Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN JENAYAH 3 SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO KES: BA-62K-314-09/2021 PENDAKWA RAYA DAN TAN SENG HUAT (NO. KP: 640614-10-6009) ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] Dalam kes ini, Tertuduh telah dituduh dengan 2 pertuduhan pindaan di bawah S.471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah S.465 KK iaitu dengan pemenjaraan sehingga boleh sampai 2 tahun atau denda atau kedua-duanya. [2] Dalam kedua-dua pertuduhan pindaan tersebut OKT didakwa telah, dengan curangnya, menggunakan 4 dokumen palsu sebagai tulen iaitu Resolusi Pengarah dan Resolusi Ahli bagi syarikat Crystal Group Aluminium Extrusion (M) Sdn. Bhd. yang bertarikh 16.5.2012 (Eksibit P3 A dan P3 B) dan yang bertarikh 31.5.2012 (Eksibit P4A dan P4B) masing-masing bagi menjamin suatu pinjaman bank daripada CIMB Bank kepada Syarikat Aksi Desiran Sdn. Bhd. dan Dunia Fajar Sdn. Bhd. [3] Pertuduhan-Pertuduhan pindaan disalinkan seperti berikut – PERTUDUHAN PINDAAN 1 “BAHAWA KAMU PADA TARIKH 16.5.2012 BERTEMPAT DI CRYSTAL GROUP ALUMINIUM EXTRUSION (M) SDN BHD, LOT 14860, JALAN PUSARA, TELOK GONG 42000 PELABUHAN KLANG, DALAM DAERAH KLANG, DALAM NEGERI SELANGOR DENGAN CURANGNYA TELAH MENGGUNAKAN SEBAGAI TULEN SATU DOKUMEN IAITU DIRECTORS’ RESOLUTION DAN MEMBERS’ RESOLUTION SYARIKAT CRYSTAL GROUP ALUMINIUM EXTRUSION (M) SDN BHD BERTARIKH 16.5.2012, YANG KAMU MEMPUNYAI SEBAB UNTUK MEMPERCAYAI BAHAWA DOKUMEN TERSEBUT ADALAH DOKUMEN PALSU. OLEH YANG DEMIKIAN KAMU TELAH MELAKUKAN SUATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 471 KANUN KESEKSAAN DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 465 KANUN YANG SAMA.” PERTUDUHAN PINDAAN 2 “BAHAWA KAMU PADA TARIKH 31.5.2012 BERTEMPAT DI CRYSTAL GROUP ALUMINIUM EXTRUSION (M) SDN BHD, LOT 14860, JALAN PUSARA, TELOK GONG 42000 PELABUHAN KLANG, DALAM DAERAH KLANG, DALAM NEGERI SELANGOR DENGAN CURANGNYA TELAH MENGGUNAKAN SEBAGAI TULEN SATU DOKUMEN IAITU DIRECTORS’ RESOLUTION DAN MEMBERS’ RESOLUTION SYARIKAT CRYSTAL GROUP ALUMINIUM EXTRUSION (M) SDN BHD BERTARIKH 31.5.2012, YANG KAMU MEMPUNYAI SEBAB UNTUK MEMPERCAYAI BAHAWA DOKUMEN TERSEBUT ADALAH DOKUMEN PALSU. OLEH YANG DEMIKIAN KAMU TELAH MELAKUKAN SUATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 471 KANUN KESEKSAAN DAN BOLEH DIHUKUM DI BAWAH SEKSYEN 465 KANUN YANG SAMA.” KRONOLOGI PROSIDING [4] Pertuduhan telah dimulakan terhadap Tertuduh pada 7-10-2021 dan perbicaraan bermula pada 2-8-2022 sehingga 1-2-2024. Pendakwaan telah memanggil 10 orang saksi pendakwaan iaitu – SP1 - Tan Hock Chuan (Pengadu yang juga anak saudara kepada Tertuduh) SP2 - Siti Nur Musliha binti Mohamad Noor (Pengawai Sains / Penganalisa Dokumen) SP3 - Tan Huee Keng (Setiausaha Syarikat Crystal Group Aluminium Sdn. Bhd.) SP4 - Choong Fook Seong (Pemegang Saham dan juga Pengarah bersama Syarikat Crystal Group Aluminium Sdn. Bhd.) SP5 - Tan Yi Shin (Pengarah Syarikat Dunia Fajar Sdn. Bhd.) SP6 - Choo Chee Chien (Runner Syarikat Crystal Group Aluminium Sdn. Bhd.) SP7 - Au Yong Hin Kong (Relationship Manager untuk RHB Bank Bhd.) SP8 - Tan Soo Khiang (Pengurus Bank untuk CIMB Bank Bhd.) SP9 - Liew Ngan Fung (Peguam) SP10 – Sarjan Mejar Mohd Khodri (Pegawai Penyiasat) [5] Pada 27-3-2024 Mahkamah memutuskan pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh dan mengarahkannya membela diri. Tertuduh memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi dan Pembelaan telah mengemukakan 1 saja saksi pembelaan iaitu Tertuduh sendiri sebagai SD1. Tertuduh melalui peguam belanya telah membangkitkan 2 isu teknikal iaitu pertama tentang pertuduhan pindaan yang cacat di bawah S.163 KTJ kerana salah cantum kesalahan Tertuduh dan yang kedua kegagalan Pendakwaan mengemukakan sanksi pendakwaan yang tidak selari dengan keperluan S.129 KTJ. [6] Pada 18-10-2024 selepas mendengar keterangan pembelaan, Mahkamah mendapati pembelaan Tertuduh adalah rekaan dan penafian semata-mata, serta tidak mendatangkan keraguan terhadap keseluruhan kes Pendakwaan. Mahkamah juga telah menolah isu teknikal yang dibangkitkan Pembelaan dan akhirnya memutuskan Pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah. Mahkamah mendapati Tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan-pertuduhan pindaan. Setelah mendengar hujahan mitigasi dan pemberatan, Mahkamah telah menghukum Tertuduh dengan hukuman berikut – - Pertuduhan pindaan pertama – penjara 1 tahun 6 bulan dan denda RM10,000 jika tak bayar 1 tahun penjara - Pertuduhan pindaan kedua – penjara 1 tahun 6 bulan dan denda RM10,000 jika tak bayar 1 tahun penjara. - Hukuman penjara hendaklah berjalan berasingan bermula daripada tarikh perintah. Ini bermakna Tertuduh dipenjarakan untuk tempoh 3 tahun bermula 18/10/2024. - Permohonan peguambela untuk penggantungan pelaksanaan hukuman ditolak kerana keadaan khas tidak dibuktikan. FAKTA KES PENDAKWAAN [7] Tertuduh dan SP1 pada masa yang material adalah Pengarah Syarikat Crystal Group Aluminium Extrusion Sdn. Bhd. (“Syarikat CGA”), sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembentukan atau penghasilan aluminium. Tertuduh adalah bapa saudara kepada SP1 dan Tertuduh telah mengasaskan Syarikat CGA ini pada tahun 2008 sebagai sebuah family company yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi keluarga. SP1 diberikan tugas untuk menguruskan operasi perniagaan seperti menerima tempahan dan menguruskan kilang manakala Tertuduh pula menguruskan perihal kewangan syarikat termasuk mendapatkan pinjaman bank. Selain SP1 dan Tertuduh, terdapat 5 orang lagi Pemegang Saham Syarikat iaitu Goh Sze Wai, Lim Lian Chee, Choo Chi Jian, SP4 danTan Yi Ming dengan pembahagian saham terbesar iaitu 70% di tangan Tertuduh manakala 10% kepada SP4 dan selebihnya 20% kepada 5 yang lain. SP1 telah berhenti menjadi Pengarah sejak tahun 2018. [8] Pada sekitar tahun 2018, SP1 dimaklumkan oleh seorang bernama Mr. Ong iaitu Pengurus Citibank Berhad tentang syarikat CGA yang telah menjadi Corporate Guarantor kepada beberapa syarikat. SP1 terkejut dengan kenyataan Mr. Ong lalu bersama-sama adik iparnya Eoon Thian Chong telah berjumpa dengan SP3 iaitu Setiausaha Syarikat CGA untuk membuat semakan tentang dokumen-dokumen Resolusi Pengarah, Resolusi Ahli dan Surat Tawaran Pinjaman CIMB Bank yang berkaitan dengan Corporate Guarantee oleh Syarikat CGA ini, untuk mendapatkan kepastian kerana SP1 mendapati beliau tidak pernah melihat semua dokumen ini dan tidak pernah menurunkan tanda tangannya pada Eksibit P3(A), P3(B), P4(A) dan P4(B). Dokumen-dokumen ini adalah –