Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN JENAYAH NO: DA-42JSKS-2-04/2024 ANTARA SYAZWAN AFIQ BIN SHARIFF … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah.
DA-42JSKS-2-04/2024
High Court of Malaysia15 May 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“38. Dalam kes Din v PP [1964] MLJ 300 di ms 301: “… The hymen was ruptured but this was not recent. In short, this evidence did not support in any way that the woman had had sexual intercourse within the previous twelve hours but on the”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN JENAYAH NO: DA-42JSKS-2-04/2024 ANTARA SYAZWAN AFIQ BIN SHARIFF … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Mukadimah.
1
Perayu telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dengan satu pertuduhan seperti berikut: “Bahawa kamu pada 15.10.2021 jam lebih kurang 5.00 pagi di sebuah bilik di alamat Lot 787-A, Jln Pengkalan Chepa Kg. Kubang Tuman, 15400 Kota Bharu, Kelantan, di dalam Daerah Kota Bharu, dalam Negeri Kelantan, telah merogol seorang kanak-kanak bernama xxxxxxxxxxxxxx, No. Kad Pengenalan: xxxxxxxxxxxx, ketika itu berumur 14 tahun 3 bulan. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1)
2
Di akhir kes pembelaan, perayu telah didapati bersalah dan telah disabitkan terhadap pertuduhan tersebut dan telah dijatuhi hukuman pemenjaraan selama 8 tahun dari tarikh perayu disabitkan (1-4-2024) dan 2 sebatan. Fakta kes Pendakwaan.
3
Pada 15-10-2021 jam lebih kurang 4.30 pagi, mangsa (SP1) telah keluar dari rumahnya di Lot 280 Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu dan telah mengikuti perayu dengan menaiki motosikal perayu dan telah dibawa balik ke rumah perayu di Lot 787-A, Jalan Pengkalan Chepa, Kg. Kubang Tuman, Kota Bharu.
4
Setelah sampai ke rumah perayu, mangsa telah dibawa ke dalam bilik tidur perayu dan telah diberi sebiji pil. Selepas mengambil pil tersebut, mangsa merasa sakit kepala dan menjadi lemah. Dalam keadaan tersebut perayu dikatakan telah merogol mangsa.
5
Lebih kurang jam 7.00 pagi, pada hari yang sama, abang mangsa (SP3) telah datang mengambil mangsa di rumah perayu. Mangsa kemudiannya telah dibawa ke balai polis dan kemudiannya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.
6
Mangsa telah diperiksa oleh Doktor Hanis Syazana binti Che Ab Karim (SP6), iaitu Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 15-10-2021 jam 1935H hingga 2230H iaitu selang lebih kurang 15 jam selepas kejadian dan mendapati terdapat koyakan lama pada selaput dara mangsa pada kedudukan jam 3,5,7 dan 9. SP6 juga memberitahu bahawa semasa pemeriksaan, mangsa dalam keadaan haid. Fakta kes Pembelaan.
7
Perayu mengatakan bahawa apabila sampai di rumah perayu, perayu telah membawa mangsa masuk ke dalam bilik tidurnya dan memberikan sebiji Panadol kepada mangsa kerana mangsa mengadu sakit kepala. Selepas itu, perayu telah meninggalkan mangsa seorang diri dalam bilik tidurnya dan perayu telah pergi tidur di dalam bilik tidur adiknya. Dapatan Hakim Mahkamah Sesyen di akhir kes Pembelaan.
8
Di antara alasan HMS yang bijaksana adalah seperti berikut:
a
Walaupun tiada koyakan selaput dara atau hymen yang baru dan hanya ada koyakan lama, ia tidak bermaksud tiada penetrasi yang baru, kerana terdapat pelbagai faktor yang menjadikan keadaan sedemikian. Koyakan lama boleh sahaja memberi laluan kepada penetrasi yang baru dilakukan. Penggunaan pelincir juga boleh menyebabkan tidak berlaku koyakan yang baru.
b
Versi cerita mangsa adalah munasabah, iaitu mangsa sedar semasa perayu menindih di atas badan mangsa dan kemudiannya merogol mangsa dan kemudiannya barulah mangsa telah tidak sedarkan diri setelah menelan ubat yang diberikan oleh perayu.
c
Mangsa mengaku sedar dan melihat perayu memasukkan kemaluan perayu ke dalam kemaluan mangsa dan mangsa merasa sakit sekaligus menunjukkan bahawa sememangnya berlaku penetrasi.
d
Perayu mempunyai ruang dan peluang yang besar untuk melakukan rogol ke atas mangsa.
e
Terdapat kesan darah daripada toto bertanda H22 yang diambil di tempat kejadian. Ini memberikan satu “irresistible inference” bahawa sememangnya satu persetubuhan telah berlaku.
f
Pembelaan perayu hanya penafian semata-mata dan pemikiran semula. Perayu tidak memanggil adiknya sebagai saksi bagi mengesahkan kejadian rogol tidak berlaku.
g
Terdapat kesan DNA bercampur antara perayu dan mangsa pada toto yang menyokong bahawa perayu telah merogol mangsa. DAPATAN MAHKAMAH TINGGI. Kebolehpercayaan Keterangan Mangsa (SP1).
9
Peguam perayu yang bijaksana menghujahkan bahawa keterangan mangsa adalah tidak boleh dipercayai kerana mempunyai banyak percanggahan.
10
Timbalan pendakwaraya menghujahkan bahawa mangsa telah memberi keterangan dengan baik dan jelas serta mangsa dapat mengingati semua perkara yang berlaku ke atas dirinya pada masa kejadian. Keterangan mangsa boleh dipercayai dan boleh diterima.
11
Mahkamah ini mendapati bahawa kebolehpercayaan keterangan mangsa dalam kes ini bergantung kepada keadaan mangsa semasa kejadian. Adakah mangsa sedar, atau separuh sedar atau tidak sedar semasa kejadian berlaku.
12
Mangsa dalam laporan polisnya (P1) yang dibuat pada 16-10-2021 (iaitu sehari selepas kejadian) mengatakan bahawa dia diajak untuk masuk ke dalam bilik tidur dan perayu memberikan sebiji ubat berwarna putih dengan alasan untuk menenangkannya. Dia terus menelan ubat tersebut selepas itu dia merasa sakit kepala dan tidak sedarkan diri. Pada jam lebih kurang 7 pagi mangsa telah tersedar dari tidur dan abangnya Sazali telah buat laporan polis.
13
Daripada laporan polis mangsa ini, terdapat 2 fakta penting. Pertamanya, mangsa telah tidak sedarkan diri selepas menelan ubat yang diberikan kepadanya oleh perayu dan keduanya tiada sebarang alegasi rogol oleh mangsa terhadap perayu secara khusus. Mangsa hanya mengatakan bahawa pegawai perubatan yang memeriksanya yang mendapati dia telah dirogol.
14
Dalam kes Abdul Rahman Ibrahim v Pendakwaraya [2002] 6 MLRH 578, Mahkamah mengatakan: “Peri pentingnya ketinggalan di dalam laporan polis bergantung kepada betapa materialnya ketinggalan tersebut dan penjelasan yang dikemukakan atas kegagalan tidak mengatakannya di dalam laporan polis. Memandangkan terdapatnya percanggahan-percanggahan dalam keterangan SP4 kegagalan menamakan Tertuduh secara jelas dan nyata sebagai orang yang merogolnya di dalam P3 merupakan sesuatu yang penting dan ini menyebabkan keterangannya meragukan bilamana penjelasan yang sepatut tidak diberi.”
15
Laporan polis tidak semestinya mengandungi semua maklumat lengkap dan terperinci mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa yang menimpa pengadu. Namun sekurang-kurangnya ia mengandungi aduan asas berkenaan peristiwa yang berlaku ke atas pengadu yang menjadikan perlunya laporan tersebut dibuat.
16
Semasa sesi soal utama, mangsa menjawab soalan TPR seperti berikut: Macam mana buka pintu, dia guna apa? Guna kunci. Selepas tu pergi mana? Pergi ke bilik. Ada nampak sesiapa dalam rumah selain Syazwan Afiq? Tak ada. Apa jadi lepas tu? Dia bagi saya ubat. Selepas dia bagi, apa jadi? Saya rasa pening. Tahu ubat apa dia bagi? Tidak. Kenapa dia bagi ubat? Sebab saya sakit kepala. Sejak bila sakit kepala? Masa dia ambil saya. Apa jadi selepas dia bagi ubat? Rasa pening. Tadi bagi tahu dia bagi ubat sebab awak pening, jadi lepas makan ubat, awak rasa pening, mana satu ni? Pening sebelum makan ubat ke selepas makan ubat? Sebelum pening sikit, lepas tu macam sakit kepala. Apa beza sakit kepala dengan pening tu, boleh jelaskan? Tak faham soalan. Boleh jelaskan, sakit kepala macam mana? Macam tak sedar.”
17
Di sini mangsa kata sebelum makan ubat dia pening kepala. Selepas dia makan ubat, dia sakit kepala macam tak sedar. Selanjutnya mangsa menjawab soalan TPR lagi seperti berikut: Apa maksud kamu tu? Boleh jelaskan? Apa yangkamu rasa pada masa tu akibat daripada makan ubat, tubuh kamu? Rasa lemah. Apa jadi kemudian? Apa jadi selepas tu? M-saksi lama diam (pemerhatian oleh HMS) Apa jadi selepas tu? Dia pecat baju saya. Siapa dia? Syazwan Afiq Selepas tu? Dia naik atas saya. Posisi macam mana? Dia duduk mana masa naik atas kamu, di bahagian mana dia naik? Keadaan macam mana? Tindih Tindih apa? Saya. Selepas tu apa dia buat? Dia masukkan kemaluan. Masukkan dalam apa? Dalam kemaluan saya. Macam mana tahu kemaluan dia masuk kemaluan awak? Saya nampak. Masa tu tangan dekat mana? Dekat sisi. Bahagian mana sisi kamu? Kedua-dua ke? Kedua-dua. Macam mana pasti tu kemaluan dia masuk? Saya nampak. Apa kamu buat masa dia masukkan kemaluan dia ke dalam kemaluan kamu? Saya tak sedar. Seterusnya apa yang jadi? Apa dia buat masa dia masukkan kemaluan? Saya tak tahu. Lepas tu apa jadi? Saya tak sedar.”
18
Sekali lagi mangsa tiba-tiba kata dia tidak sedar. Apabila dia sedar, abangnya telah datang dan mengangkatnya keluar. Lepas tak sedar, apa jadi? Kamu sedar kamu tengok? Di mana? Abang saya angkat. Dekat mana angkat tu? Di bilik. Di bilik mana?
19
Mangsa kemudiannya diminta merujuk dan membaca laporan polisnya P1. Dengan merujuk kepada P1, mangsa menjawab soalan TPR seperti berikut: Macam mana tahu dirogol tanpa kerelaan? Pada masa tu saya kabar, sedar lagi. Kabar tu maksud apa? Masih sedar. Apa yang terjadi pada masa sedar? Syazwan Afiq sentuh saya. Sentuh macam mana? Tunjuk bagaimana sentuh? HMS :Saksi boleh guna model anak patung. Sentuh di mana? Bahagian dada. Ada bahagian lain? Tak ada. Apa jadi lepas tu? Abang saya ada.”
20
Mangsa juga dalam keterangannya mengatakan bahawa semasa kejadian dia sedang datang haid. Dia mengalami “period pain” dan pening kepala.
21
SP3 (abang mangsa) dalam keterangannya mengatakan bahawa semasa dia angkat mangsa keluar, mangsa masih tidak sedarkan diri.
22
Daripada keseluruhan keterangan mangsa ini, timbul persoalan berkenaan apakah keadaan sebenar mangsa ini semasa kejadian. Adakah dia sebenarnya berada dalam keadaan sedar atau separuh sedar atau tidak sedar langsung? Mahkamah ini mendapati keterangan mangsa ini berbolak balik antara sedar dan tidak sedar dalam masa yang sama. Sekejap dia kata dia sedar dan sekejap dia kata dia tidak sedar. HMS juga merekodkan tingkah laku mangsa semasa memberi keterangan seperti berikut: Apa jadi kemudian? Apa jadi selepas tu? M-saksi lama diam Apa jadi selepas tu? Dia pecat baju saya.”
23
Oleh itu Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan mangsa ini adalah meragukan. Pakaian SP1 dan Perayu.
24
Dari segi pakaian mangsa dan perayu, dalam keterangannya mangsa mengatakan bahawa dia memakai pakai baju-T dan seluar pada masa kejadian. Tiada keterangan langsung berkenaan pakaian perayu semasa kejadian.
25
Mangsa mengatakan bahawa perayu membuka baju dan seluar mangsa. Dalam keadaan mangsa terbaring, perayu duduk di atas kemaluan mangsa. Tiada keterangan lanjut bagaimana keadaan atau cara mangsa terbaring sama ada kedua-dua kakinya terlunjur rapat atau terbuka.
26
Daripada keterangan mangsa yang mengatakan bahawa perayu duduk di atas kemaluannya, bolehlah dirumuskan bahawa mangsa berbaring secara terlentang. Bagaimana cara perayu duduk di atas kemaluan mangsa juga tidak dinyatakan. Posisi duduk yang difahami secara umum adalah duduk dengan bahagian punggung seseorang mengenai permukaan alas duduk seperti kerusi atau lantai. Bagaimana kemaluan perayu boleh masuk ke dalam kemaluan mangsa dalam keadaan punggung perayu berada di atas kemaluan mangsa juga menjadi tanda tanya.
27
Selanjutnya, mangsa mengatakan bahawa perayu menindihnya dan kedua-dua tangan perayu berada di sisi mangsa dan dalam keadaan ini mangsa kata dia boleh nampak kemaluan perayu masuk ke dalam kemaluannya. Mahkamah ini mendapati keterangan mangsa ini adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana tidak mungkin mangsa dapat melihat kemaluan perayu memasuki kemaluan mangsa dalam keadaan mangsa berbaring terlentang dan perayu menindihnya dengan kedua-dua tangan perayu berada di sisi mangsa. Mangsa tidak mungkin boleh nampak apa-apa dari bahagian perutnya dan ke bawah dalam posisi tersebut.
28
Seterusnya, dalam keseluruhan episod cerita mangsa ini, tiada sebarang keterangan yang mengatakan seluar dalam mangsa telah dibuka sebelum kejadian rogol dikatakan berlaku. Dalam keadaan haid, sudah semestinya mangsa akan memakai seluar dalam dan tuala wanita.
29
Tiada juga sebarang keterangan berkenaan apakah pakaian perayu pada masa kejadian dan tiada keterangan berkenaan perayu ada pada bila-bila masa membuka pakaiannya sebelum dia dikatakan duduk di atas kemaluan mangsa dan sebelum dia menindih dan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa. Adakah perayu duduk di atas kemaluan mangsa dan menindih mangsa dalam keadaan perayu berpakaian lengkap atau adakah perayu ini sejak dari masa dia pergi mengambil mangsa di rumah mangsa lagi memang sudah tidak berpakaian, yang mana adalah tidak munasabah.
30
Ini semua adalah fakta-fakta relevan yang penting yang perlu dan sepatutnya dibuktikan oleh pihak pendakwaan secara jelas dalam kes ini. Jika tidak, naratif kejadian akan menjadi tidak munasabah.
31
Keterangan mangsa tidak disokong oleh keterangan abangnya iaitu SP3, Sazali. Sebaliknya keterangan SP3 yang mengatakan bahawa semasa dia sampai ke rumah perayu dan menjumpai mangsa, mangsa sedang tidur seorang diri di dalam bilik tersebut. Keterangan SP3 ini menyokong keterangan perayu yang mengatakan bahawa mangsa ditinggalkan dan tidur seorang diri di dalam bilik tersebut.
32
Selanjutnya, tiada keterangan daripada SP3 yang mengatakan bahawa semasa dia menjumpai mangsa di dalam bilik tersebut, mangsa berada dalam keadaan tidak memakai baju atau seluar. SP3 kata dia jumpa mangsa tengah baring dan dia terus angkat mangsa bawa keluar. Jika betul keterangan mangsa bahawa setelah perayu masukkan kemaluannya dalam kemaluan mangsa selepas itu mangsa tidak sedarkan diri, sudah tentu mangsa akan berada dalam keadaan tanpa pakaian sampai ke pagi. Tiada keterangan yang mengatakan bahawa mangsa memakai semula pakaiannya atau perayu yang memakaikan semula pakaian mangsa selepas kejadian rogol tersebut. Keterangan SP3 ini bertentangan dengan keterangan mangsa yang mengatakan bahawa baju dan seluar dia telah dibuka.
33
Mangsa, semasa disoal balas, tidak bersetuju dengan cadangan peguambela perayu bahawa sebelum tarikh kejadian tersebut, mangsa pernah dirogol oleh abangnya, sepupunya dan bekas teman lelakinya. Jika mangsa tidak pernah dirogol sebelum kejadian tersebut, lazimnya selaput dara mangsa masih dalam keadaan baik dan jika kejadian rogol dalam kes ini benar-benar berlaku dalam keadaan selaput dara mangsa masih dalam keadaan baik, sudah tentu akan terdapat kesan koyakan baru kepada selaput dara mangsa kerana pemeriksaan kemaluannya telah dibuat oleh SP6 hanya dalam masa 15 jam selepas kejadian. Keterangan SP6.
34
Keterangan mangsa juga tidak disokong oleh keterangan SP6 bila mana SP6 setelah memeriksa kemaluan mangsa pada jam 7.30 malam 15-10-2021 (15 jam selepas kejadian) mendapati tiada koyakan baru pada selaput dara mangsa. Hanya terdapat koyakan lama pada kedudukan jam 3, 5, 7 dan 9. SP6, walau bagaimanapun, mengatakan bahawa koyakan lama tidak bermaksud tiada penetrasi baru terjadi kepada mangsa. SP6 juga menjelaskan bahawa koyakan lama adalah koyakan yang telah berlaku lebih dari 72 jam selepas berlakunya penetrasi. SP6 juga mengatakan bahawa koyakan lama pada selaput dara mangsa tersebut adalah konsisten dengan kejadian rogol.
35
Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan SP6 yang mengatakan bahawa “koyakan lama tidak bermaksud tiada penetrasi baru terjadi kepada mangsa” adalah satu keterangan anggapan oleh SP6 semata-mata. Ia membawa maksud mungkin ada penetrasi baru kepada mangsa dan mungkin tiada.
36
Semasa disoal semula, keterangan SP6 lebih mendatangkan kekeliruan apabila dia memberi keterangan seperti berikut: “Koyakan lama tak bermaksud terdapat penetrasi lama, penetrasi baru, tak dapat koyakan baru. Ketiadaan koyakan baru, boleh disebabkan beberapa faktor, antaranya dengan kerelaan mangsa, ataupun terdapat pelincir yang cukup semasa tusukan or kemasukan objek ke dalam vagina, tak boleh sebabkan koyakan lama, koyakan baru tak maksud penetrasi baru, koyakan tak bermaksud penetrasi mangsa. Tadi ada beritahu, pelincir, apa efek pelincir kepada koyakan baru or lama? Memudahkan masuk sesuatu benda dalam lubang, contoh, pelincir kurang, kurang koyakan hymen mangsa.”
37
Boleh disimpulkan daripada keterangan SP6 bahawa jika ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, maka pastinya ada penetrasi baru terjadi. Bila ada kesan koyakan lama, tidak bermaksud tiada penetrasi baru. Boleh jadi ada juga berlaku penetrasi baru. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa jika sekiranya suatu keterangan menimbulkan 2 inferen, inferen yang memihak kepada tertuduh hendaklah diterima pakai. Dengan mengaplikasikan prinsip tersebut, maka inferen bahawa tiada kemasukan atau penetrasi baru adalah terpakai.
38
Dalam kes Din v PP [1964] MLJ 300 di ms 301: “… The hymen was ruptured but this was not recent. In short, this evidence did not support in any way that the woman had had sexual intercourse within the previous twelve hours but on the other hand it did not negative such a possibility.”
39
Dalam kes Abdul Rahman Ibrahim lwn. Pendakwa Raya (supra), Mahkamah mengatakan: “Memandangkan koyakan pada selaput dara SP4 merupakan koyakan lama, ianya tidak menunjukkan koyakan tersebut berlaku pada masa kejadian yang melibatkan Tertuduh.…Jadi keterangan SP1 adalah negatif dan tidak mampu menjadi qarinah bagi menyokong keterangan SP4. Jelaslah Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana telah tersilap dalam membuat dapatan fakta dengan memutuskan terdapat qarinah berkaitan fakta rogol melalui keterangan SP1.” Keterangan Ahli Kimia Forensik.
40
Berdasarkan dokumen Borang Penyerahan Spesimen Bagi Kes Medico Legal, terdapat beberapa spesimen telah diambil daripada mangsa oleh SP6 untuk tujuan analisis DNA dan spermatozoa, antaranya: i) Nipple swab; ii) Perineal swab; (vagina, anus, punggung) iii) Ear swab; iv) Bulu kemaluan; v) Rambut; vi) Kuku jari tangan; vii) Catheter; viii) Vaginal swab; ix) Inner gum; dan x) labia minora.
41
Muhammad Fauzi bin Ahmad (SP11) yang merupakan Ahli Kimia telah menjalankan analisis bagi mengesan DNA individu-individu tertentu ke atas spesimen-spesimen yang diambil di tempat kejadian daripada mangsa dan juga perayu. Laporan kimia yang disediakan oleh SP11 telah dikemukakan dan diterima sebagai ekshibit P63.
42
SP11 dalam keterangannya mengatakan bahawa dia telah menemui kesan air mani perayu pada cadar “H18”, sarung bantal peluk “H20”, tuala “H21” dan toto “H22”. Barang-barang tersebut telah diambil dari dalam bilik tidur perayu.
43
SP11 juga mengatakan bahawa terdapat DNA bercampur antara perayu dan mangsa pada toto “H22”.
44
SP11 mengatakan selanjutnya bahawa tiada spermatozoa dan tiada DNA asing dikesan pada putik-putik kapas yang bertanda “H4”, “H5”, “H6”, “H7” dan “H9”, “H10” yang terdapat profile DNA mangsa.
45
SP11 kata tiada profile DNA pada Catheter “H8” dan tiada perbandingan dapat dibuat.
46
Secara umumnya, daripada keterangan SP11 dan daripada ekshibit P63, DNA perayu hanya dikesan kepada barang-barang peribadi perayu yang terdapat dalam bilik tidurnya sendiri seperti cadar, toto, sampul bantal peluk dan tuala. Tiada DNA perayu dikesan pada spesimen-spesimen putik kapas yang disapu pada beberapa anggota tubuh badan mangsa.
47
Walaupun mangsa mengatakan bahawa terdapat kesan darah haidnya pada tuala dan cadar namun tiada sebarang profile DNA mangsa ditemui pada 2 barang tersebut.
48
HMS telah terkhilaf apabila meletakkan beban pembuktian ke atas perayu untuk memanggil saksi bagi mengesahkan kejadian rogol tidak berlaku. Tiada sebarang beban bukti tertanggung ke atas perayu untuk membuktikan kejadian rogol tidak berlaku sebaliknya pihak pendakwalah yang memikul beban tersebut di sepanjang perbicaraan sehinggalah ke akhir kes pembelaan.
49
Seseorang tertuduh tidak menanggung sebarang beban untuk membuktikan dia tidak bersalah. Suatu sabitan mesti terletak di atas kekuatan kes pendakwaan dan bukannya di atas kelemahan kes pembelaan. Prinsip ini telah dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Rosli Yusoff v. PP [2021] 7 CLJ 681 seperti berikut: “[45] It is trite law that it is not the duty of the appellant to prove his innocence or to call a particular witness to support his defence (see Tan Foo Su v. PP [1967] 1 LNS 179; [1967] 2 MLJ 19; and Sandra Margaret Birch v. PP [1977] 1 LNS 114; [1978] 1 MLJ 72). The law places upon the prosecution the burden to prove guilt of the appellant beyond reasonable doubt and not on the appellant to prove his innocence. Well-entrenched in jurisprudence is the rule that the conviction of the appellant must rest not on the weakness of the defence but on the strength of the prosecution. This principle is the cornerstone of our criminal law.”
50
HMS juga telah terkhilaf apabila mendapati bahawa oleh kerana terdapatnya profil DNA bercampur pada toto yang berada dalam bilik tidur perayu, maka ia adalah satu “irresistible inference” yang menunjukkan sememangnya telah berlaku persetubuhan antara perayu dengan mangsa. Ini adalah kerana semasa mangsa berada di rumah perayu, mangsa berada dalam keadaan haid. Mangsa sendiri mengakui bahawa kesan darah yang terdapat pada toto tersebut adalah daripada kesan darah haidnya.
51
Kewujudan profil DNA perayu pada barang-barang peribadinya seperti cadar, sampul bantal, toto dan tuala yang terdapat di dalam bilik tidurnya sendiri boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang hanya perayu yang tahu. Tiada keterangan berkenaan sejak bila terdapatnya profil DNA perayu pada barang-barang tersebut sama ada pada masa kejadian atau pun sebelumnya. Ada kemungkinan profil DNA perayu telah lama berada pada barang-barang peribadinya tersebut memandangkan bilik tersebut adalah bilik perayu. Manakala DNA mangsa pada toto tersebut diperolehi dari kesan darah haidnya.
52
Oleh itu, percampuran DNA perayu dan mangsa pada toto tersebut tidaklah menunjukkan secara langsung atau secara konklusif bahawa telah berlakunya persetubuhan antara perayu dengan mangsa apatah lagi untuk menunjukkan terdapatnya kemasukan kemaluan perayu dalam kemaluan mangsa.
53
Selanjutnya, HMS yang bijaksana mendapati bahawa kejadian rogol telah berlaku ke atas mangsa kerana perayu mempunyai ruang dan peluang yang besar untuk melakukan rogol ke atas mangsa. Dengan tidak sedikit pun menghilangkan rasa hormat kepada HMS yang bijaksana, Mahkamah ini mendapati HMS telah terkhilaf secara jelas apabila mendapati kejadian rogol telah berlaku kerana terdapat peluang dan ruang untuk perayu melakukannya.
54
Mahkamah ini mendapati pembelaan perayu bukanlah penafian semata-mata dan bukan satu pemikiran semula. Keterangan perayu yang mengatakan selepas dia memberi ubat kepada mangsa dia telah meninggalkan mangsa berseorangan dalam bilik tersebut dan dia pergi tidur di bilik lain adalah disokong oleh keterangan SP3 yang mengatakan semasa SP3 menemui mangsa, mangsa sedang tidur berseorangan di dalam bilik tersebut.
55
Keterangan SP6 yang mendapati tiada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa dan keterangan SP11 yang tidak menemui sebarang spermatozoa dan profil DNA perayu pada spesimen yang diambil dari bahagian tubuh badan termasuklah kemaluan mangsa lebih menjurus kepada tiada kejadian rogol dan penetrasi telah berlaku antara perayu dan mangsa.
56
Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf apabila mendapati pihak responden telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah dan telah mensabitkan perayu. Oleh itu, Mahkamah ini membenarkan rayuan perayu dan keputusan HMS yang bijaksana diakaskan. Sabitan serta hukuman HMS yang bijaksana diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan tersebut. Bertarikh: 23-07-2025. ……………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Peguam Perayu : Wan Norfarhan Liyana Binti Wan Baharunddin & Roshayati Binti Hasan, Peguambela & Peguamcara Tetuan Norzaimah Roshayati & Co PT 5327 Jalan Desa Mardhiah Binaraya, Jalan Satu, Panchor, 16100 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Responden : Puan Hazwanie Binti Husain Bustari, Timbalan Pendakwa Raya, Pejabat Pendakwaan Negeri Kelantan, AG-3-03-06, Al-Waqah @ Tunjong, Tingkat 3, Bangunan H Elite Design, 16010 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.