(iv) Pihak Defendan Kedua membayar kos mengikut skala kepada Plaintif berjumlah RM 53,616.50. [7] Seterusnya Mahkamah ini perlu melihat perintah yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan berkenaan dengan kes ini yang telah mengarahkan Mahkamah ini memutuskan isu kuantum seperti yang dinyatakan berikut: “Since he allowed the D2’s appeal on liability, based on the facts we remit back the matter to the High Court before the same Judge to hear and to decide on the quantum.” [8] Mahkamah ini berpendapat setelah meneliti Notis Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan adalah jelas dan nyata bahawa isu berkenaan dengan kuantum telah dirayu oleh Responden di Mahkamah Tinggi dan ia telah disahkan bahawa isu kuantum tersebut wajar diputuskan oleh Mahkamah ini. Oleh itu ketiadaan hujahan berkenaan dengan kuantum gantirugi tidak menghalang Mahkamah ini untuk memutuskan berkenaan dengannya. Sekiranya Mahkamah tidak berbuat demikian semata-mata disebabkan ketiadaan hujahan oleh pihak-pihak berkenaan dengannya ia telah bercanggah dengan isi kandungan Notis Rayuan Responden ke Mahkamah Tinggi dan bertentangan dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Oleh itu Mahkamah ini akan meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen berkaitan dengan kuantum gantirugi serta memutuskan sama ada terdapat alasan untuk Mahkamah ini campur tangan di dalam penentuan kuantum gantirugi tersebut. Gantirugi [9] Penelitian kepada alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah memberikan gantirugi am dan gantirugi khas. Berkenaan dengan gantirugi am, Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan bagi kepala head injury with ICB telah diberikan award berjumlah RM 35,000.00 berdasarkan kepada kes Lee Wai Long lwn. Yusnaeni Syah & Satu kes Lagi [2018] 1 LNS 545. Mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah meneliti dan membuat penilaian yang sewajarnya kepada kecederaan tersebut sehingga membolehkan award berjumlah RM 35,000.00 telah diberikan. Mahkamah juga mendapati bahawa tiada asas untuk tidak bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut, di samping tiada sebarang kesilapan yang perlu diperbetulkan terhadap award tersebut. [10] Sementara itu berkenaan dengan soft tissue injury and lacerations with tendon cut pula jumlah yang diberikan adalah sebanyak RM 15,000.00 secara global. Peguam Plaintif dalam kes tersebut telah memohon sebanyak RM 15,000.00 tanpa sebarang hujahan daripada peguam Defendan. Mahkamah ini mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah betul apabila menganugerahkan jumlah tersebut setelah berpandukan kepada kecederaan dan keilatan yang dialami oleh Plaintif. Ia tidak memerlukan campur tangan Mahkamah ini. [11] Seterusnya bagi dental injury (multiple fracture, avulsed & subluxated), Hakim Mahkamah Sesyen telah mengawardkan jumlah sebanyak RM 45,000.00 di atas kecederaan-kecederaan yang dialami oleh Plaintif dalam kes tersebut. Mahkamah ini mendapati Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira kecederaan dan keilatan yang dialami oleh Plaintif dan berpandukan kepada kes Hanidah bt Rabudin v Kam Soon Wei [2013] 1 PIR 64. Begitu juga Mahkamah mendapati dalam kes ini tiada asas untuk Mahkamah campur tangan dalam jumlah pampasan tersebut. [12] Seterusnya berkaitan dengan grieve secondary to general medical condition (loss of limb) dan left lung contusion with pneumothorax. Mahkamah mendapati jumlah RM 10,000.00 bagi grieve secondary to general medical condition (loss of limb) dan RM 7,000.00 bagi left lung contusion with pneumothorax adalah berpatutan dan tidak wajar untuk Mahkamah ini campur tangan dalam jumlah tersebut. [13] Begitu juga bagi femur fracture with crush injury left leg (above knee amputation together with muscle wasting), prolapsed intervertebral disc L4-L5, fracture to the upper limb with branchial plexus injury dan multiple scars – 20 x 5 cm hypertrophic scar, 10 cm linear surgical scar, 4 x 2 cm byperpigmented scar) award yang diberikan masing-masing bagi femur fracture with crush injury left leg (above knee amputation together with muscle wasting) berjumlah RM 130,000.00m prolapsed intervertebral disc L4-L5 berjumlah RM 15,000.00, fracture to the upper limb with branchial plexus injury dan multiple scars – 20 x 5 cm hypertrophic scar berjumlah RM 90,000.00 dan 10 cm linear surgical scar, 4 x 2 cm byperpigmented scar) sebanyak RM 10,000.00 juga pada hemat Mahkamah ini telah dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak memerlukan campur tangan Mahkamah ini. [14] Sementara itu berkaitan dengan gantirugi khas kos kaki prosthetic yang mana Hakim Mahkamah Sesyen telah menimbangkan sebut harga oleh dikemukakan oleh pihak Plaintif. Mahkamah ini berpendapat adalah wajar untuk Hakim Mahkamah Sesyen menerima sebut harga tersebut di dalam ketiadaan sebut harga yang dikemukakan oleh Defendan Kedua dan memutuskan jumlah sebanyak RM 1,987,220.00 bagi gantirugi tersebut. [15] Bagi kos fisioterapi, Hakim Mahkamah Sesyen berpendapat bahawa berdasarkan kepada laporan pakar Plaintif, Plaintif diputuskan berhak menerima rawatan fisioterapi namun Hakim Mahkamah Sesyen berpendapat bahawa rawatan tersebut juga boleh diperolehi daripada hospital kerajaan dan membenarkan hanya 1/3 daripada jumlah yang dicadangkan oleh pakar Plaintif. Ia menjadikan jumlah yang dibenarkan oleh Mahkamah bagi kos fisioterapi adalah RM 480.00. Pada pendapat Mahkamah ini jumlah tersebut adalah suatu yang munasabah dan pertimbangan sewajarnya telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen. [16] Begitu juga dengan rawatan NSAIDS berasaskan kepada sebut harga yang diberikan oleh pihak Plaintif iaitu RM 41,000.00 Hakim Mahkamah Sesyen berpendapat rawatan sedemikian boleh diperolehi daripada hospital kerajaan dan Hakim Mahkamah Sesyen hanya membenarkan 1/3 daripada jumlah yang dicadang oleh Plaintif menjadikan jumlah RM 13,666.66 adalah sesuatu yang tidak memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Pertimbangan Hakim Mahkamah Sesyen telah dibuat dengan sewajarnya bagi rawatan NSAIDS tersebut. [17] Sementara itu terdapat juga gantirugi invasive spine treatment dan brachial plexus exploration. Bagi invasive spine treatment, Hakim Mahkamah Sesyen telah mengawardkan sebanyak RM 2,666.66 berdasarkan kepada rawatan tersebut boleh diperolehi di hospital kerajaan dan tidak bersetuju dengan jumlah RM 8,000.00 yang dicadangkan oleh Plaintif ini juga pada hemat Mahkamah adalah wajar dan telah dinilai dengan sewajarnya oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Manakala bagi brachial plexus exploration pula Hakim Mahkamah Sesyen telah mengawardkan RM 15,000.00 berasaskan kepada prinsip yang sama iaitu 1/3 daripada jumlah yang dicadangkan oleh Plaintif disebabkan rawatan tersebut boleh diperolehi daripada hospital kerajaan. [18] Sementara itu berkenaan dengan kehilangan pendapatan sebenar Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil pertimbangan bahawa Plaintif bekerja sebagai pemandu di Syarikat FGV dengan gaji RM 1,800.00 sebulan. Hakim Mahkamah Sesyen telah menerima keterangan Plaintif berkenaan dengan pendapatan beliau sebelum kemalangan dan juga setelah merujuk kepada eksibit P16 berpendapat bahawa Plaintif telah bercuti sakit selama 21 bulan. Hakim Mahkamah Sesyen juga telah menolak kos sara hidup dan akhirnya memutuskan bahawa jumlah kehilangan sebenarnya pendapatan Plaintif adalah sebanyak RM 25,200.00. Pada hemat Mahkamah dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira cuti sakit Plaintif dan juga gaji serta pendapatan-pendapatan Plaintif. Oleh itu jumlah RM 25,200.00 adalah perkiraan yang dibuat secara teratur dan tiada asas untuk Mahkamah ini mengganggu dapatan tersebut. [19] Akhirnya berkenaan dengan kehilangan sebahagian pendapatan masa hadapan. Hakim Mahkamah Sesyen telah berpendapat bahawa bagi mendapatkan jumlah kehilangan sebahagiaan daripada pendapatan masa hadapan Hakim Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan penolakan sebanyak 1/3 daripada jumlah kos bagi sara hidup. Hakim Mahkamah Sesyen telah membuat perkiraan dan mencapai satu angka sebanyak RM 60,800.00. Mahkamah berpendapat bahawa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang menolak cadangan Plaintif untuk diberikan kehilangan pendapatan masa hadapan dengan jumlah RM 91,200.00 adalah suatu yang teratur. Oleh itu jumlah RM 60,800.00 sebagai kehilangan pendapatan masa depan pada hemat Mahkamah ini telah diperolehi dengan perkiraan yang wajar oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Kesimpulan [20] Oleh itu setelah menimbangkan segala asas amaun gantirugi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, prinsip-prinsip berkaitan dengan amaun gantirugi dan penelitian yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen terhadap butiran-butiran dan pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira oleh Hakim Mahkamah Sesyen sehingga mencapai jumlah amaun tersebut pada hemat Mahkamah ini tidak membuka ruang kepada Mahkamah ini untuk campur tangan dalam amaun gantirugi tersebut. Perintah Akhir [21] Oleh itu Mahkamah ini mengesahkan amaun gantirugi yang diawardkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen. Bertarikh: 10 hb. Julai 2025 (ROSLAN BIN MAT NOR) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA TEMERLOH, PAHANG DARUL MAKMUR PIHAK-PIHAK: Bagi Pihak Perayu Gainneos Jacob Goldie Tetuan Jacob Goldie S.S. Chew B48, Tingkat 1, Lorong Tun Ismail 8 Sri Dagangan II 25000 Kuantan Pahang Darul Makmur Bagi Pihak Responden Tiong Hou Yuen Tetuan N. M Tiong & Co B-G-02, Pusat Perniagaan Sunway Jalan Todak 4 13700 Seberang Jaya Pulau Pinang