Content
DA-22NCvC-10-02/2022 Kand. 93 30/06/2026 07:15:48 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU NEGERI KELANTAN DARUL NAIM GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCvC-10-02/2022 ANTARA TAN SWEE CHOO (NO. K/P:620828-03-5180) ...PLAINTIF
DA-22NCvC-10-02/2022
High Court of Malaysia4 Jun 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ith. Upon this subject there have been many decisions which will be alluded to hereafter, but the principal rules which may be deduced from the cases are now incorporated in sections 20 and 21 of the Partnership Act 1890..." [37] Daripada autoriti di atas, dapat dirumuskan bahawa sama ada sesuatu harta merupakan harta”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DA-22NCvC-10-02/2022 Kand. 93 30/06/2026 07:15:48 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU NEGERI KELANTAN DARUL NAIM GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCvC-10-02/2022 ANTARA TAN SWEE CHOO (NO. K/P:620828-03-5180) ...PLAINTIF
2
NG CHANG PENG (NO. K/P: 561008-03-5057) ...DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Plaintif di dalam kes ini telah memfailkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan menuntut terhadap Defendan-Defendan, antara lain mendapatkan perintah pengisytiharan bahawa perkongsian yang berniaga di bawah nama dan gaya Hock Seng Kedai Emas ("Perkongsian tersebut") telah dibubarkan secara am bermula 20.2.2021, pelantikan seorang Penerima dan Pengurus (Receiver and Manager) bagi mentadbir dan menggulungkan hal ehwal Perkongsian tersebut, serta perintah supaya Defendan Kedua memindah milik kepentingannya dalam harta tidak alih tertentu (iaitu Lot 2027 dan Lot 13006) kepada Perkongsian tersebut. Plaintif turut memohon pengisytiharan bahawa Defendan Kedua sebenarnya memegang Lot 2027 dan Lot 13006 sebagai pemegang amanah bagi pihak Perkongsian tersebut. [2] Defendan Pertama dan Defendan Kedua telah memfailkan Pernyataan Pembelaan untuk menafikan tuntutan Plaintif. Pembelaan Defendan Pertama dan Defendan Kedua diringkaskan seperti berikut:
a
Plaintif tiada kausa dan hak tindakan terhadap Defendan-Defendan;
b
Tindakan ini adalah terhadap Defendan-Defendan secara individu tanpa melibakan perkongsian;
c
Tindakan ini adalah tidak teratur dan relif-relif yang dipohon tidak menlibatkan perkongsian tersebut. [3] Selanjutnya, Defendan Kedua membuat tuntutan balas bahawa mulai dari 28.6.1993, antaranya bahawa Ng Chin Pok ("Si mati") memegang 30% syernya dalam perkongsian sebagai pemegang amanah kepada Defendan Kedua, manakala harta perkongsian dibahagi secara 1/3 setiap orang antara Si mati, Defendan Pertama dan Defendan Kedua, dan lain-lain relif yang dituntut balas. [4] Plaintif dan Defendan-Defendan masing-masing telah memanggil seramai dua (2) orang saksi untuk memberikan keterangan. Saksi Plaintif ialah Plaintif sendiri, Tan Swee Choo (SP1) dan SP2 iaitu Lee Chee Khoon daripada Tetuan KH Lee & Co. Manakala bagi pihak Defendan, Defendan Pertama telah memberi keterangan sebagai saksi Defendan pertama (SD1), manakala Defendan Kedua telah memberi keterangan sebagai saksi Defendan kedua (SD2). [5] Setelah Mahkamah ini meneliti, menilai dan mempertimbangkan segala pliding, keterangan lisan dan dokumentar serta penghujahan kedua-dua pihak, Mahkamah ini pada 4.6.2026 telah memutuskan seperti berikut: a) Tuntutan Plaintif sepertimana dalam Pernyataan Tuntutan Pindaan adalah dibenarkan sebahagian iaitu di para (1), para (2) dan untuk para (3) dengan pindaan bahawa Chong Cham Seng dari Silver Ocean PLT (No. Pendaftaran 202204002793 / LLP0033084-LGN) yang beralamat di 22-09, Menara 1MK, No 1, Jalan Kiara, Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur sebagai Penerima dan Pengurus (Receiver and Manager) untuk melakukan perkara-perkara berkait dengan Perkongsian dan aset Perkongsian tersebut sahaja [Rujuk perintah Mahkamah ini bertarikh 29.4.2024 (kandungan 58)]. Manakala bagi bahagian aset yang didaftarkan atas nama Defendan Kedua, adalah dikekalkan atas milikan Defendan Kedua dan bukan aset Perkongsian tersebut; b) Tuntutan balas Defendan-Defendan dibenarkan sebahagian iaitu di para 51(d), (e) dan (m) dibenarkan sebagaimana kadar peratusan perkongsian sedia ada; dan c) Mengenai kos, pihak-pihak setuju supaya pihak-pihak untuk tanggung kos masing-masing. [6] Terkilan dengan keputusan tersebut, Plaintif telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 18.6.2026 ke Mahkamah Rayuan. [7] Pihak-pihak dirujuk dalam Alasan Penghakiman ini sebagaimana rujukan pihak-pihak dalam kes perbicaraan dalam Mahkamah ini. Ringkasan Fakta kes [8] Terdapat sebuah kedai emas dalam bentuk perkongsian beroperasi sejak 4.1.1984 bernama Hock Seng Kedai Emas (Perkongsian tersebut) yang ditubuhkan oleh sepasang tukang emas untuk empat anak lelaki mereka berikut:
a
Ng Chin Pok (Si mati) - anak sulung;
b
Ng Chin Seng-anak kedua;
c
Ng Chang Peng (Defendan Kedua) - anak ketiga; dan
d
Ng Chun Foo (Defendan Pertama) - anak bongsu. [9] Mengikut Defendan Pertama, Defendan Kedua menyertai Perkongsian tersebut sebagai rakan kongsi sejak tahun 1986 lagi. Namun, untuk rekod Defendan Kedua hanya didaftar sebagai pekerja perkongsian tersebut bawah PERKESO sejak 01.07.1992. [10] Pada 1.1.1993, Ng Chin Seng menarik diri. Defendan-Defendan menyatakan sepatutnya 30% syer Ng Chin Seng perlu ditukar kepada Defendan Kedua, tetapi ketiga adik beradik tersebut setuju agar 30% syer Defendan Kedua didaftar atas nama Si mati sebagai pemegang amanah Defendan Kedua. Maka atas rekod, peratus pegangan syer perkongsian atas rekod SSM ialah Ng Chin Pok sebanyak 60% dan Ng Chun Foo (Defendan Pertama) sebanyak 40%. [11] Ng Chin Pok (Si mati) telah meninggal dunia pada 20.2.2021. Selepas kematian Si mati, balunya iaitu Tan Swee Choo (Plaintif), telah dilantik secara sah sebagai Pentadbir Harta Pusaka kepada Si mati dan seterusnya merupakan Plaintif dalam tindakan ini. [12] Sepanjang tempoh Si mati masih hidup, Perkongsian tersebut telah membeli dan memiliki pelbagai aset boleh alih dan tidak boleh alih menggunakan dana atau akaun Perkongsian tersebut, antaranya termasuk beberapa unit rumah kedai dua (2) dan tiga (3) tingkat serta sebuah rumah banglo dua (2) tingkat yang terletak di sekitar Jajahan Gua Musang dan Kota Bharu, Kelantan. [13] Daripada aset-aset tersebut, terdapat beberapa harta tidak alih yang telah didaftarkan atas nama Si mati, Defendan Pertama dan Ng Chang Peng selaku Defendan Kedua. Secara khususnya, Lot 2027 dan Lot 13006 telah didaftarkan atas tiga (3) nama, manakala Lot 13093 (rumah banglo tersebut) telah didaftarkan atas nama Defendan Pertama sahaja. [14] Secara ringkasnya, pertikaian utama antara Plaintif dan Defendan-Defendan adalah sama ada Defendan Kedua sebenarnya mempunyai kepentingan benefisial sebanyak 30% dalam perkongsian tersebut sebagai seorang 'secret partner' dan sama ada Si mati memegang kepentingan tersebut secara amanah bagi pihak Defendan Kedua. [15] Plaintif berhujah secara ringkas, antara lain seperti berikut: a) Seksyen 22 Akta Perkongsian 1961 yang memperuntukkan bahawa segala harta dan hak yang dibeli atau diperoleh menggunakan wang kepunyaan perkongsian hendaklah dianggap sebagai harta perkongsian, melainkan jika terdapat niat yang jelas sebaliknya. Prinsip ini diperkukuhkan lagi oleh seksyen 23 Akta yang sama, yang memperuntukkan bahawa sesuatu harta yang diperoleh dengan menggunakan wang perkongsian, adalah dipegang atau dibeli bagi pihak perkongsian. Dalam kes ini, adalah jelas dan tidak dipertikaikan melalui keterangan saksi-saksi bahawa kesemua aset yang dipertikaikan telah dibeli dan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana atau akaun Perkongsian tersebut, dan bukannya menggunakan dana peribadi Defendan Pertama atau Defendan Kedua; b) Walaupun terdapat beberapa aset yang didaftarkan atas nama individu tertentu, termasuk Defendan Pertama dan Defendan Kedua — inter alia rumah kedai Lot 2027 dan Lot 13006 yang didaftarkan atas tiga (3) nama, serta rumah banglo Lot 13093 yang didaftarkan atas nama Defendan Pertama sahaja, namun pendaftaran sedemikian tidak mengubah atau menjejaskan sifat sebenar aset-aset tersebut sebagai harta Perkongsian. Prinsip ini adalah selaras dengan peruntukan seksyen 22 dan 23 Akta Perkongsian 1961; c) Sehubungan itu, aset-aset berkenaan adalah tertakluk kepada proses penggulungan Perkongsian tersebut (winding up) tujuan penyelesaian hutang-hutang Perkongsian terlebih dahulu, dan seterusnya pembahagian lebihan (surplus) mengikut nisbah pegangan rakan-rakan kongsi yang sah, iaitu 60% kepada pihak Plaintif sebagai pentadbir harta pusaka si mati dan 40% kepada Defendan Pertama; d) Individu yang namanya didaftarkan sebagai pemilik sesuatu aset yang dibeli menggunakan dana Perkongsian hendaklah, menurut undang-undang, dianggap memegang aset tersebut sebagai pemegang amanah bagi pihak Perkongsian, melainkan dibuktikan sebaliknya oleh pihak yang mendakwa hakmilik peribadi. Prinsip ini adalah sejajar dengan peruntukan seksyen 22 dan 23 Akta Perkongsian 1961; e) Keterangan SP1, SP2 serta pengakuan SD1 dan SD2 konsisten membuktikan bahawa aset-aset yang dipertikaikan telah dibeli menggunakan dana Perkongsian dan direkodkan sebagai aset Perkongsian dalam laporan kewangan perkongsian, tanpa sebarang perjanjian yang menunjukkan niat untuk menjadikannya harta peribadi Defendan Pertama atau Defendan Kedua; f) Pihak Defendan sendiri telah mengakui secara jelas bahawa kesemua aset yang dipertikaikan telah dibeli sepenuhnya menggunakan dana Perkongsian, dan bahawa tiada sebarang sumbangan peribadi dibuat oleh Defendan Pertama atau Defendan Kedua bagi tujuan pembelian aset-aset tersebut. Oleh yang demikian, pendaftaran rumah kedai Lot 2027 dan Lot 13006 atas nama Defendan Kedua tidak memberikan sebarang hak benefisial kepadanya. Begitu juga dengan rumah banglo Lot 13093 yang didaftarkan atas nama Defendan Pertama sahaja; dan g) Pihak Defendan memfailkan tuntutan balas terhadap Plaintif atas dasar bahawa Defendan Kedua kononnya mempunyai syer 30% dalam Perkongsian tersebut yang dipegang secara amanah oleh Si Mati kerana wujudnya suatu perkongsian rahsia antara mereka sendiri. Adalah undang-undang yang mantap bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya ke atas pihak yang mendakwa kewujudan sesuatu perkongsian rahsia. kewujudan suatu perkongsian rahsia (secret partnership) adalah tidak berasas, tidak disokong oleh sebarang bukti dokumentar, dan bersifat rekaan semata-mata, serta gagal sama sekali memenuhi tahap pembuktian yang dikehendaki di bawah seksyen 101 Akta Keterangan 1950. Ringkasan hujahan Defendan-Defendan [16] Hujahan Defendan-Defendan diringkaskan, antara lain seperti berikut: a) Seksyen 22 Akta Perkongsian 1961 membezakan harta perkongsian dan bukan harta perkongsian. Seksyen 23 Akta Perkongsian 1961 membuat anggapan bahawa sesuatu harta yang dibeli dengan wang milik firma dianggap telah dibeli atas akaun firma, tetapi pihak-pihak berkenaan masih berhak mematahkan anggapan tersebut dengan membukti niat yang berlawanan. Ini bermaksud, walaupun sesuatu harta tersebut di bayar oleh firma dan dinyatakan sebagai harta perkongsian dalam akaun perkongsian, ia bukan konklusif harta tersebut adalah harta perkongsian. Sebaliknya, untuk menentukan samada sesuatu harta adalah harta perkongsian, ia banyak bergantung kepada niat sebaliknya; b) Tiada sebarang butir-butir atau fakta menunjukkan bagaimana hakmilik Defendan-defendan boleh disangkalkan bawah seksyen 340 Kanun Tanah Negara seperti wujudnya penipuan, salahnyata, pemalsuan atau instrument yang tidak mencukupi; c) Tiada sebarang butir-butir di plid menunjukkan wujudnya amanah, resulting trust atau constructive trust di antara Si mati dan kedua Defendan dengan Perkongsian tersebut dan butirbutir keingkaran yang disengajakan oleh mana-mana Defendan; d) Tanpa sebarang Surat ikatan Amanah bertulis dikemukakan oleh Plaintif, kami berhujah Plaintif tidak plid butir-butir amanah khususnya 3 elemen amanah iaitu (a) certainty of words; (b) certainty of subject; and (c) certainty of object yang di lafaz oleh Si mati atau mana-mana Defendan. Begitu juga Plaintif gagal memplid butir-butir wujudnya resulting trust atau constructive trust. Isu-Isu Untuk Diputuskan [17] Berdasarkan pliding, keterangan dan hujahan pihak-pihak, isu-isu yang perlu diputuskan ialah:
a
sama ada perkongsian Hock Seng Kedai Emas telah terbubar akibat kematian Si mati;
b
sama ada Defendan Kedua berjaya membuktikan bahawa beliau merupakan rakan kongsi rahsia yang mempunyai pegangan benefisial sebanyak 30%;
c
sama ada Si mati memegang mana-mana kepentingan secara amanah bagi pihak Defendan Kedua;
d
sama ada hartanah-hartanah yang diperoleh menggunakan dana perkongsian merupakan aset perkongsian; dan
e
sama ada Defendan Kedua memegang bahagian miliknya dalam empat lot tanah yang dipertikaikan secara amanah bagi pihak perkongsian. Analisis dan dapatan Sama ada perkongsian Hock Seng Kedai Emas telah terbubar akibat kematian Si mati? [18] Mahkamah ini mendapati isu ini tidak dipertikaikan. Seksyen 35 Akta Perkongsian 1961 memperuntukkan bahawa tertakluk kepada apa-apa perjanjian yang bertentangan, sesuatu perkongsian terbubar apabila berlaku kematian seseorang rakan kongsi. [19] Tiada sebarang perjanjian bertulis atau keterangan lain dikemukakan yang menunjukkan bahawa pihak-pihak telah bersetuju untuk meneruskan perkongsian selepas kematian Simati. [20] Malah SD1 sendiri mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa perkongsian tersebut terbubar apabila Si mati meninggal dunia pada 20.2.2021. [21] Oleh itu Mahkamah ini mendapati bahawa Hock Seng Kedai Emas telah terbubar secara automatik pada tarikh tersebut menurut seksyen 35 Akta Perkongsian 1961. Sama ada Defendan Kedua berjaya membuktikan bahawa beliau merupakan rakan kongsi rahsia yang mempunyai pegangan benefisial sebanyak 30%? [22] Menurut seksyen 101 Akta Keterangan 1950, sesiapa yang menghendaki Mahkamah memberikan penghakiman mengenai sesuatu hak yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskannya hendaklah membuktikan fakta tersebut. Prinsip ini telah dihuraikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd v Boonsom Boonyanit [2001] 1 MLJ 241 dan kemudiannya dalam pelbagai keputusan lain bahawa pihak yang membuat dakwaan memikul beban undang-undang untuk membuktikan dakwaan tersebut atas imbangan kebarangkalian. [23] Dalam tindakan ini, Defendan-Defendan mendakwa bahawa Defendan Kedua mempunyai kepentingan benefisial sebanyak 30% dalam perkongsian dan bahawa Si mati hanya memegang kepentingan tersebut sebagai pemegang amanah. Oleh itu, beban pembuktian berhubung kewujudan perkongsian rahsia dan amanah tersebut terletak sepenuhnya ke atas Defendan-Defendan. [24] Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa Defendan-Defendan gagal mengemukakan sebarang perjanjian perkongsian, surat ikatan amanah, deklarasi amanah, rekod modal, penyata pembahagian keuntungan atau apa-apa dokumen yang menyokong dakwaan tersebut. Sebaliknya, keseluruhan rekod rasmi termasuk pendaftaran SSM, penyata kewangan dan rekod percukaian secara konsisten menunjukkan bahawa hanya Si mati dan Defendan Pertama merupakan rakan kongsi yang diiktiraf sepanjang tempoh material. [25] Mahkamah ini memberi pemberatan kepada keterangan SP2 selaku akauntan yang menyediakan penyata kewangan perkongsian sepanjang tempoh yang material. Keterangan beliau disokong oleh dokumen kontemporari yang diwujudkan dalam perjalanan biasa perniagaan. [26] Sebaliknya, dakwaan bahawa Defendan Kedua merupakan rakan kongsi rahsia tidak disokong oleh sebarang dokumen bertulis. Tiada perjanjian perkongsian, surat ikatan amanah, penyata pembahagian keuntungan, rekod modal atau dokumen percukaian yang menunjukkan bahawa Defendan Kedua mempunyai kepentingan benefisial sebanyak 30% dalam perkongsian. [27] Mahkamah ini berpendapat bahawa dakwaan mengenai kewujudan suatu hubungan amanah dan perkongsian rahsia yang dikatakan telah berterusan selama puluhan tahun memerlukan keterangan yang jelas, kukuh dan meyakinkan. Dalam kes ini, keterangan yang dikemukakan oleh Defendan-Defendan hanyalah keterangan lisan yang tidak disokong oleh bukti dokumentari yang mencukupi. [28] Mahkamah ini berpendapat bahawa dakwaan mengenai kewujudan suatu 'secret partnership' selama puluhan tahun tanpa sebarang rekod rasmi merupakan dakwaan yang memerlukan keterangan yang jelas, kukuh dan meyakinkan. Keterangan lisan semata-mata tanpa sokongan dokumentari yang mencukupi tidak memadai untuk melepaskan beban pembuktian tersebut. [29] Oleh itu Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan-Defendan gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa Defendan Kedua merupakan rakan kongsi rahsia. Sama ada Si mati memegang mana-mana kepentingan secara amanah bagi pihak Defendan Kedua; [30] Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa bagi mewujudkan suatu amanah nyata (express trust), hendaklah dibuktikan dengan jelas kewujudan niat untuk mewujudkan amanah, subjek amanah dan benefisiari amanah. [31] Bagi mewujudkan suatu amanah yang sah di sisi undang-undang, tiga elemen asas hendaklah dibuktikan, sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah dalam kes Yeong Ah Chee @ Yan Hon Wah v. Lee Ching Chai and 13 Other Appeals [1994] 3 CLJ 20 iaitu - i. Kepastian niat atau perkataan (certainty of words) yang menunjukkan hasrat jelas untuk mewujudkan amanah; ii. Kepastian subjek amanah (certainty of subject matter), iaitu harta atau kepentingan yang menjadi perkara amanah dikenal pasti dengan jelas; dan iii. Kepastian objek amanah (certainty of object), iaitu benefisiari atau pihak yang berhak menerima manfaat di bawah amanah tersebut dapat dikenal pasti dengan pasti. [32] Mahkamah ini tidak menemukan sebarang dokumen atau perlakuan pihak-pihak yang menunjukkan bahawa Si mati pernah mengakui dirinya memegang mana-mana bahagian kepentingan perkongsian secara amanah bagi pihak Defendan Kedua. Tiada bukti bahawa Defendan Kedua pernah menerima pembahagian keuntungan sebagai rakan kongsi, menyumbang modal sebagai rakan kongsi atau diiktiraf sedemikian dalam mana-mana dokumen rasmi. [33] Maka, Mahkamah ini mendapati bahawa dakwaan amanah yang dikemukakan oleh Defendan-Defendan adalah semata-mata suatu dakwaan yang tidak disokong oleh bukti yang mencukupi. Sama ada hartanah-hartanah yang diperoleh menggunakan dana perkongsian merupakan aset perkongsian? [34] Mahkamah ini menerima terdapat keterangan bahawa sebahagian hartanah yang dipertikaikan telah diperoleh menggunakan dana perkongsian. Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 23 Akta Perkongsian 1961 memperuntukkan bahawa harta yang dibeli menggunakan wang perkongsian dianggap sebagai harta perkongsian. Walau bagaimanapun, anggapan tersebut bukanlah suatu anggapan yang tidak boleh disangkal. Persoalan muktamad tetap bergantung kepada niat pihak-pihak sebagaimana yang boleh disimpulkan daripada keseluruhan keadaan kes. [35] Anggapan statutori di bawah seksyen 23 Akta Perkongsian 1961, iaitu bahawa harta yang dibeli menggunakan wang milik perkongsian adalah harta perkongsian melainkan jika niat yang bertentangan dibuktikan. Mahkamah ini merujuk kepada kes yang dirujuk Defendan-Defendan iaitu kes Ponnukon v. Jebaratnam [1980] 1 MLJ 282, Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: "Intention to treat the property as partnership property will be presumed whenever the property is purchased with partnership money, although it may have been purchased by or in the name of a partner only. This presumption, however, will be rebutted if it is proved that the money used for the purchase was in fact not belonging to the partnership, as for example, the money was lent to the partner, in such event the property is not a partnership property. Thus, the question as to who pays for the property is important." [36] Dalam kes NB Menon v. Abdullah Kutty [1974] 2 MLJ 159, Mahkamah Persekutuan telah merujuk kepada Lindley on Partnership (Edisi Ke-12) seperti berikut: "It is for the partners to determine by agreement amongst themselves what shall be the property of the firm, and what shall be the separate property of one or more of them. If there is no express agreement, attention must be paid to the source whence the property was obtained, the purpose for which it was acquired, and the mode in which it has been dealt with. Upon this subject there have been many decisions which will be alluded to hereafter, but the principal rules which may be deduced from the cases are now incorporated in sections 20 and 21 of the Partnership Act 1890..." [37] Daripada autoriti di atas, dapat dirumuskan bahawa sama ada sesuatu harta merupakan harta perkongsian bergantung terutamanya kepada sumber dana yang digunakan untuk memperoleh harta tersebut, tujuan pemerolehannya, serta niat pihak-pihak yang terlibat. [38] Dalam kes ini, Mahkamah ini mendapati bahawa hartanah-hartanah tersebut telah didaftarkan atas nama individu tertentu dan kekal sedemikian untuk tempoh yang panjang tanpa bantahan atau tuntutan daripada Si mati semasa hayatnya. Mahkamah ini turut menerima keterangan bahawa amalan pihak-pihak adalah untuk membenarkan pemilik berdaftar menikmati pemilikan benefisial setelah pinjaman berkaitan hartanah diselesaikan. [39] Pada pandangan Mahkamah ini, fakta-fakta tersebut merupakan keterangan yang mencukupi untuk menyangkal anggapan di bawah seksyen 23 Akta Perkongsian 1961 berhubung bahagian yang didaftarkan atas nama Defendan Kedua. Sama ada Defendan Kedua memegang bahagian miliknya dalam empat lot tanah yang dipertikaikan secara amanah bagi pihak perkongsian? [40] Mahkamah ini mendapati bahawa beban pembuktian terletak sepenuhnya ke atas Plaintif untuk membuktikan bahawa Defendan Kedua memegang bahagian 1/3 miliknya dalam 4 Lot Tanah sebagai pemegang amanah bagi pihak Perkongsian. [41] Setelah meneliti keseluruhan keterangan lisan dan dokumentari, Mahkamah berpendapat bahawa Plaintif gagal membuktikan kewujudan amanah tersebut atas imbangan kebarangkalian. [42] Pertamanya, tuntutan amanah yang dibuat oleh Plaintif hanya diplid secara umum tanpa memperincikan sifat amanah yang didakwa wujud, sama ada express trust, resulting trust atau constructive trust. Tiada surat ikatan amanah, deklarasi amanah atau dokumen lain yang menunjukkan bahawa Defendan Kedua bersetuju memegang bahagiannya sebagai pemegang amanah bagi pihak perkongsian. [43] Keduanya, Mahkamah ini mendapati Plaintif gagal mengemukakan apa-apa dokumen amanah, surat ikatan amanah atau apa-apa bukti langsung yang menunjukkan Defendan Kedua sebagai pemegang amanah bagi pihak Perkongsian. Malah, keterangan Plaintif sendiri menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai persetujuan yang dikatakan wujud antara Si mati dan keduadua Defendan. [44] Ketiganya, walaupun benar sebahagian hartanah berkenaan dibeli menggunakan dana perkongsian, seksyen 23 Akta Perkongsian 1961 hanya mewujudkan suatu anggapan yang boleh disangkal. Undangundang yang mantap memperuntukkan bahawa persoalan sama ada sesuatu harta merupakan harta perkongsian bergantung kepada niat pihak-pihak. Dalam ketiadaan perjanjian nyata, Mahkamah ini perlu meneliti sumber pemerolehan, tujuan pembelian dan cara harta tersebut diuruskan. [45] Dalam kes ini, terdapat keterangan bahawa beberapa hartanah telah didaftarkan terus atas nama individu-individu tertentu dan hak milik tersebut kekal sedemikian selama bertahun-tahun tanpa sebarang tuntutan oleh si mati untuk memindahkan atau mengisytiharkannya sebagai harta amanah. Defendan juga memberi keterangan bahawa apabila pinjaman sesuatu hartanah selesai dibayar, hartanah tersebut dianggap sebagai milik peribadi pemilik berdaftar. Keadaan ini menunjukkan kewujudan niat yang bertentangan dengan anggapan di bawah seksyen 23 Akta Perkongsian 1961. [46] Mahkamah juga mengambil kira bahawa Defendan Kedua didaftarkan sebagai pemilik berdaftar bagi bahagian 1/3 dalam hartanah yang dipertikaikan. Hak milik berdaftar menikmati perlindungan undangundang dan tidak boleh diketepikan semata-mata berdasarkan dakwaanamanah yang tidak disokong oleh bukti yang mencukupi. Tiada bukti penipuan, salah nyata, pemalsuan atau keadaan lain yang bolehmenjejaskan hak milik berdaftar tersebut. [47] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah berpendapat bahawa Plaintif telah gagal membuktikan elemen-elemen penting yang diperlukan untuk mewujudkan amanah, termasuk kepastian mengenai niat, subjek dan benefisiari amanah yang didakwa. [48] Sebaliknya, keterangan yang ada lebih menyokong dapatan bahawa Defendan Kedua memiliki bahagiannya sebagai pemilik benefisial dan bukan sebagai pemegang amanah. [49] Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan bahawa tiada amanah yang wujud. Hak milik berdaftar Defendan Kedua kekal utuh dan tidak terjejas. Tuntutan Balas Defendan-Defendan [50] Tuntutan balas Defendan pada asasnya bergantung kepada kejayaan dakwaan bahawa Defendan Kedua memiliki kepentingan sebanyak 30% dalam perkongsian melalui suatu amanah yang diwujudkan oleh Simati. Seperti yang telah dihuraikan terdahulu, Mahkamah ini mendapati bahawa dakwaan tersebut gagal dibuktikan atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu, Mahkamah ini menolak tuntutan balas Defendan-Defendan. [51] Namun, berhubung dengan tuntutan balas bagi GRN 56279, Lot 13093, Mukim Ketil, Gua Musang yang didaftarkan terus atas nama Defendan Pertama dan Mahkamah ini mendapati bahawa hak milik tersebut kekal sedemikian selama bertahun-tahun tanpa sebarang tuntutan oleh Si mati untuk memindahkan atau mengisytiharkannya sebagai harta amanah. Mahkamah ini juga menerima keterangan Defendan Pertama bahawa apabila pinjaman sesuatu hartanah selesai dibayar, hartanah tersebut dianggap sebagai milik peribadi pemilik berdaftar.
para
[52] Berdasarkan keseluruhan keterangan dan dokumen yang ada di hadapan Mahkamah ini, maka Mahkamah ini membuat dapatan seperti berikut:
a
Hock Seng Kedai Emas telah terbubar pada 20.2.2021;
b
Defendan Kedua bukan rakan kongsi rahsia dan tidak mempunyai pegangan benefisial sebanyak 30% dalam perkongsian;
c
Si mati tidak memegang apa-apa kepentingan dalam perkongsian secara amanah bagi pihak Defendan Kedua; dan
d
Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan Kedua memegang bahagiannya sebagai pemegang amanah bagi pihak perkongsian. [53] Sehubungan itu, tuntutan Plaintif adalah dibenarkan sebahagian iaitu di para 22(1), 22(2) dan untuk para 22(3) dibenarkan dengan pindaan bahawa Chong Cham Seng dari Silver Ocean PLT (No. Pendaftaran 202204002793 / LLP0033084-LGN) yang beralamat di 22-09, Menara 1MK, No 1, Jalan Kiara, Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur sebagai Penerima dan Pengurus (Receiver and Manager) untuk melakukan perkara-perkara berkait dengan Perkongsian dan aset Perkongsian tersebut sahaja [Rujuk perintah Mahkamah ini bertarikh 29.4.2024 (kandungan 58)]. Bagi bahagian aset yang didaftarkan atas nama Defendan Kedua, adalah dikekalkan atas milikan Defendan Kedua dan bukan aset Perkongsian. [54] Tuntutan balas Defendan-Defendan turut dibenarkan sebahagian iaitu di para 51(d), (e) dan (m) dibenarkan sebagaimana kadar peratusan perkongsian sedia ada. [55] Mengenai kos, adalah dipersetujui oleh pihak-pihak supaya pihak-pihak untuk tanggung kos masing-masing. Bertarikh: 30 Jun 2026 KAUNSEL: Bagi pihak Plaintif Ang Khai Wei Tetuan Yeap & Ang Bagi pihak Defendan-Defendan - Lua Kok Hiong Tetuan Lua & Mansor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.