Kepentingan Awam Umum mengetahui perbuatan menggaji pekerja asing yang tiada pas yang sah adalah perbuatan jenayah yang acap kali berlaku di mana-mana sahaja. Perbuatan ini bukan sahaja boleh mendatangkan pelbagai masalah dan juga membahayakan keselamatan negara. Oleh yang demikian, kepentingan awam harus dijaga dan diambil berat oleh Mahkamah ini. Pengajaran ke atas tertuduh haruslah seiring bagi memastikan keadilan berjaya dicapai. Hukuman hendaklah mendidik bukan sahaja kepada tertuduh malahan kepada masyarakat. Masyarakat yang terdidik dapat menjamin kesejahteraan secara khusus kepada negara. Dalam kes ZAINAL BIN JIDON v PENDAKWA RAYA [2020] MLJU 1815, Mahkamah telah menjelaskan kepentingan awam seperti berikut: Suatu pertimbangkan penting ialah kepentingan awam, yang semestinya mengatasi pertimbangkan lain. Persoalan yang timbul ialah apakah yang dimaksudkan dengan frasa “Kepentingan Awam”? Di dalam kamus “The Random House Dictionary of the English Language: The Unabridged Edition (1994 edition) mentakrifkan “kepentingan awam” (Public Interest) sebagai “kepentingan atau kesejahteraan masyarakat secara am” (the welfare or well-being of the general public and society) Terdapat berapa peringkat dalam konsep kepentingan awam. Yang paling Utama ialah keselamatan negara Tanpa jaminan terhadap keselamatan negara kesemua perkara seperti “kedaulatan undang-undang”, “hak asasi manusia”, “pemerentahan yang adil dan saksama” serta “pengaturan kendiri oleh masyarakat dan norma am yang diterma” adalah impian indah semata-mata. Keduanya adalah ketenteraman awam dimana kedaulatan undang-undang, prosedur yang betul dipatuhi dan tidak dibimbangi berlakunya keadaan dimana seseorang tidak terkeliru dengan keadaan huru hara yang menyerupai undang-undang rimba. Ketiga ialah perhatian orang yang timbul kerana perhatian masyarakat atau ahli masyarakat terutama warga yang berhemah dan ia menyumbang kepada perasaan ingin tahu warga masyarakat. Pelaporan yang bersifat sensasi bukanlah terjumlah dalam kategori ini. Semestinya perlu wujud sebab yang munasabah serta penting untuk masyarakat am ingin mengetahui mengenai sesuatu isu yang diperkatakan secara hangat dalam masyarakat samada ia telah membangkitnya minat warga masyarakat yang berhemah kerana telah menyentuh sensitiviti masyarakat atau pegangan masyarakat atau adat semasa dan setempat atau norma universal. Jika berlaku pertembungan diantara kepentingan awam dan hak individu, kepentingan awam hendaklah mengatasi segalanya. Ini tidak bermakna berlakunya penafian hak individu tetapi kewujudan individu dalam dunia bertamaddun bergantung kepada kewujudan masyarakat dan dunia secara keseluruhan. Bukan sebarang dunia tetapi dunia yang mendaulatkan undang-undang, melaksanakan keadilan, mempertahankan hak warganya dari diceroboh, pentadbiran urusan manusia secara teratur dan pemerkasaan jiwa kemanusiaan dalam setiap insan yang ada. Hak asasi individu telah secara terang dan nyata dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan dicerminkan dalam Perkara 5 sehingga Perkara 13. Manusia perlu undang-undang untuk mengatur hidup apabila wujudnya masyarakat. Jika manusia hidup bersendirian di gua-gua seperti di zaman purbakala, ia tidak perlu undang-undang untuk mentadbirkan kehidupannya dengan manusia lain. Bagaimanapun norma-norma asas yang lahir dari fitrah manusiawi akan melahirkan Akhlak yang Luhur dengan syarat ia tidak dicemari oleh tamak haloba, kebengisan atau kebejatan moral. Asasnya manusia adalah makhluk sosial. Ia perlu kepada perkumpulan untuk pelbagai sebab sama ada keselamatan, keperluan insani, keselesaan, pembinaan tamadun, kemajuan sains dan teknologi, perubatan dsb. Apabila berinteraksi dengan makhluk lain, manusia perlu menyusun atur agar tiada yang tersinggung atau tertindas. Penafian hak orang lain yang dengan tindakan keras atau licik adalah satu dari banyak bentuk penindasan. Jika berlaku, yang lemah akan ditindas oleh yang kuat. Yang dungu akan diperalatkan oleh yang cerdik. Yang kaya akan membolot semua dan meninggalkan yang miskin terkapai-kapai dalam pencarian kehidupan serta sara diri. Jika ini berleluasa, sudah pasti ketidakpuasan hati akan mencetuskan kegusaran dan boleh menzahirkan kekerasan demi untuk mengembalikan keadilan, kesamarataan dan kemuliaan sebagai insan. Untuk mengelakkan perkara seumpama ini, perlu ada peraturan yang menyusunatur kehidupan manusia dan menzahirkan batas-batas yang menjadi sempadan dalam perhubungan manusia. Peraturan yang ada kekuatan negara dipanggil undang-undang. Berbeza dengan amalan semasa atau adat setempat yang mengundang kawalan kendiri (self regulation), peraturan dalam bentuk undang-undang boleh dikuatkuasa dengan dokongan kelompok manusia. Golongan liberalisme ekstrem mungkin mengkiritik kewujudan undang-undang sebagai pembatasan tetapi tanpa undang-undang, negara dan masyarakat akan mengalami keaadaan anarki (anarchy). Penghakiman dan penghukuman adalah sebahagian dari proses perundangan. [16] Berbalik kepada kes ini, OKT telah mengaku menggaji seramai 2 orang pekerja yang tidak mempunyai pas yang sah. Malahan pekerja-pekerja tersebut telah digaji untuk melakukan aktiviti pelacuran dengan menawarkan khidmat sebanyak RM 100 bagi 1 kali perkhimatan seks. Kadar kekerapan kesalahan ini berlaku adalah membimbangkan dan oleh itu hukuman yang diberikan sewajarnya memberi pengajaran yang patut ditauladani oleh masyarakat, Mahkamah ini mengambil berat terhadap kes-kes sebegini. Mahkamah berpendapat kepentingan awam adalah perlu dititik-beratkan dan hendaklah diambil kira melebihi kepentingan OKT sendiri. Kuasa untuk Mahkamah [17] Kuasa untuk Mahkamah ini menjatuhkan hukuman adalah termaktub di bawah Seksyen 58(3) Akta 155.