Lampiran
Lampiran 5. Permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah ini. 11/08/2024 18:51:32 KA-22NCvC-2-01/2023 Kand. 74 Sehubungan dengan itu, permohonan Defendan menurut Aturan 23 Kaedah 1 KKM 2012 untuk Plaintif membayar Jaminan Kos di Lampiran 8 telah ditolak. [2] Plaintif yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman terus itu telah memfailkan rayuan, begitu juga Defendan yang turut memfailkan rayuan atas penolakan permohonan jaminan kos tersebut. Di sini disediakan Alasan Penghakiman untuk keputusan-keputusan tersebut. B. FAKTA KES [3] Plaintif ialah penaja syarikat Defendan manakala Defendan ialah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan sebagai ejen komisyen dalam pembangunan hartanah. Tindakan utama Plaintif dalam Writ dan Pernyataan Tuntutan terhadap Defenden adalah atas tunggakan hutang oleh Defendan berjumlah sebanyak RM1,067,500.00 berdasarkan Lejar Akuan Umum oleh Akauntan Bertauliah yang dikemukakan oleh Plaintif. [4] Pengesahan Akaun Hutang Defendan kepada Plaintif telah disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua Defendan dan Plaintif sebagai bukti keberhutangan Defendan kepada Plaintif. Defendan dikatakan tidak pernah mencabar dan mempertikaikan amaun hutang tersebut. Namun begitu sehingga tindakan Writ Saman terhadapnya diambil terhadapnya, Defendan tidak pernah melangsaikan hutang itu walaupun surat tuntutan telah dikemukakan terhadapnya sebelum itu. [5] Plaintif, seorang bankrap telah memfailkan tindakan Writ Saman terhadap Defendan setelah mendapat sanksi daripada Ketua Pengarah Insolvensi. Setelah itu, Plaintif kemudiannya membuat permohonan di bawah Aturan 14 kaedah 1 KKM 2012 terhadap Defendan untuk suatu penghakiman terus. [6] Plaintif menyatakan bahawa suatu penghakiman terus wajar diberikan kerana amaun yang disahkan dalam Pengesahan Akaun hutang Defendan tidak pernah dicabar dan dipertikaikan olehnya. Sesalinan Pengesahan Akaun Hutang Defendan kepada Plantif telah diekshibitkan dalam permohonan di Lampiran 5 ini. [7] Sebelum tindakan memfailkan Writ Saman terhadap Defendan, Plaintif telah terlebih dahulu mengeluarkan Surat Tuntutan melalui peguam caranya bertarikh 22.11.2021 yang perlu dibayar dalam masa tujuh (7) hari penerimaan Surat Tuntutan tersebut dan 24.8.2022 untuk menuntut tunggakan hutang sebanyak RM1,067,500.00 setakat 31.12.2020 yang perlu dibayar dalam masa tiga (3) hari penerimaan Surat Tuntutan tersebut. Surat-Surat Tuntutan dan akuan terima surat juga telah diekshibitkan dalam permohonan Plaintif di Lampiran 5. [8] Plaintif seterusnya menyatakan bahawa kehendak undang-undang untuk memohon suatu penghakiman terus telah dipenuhi apabila penyampaian Writ dan Pernyataan Tuntutan telahpun dibuat kepada Defendan dan Defendan telah pun memfailkan Memorandum Kehadiran. C. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH [9] Aturan 14 kaedah 1 KKM 2012 memperuntukkan: “Application by Plaintiff for the summary judgment (O.14 r.1) (1) Where in an action to which this rule applies a statement of claim has been served on a defendant and that defendant has entered an appearance in the action, the plaintiff may, on the ground that the defendant has no defence to a claim included in the writ, or to a particular part of such a claim, or has no defence to such a claim or part thereof except as to the amount of any damages claimed, apply to the Court for judgment against that Defendant.” [10] Permohonan di bawah Aturan 14 adalah bertujuan untuk memberikan penghakiman awal kepada seseorang plaintif yang mempunyai tuntutan yang jelas dan tidak boleh dinafikan. Dalam kes UNP Plywood Sdn Bhd V. HSBC Bank Malaysia Bhd [2010], 5 CLJ 177; [2010] 5 MLJ 323, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penghakiman terus adalah merupakan suatu alat yang ada bagi pelupusan yang cepat dan segera oleh seseorang plaintif atau tuntutan balas oleh defendan, tanpa perbicaraan apabila tiada pertikaian terhadap fakta dan undang-undang. [11] Dalam permohonan untuk memasukkan penghakiman terus di bawah Aturan 14 kaedah 1 KKM 2012 di hadapan Mahkamah ini, Plaintif hendaklah menunjukkan kepada Mahkamah bahawa kes Plaintif adalah “plain and obvious” yang membolehkan penghakiman terus dimasukkan terhadap Defendan. Beban adalah terletak kepada Plaintif untuk menunjukkan bahawa Plaintif mempunyai kes yang jelas dan tidak boleh dinafikan terhadap Defendan. Plaintif hendaklah membuktikan bahawa fakta yang didapati dalam pliding menunjukkan secara jelasnya tiada isu yang boleh dibicarakan. [Cempaka Finance Bhd v. Ho Lai Ying & Anor [2006] 3 CLJ 544; [2006] 2 MLJ 68.] [12] Sehubungan dengan itu, memadai bagi Defendan untuk membangkitkan sekurang-kurangnya satu isu bagi menunjukkan ada alasan untuk suatu perbicaraan penuh wajar dijalankan. Sebagaimana yang disebut dalam kes Abdul Rahim bin Abdul Hamid & Ors v Perdana Merchant Bankers Bhd & Ors [2000] 2 MLJ 417 di m.s 428, dinyatakan: “In a nutshell, in an application under Order made by the Plaintiff for summary judgment without trial, the general principles established are that the plaintiff has to satisfy the court that the defendant plainly and obviously has no defence to the Plaintiff’s claim or part of the plaintiff’s claim. If the plaintiff is able to satisfy the court, the summary judgment should be entered in the plaintiff’s favour. On the other hand, if the defendant can show that there is a serious conflict of material facts as disclosed in the opposing affidavits, or there is otherwise a triable issue worthy of judicial investigation on the trial of the action, or there is an important and difficult point of law requiring further and mature consideration at the trial, summary judgment should be refused.” [13] Seterusnya, dalam kes Bank Negara Malaysia v Mohd Ismail & Ors [1992] 1 MLJ 400 di muka surat 408: “…..the requirement under Order 14 for the court to be satisfied on the affidavit evidence that the defence has not only raised an issue but also that the said issue is triable. The determination of whether an issue is or not triable must necessarily depend on the facts or the law arising from each case as disclosed in the affidavit evidence before the court.” [14] Mahkamah mendapati bahawa Plaintif dalam kes ini telah memenuhi kehendak awal sebelum membuat permohonan bagi penghakiman terus ini menurut undang-undang. [15] Sebagaimana yang dinyatakan dalam kes Cempaka Finance Bhd v Ho Lai Ying (trading as KH 10 Trading) & Anor [2006] 2 MLJ 685 at page 689, yang merujuk prinsip dalam kes National Company for Foreign Trade v Kayu Raya Sdn Bhd [1984] 2 MLJ 300 [Tab A, PBOA], kehendak awal yang perlu dipenuhi oleh seseorang plaintif untuk memohon suatu penghakiman terus adalah seperti berikut: “For the purposes of an application under Order 14 the preliminary requirements are: (i) the Defendant must have entered an appearance; (ii) the statement of claim must have been served on the Defendant; and (iii) the affidavit in support of the application must comply with the requirements of Rule 2 of the Order 14. … If Plaintiff fails to satisfy either of these considerations, the summons may be dismissed. If, however, these considerations are satisfied, the Plaintiff will have established a prima facie case and he becomes entitled to judgment. The burden then shifts to the Defendant to satisfy the Court why judgment should not be given against him.” [16] Dalam kes ini, Mahkamah berpuas hati bahawa Plaintif telah memenuhi kehendak untuk permohonan ini. Mahkamah mendapati bahawa sebelum tindakan memfailkan Writ Saman terhadap Defendan, Plaintif telah terlebih dahulu mengeluarkan Surat Tuntutan melalui peguam caranya bertarikh 22.11.2021 dan Surat Tuntutan bertarikh 24.8.2022 untuk menuntut tunggakan hutang sebanyak RM1,067,500.00 setakat 31.12.2020. Surat-Surat Tuntutan dan akuan terima surat juga telah diekshibitkan dalam permohonan Plaintif di Lampiran 5. [17] Mahkamah seterusnya mendapati bahawa Defendan telah memasuki Memorandum Kehadiran dan telah memasukkan Pembelaannya. Maka, beban adalah beralih kepada Defendan untuk menunjukkan mengapa penghakiman terus tidak boleh dimasukkan terhadapnya dan sama ada Defendan berjaya menimbulkan isu yang boleh bicara dalam kes di hadapan Mahkamah ini. [18] Mahkamah telah meneliti Pembelaan Defendan di mana Defendan tidak menafikan bahawa Defendan tidak pernah berhutang dengan Plaintif. Defendan hanya bergantung kepada isu Plaintif yang telah bankrap pada tahun 2016, maka semua harta Plaintif hendaklah dibahagikan di antara pemiutang-pemiutangnya dan hendaklah terletak hak pada Ketua Pengarah Insolvensi sebagai penerima, pengurus, pentadbir dan pemegang amanah semua harta Plaintif. [19] Sehubungan dengan itu Defendan berhujah bahawa Akaun Lejar Am Defendan yang telah diaudit bertarikh 31.12.2017 menunjukkan bahawa Plaintif telah mendahulukan RM1,067,500-00 melalui deposit tunai ke akaun bank Defendan dari September 2017 sehingga Oktober 2017. Defendan berhujah bahawa tindakan Plaintif tersebut adalah menyalahi undang-undang bagi Plaintif untuk mengekalkan wang dalam milikannya walaupun dalam kebankrapan sebanyak RM1,067,500-00 tanpa mendedahkan kepada KPI kerana semua harta Plaintif mestilah terletak hak pada KPI. [20] Pada peringkat ini, Mahkamah percaya bahawa isu berkenaan dengan kedudukan Plaintif sebagai seorang bankrap adalah tidak relevan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk Defendan menafikan keberhutangan Defendan kepada Plaintif. [21] Ini kerana, Mahkamah percaya bahawa dengan sanksi yang telah diberikan oleh KPI kepada Plaintif untuk meneruskan tindakan terhadap Defendan ini jelas menunjukkan bahawa KPI mempunyai pengetahuan sepenuhnya tentang kedudukan Plaintif sebagai seorang bankrap dan tanggungjawab KPI sebagai penerima, pengurus, pentadbir dan pemegang amanah semua harta Plaintif. [22] Malah, di perenggan (b) dalam sanksi yang diberikan oleh KPI dinyatakan secara jelas bahawa – “(b) Sekiranya keputusan Mahkamah dalam tindakan guaman tersebut memihak kepada tuan, apa-apa wang, pampasan dan faedah yang diterima oleh tuann hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia untuk dimasukkan ke dalam estet kebankrapan tuan bagi faedah pemiutang-pemiutang”. [23] Selain itu, Mahkamah percaya isu yang dibangkitkan oleh Defendan berkenaan dengan tindakan Plaintif mengekalkan wang dalam milikannya walaupun dalam kebankrapan sebanyak RM1,067,500 tanpa mendedahkan kepada KPI adalah menyalahi undang-undang, bukanlah merupakan suatu pembelaan kepada keberhutangannya dan tidak boleh sama sekali pada peringkat ini dipertikaikan olehnya. [24] Ini kerana perkara tersebut adalah dalam tanggungjawab KPI di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] untuk mengambil tindakan terhadap Plaintif menurut seksyen 109 Akta tersebut, jika KPI berhasrat berbuat demikian. Defendan tidak mempunyai apa-apa peranan dalam hal tersebut dan ia tidak sewajarnya dibangkitkan oleh Defendan dalam pembelaannya untuk melepaskan tanggungjawabnya sebagai penghutang kepada Plaintif. [25] Dalam pembelaan Defendan juga dinyatakan bahawa tiada tempoh pembayaran balik ditetapkan atau dipersetujui ke atas wang pendahuluan yang diberikan kepada Defendan itu. Defendan menghujahkan bahawa dengan tindakan Plaintif untuk tidak menuntut haknya atas wang tersebut selepas hampir enam (6) tahun sejak wang pendahuluan terakhir daripada Plaintif diberikan, iaitu pada Oktober 2017, telah selanjutnya membuktikan kewujudan persefahaman bersama antara pihak-pihak. [26] Namun begitu, Mahkamah berpandangan bahawa dengan tidak wujudnya tempoh pembayaran balik yang didakwa oleh Defendan dalam pemberian pendahuluan Plaintif tersebut kepada Defendan bukanlah suatu yang menghalang untuk Defendan menjelaskan hutang Plaintif. [27] Selain itu juga, Mahkamah percaya bahawa isu terdapatnya persefahaman antara kedua pihak bukan menjadi faktor utama untuk menidakkan tanggungjawab membayar balik kepada Plaintif kerana dengan tindakan Plaintif mengemukakan Surat Tuntutan terhadap keberhutangan itu telah sebenarnya menunjukkan niat Plaintif bahawa wang pendahuluan itu hendaklah dibayar. [28] Tambahan pula, pada masa yang sama Defendan juga telah tidak mengambil tindakan seawalnya dengan menjawab kepada Surat-Surat Tuntutan Plaintif dan memberi maklum balas atau apa-apa cadangan jika sebenarnya terdapatnya persefahaman yang didakwa tersebut. Tidak ada apa-apa dokumen yang ditunjukkan kepada Mahkamah dalam Affidavit Balasan Defendan untuk membuktikan perkara tersebut. [29] Selain itu, Mahkamah percaya fakta yang dibangkitkan oleh Defendan bahawa Plaintif bukanlah merupakan satu-satunya pihak yang memberikan wang pendahuluan itu bukanlah sesuatu yang relevan dalam tuntutan Plaintif ini dan tidak memberi apa-apa kesan dan pengaruh kepada isu keberhutangan antara kedua-dua pihak. [30] Sehubungan dengan itu, setelah meneliti hujahan Plaintif dan Defendan secara keseluruhannya, Mahkamah dapati bahawa Defendan tidak berjaya membangkitkan isu yang boleh dibicarakan dalam tuntutan Plaintif terhadapnya. Mahkamah percaya permohonan untuk penghakiman terus oleh Plaintif adalah wajar dibenarkan. [31] Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan untuk suatu penghakiman terus oleh Plaintif terhadap Defendan di bawah Lampiran 5 dan lanjutan daripada pelupusan tindakan utama oleh Plaintif ini juga, Mahkamah memutuskan Lampiran 8 berkaitan dengan Jaminan Kos ditolak. Bertarikh : 11 Ogos 2024. t.t ……………………………………………………… (YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah Peguam Plaintif: Encik Arfazur Rasyeed (Tetuan Michael Tie & Co.) Peguam Defendan : Encik Stevan Tan Chee Qian (Tetuan Chuah Qian & Partners)