugas Mahkamah ini untuk memastikan proses undang-undang dipatuhi sebelum Mahkamah memutuskan OKT bersalah dan disabitkan. Mahkamah ini merujuk kes Mahkamah Tinggi Shah Alam BA-43-5-02/2023 PP v Manikavasagam a/l Sundaram di mana YA Hakim Mahkamah Tinggi mengingatkan bahawa Majistret/Hakim Mahkamah Sesyen hendaklah “to be careful, cautious and circumpect before accepting pleas of guilty and not treat the process as something that is done mechanically without considering the facts of the case and the relevant statute to ensure and establish that an offence has been made out.”. 8) Panduan untuk Pegawai Pendakwa dan Pegawai Kehakiman juga telah diberikan di dalam kes PP v. Margarita B Cruz [1987] 1 LNS 129; [1988] 1 MLJ 539 berkenaan tanggungjawab untuk memastikan pertuduhan yang dirangka terhadap OKT adalah mengikut peruntukan undang-undang – "Prosecuting officers and magistrates should also heed the advice of Thomson J. (as he then was) in the case of Public Prosecutor v. Syed Bakri [1955] MLJ xvii as to how a charge should be framed. (See also Public Prosecutor v. Lim Yoo Hock [1984] 1 LNS 30; [1984] 1 MLJ 309.)" 9) Berdasarkan prinsip ini, Mahkamah telah meneliti pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan terhadap OKT dan Mahkamah ini berpendapat pertuduhan yang dihadapkan terhadap OKT adalah suatu pertuduhan yang cacat dan defektif. Namun ia bukanlah suatu situasi di mana Mahkamah ini boleh memberi peluang kepada pihak Pendakwaan untuk meminda apa-apa kecacatan di dalam pertuduhan yang dikemukakan. Ini adalah situasi di mana pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan tidak menjurus kepada suatu kesalahan di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 1955). 10) Bagi pertuduhan di bawah seksyen 29(1) Akta 1955, elemen kesalahan yang perlu wujud adalah – a. bahawa OKT mempunyai harta dalam milikannya; b. yang mungkin disyaki secara munasabah telah dicuri ATAU diperoleh secara curang; dan c. OKT telah gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana harta itu menjadi miliknya 11) Mahkamah ini adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang telah memutuskan berkenaan dengan isu pertuduhan di bawah seksyen 29(1) Akta 1955. Merujuk kes-kes permohonan semakan jenayah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, PP v Ng Wai Kuan dan 5 yang lainnya [2023] CLJU 553 dan kes PP v Mohd Redzwan bin Md Yatim dan 2 lainnya [2023] CLJU 1354 yang mana telah diputuskan bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh OKT-OKT di bawah seksyen 29(1) Akta 1955 adalah defektif. Antara alasannya adalah wang yang berada di dalam akaun bank bukannya “property” bagi maksud seksyen 29(1) Akta