Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (BAHAGIAN JENAYAH) KES JENAYAH NO.: WA-45-21-11/2021, WA-45-22-11/2021 & WA-45-23-11/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA
WA-45-21-11/2021
High Court of Malaysia9 Nov 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (BAHAGIAN JENAYAH) KES JENAYAH NO.: WA-45-21-11/2021, WA-45-22-11/2021 & WA-45-23-11/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Tertuduh (OKT) di dalam kes ini menghadapi empat (4) pertuduhan di bawah tiga (3) kes yang telah didaftarkan.
2
Bagi kes WA-45A-21-11/2021, OKT menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 406 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 109 Kanun yang sama (selepas ini disebut sebagai pertuduhan pertama): Pertuduhan Pertama: “Bahawa kamu, pada 6 Mac 2020, di Menara CIMB Bank Berhad, yang beralamat di Menara CIMB KL Sentral, Tingkat Bawah, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bersubahat dengan Rafiq Hakim bin Razali yang merupakan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA Malaysia) dan di dalam kapasiti tersebut, Rafiq Hakim bin Razali telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana ARMADA Malaysia berjumlah RM1,000,000.00 telah melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan dana tersebut iaitu satu kesalahan di bawah seksyen 406 Kanun Keseksaan, dan kamu telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut di mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil persubahatan kamu dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 406 Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama dengan menyebabkan seksyen 109 Kanun yang sama.”
3
Bagi kes WA-45A-22-11/2021, OKT menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 403 Kanun Keseksaan (selepas ini disebut sebagai pertuduhan kedua): Pertuduhan Kedua: “Bahawa kamu, di antara 8 April 2018 sehingga 21 April 2018 di Malayan Banking Berhad yang beralamat di No. 16 & 16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang berjumlah RM120,000.00 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise bernombor 562254511198 dengan menyebabkan Rafiq Hakim bin Razali melupuskan wang tersebut dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574].”
4
Bagi kes WA-45A-23-11/2021, OKT menghadapi dua (2) pertuduhan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama (selepas ini disebut sebagai pertuduhan ketiga dan keempat): Pertuduhan Ketiga: “Bahawa kamu, pada 16 Jun 2018, di Maybank Islamic Berhad yang beralamat di No. 17 & 29, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, dalam Daerah Johor Bahru, dalam Negeri Johor Darul Takzim, telah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM50,000.00 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik kamu bernombor 151342007253 ke dalam akaun amanah Saham Bumiputera milik kamu bernombor 238246993, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama.” Pertuduhan Keempat: “Bahawa kamu, pada 19 Jun 2018, di Maybank Islamic Berhad yang beralamat di No. 17 & 29, Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, dalam Daerah Johor Bahru, dalam Negeri Johor Darul Takzim, telah melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM50,000.00 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik kamu bernombor 151342007253 ke dalam akaun amanah Saham Bumiputera milik kamu bernombor 238246993, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama.”
5
Di akhir kes pendakwaan, setelah mendengar keterangan dari 29 saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Mahkamah ini selepas memberikan pertimbangan di tahap maksimum seperti yang ditetapkan oleh undang-undang (rujuk seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah dan kes Balachandran v Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 302, Dalip Baghwan Singh v PP [1998] 1MLJ 1), memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT terhadap keempat-empat pertuduhan seperti yang dinyatakan di atas. OKT dengan ini diperintahkan untuk membela diri terhadap keempat-empat pertuduhan tersebut.
6
Pecah amanah jenayah telah diberikan takrifan di bawah seksyen 405 Kanun Keseksaan manakala menyubahati sesuatu perkara dan pensubahat pula ditakrikan di bawah seksyen 107 dan 108 Kanun yang sama.
7
Bagi pertuduhan pertama ini, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan SP11 & SP13 yang merupakan pemegang amanah kepada akaun rasmi ARMADA, selain dari OKT sendiri. Wang sejumlah RM1,000,000.00 yang menjadi salah satu perkara pokok dalam kes ini telah dikeluarkan melalui sekeping cek yang ditandatangani oleh SP11 & SP13. Tindakan ini, menurut kedua-dua saksi ini adalah hasil dari arahan yang diberikan oleh OKT kepada mereka melalui perjumpaan mereka pada awal bulan Mac 2020, di rumah OKT sendiri. [8]
Preamble
Menurut mereka berdua, perbincangan tersebut yang turut dihadiri oleh SD3 & Aizad adalah berkaitan isu pertukaran kerajaan pada waktu itu dan kedudukan ARMADA dalam kerajaan. Walaubagaimanapun, ketika arahan untuk mengeluarkan wang tersebut dibuat oleh OKT, hanya mereka bertiga sahaja yang ada bersama dan tidak melibatkan SD3 & Aizad yang ketika itu berada di ruang tamu rumah tersebut. [9]
Preamble
Menurut SP11, OKT berpandangan wang tersebut perlu dikeluarkan kerana bimbang berlaku penukaran pucuk pimpinan ARMADA dan adalah untuk kegunaan mengukukuhkan kedudukan OKT selaku Ketua ARMADA Bersatu. Tambahnya lagi, OKT mendakwa wang tersebut adalah hasil titik peluhnya yang mencari sumbangan dan oleh itu, dia (OKT) berhak untuk menggunakan wang tersebut sepenuhnya. [10] Kedua-dua saksi ini kemudiannya mengesahkan ketika perbincangan tersebut, jumlah RM1,000,000.00 tidak disebut oleh OKT. Namun begitu, SP13 dalam keterangannya menyatakan bahawa sebelum pengeluaran tersebut dibuat pada 6 Mac 2020, beliau ada menerima panggilan telefon dari OKT di mana beliau ada bertanya berapa jumlah yang perlu dikeluarkan. OKT sebaliknya bertanya berapa jumlah wang yang ada dalam akaun dan apabila diberitahu baki dalam akaun ada lebih kurang RM1.8 juta, OKT telah mengarahkan SP13 untuk mengeluarkan sebanyak RM1,000,000.00. [11] Kedua-dua SP11 & SP13 kemudiannya mengesahkan ada mengeluarkan wang tersebut secara tunai dari akaun rasmi ARMADA pada 6 Mac 2020 sebagaimana yang diarahkan oleh OKT. Namun, mereka tidak pernah dimaklumkan sama ada pengeluaran ini mendapat kebenaran ataupun tidak dari Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT). [12] Keseluruhan keterangan kedua-dua saksi ini walaupun cuba dicabar oleh pihak pembelaan ketika soal balas dan melalui cadangan-cadangan yang dikemukakan, telah dipatahkan melalui jawapan-jawapan yang diberikan oleh mereka berdua yang konsisten sebagaimana keterangan mereka di dalam pemeriksaan utama. [13] Isu-: i. Adakah wang RM1,000,000.00 tersebut milik ARMADA; ii. Adakah OKT seorang atau salah seorang dari pemegang amanah bagi wang tersebut; iii. Adakah wang tersebut dikeluarkan dari akaun ARMADA atas arahan OKT; dan iv. Adakah terdapat pelanggaran apa-apa arahan undang-undang yang menetapkan cara bagaimana amanah tersebut perlu disempurnakan. [14] Bagi isu (i), (ii) dan (iii), Mahkamah ini berpendapat ianya telah dijawab secara positif melalui keterangan SP11, SP13, SP21, eksibit-eksibit P34, P35, P54 hingga P59. [15] Bagi isu (iv) pula, setelah merujuk kepada Perkara 18, eksibit P53 Peraturan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Fasal 24.8 eksibit P52, Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU): “Perkara 18 Wang dan Harta Peraturan Wang dan Harta parti yang ternyata dalam Fasal 24 Perlembagaan hendaklah dipakai sebagai Peraturan Kewangan Armada Malaysia. Fasal 24 Wang dan Harta Parti 24.8 Perbelanjaan yang melebihi Ringgit Malaysia Lima Ratus Ribu (RM500,000.00) pada satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran diperoleh terlebih dahulu daripada Majlis Pimpinan Tertinggi”. [16] Mahkamah ini juga telah merujuk kepada Fasal 24.7 yang menyatakan: “Bendahari Agung hanya dibenarkan menyimpan wang tunai runcit tidak melebihi Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu (RM50,000.00) pada satu-satu masa. Wang sedemikian mestilah disimpan di tempat yang selamat di dalam Pejabat berdaftar untuk kegunaan perbelanjaan runcit parti”. [17] Melihat kepada ketiga-tiga peruntukan ini, kesimpulan yang dapat dibuat oleh Mahkamah ini adalah bahawa perkataan “perbelanjaan” yang disebut di dalam Fasal 24.8 Perlembagaan BERSATU mestilah dibaca sebagai termasuk juga pengeluaran memandangkan Fasal 24.7 sendiri tidak membenarkan Bendahari Agung parti menyimpan lebih dari RM50,000.00 tunai pada satu-satu masa. [18] Ini pada pandangan Mahkamah menunjukkan maksud yang jelas bahawa segala perbelanjaaan, yang juga pengeluaran wang parti yang melebihi RM500,000.00 hanya boleh dibuat dengan kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi parti. [19] Oleh yang demikian, Mahkamah ini berpandangan bahawa tindakan OKT selaku Ketua ARMADA dan juga salah seorang pemegang amanah untuk akaun ARMADA dalam mengarahkan SP11 & SP13 untuk mengeluarkan wang tunai sebanyak RM1,000,000.00 dari akaun ARMADA tanpa kelulusan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU adalah adalah tergolong dalam tindakan yang dinyatakan di bawah seksyen 405 Kanun Keseksaan dan subseksyen (a) seksyen 107 Kanun yang sama. [20] Seterusnya tindakan menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat ARMADA juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith) di pihak OKT. [21] Atas alasan yang dibincangkan ini, Mahkamah ini memutuskan bahawa satu kes prima facie telah berjaya diasaskan oleh pihak Pendakwaan bagi pertuduhan ini dan OKT dengan ini diperintahkan untuk membela diri. Pertuduan kedua, ketiga dan keempat Seksyen 403 Kanun Keseksaan “Barang siapa dengan curangnya menyalahgunakan, atau menjadikan bagi kegunaannya sendiri, atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan, apa-apa harta hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda.” Seksyen 4(1)(b) [Akta 613]
4
Kesalahan pengubahan wang haram
1
Mana-mana orang yang – a) ..... b) memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan; c) .....; atau d) ..... , melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit ringgit, yang mana lebih tinggi”. [22] Untuk kemudahan, ketiga-tiga pertuduhan ini akan dibincangkan secara bersama kerana pertuduhan ketiga dan keempat bergantung kepada keputusan terhadap pertuduhan kedua. [23] SP13 dalam keterangannya mengesahkan bahawa ARMADA Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) didaftarkan atas nama beliau bagi tujuan mengumpul dana bagi ARMADA melalui aktiviti penjualan barangan dan aktiviti berkaitan. Perkara yang sama disahkan juga oleh SP19, iaitu Eksekutif di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebagai perniagaan milik tunggal. [24] SP13 juga mengesahkan yang beliau telah menerima arahan dari OKT untuk memindahkan wang sejumlah RM120,000,00 dari akaun milik ABBE, iaitu hasil kutipan daripada dua majlis makan malam amal ke dalam akaun Maybank milik OKT. SP13 selanjutnya memberitahu Mahkamah bahawa beliau langsung tidak terlibat dengan program majlis makan malam amal ini dan hanya sekadar menerima arahan untuk menerima wang tersebut dan seterusnya memindahkannya ke dalam akaun peribadi milik OKT. [25] Majlis makan malam amal ini dikatakan adalah untuk mengutip dana bagi membiayai kempen pilihanraya OKT yang bertanding di Kawasan Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum yang ke-14 pada 9 Mei 2018. Dakwaan ini walau bagaimanapun dinafikan oleh saksi-saksi pendakwaan yang mendakwa ia adalah untuk kegunaan mana-mana ahli/calon dari ARMADA. [26] Akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise bernombor 562254511198 disahkan bahawa telah didaftarkan oleh SP13 melalui keterangan SP19 & SP27. Manakala, akaun Maybank Islamic Berhad bernombor 151342007253 disahkan bahawa ianya milik OKT melalui keterangan SP26 dan SP18 mengesahkan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernombor 238246993 adalah milik OKT. [27] Pemindahan dari akaun Maybank ABBE kepada akaun Maybank milik peribadi OKT berlaku pada tarikh berikut iaitu 8, 11, 12 dan 21 April 2018. [28] Manakala pemindahan sebanyak dua kali dari akaun Maybank milik peribadi OKT kepada akaun ASB OKT pula adalah pada tarikh 16 dan 18 Jun 2018 dengan jumlah RM50,000.00 setiap satu transaksi. [29] Kesimpulan dari keseluruhan keterangan di hadapan Mahkamah dan judicial notice menunjukkan bahawa: i. 7 April 2018 Parlimen telah dibubarkan; ii. 10 April 2018 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Umum akan diadakan pada 9 Mei 2018 dan tempoh berkempen adalah dari 28 April 2018 sehingga 9 Mei 2018; iii. Majlis makan malam amal bagi tujuan mengumpul dana untuk menampung dan membiayai kempen pilihanraya OKT telah diadakan pada 7 & 8 April 2018; iv. Wang sebanyak RM120,000.00 hasil dari (iii) telah dipindahkan dari akaun Maybank milik ABBE melalui empat (4) transaksi bertarikh 8, 9, 11, dan 12 April 2018 dan masing-masing berjumlah RM30,000.00 ke dalam akaun Maybank milik peribadi OKT; dan v. Sebanyak RM100,000.00 telah dipindahkan dari akaun tersebut ke dalam akaun ASB milik OKT melalui dua (2) transaksi pada 16 & 19 Jun 2018 dan masing-masing berjumlah RM50,000.00. [30] Dakwaan dan cadangan pihak OKT di peringkat ini kononnya wang tersebut adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang telah dibuat oleh OKT telah dinafikan oleh SP13 yang jelas menegaskan bahawa OKT tidak pernah menunjukkan apa-apa resit perbelanjaan ataupun memaklumkan beliau bahawa itulah tujuan kegunaan wang tersebut. [31] SP29 selaku Pegawai Penyiasat juga ketika diajukan persoalan yang sama dengan jelas menyatakan bahawa ketika siasatan dijalankan, apabila OKT telah menyatakan bahawa segala butiran perbelanjaan kempen pilihanraya, beliau boleh dirujuk kepada seorang individu bernama Mohamed Amshar bin Aziz. Namun, menurut SP29, ketika perkara ini dirujuk kepada penama ini, beliau telah menafikan mempunyai sebarang maklumat tentangnya. [32] Setelah mempertimbangkan keterangan seperti yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini berpuas hati bahawa wang hasil kutipan dari majlis makan malam amal ini sebenarnya adalah bagi tujuan membiayai perbelanjaan kempen pilihanraya OKT bagi pilihanraya yang akan diadakan sebulan (1 bulan) selepas majlis tersebut. [33] Walau bagaimanapun, tindakan OKT mengarahkan SP13 untuk mengeluarkan dan memindahkan wang tersebut (RM120,000.00) ke dalam akaun peribadi milik OKT hanya beberapa hari selepas kutipan dibuat dan sebelum kempen pilihanraya bermula adalah suatu tindakan yang termasuk di bawah kesalahan seksyen 403 KK, iaitu OKT telah menyalahgunakan harta untuk kegunaan sendiri. [34] Dilihat dari keseluruhan keterangan dan keadaan sewaktu itu, tiada alasan bagi OKT untuk memindahkan wang tersebut keluar dari akaun Maybank ABBE, kecuali untuk membiayai kempen pilihanraya beliau. Pembiayaan ataupun sebarang bayaran boleh dibuat terus melalui akaun Maybank ABBE ini, tanpa perlu ianya dipindahkan ke dalam akaun peribadi milik OKT. [35] Tindakan ini, pada hemat Mahkamah ini jelas menunjukkan niat OKT untuk menyalahgunakan wang tersebut untuk kegunaannya sendiri. [36] Seterusnya, tindakan OKT memindahkan RM100,000.00 kedalam akaun ASB beliau sebagaimana pertuduhan ketiga dan keempat, adalah termasuk dalam tindakan yang dinyatakan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta 613, di mana kesalahan di bawah seksyen 403 KK adalah termasuk dalam definisi kesalahan berat yang dinyatakan dalam Jadual Ke Dua Akta 613. [37] Berdasarkan keadaan yang dibincangkan di atas, Mahkamah ini berpuas hati bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya mengasaskan satu kes prima facie terhadap OKT bagi keempat-empat pertuduhan dan OKT dengan itu diperintahkan untuk membela diri. Pembelaan [38] OKT telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah di dalam pembelaan beliau dan telah mengemukakan seramai empat orang saksi. [39] Secara ringkasnya pembelaan OKT adalah seperti berikut: “Bagi pertuduhan pertama; OKT menafikan sama sekali pernah mengarahkan SP11 & SP13 untuk mengeluarkan apa-apa wang dari akaun ARMADA, sebaliknya hanya dimaklumkan bahawa sejumlah wang telah dikeluarkan bagi tujuan dan pelaksanaan bantuan yang dibincangkan oleh kepimpinan G5 yang juga termasuk beliau sendiri.” [40] Malah OKT turut menafikan yang beliau ada dimaklumkan tentang jumlah sebenar wang yang telah dikeluarkan. [41] SD3 yang turut hadir dalam perjumpaan di rumah OKT beberapa hari sebelum pengeluaran wang RM1000,000.00 dibuat, turut menafikan yang OKT ada mengarahkan SP13 untuk membuat pengeluaran tersebut ketika perbincangan mereka berlima di rumah OKT. [42] Menurut beliau lagi bantuan untuk Covid-19, bantuan hari raya, ramadhan hanya boleh dibuat bersama oleh kepimpinan G5 dan jumlah pengeluaran adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar setelah SP13 berbincang dengan EXCO ARMADA yang bertanggungjawab. [43] Dari keseluruhan keterangan ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa adalah tidak munasabah bagi seorang pemimpin sayap parti politik tidak mempunyai pengetahuan tentang pengeluaran sejumlah wang besar dari akaun sayap tersebut, lebih-lebih lagi fakta bahawa sejumlah wang yang besar telah dikeluarkan. [44] Selain dari itu, penafian OKT berkenaan beliau mempunyai pengetahuan tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut juga adalah sesuatu yang sukar diterima akal. [45] Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, OKT menegaskan bahawa wang kutipan hasil majlis makan malam yang diadakan adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang telah dikeluarkan dari wang beliau sendiri yang telah digunakan olehnya bagi menampung kos kempen pilihanraya beliau sendiri. [46] Untuk menyokong dakwaan ini, OKT telah mengemukakan D85, D86, D87, D88 dan D89 iaitu poster majlis makan malam, hantaran di Facebook dan ciapan di Twitter. [47] SD2 dan SD4 juga dalam keterangan mereka menyatakan bahawa segala program meraih dana tersebut adalah bagi tujuan kempen OKT sebagai calon dalam PRU-14. [48] Setelah memberikan pertimbangan terhadap pembelaan yang dikemukakan ini dan keseluruhan keterangan Pihak Pendakwaan, Mahkamah ini mendapati bahawa tiada satu pun keterangan yang dikemukakan oleh OKT menunjukkan bahawa kutipan majlis makan malam yang akan diadakan adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang telah dibuat oleh OKT sebelum ini, sebaliknya adalah untuk menampung kempen pilihanraya OKT. [49] Selain dari itu, jika dilihat dari kronologi dan tarikh-tarikh yang berkaitan menunjukkan bahawa pemindahan wang dari akaun ABBE kepada akaun peribadi Maybank OKT berlaku sebelum pilihanraya berlangsung. Manakala, pemindahan wang ke akaun ASB OKT pula berlaku sebulan selepas pilihanraya berlangsung. [50] Penyata-penyata bank yang dikemukakan iaitu P77, P73, P72 (a-d), P71 (a-d), P48, P37, P36 tidak menunjukkan sebarang pengeluaran yang boleh dikatakan sebagai perbelanjaan bagi kempen pilihanraya. [51] Justeru itu, dakwaan bahawa OKT telah membelanjakan wang beliau sendiri juga tidak disokong oleh mana-mana keterangan. Tanpa sebarang bukti untuk menyokong fakta ini, dakwaan yang wang terlibat adalah untuk menggantikan wang OKT sendiri juga adalah tidak berasas. (Seksyen 101, 102 dan 103 Akta Keterangan). Keputusan [52] Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan dari Pihak Pembelaan dan Pendakwaan pada tahap maksimum, Mahkamah ini dengan berpandukan kepada prinsip Mat v PP memutuskan bahawa tiada sebarang keraguan yang munasabah telah berjaya dibukti oleh Pihak Pembelaan dan Pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes (bagi keempat-empat pertuduhan) melampaui batasan kemungkinan (beyond reasonable doubt). [53] OKT dengan ini, didapati bersalah bagi keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Hukuman [54] Setelah mendengar hujahan berkaitan hukuman dari kedua-dua pihak, Mahkamah ini telah mensabitkan kesalahan OKT dan menjatuhkan hukuman sepertimana berikut: Pertuduhan pertama: Hukuman penjara selama tempoh 3 tahun dan satu kali sebatan rotan. Pertuduhan kedua: Hukuman penjara selama tempoh 2 tahun dan satu kali sebatan rotan. Pertuduhan ketiga: Hukuman penjara selama tempoh 2 tahun dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal membayar denda, penjara selama 2 tahun. Pertuduhan keempat: Hukuman penjara selama tempoh 2 tahun dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal membayar denda, penjara selama 2 tahun. Hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga dan keempat berjalan secara serentak. Alasan hukuman [55] Dalam menentukan hukuman yang difikirkan bersesuaian di dalam kes ini, Mahkamah ini telah mengambil kira faktor-faktor berikut: i. Faktor kepentingan awam merupakan antara faktor utama yang diberikan pertimbangan. Mahkamah ini mengambil judicial notice tentang kekerapan kes-kes pecah amanah dan salah guna harta yang dibawa ke Mahkamah pada masa kini. Oleh itu, satu peringatan yang jelas dan tegas perlu diberikan kepada masyarakat bahawa Mahkamah memandang serius tentang perkara ini. ii. Kedudukan OKT sebagai seorang public figure, Ahli Parlimen yang menjadi idola di kalangan anak muda juga diberikan penekanan. Kes Datuk Haji Harun Haji Idris & Ors v PP [1977] 1 LNS 24 menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk mereka yang merupakan public figure untuk menunjukkan satu contoh yang baik kepada mereka yang lain. Sebagai seorang Ahli Parlimen dan idola anak muda, sewajarnya OKT is held to a higher standard dan menunjukkan satu contoh yang baik untuk terus menjadi ikutan anak-anak muda, selain dari melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai seorang yang telah dipilih oleh rakyat Muar dalam memperjuangkan hak-hak mereka. iii. Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama OKT. iv. Selain dari itu, usia OKT yang masih muda juga menjadi pertimbangan Mahkamah ini. Dalam usia ini, OKT masih mempunyai banyak masa lagi untuk menyedari dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan serta mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku. [56] Dalam keadaan ini Mahkamah ini berpendapat hukuman yang diberikan adalah munasabah dan berpatutan. Tarikh: 28.11.2024 (AZHAR BIN ABDUL HAMID) HAKIM MAHKAMAH TINGGI JENAYAH KUALA LUMPUR Bagi Pihak Pendakwaan Datuk Wan Shaharuddin bin Wan Ladin Tuan Mohd Afifi bin Ali Tuan Muhammad Asraf bin Mohamed Tahir Puan Noor Syafina binti Mohd Radzuan Tuan Mohd Shahrom bin Idris Timbalan Pendakwaraya (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Bagi Pihak Tertuduh Encik Gobind Singh Deo Datuk Ambiga Srenevesan Encik Haijan Omar Encik Lim Wei Jiet Cik Tiara Katrina Fuad Encik Ho Cheng En Encik Asyraaf Abu Bakar Hamzah (Tetuan Gobind Singh Deo & Co.)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.