Didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu didapati dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi." [3] Tertuduh tidak mengaku bersalah, justeru satu perbicaraan penuh dijalankan. Di akhir kes pembelaan, Hakim Mahkamah Sesyen ("HMS") telah melepaskan dan membebaskan Tertuduh daripada pertuduhan. [4] Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Pendakwa Raya telah merayu ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan Pendakwa Raya, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi ("YA HMT") telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya di mana Tertuduh didapati bersalah sebagaimana pertuduhan, disabitkan dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama satu (1) hari dan denda sebanyak RM30,000.00, gagal bayar, enam (6) bulan pemenjaraan. [5] Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan keputusan YA HMT telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman, dan telah didaftarkan sebagai Rayuan Jenayah No.: W-09-71-04/2023. Pendakwa Raya juga telah membuat rayuan silang terhadap hukuman yang telah diberikan oleh YA HMT, dan telah didaftarkan sebagai Rayuan Jenayah No.: W-09-80-04/2023. B. KES PENDAKWAAN [6] Semasa prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, kes pendakwaan secara ringkasnya adalah seperti berikut: i) Pada 28.06.2018, SP3 (Pegawai JPN) serta pasukannya telah pergi ke Bank CIMB cawangan Bandar Puteri, Puchong dan telah menahan dan membawa balik ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya seorang warganegara China bernama Li Ting (SD3) kerana disyaki melakukan satu kesalahan berkaitan pemalsuan kad pengenalan (MyPR). Li Ting (SD3) telah di bawa ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya untuk tindakan lanjut. ii) Sebelum dibawa ke Putrajaya, Li Ting (SD3) telah menghubungi kawannya, Tan Tai Kwan iaitu Tertuduh. Li Ting tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Apabila Tertuduh tiba di Bank CIMB cawangan Bandar Puteri tersebut, Tertuduh telah cuba memujuk dan merayu kepada Pegawai JPN supaya tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Li Ting (SD3). Walau bagaimanapun, Pegawai JPN tidak mengendahkan rayuan dan pujukan Tertuduh tersebut. Tertuduh turut dibawa bersama ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya kerana Li Ting (SD3) tidak memberikan kerjasama kepada Pegawai JPN serta tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. iii) Dalam perjalanan ke Ibu Pejabat JPN, Putrajaya, Tertuduh masih meminta agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap Li Ting (SD3). iv) Apabila tiba di Ibu Pejabat JPN, Putrajaya, Tertuduh dan Li Ting (SD3) dibawa untuk proses temu-siasat bersama Pegawai JPN yang diketuai oleh SP1, Encik Rosidi bin Basri, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Semasa SP1 menemu-siasat Tertuduh, Tertuduh telah menawarkan wang rasuah berjumlah RM20,000.00 kepada SP1 supaya SP1 tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Li Ting (SD3) yang disyaki melakukan kesalahan menurut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Apabila berlakunya penawaran tersebut, pihak JPN telah menghubungi pihak SPRM kerana dipercayai akan berlakunya satu transaksi pemberian wang suapan berhubung kes yang sedang disiasat oleh pihak JPN tersebut. v) Pasukan SPRM tiba di pejabat Ibu Pejabat JPN, Putrajaya yang terdiri daripada SP2, SP6 dan SP7. Tertuduh telah menghubungi seorang kawannya, Soo Chong Lim (SD2) melalui panggilan telefon dan Tertuduh telah meminta beliau membawakan wang sebanyak RM20,000.00 untuk diserahkan kepada Tertuduh bagi maksud untuk diberikan kepada SP1. Soo Chong Lim (SD2) tiba di Ibu Pejabat JPN, Putrajaya dan telah berjumpa dengan Tertuduh, serta menyerahkan wang tersebut. vi) Tertuduh telah menunjukkan wang tersebut kepada SP1. SP1 telah memberi amaran sewajarnya kepada Tertuduh. Tertuduh telah mengira wang tersebut di hadapan SP1 dan menambahkan RM50.00 kepada jumlah tersebut dari wangnya sendiri. Seterusnya, Tertuduh telah memberikan wang tersebut kepada SP1. Apabila transaksi pemberian wang daripada Tertuduh kepada SP1 telah berlaku, SP2 telah membuat tangkapan terhadap Tertuduh. [7] Tertuduh tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memohon untuk dibicarakan. Bagi membuktikan pertuduhan, pihak pendakwaan telah mengemukakan sepuluh (10) orang saksi, terdiri daripada lima (5) orang saksi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), empat (4) orang saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang saksi daripada Jabatan Keselamatan Maxis Broadband Sdn. Bhd. (Maxis). [8] Di akhir kes pendakwaan, HMS telah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang kukuh serta berjaya membuktikan setiap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) ASPRM dipenuhi. Justeru, HMS memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap Tertuduh dan Tertuduh dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. [9] Sehubungan itu juga, HMS memutuskan bahawa anggapan statutori menurut Seksyen 50 ASPRM adalah terpakai terhadap Tertuduh dan bebanan kini terletak di bahu Tertuduh untuk mematahkan anggapan berkenaan, yakni dengan membuktikan bahawa wang yang diberikan itu bukanlah wang rasuah/ wang suapan, atas imbangan kebarangkalian (on the balance of probabilities). C. KES PEMBELAAN [10] Di peringkat pembelaan, Tertuduh telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi. Tertuduh juga telah memanggil dua (2) orang saksi bagi menyokong versi pembelaan iaitu Soo Chong Ling (SD2) dan Li Ting (SD3). [11] Secara ringkasnya, pembelaan Tertuduh adalah wang yang diberikan Tertuduh kepada SP1, Rosidi bin Basri iaitu Pegawai JPN pada malam kejadian adalah sebagai wang jaminan untuk membebaskan Li Ting dengan jaminan pada hari tersebut. Tertuduh menafikan bahawa ianya merupakan wang rasuah/ wang suapan kepada pihak JPN untuk tidak mengambil tindakan terhadap Li Ting (SD3) yang sedang ditahan oleh pihak JPN kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. [12] Dalam mencapai keputusan di akhir kes pembelaan, HMS di dalam alasan penghakiman beliau menyatakan bahawa beliau telah membuat penilaian maksima terhadap keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sekali lagi, serta keterangan-keterangan dalam versi pihak pembelaan. Berdasarkan penelitian berkenaan, HMS berpuas hati bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh. [13] Menurut HMS lagi, pihak pembelaan juga telah berjaya mematahkan anggapan statutori di bawah Seksyen 50 ASPRM, dengan memberikan "innocent explanation" bahawa wang tersebut bukanlah wang rasuah/ wang suapan. Justeru, HMS telah melepaskan dan membebaskan Tertuduh daripada pertuduhan. D. RAYUAN DI MAHKAMAH TINGGI [14] Pihak Pendakwa Raya yang tidak berpuas hati dengan perintah pelepasan dan pembebasan oleh HMS tersebut telah merayu terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi. [15] Secara ringkasnya, YA HMT di dalam alasan penghakiman beliau menyatakan bahawa dapatan HMS adalah tepat apabila setelah membuat penilaian maksima, HMS mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwa Raya (setelah setiap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(b) ASPRM berjaya dibuktikan) dan seterusnya memanggil Tertuduh untuk membela diri. [16] Pada peringkat ini, YA HMT juga bersetuju dengan dapatan HMS bahawa anggapan statutori menurut Seksyen 50 APSRM adalah terpakai terhadap Tertuduh, melainkan dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, Tertuduh adalah dianggap telah memberikan wang rasuah/ wang suapan sebanyak RM19,050.00 kpd SP1, sebagai dorongan untuk tidak dikenakan apa-apa tindakan terhadap SD3. [17] Namun demikian, setelah meneliti keseluruhan Rekod-rekod Rayuan, YA HMT telah membuat dapatan bahawa HMS telah melakukan kesilapan yang ketara di akhir kes pembelaan. Ini kerana, HMS telah gagal mengambil kira keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, apabila beliau membuat dapatan bahawa Tertuduh telah berjaya mematahkan anggapan statutori menurut Seksyen 50 ASPRM dan telah memberikan "innocent explanation" bahawa wang tersebut bukanlah wang rasuah/ wang suapan. Atas kegagalan dan kesilapan HMS ini, YA HMT memutuskan bahawa keputusan HMS perlu diketepikan. [18] Di dalam alasan penghakimannya, YA HMT mendapati bahawa alasan yang diberikan Tertuduh kononnya wang tunai yang diberikan kepada SP1 dimaksudkan untuk menjamin Li Ting (SD3) adalah tidak boleh diterima. Hal ini kerana, berdasarkan keterangan menyeluruh saksi pendakwaan, Tertuduh tidak pernah bertanyakan apa-apa, sama ada kepada SP1 atau mana-mana Pegawai JPN mengenai wang jaminan yang perlu dibayar bagi membebaskan Li Ting (SD3) dengan jaminan pada hari tersebut. Keterangan sebaliknya menunjukkan usaha gigih Tertuduh dalam menyogok SP1 supaya dapat melepaskan Li Ting (SD3) dari ditahan lanjut, walaupun telah diberitahu beberapa kali bahawa tindakan Tertuduh yang menawarkan wang rasuah tersebut adalah salah di sisi undang-undang. [19] Menurut YA HMT lagi, alasan yang diberikan Tertuduh kononnya wang tersebut merupakan wang jaminan adalah tidak logik kerana jaminan hanya ditawarkan apabila satu soal-siasat telah selesai dan ianya perlu ditawarkan oleh pihak berkuasa/ pihak JPN secara dokumentasi dengan mengisi borang, di mana Tertuduh pastinya akan dikehendaki untuk menandatangani dokumen-dokumen tersebut. Perkara ini sama sekali tidak berlaku. [20] Seterusnya, YA HMT mendapati bahawa pembelaan Tertuduh bahawa dia berusaha keras untuk membantu menjamin keluar Li Ting (SD3) kerana Li Ting (SD3) mempunyai bayi kecil yang masih menyusu badan juga tidak boleh diterima. Menurut YA HMT, isu ini adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought), memandangkan sepanjang siasatan berlangsung pada hari kejadian, saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP1 dan Pegawai Penyiasat sendiri tidak pernah dimaklumkan sama ada oleh Tertuduh mahupun oleh Li Ting (SD3) sendiri, bahawa dia mempunyai anak kecil yang masih menyusu badan. Justeru, menurut YA HMT lagi, ianya bukan sahaja suatu afterthought, malahan ianya tidak mampu menyangkal anggapan statutori tersebut. [21] Berhubung krdebiliti saksi-saksi yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, YA HMT mendapati bahawa pada sepanjang masa kejadian, segala tindakan oleh SP1 iaitu saksi utama pihak pendakwaan adalah dalam penglihatan Pegawai-pegawai SPRM dan keterangan SP1 ini juga telah disahkan dan disokong oleh Pegawai-pegawai SPRM sendiri (SP2, SP4 dan SP6). Justeru, keterangan SP1 perlu dipercayai kerana beliau adalah saksi yang kredibel dan tidak berkepentingan, apatah lagi keterangannya telah disokong oleh saksi-saksi lain. Justeru menurut YA HMT lagi, HMS telah tersalah arah apabila memberi kepercayaan kepada keterangan Tertuduh yang mempunyai kepentingan sendiri dan tidak jujur, lebih daripada keterangan SP1 yang kredibel dan telah disokong itu. [22] Atas dapatan di atas, YA HMT telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan mengenepikan keputusan HMS yang telah melepaskan dan membebaskan Tertuduh. Tertuduh selanjutnya didapati bersalah, disabitkan dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama satu (1) hari dan denda sebanyak RM30,000.00, gagal bayar, enam (6) bulan pemenjaraan. E. RAYUAN DI HADAPAN MAHKAMAH INI [23] Dalam rayuan di hadapan Mahkamah ini, Tertuduh telah membangkitkan beberapa isu bagi mencabar keseluruhan keputusan YAHMT. Walau bagaimanapun, Mahkamah ini hanya akan memberi fokus dan penekanan kepada empat (4) isu utama yang dihujahkan oleh pihak-pihak semasa pendengaran, memandangkan isu-isu lain yang dibangkitkan adalah bersangkutan dengan isu utama ini; sebagaimana berikut: i) Pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh adalah cacat dan defektif; ii) Izin Pendakwa Raya adalah cacat dan defektif; iii) Kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi material iaitu Soo Chong Ling (SD2) sebagai saksi pendakwaan telah membangkitkan inferens menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950; dan iv) Perbezaan jumlah wang rasuah/ wang suapan yang diberikan Tertuduh kepada SP1. F. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH INI Isu i) Pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh adalah cacat dan defektif [24] Berdasarkan semakan terhadap Rekod-rekod Rayuan serta pengesahan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semasa pendengaran rayuan serta di dalam hujahan bertulisnya, Mahkamah ini ingin merekodkan bahawa isu berhubung pertuduhan yang cacat dan defektif ini tidak pernah dibangkitkan oleh Tertuduh pada mana-mana peringkat sebelum ini, sama ada di peringkat perbicaraan di Mahkamah Sesyen mahupun rayuan di Mahkamah Tinggi. [25] Menurut Tertuduh, frasa “... sebagai dorongan supaya tidak melakukan satu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan ke atas kamu dan seorang lagi…” di dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh adalah cacat dan defektif kerana tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh Tertuduh sendiri yang boleh menyebabkan dirinya diambil tindakan oleh pihak JPN, sekiranya tidak memberi rasuah berkenaan. [26] Menurut Tertuduh lagi, kesalahan hanya dilakukan oleh Li Ting (SD3) iaitu memiliki kad pengenalan (MyPR) palsu dan seharusnya, pertuduhan berkenaan hanya menyatakan bahawa perbuatan rasuah berkenaan dilakukan sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan terhadap Li Ting (SD3) sahaja. Tertuduh mendakwa, kecacatan ini telah menyebabkan kesan prejudis terhadap dirinya. [27] Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan Rekod-rekod Rayuan khususnya Nota-nota Keterangan semasa prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Mahkamah ini mendapati bahawa selain daripada Li Ting (SD3) yang disyaki melakukan kesalahan memiliki kad pengenalan (MyPR) palsu, versi pendakwaan adalah Tertuduh sendiri telah gagal mengemukakan kad pengenalannya pada hari kejadian apabila diminta berbuat demikian oleh SP1. Kegagalan Tertuduh mengemukakan kad pengenalan ini merupakan suatu kesalahan menurut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, sebagaimana jelas dinyatakan di dalam pertuduhan berkenaan. [28] Mahkamah ini mendapati bahawa pihak pendakwaan melalui saksi-saksinya telah secara konsisten mengemukakan keterangan berhubung kegagalan Tertuduh mengemukakan kad pengenalannya pada hari kejadian. Namun, perkara ini telah dinafikan oleh pihak pembelaan. Walau apa pun, sama ada kesalahan gagal mengemukakan kad pengenalan tersebut sebenarnya dilakukan oleh Tertuduh atau tidak, ianya sama sekali tidak menjadikan pertuduhan tersebut cacat dan defektif. Kesalahan tersebut perlu dibuktikan di Mahkamah menurut beban pembuktian yang ditetapkan oleh undang-undang, sekiranya dipertuduhkan. Sungguhpun jika kesalahan yang dinyatakan tidak dipertuduhkan di Mahkamah, ianya merupakan kuasa prerogative Pendakwa Raya sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak wajar dipersoalkan. [29] Sehubungan itu, Mahkamah ini mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Tertuduh adalah sempurna dan tiada sebarang cacat celanya, sah dan teratur serta telah mematuhi kehendak peruntukan Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Segala butiran mengenai bentuk kesalahan, masa, tempat dan orang dan bila cara melakukan kesalahan telah dinyatakan dengan jelas yang membolehkan Tertuduh membangkitkan pembelaannya. Tidak wujud langsung sebarang kekeliruan atau kesan prejudis yang boleh menyebabkan miscarriage of justice kepada kes pembelaan. Justeru, Mahkamah ini berpandangan bahawa isu pertama yang dibangkitkan oleh Tertuduh ini sama sekali tidak bermerit. Isu ii) Izin Pendakwa Raya juga adalah cacat dan defektif [30] Tertuduh seterusnya membangkitkan isu bahawa Izin Pendakwa Raya bertarikh 2 Mac 2019 ("Izin PP") yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan juga cacat dan defektif. Ini kerana, tarikh kesalahan dilakukan yang tercatat pada Izin PP berkenaan adalah 28 Januari 2018, sedangkan kesalahan berkenaan sebenarnya dilakukan pada 28 Jun 2018, sebagaimana yang di dalam pertuduhan. Menurut pihak pembelaan, kesilapan tarikh pada Izin PP berkenaan menunjukkan ianya dikeluarkan oleh pihak pendakwaan tanpa penelitian dan pertimbangan menyeluruh ("without full consideration and deliberation"), dan hal ini telah mencacatkan kes pendakwaan. [31] Berhubung kesilapan tarikh pada Izin PP berkenaan, pihak TPR pengkeranian pada tarikh yang dinyatakan pada Izin PP berkenaan. Walau bagaimanapun, pihak TPR menghujahkan bahawa kesilapan pengkeranian berkenaan langsung tidak memprejudiskan Tertuduh dan Tertuduh masih boleh membangkitkan pembelaannya dengan efektif, tanpa sebarang kekeliruan. [32] Malah menurut TPR, sepanjang prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Bicara, Tertuduh sendiri tidak pernah mempertikaikan fakta bahawa sememangnya berlakunya penyerahan wang oleh dirinya kepada SP1 (yang didakwa sebagai wang jaminan untuk menjamin Li Ting (SD3)) pada tarikh 28 Jun 2018. Tertuduh tidak pernah sekalipun terkeliru berhubung tarikh penyerahan wang itu dibuat kepada SP1. [33] Dalam kes ini, prosiding pendakwaan terhadap Tertuduh dikendalikan oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya iaitu Encik Abdul Rashid Bin Sulaiman. Undang-undang adalah mantap bahawa seorang Timbalan Pendakwa Raya mempunyai kuasa sebagaimana seorang Pendakwa Raya, yakni untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding jenayah sebagaimana digariskan menurut Kanun Tatacara Jenayah. [34] Malah, telah diputuskan dalam banyak kes-kes duluan bahawa sekiranya sesuatu prosiding itu dikendalikan oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya, Izin Pendakwa Raya secara bertulis tidak lagi diperlukan. Dalam hal ini, Mahkamah ini ingin memetik keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Tarmizi Yacob & Anor v. PP & Another Appeal [2010] 8 CLJ 501; [2010] 1 LNS 766 yang telah membincangkan sama ada suatu Izin Pendakwa Raya secara bertulis masih diperlukan sekiranya pendakwaan dikendalikan oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya. Di dalam penghakimannya, Richard Malanjum, HB Sabah dan Sarawak (pada masa itu) telah memutuskan sebagaimana berikut: [35] We agree with the view of the Court of Appeal and the submission of the learned deputy. The law was concisely and correctly summarized by Yong Pung How CJ (Singapore) in Garmaz s/o Pakhar & Anor v. Public Prosecutor [1995] 3 SLR 701 when he said this at p. 720: "The settled Malaysian position has been to consider a deputy public prosecutor as being capable of exercising all the rights and powers of the public prosecutor... It follows from this proposition that where prosecution is conducted by a DPP, the consent of the public prosecutor is implicit in his actions and no further written consent of the public prosecutor is required. Indeed, this was the holding of the Privy Council in PP v. Oie Hee Koi [1967] CLJU 132; [1967] 1 LNS 132; [1968] 1 MLJ