Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA RAYUAN JENAYAH NO. BA-42(Ors)-2-03/2021 ANTARA TAN KIM HONG … PERAYU (NO. KP: 601120-05-5065) DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu) Kes No: BF-62-2-02/2021) ANTARA PENDAKWA RAYA DAN TAN KIM HONG (NO. KP: 601120-05-5065) 24/07/2022 08:21:49 BA-42(Ors)-2-03/2021 Kand. 18 ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Tan Kim Hong (“Perayu”) telah dituduh dalam Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu dengan satu pertuduhan kesalahan di bawah seksyen 430 Kanun Keseksaan. [2] Pada 23.2.2021, Perayu telah mengaku tidak bersalah. Sementara menunggu perbicaraan, Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana telah membenarkan Perayu dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM400,000.00 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat tambahan seperti berikut: a) menyerahkan pasportnya untuk simpanan mahkamah; b) melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 haribulan; dan c) tidak mengganggu atau menghasut saksi-saksi pendakwaan. [3] Tidak berpuas hati dengan jumlah jaminan yang dikenakan, Perayu telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 4.3.2021 yang telah difailkan pada 10.3.2021 ke Mahkamah Tinggi. [4] Pada 10.12.2021, Mahkamah ini telah menolak rayuan Perayu tersebut. Pertuduhan [5] Pertuduhan ke atas Perayu adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 7 haribulan Disember 2020 di premis Lot. PT 15680 Mukim Serendah, dalam Daerah Hulu Selangor, dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan daripada premis Lot. PT 15680 Mukim Serendah tersebut dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Selangor dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan [Akta 574].” [6] Seksyen 430 Kanun Keseksaan memperuntukkan seperti berikut: “430. Mischief by injury to works of irrigation or by wrongfully diverting water Whoever commits mischief by doing any act which causes, or which he knows to be likely to cause, a diminution of the supply of the supply of water for agricultural purposes, or for food or drink for human beings or for animals which are property, or for cleanliness, or for carrying on any manufacture, shall be punished with imprisonment for a term of not less than five years and not more than thirty years, or with fine, or with both.” Hujahan Perayu [7] Peguam Perayu dalam hujahan bertulisnya telah membangkitkan beberapa isu atau alasan kepada rayuan ini iaitu: a) Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terkhilaf dari segi undang-undang di dalam alasan penghakimannya berkaitan perintah jaminan tersebut bahawa ia bukanlah suatu keputusan yang boleh dirayu; b) Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan untuk terikat dengan jumlah jaminan berdasarkan keputusan kes semakan jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam No. kes BA-43-35- 09/2020 berkaitan dengan satu kes (62ES-1-09/2020) yang mempunyai sifat pertuduhan yang sama dengan pertuduhan ke atas Perayu; c) Jumlah jaminan yang dikenakan adalah berlebih-lebihan. [8] Peguam Perayu telah merujuk kepada peruntukan seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah sebagai asas kepada rayuan ke atas ‘keputusan’ Hakim Mahkamah Sesyen tersebut berkaitan dengan kadar jaminan yang dibenarkan. Seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan seperti berikut: “Any person aggrieved by any order or refusal of any inferior Court made under this Chapter may appeal to the High Court, which may confirm, vary or reverse the order of the inferior Court.” [9] Peguam Perayu menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana tersebut telah khilaf apabila tidak mengarahkan dirinya kepada peruntukan seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah tersebut. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan ‘keputusan’ Hakim Mahkamah Sesyen tersebut ke atas jumlah jaminan yang dikenakan, maka berdasarkan seksyen 394 Kanun Tatacara Jenayah dihujahkan bahawa Perayu boleh merayu ke mahkamah tinggi. [10] Peguam Perayu juga menghujahkan Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana telah khilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM400,000.00, sedangkan syarat-syarat lain juga telah dikenakan sebagai syarat jaminan iaitu: