6 (enam) bungkusan plastik berwarna hijau bertulisan GYW mengandungi plastik lutsinar bercop “Very Good” berisi dadah berbahaya yang disyaki jenis syabu (ekshibit P6(C)(1) hingga P6(C)(6). [12] Hasil dari soalsiasat yang dijalankan, perayu telah membawa polis ke Restoran Salai-Salai beralamat di nombor 25, Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam, Selangor yang terletak lebih kurang 200 meter dari tempat perayu ditangkap, di mana dua orang lagi suspek iaitu seorang lelaki Cina bernama Lee Kin Tuck dan seorang wanita Indonesia bernama Ratnawati telah ditangkap oleh pasukan serbuan namun tiada apa-apa barang salah yang dijumpai pada diri mereka berdua. [13] Ketiga-tiga tangkapan dan barang kes telah dibawa ke Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut. Di pejabat tersebut, pada tarikh yang sama, lebih kurang pukul 11.15 petang, SP4 telah menyerahkan kesemua barang-barang rampasan yang telah ditandakan dan dokumen-dokumen yang berkaitan berserta ketiga-tiga tangkapan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sardesh a/l G. Sukumaran (SP5). [14] Pada 5 April 2021, pukul 1.01 petang, SP5 telah menyerahkan satu bekas plastik bertanda “S” bermeterai “POLIS DIRAJA MALAYSA 963” kepada ahli kimia iaitu Encik Rahman bin Mamat (SP2) di Jabatan Kimia Malaysia Petaling Jaya, Selangor untuk dianalisis. [15] Hasil analisis yang dijalankan oleh SP2 mengesahkan bahawa dadah berbahaya yang dirampas adalah jenis Methamphetamine dengan berat bersih 3,171 gram. [16] Ekshibit ini telah dimeteraikan dengan label keselamatan JABATAN KIMIA MALAYSIA dan diserahkan kembali bersama-sama dengan laporan kimia (ekshibit P12) oleh SP2 kepada Inspektor Siti Aminah binti Ahmad pada 25 Ogos 2021, pukul 11.30 pagi. Methamphetamine disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. Ringkasan Kes Pembelaan [17] Beberapa hari sebelum tarikh kejadian (3 April 2021), perayu (SD1) telah dihubungi oleh rakannya bernama Soo Jim Siong (selepas ini dirujuk sebagai ‘Ah Chai’). Ah Chai telah meminta bantuan perayu untuk menghantar seorang pekerja kontraknya, bernama Hidayat ke Pelabuhan Klang pada 3 April 2021 di sebelah petang kerana visa kerja Hidayat telah tamat tempoh. [18] Memandangkan waktu bekerja perayu di Poppo Kanteen, restoran milik ibu saudara perayu bernama Tai Yuat Ching (SD2) adalah di antara jam 7.00 pagi hingga 2.00 petang dan perayu mempunyai masa lapang maka perayu bersetuju dengan permintaan Ah Chai. [19] Pada masa yang sama, rakan Ah Chai iaitu Lee Kin Tuck (SD3) juga telah dihubungi oleh Ah Chai beberapa hari sebelum tarikh kejadian memaklumkan bahawa Ratnawati iaitu pembantu rumah berbangsa Indonesia di rumah ibu SD3 yang telah dibekalkan oleh Ah Chai juga perlu pulang semula ke Indonesia kerana visa kerja Ratnawati telah tamat tempoh. Lantaran itu, Ah Chai telah mengarahkan agar SD3 membawa pekerjanya, Ratnawati ke Restoran Salai-Salai, Seksyen 7, Shah Alam pada 3 April 2021 dan menunggu saudara Ratnawati yang bernama Hidayat untuk pulang bersama-sama ke Indonesia melalui Pelabuhan Klang pada sebelah petang. [20] Pada tarikh yang sama, lebih kurang pukul 3.00 petang, semasa perayu berada di Poppo Kanteen, SD2 telah meminta perayu untuk membawanya pergi membeli barangan basah dan kering di Pasaraya NSK Trade City, Kuchai Lama. Lebih kurang 3.30 petang, perayu dan SD2 telah pergi ke Pasaraya NSK tersebut untuk membeli barangan keperluan dan lebih kurang pukul 5.00 petang, mereka berdua telah singgah untuk minum petang di Restoran Chon Sai Kei yang terletaknya tidak jauh daripada Pasaraya NSK tersebut. [21] Semasa berada di restoran itu, perayu telah memberitahu SD2 bahawa pada sebelah petang nanti perayu akan membantu Ah Chai untuk menghantar pekerja kontraknya yang ingin pulang ke Indonesia melalui Pelabuhan Klang. [22] Tidak lama kemudian, Ah Chai pun tiba di restoran tersebut dan memberitahu perayu bahawa dia agak sibuk dan tidak dapat menghantar pekerjanya, Hidayat ke Pelabuhan Klang. Ah Chai telah meminta bantuan perayu untuk menghantar pekerja kontraknya bernama Hidayat bersama saudaranya bernama Ratnawati yang akan menunggu bersama majikannya, seorang lelaki Cina di Restoran Salai-Salai, Seksyen 7, Shah Alam. Ah Chai telah mengarahkan perayu untuk mengambil Ratnawati terlebih dahulu di Restoran Salai-Salai dan kemudiannya menghantar mereka berdua ke Pelabuhan Klang. [23] Memandangkan pada waktu itu kereta perayu penuh dengan barangan yang dibeli daripada Pasaraya NSK sebelum itu, Ah Chai telah menyuruh perayu untuk menggunakan keretanya jenis Honda Accord dengan nombor pendaftaran WWF 2228. Ah Chai kemudiannya telah menghubungi SD3 lalu mengarahkan SD3 untuk membawa Ratnawati ke Restoran Salai-Salai, Seksyen 7, Shah Alam untuk menunggu saudaranya, Hidayat. [24] Ah Chai juga turut memberitahu SD3 bahawa perayu yang akan datang dengan menaiki kereta Honda Accord kepunyaan Ah Chai untuk mengambil Ratnawati dan menghantar mereka berdua (Hidayat & Ratnawati) ke Pelabuhan Klang. [25] Setelah tamat perbualan, Ah Chai telah pergi mengambil keretanya. Lebih kurang 15 minit kemudian, datang seorang lelaki Indonesia bernama Hidayat, dengan menggalas satu (1) beg berwarna hitam sambil menjinjit satu (1) beg kanvas jalur berwarna-warni. [26] Sebelum perayu berlalu pergi dengan menaiki kereta milik Ah Chai untuk menghantar Hidayat, perayu telah menyerahkan kunci keretanya kepada SD2 untuk membawa keretanya pulang. Ah Chai turut berpesan kepada perayu supaya singgah sebentar di Pasaraya Giant berdekatan dengan Restoran Salai-Salai, Seksyen 7, Shah Alam kerana Hidayat ingin membeli sedikit barang sebelum pulang ke Indonesia. Setelah itu, perayu melihat Ah Chai memberi sejumlah wang kepada Hidayat. [27] Perayu bersama Hidayat kemudiannya terus bergerak ke Shah Alam dengan menggunakan kereta Ah Chai untuk mengambil Ratnawati di Restoran Salai-Salai sebelum pergi ke Pelabuhan Klang. Hidayat duduk di bahagian penumpang hadapan. Perayu melihat Hidayat ada meletakkan satu (1) beg kanvas jalur berwarna-warni di tempat letak kaki bahagian penumpang hadapan manakala beg galasnya dipegang sendiri oleh Hidayat. [28] Lebih kurang pukul 6.45 petang, perayu tiba di hadapan Pasaraya Giant, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Perayu kemudiannya menurunkan Hidayat di hadapan pintu masuk pasaraya berkenaan. Sebelum Hidayat turun daripada kenderaan tersebut, Hidayat telah mengalihkan beg jalur berwarna-warni yang diletakkan di bahagian kaki penumpang sebelum itu dan meletakkannya di atas tempat duduk penumpang hadapan. Hidayat hanya membawa turun beg galasnya sahaja. [29] Sementara menunggu Hidayat selesai membeli barangan keperluannya, perayu terus pergi mencari tempat parkir di kawasan tempat letak kereta berhadapan dengan Pasaraya Giant tersebut. Sebaik-baik sahaja kereta perayu masuk ke petak parkir secara mengundur, tiba-tiba sekumpulan lelaki yang berpakaian biasa telah datang meluru ke arah kereta yang dipandu oleh perayu lalu sehingga menyebabkan perayu terkejut dan mengakibatkan kereta yang dipandunya itu terundur ke belakang. [30] Sekumpulan lelaki yang berpakaian biasa itu telah mengarahkan perayu untuk turun dari kereta. Perayu telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka. Selepas perayu turun dari kereta, barulah mereka memperkenalkan diri sebagai polis. Mereka telah membuat pemeriksaan terhadap badan perayu namun tidak menjumpai apa-apa. [31] Pemeriksaan lanjut seterusnya dilakukan ke atas kereta berkenaan dan pihak polis telah menjumpai satu (1) beg kanvas jalur berwarna-warni di atas kerusi bahagian penumpang hadapan. Perayu telah memberitahu pihak polis bahawa beg tersebut adalah kepunyaan Hidayat. Perayu juga turut memberitahu pihak polis bahawa dia baru sahaja menurunkan Hidayat sebelum itu di pintu hadapan Pasaraya Giant kerana Hidayat ingin membeli sedikit barang sebelum pulang ke Indonesia melalui Pelabuhan Klang. [32] Semasa sesi soal siasat ringkas yang dilakukan oleh pegawai serbuan, perayu telah memberitahu pihak polis bahawa saudara kepada Hidayat bernama Ratnawati pada waktu itu sedang menunggu bersama majikannya di Restoran Salai-Salai yang tidak jauh dari Pasaraya Giant berkenaan untuk dihantar bersama Hidayat ke Pelabuhan Klang. [33] Bertindak daripada maklumat yang diberikan oleh perayu itu, pihak polis telah terus membawa perayu ke Restoran Salai-Salai di mana SD3 dan Ratnawati pula telah ditahan oleh pasukan serbuan lain yang diketuai oleh Inspektor Muhammad Zaini bin Abd Halim (SD4). Hasil daripada maklumat yang diperolehi daripada SD3, pihak polis telah melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah rumah beralamat 1-15-2 Kuchai Avenue, Jalan Kuchai Lama, 58200 Wilayah Persekutuan iaitu rumah milik Ah Chai yang juga merupakan tempat tinggal Hidayat. Tiada sebarang barang salah yang dijumpai di rumah itu. [34] Perayu, SD3 dan Ratnawati telah ditangkap dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor. Sepanjang berada di dalam tahanan dan siasatan, perayu menegaskan berkali-kali bahawa beg kanvas jalur berwarna-warni yang dirampas oleh pihak polis yang dikatakan mengandungi dadah itu adalah kepunyaan Hidayat dan perayu tidak pernah pun menyentuh beg dan isi kandungannya. Dapatan Hakim Mahkamah Tinggi Di Akhir Perbicaraan [35] Di dalam alasan penghakimannya, hakim bicara di antara lainnya mengatakan seperti yang berikut: Jenis dadah yang terlibat: [35] Tiada keterangan dikemukakan pihak pembelaan untuk menyangkal elemen pertama iaitu jenis dadah yang terlibat. Tiada keraguan yang dibangkitkan terhadap elemen ini. Elemen pertama kekal dibuktikan. Milikan mens rea [36] Isunya sama ada pembelaan Tertuduh berjaya membangkitkan keraguan ke atas elemen milikan mens rea barang kes dadah di dalam beg kanvas P8 tersebut yang dibuktikan secara keterangan langsung oleh pihak pendakwaan. Pada awalnya, naratif pembelaan agak konsisten antara Tertuduh, SD2 dan SD3 mengenai penama Hidayat dan Ah Chai. [37] Walau bagaimanapun, naratif pembelaan ini berantakan apabila memanggil SD4 sebagai saksi pembelaan. Dalam jawapan SD4 kepada soalan-soalan peguam bela, tiada maklumat tentang Ah Chai atau Hidayat diberikan oleh Tertuduh. Maklumat hasil soal-siasat Tertuduh dari jawapan SD4 ialah – “Asas tangkapan dua orang ini (SD3 dan satu perempuan Indonesia) hasil soal-siasat Tertuduh, dia datang dengan lelaki Cina dan perempuan Indonesia dan mereka berada di Restoran Salai-Salai. Tertuduh beri maklumat hingga tangkapan dua orang ini.” [38] Tiada maklumat tentang penama Hidayat yang dikatakan meletakkan beg P8 berisi dadah di atas kerusi penumpang hadapan semasa diturunkan di pasaraya Giant. Keterangan SD4 ini tidak cuba dijelaskan atau disoal balas oleh pihak pembelaan. Mahkamah mendapati keterangan SD4 konsisten dengan keterangan SP4 yang menafikan Tertuduh ada memberi maklumat tentang penama Hidayat tersebut. Jawapan SD4 juga menjelaskan kenapa pihak polis tidak menunggu atau mencari penama Hidayat di pasaraya Giant dan tempat tangkapan Tertuduh iaitu kerana nama Hidayat itu tidak disebut dan tidak wujud. [39] Laporan polis D24 oleh SD4 menyatakan polis dipandu arah oleh SD3 ke alamat tertulis dan membuat pemeriksaan di hadapan SD3 tetapi tidak menjumpai barang salah. Menurut SD4, pandu arah oleh SD3 adalah ke rumah SD3 (dirujuk sebagai OKT dalam D24) dan bukan rumah “Ah Chai” seperti didakwa oleh SD3 dalam perenggan 7, PSD3. Pihak pembelaan juga mengemukakan D22 iaitu laporan polis oleh SD4 tentang tahanan SD3 dan satu perempuan Indonesia. Laporan polis D22 juga menunjukkan SD3 tidak berkata benar dalam Penyata Saksinya PSD3 (Perenggan 2) dan keterangan lisannya apabila menyatakan perempuan Indonesia yang ditahan bersamanya di Restoran Salai-Salai adalah pekerjanya yang menjaga ibu SD3; tetapi dalam D22, butiran tangkapan perempuan Indonesia dicatatkan sebagai “penganggur”. [40] Butiran ini lebih konsisten dengan maklumat yang diberikan Tertuduh semasa disoal-siasat oleh SP4 dan SD4 iaitu Tertuduh datang bersama dua orang lain yang menunggunya di Restoran Salai-Salai. Percanggahan antara SD3 dengan SD4 dan dokumen D22 dan D24 menyebabkan keterangan SD3 tidak kredibel. Mahkamah lebih mempercayai SP4 dan SD4 yang merupakan pegawai profesional yang keterangannya disokong dokumen contemporaneous dengan kejadian iaitu P20, D22 dan D24. [41] “The elephant in the room” ialah penama Ah Chai. Dalam naratif pembelaan Tertuduh, penama Hidayat dikatakan pekerja Ah Chai yang didakwa meletakkan beg kanvas P8 berisi dadah di atas kerusi penumpang semasa diturunkan di pasaraya Giant. Naratif ini seolah-olah meletakkan kesalahan ke atas penama Hidayat. Ah Chai pula ialah warganegara Malaysia yang dikenali oleh Tertuduh, SD2 dan SD3. [42] Ah Chai digambarkan mempunyai hubungan baik dengan Tertuduh, SD2 dan SD3. Walaupun tiada paksaan ke atas pihak pembelaan untuk memanggil Ah Chai, tetapi berdasarkan keterangan SD4 yang konsisten dengan keterangan SP4 yang menafikan adanya maklumat tentang keujudan Hidayat dan peranan Ah Chai, kepentingan Ah Chai ditampilkan menjadi material. Keberadaan Ah Chai adalah suatu perkara yang secara khusus berada dalam pengetahuan pihak pembelaan berdasarkan hubungan baik saksi-saksi pembelaan dengannya. Apalagi pegawai penyiasat SP5 telah menyatakan tidak dapat mengesan pemilik kereta Honda tersebut berdasarkan carian di alamat yang tertera di P21. Tanpa Ah Chai, naratif pembelaan menjadi lemah sedangkan tiada sebab diketengahkan kenapa Ah Chai tidak dipanggil sebagai saksi pembelaan walaupun tiada kesalahan berkaitan P8 dan dadah telah diletakkan ke atasnya. [43] Mengenai keterangan SD2, mahkamah tidak boleh mengenepikan hakikat SD2 adalah saksi berkepentingan sebagai ibu saudara Tertuduh yang mahu membantu Tertuduh terlepas dari pertuduhan. Walaupun SD2 menyokong naratif Tertuduh tentang perjumpaan dengan Ah Chai dan melihat Hidayat, atas fakta kepentingannya dan tiadanya keterangan keberadaan Ah Chai atau dinyatakan kesukaran apa yang dihadapi untuk mencari Ah Chai tersebut, mahkamah cenderung tidak mempercayai keterangannya. SD3 seperti diulas terdahulu telah memberi keterangan yang bercanggah dalam PSD3 dengan D22 dan D24 serta keterangan SD4 iaitu saksi pembelaan juga. [44] Pembelaan Tertuduh untuk menafikan pengetahuan dadah di dalam beg P8 dengan mendakwa tertekan pedal minyak semasa mengundurkan kereta apabila terkejut diserbu beberapa orang berpakaian biasa tidak dapat mencabar keterangan SP4 bahawa pasukan polis telah membuat pemerhatian selama 10 minit sebelum Tertuduh sampai, meletak kereta dan menurunkan tingkap. SP4 dan pasukannya telah mendekati kereta Tertuduh dan mengenalkan diri polis. Setelah itu barulah Tertuduh bertindak mengundurkan kereta hingga tersangkut pada pembahagi tempat letak kereta. Keterangan SP4 konsisten dengan laporan polisnya P20. [45] Pembelaan ini merupakan penafian Tertuduh sahaja kerana Tertuduh tidak dapat melihat sesiapa menyerbu keretanya jika masih dalam proses mengundurkan kereta apabila tumpuannya adalah untuk memastikan meletak kereta dalam petak dengan betul. Tertuduh juga tidak menyangkal keterangan SP4 bahawa dia telah menurunkan tingkap ketika SP4 menghampiri keretanya dan mengenalkan diri polis. Tertuduh juga menukar keterangannya semasa dalam tiga pemeriksaan utama (PSD1), pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula antaranya telah berhenti tapi belum sempat ke gear P, masih dalam proses berundur dan telah berhenti dalam gear neutral (free gear). Mahkamah sukar mempercayai naratif Tertuduh ini. [46] Keterangan Tertuduh yang cuba disokong oleh SD2 dan SD3 didapati merupakan penafian dan rekaan semata-mata. Naratif pembelaan iaitu - a. Tertuduh hanya membantu Ah Chai menghantar penama Hidayat membeli barang di pasaraya Giant; b. bahawa Hidayat meletakkan beg P8 di atas kerusi penumpang hadapan; dan c. Tertuduh akan kemudiannya menjemput satu perempuan Indonesia di Restoran Salai-Salai untuk dihantar ke Pelabuhan Klang bersama Hidayat. telah disanggah oleh saksi pembelaan sendiri iaitu SD4 dan dokumen D22 serta D24 yang dikemukakan pihak pembelaan sendiri. Naratif pembelaan juga tergantung apabila tidak memanggil Ah Chai dan menyebabkan kelemahan yang gagal membangkitkan keraguan terhadap kes pendakwaan berkaitan elemen milikan mens rea. Anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB 1952 [47] Tertuduh perlu menyangkal anggapan pengedaran dadah atas imbangan kebarangkalian. Walau bagaimanapun, dengan kegagalan Tertuduh membangkitkan keraguan ke atas elemen milikan mens rea, syarat untuk pemakaian anggapan ini iaitu Tertuduh membawa (convey) dadah berbahaya dan berat dadah yang terlibat melebihi berat statutori di bawah seksyen 37(da)(xvi) tidak tersangkal dan kekal terpakai. Tiada keterangan lain dari Tertuduh untuk menyangkal anggapan tersebut dan mahkamah mendapati Tertuduh gagal menyangkal anggapan pengedaran atas imbangan kebarangkalian. [48] Setelah meneliti pembelaan Tertuduh terhadap kes pendakwaan dan menimbangkan keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati Tertuduh telah gagal membangkitkan keraguan atas elemen jenis dadah berbahaya, elemen milikan mens rea dadah P6(1) hingga P6(7) dan P6C(1) hingga P6C(6) serta gagal menyangkal anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952 di atas imbangan kebarangkalian. [49] Sebaliknya kes pendakwaan kekal kukuh dan pihak pendakwaan telah membuktikan kes terhadap Tertuduh melampaui keraguan munasabah. Sehubungan itu Tertuduh disabitkan dengan pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dengan berat bersih 3,171gram seperti dituduh. Prinsip Undang-Undang Berkaitan Dapatan Fakta Di Peringkat Rayuan [36] Secara prinsipnya, mahkamah di peringkat rayuan jarang sekali campurtangan atau mengganggu dapatan fakta yang dibuat oleh hakim bicara melainkan terdapat alasan-alasan yang kukuh dan mendesak untuk berbuat demikian. [37] Di dalam kes PP v. Mohd Radzi bin Abu Bakar [2005] 2 MLRA 590, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti yang berikut: “Now, it settled law that it is no part of the function of an appellate Court in a criminal case-or indeed any case-to make its own findings of fact. That is a function exclusively reserved by the law to the trial Court. The reason is obvious, an appellate Court is necessarily fettered because it lacks the audio-visual advantage enjoyed by the trial Court." [38] Di dalam kes Che Omar Mohd Akhir v. Public Prosecutor [2007] 3 CLJ 281, Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman yang disampaikan oleh Nik Hashim HMP (beliau pada ketika itu) memutuskan seperti yang berikut: “It is trite law that an appellate court should be slow in disturbing a finding of facts by the trial judge unless such finding is clearly against the weight of evidence which is not the case here.” [39] Di dalam kes Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng, Pentadbir Kepada Harta Pusaka Tan Ewe Kwang, Si mati & Ors [2020] 12 MLJ 67, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti yang berikut: “[33] It was a long-settled principle, stated and restated in domestic and wider common law jurisprudence, that an appellate court should not interfere with the trial judge's conclusions on primary facts unless satisfied that he was plainly wrong' (the Supreme Court of United Kingdom in McGraddie v. McGraddie and another [2013] 1 WLR 2477).