Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-23NCvC-2-01/2019 ANTARA TECHCREW SDN. BHD. …PLAINTIF
JA-23NCvC-2-01/2019
High Court of Malaysia29 May 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“The Eastern Garment Manufacturing Co Sdn Bhd [1990] 1 CLJ 133; [1990] 2 CLJ (Rep) 635. The burden of proof rests throughout the trial on the party who asserts that the facts exist (See: s. 101 of the Evidence Act 1950 and the judgment of the Federal Court in Hong Yik Trading v. Liziz Plantation Sdn Bhd [2017] 8 CLJ 491”
“d v. The Eastern Garment Manufacturing Co. Sdn Bhd [1990] 2 CLJ (Rep) 635 di m/s 648 Edgar Joseph Jr (pada ketika itu) merujuk kepada kata-kata Lord Goddard dalam kes Bonham-Carter v. Hyde Park Hotel [1948] WN 89 yang dipersetujui oleh Thomson HB (ketika itu) dalam kes Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chiang [1960] 1 LNS 56;”
“rujuk kepada kata-kata Lord Goddard dalam kes Bonham-Carter v. Hyde Park Hotel [1948] WN 89 yang dipersetujui oleh Thomson HB (ketika itu) dalam kes Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chiang [1960] 1 LNS 56; [1961] MLJ 17, seperti berikut: "Plaintiffs must understand that if they bring actions for damages it is for them to pro”
“ge is shown but its amount is not proved sufficiently or at all, the court will usually decree nominal damages...” [56] Begitu juga dalam kes Bekalan Sains P & C Sdn Bhd v Bank Bumiputra Malaysia Bhd [2011] CLJU 232; [2011] 1 LNS 232; [2011] 5 MLJ 1, di mana Mahkamah Rayuan menolak rayuan perayu dengan menyatakan – "[1”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-23NCvC-2-01/2019 ANTARA TECHCREW SDN. BHD. …PLAINTIF
1
DAN NUR HAMIZAH BINTI HAMZAH [DIDAKWA SEBAGAI PEMILIK TUNGGAL
2
TETUAN NUR HAMIZAH HAMZAH]
3
ASHOKVIJAY J. SANGHRAJKA LEELAWATHY A/P RAJASINGAM [DEFENDAN-DEFENDAN KEDUA DAN KETIGA DIDAKWA SEBAGAI RAKAN-RAKAN KONGSI FIRMA TETUAN LEELA A. SANGHRAJKA & ASSOCIATES] …DEFENDAN-DEFENDAN 02/01/2025 09:35:32 JA-23NCvC-2-01/2019 Kand. 128 ALASAN PENGHAKIMAN [Lampiran 92] Mukadimah [1] Ini adalah taksiran gantirugi yang dipohon oleh Plaintif terhadap Defendan-defendan yang beramal sebagai peguamcara dan peguambela ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang meremit kes ini bagi tujuan taksiran semula gantirugi. [2] Sebagai latar belakang ringkas, Assets Builders Sdn Bhd (“MAB”) adalah kontraktor utama bagi pembinaan sebuah projek kondominium (“Projek”) di Johor Bahru. MAB telah melantik Plaintif sebagai salah satu subkontraktor bagi Projek tersebut untuk kerja-kerja elektrikal dan pendawaian. [3] Disebabkan terdapatnya kelewatan dalam penyiapan Projek tersebut dan menyebabkan kerugian kepada MAB, syarikat itu telah memulakan tindakan undang-undang terhadap 5 subkontraktor yang terlibat dalam Projek tersebut termasuklah terhadap Plaintif. [4] Melalui Saman No. JA-22NCvC-266-12/2017 yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, MAB telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Plaintif bagi mendapatkan gantirugi tertentu (liquidated ascertained damages) berjumlah RM5.85 juta (“Saman MAB”). [5] Berikutan itu, Plaintif telah melantik Defendan Pertama bagi mempertahankan kepentingannya dalam Saman MAB. Lanjutan itu, Defendan Pertama telah mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 3 21.2.2018 yang menyenaraikan syarat pelantikan. Plaintif telah menerima surat pelantikan tersebut pada 24.3.2018 dan membayar 50% fi guaman Defendan Pertama. Secara keseluruhan Plaintif membayar RM12,500.00 kepada Defendan Pertama. [6] Ekoran itu, Defendan Pertama telah memasukkan memorandum kehadiran bagi pihak Plaintif pada 5.1.2018 dan memfailkan pernyataan pembelaan Plaintif pada 6.2.2018. [7] Pada 7.2.2018, MAB telah memfailkan permohonan bagi penghakiman terus terhadap Plaintif atas alasan pernyataan pembelaan Plaintif tidak mendedahkan pembelaan yang munasabah. [8] Pada 17.4.2018, Mahkamah Tinggi telah membenarkan penghakiman terus (“Penghakiman Terus”) dan memerintahkan Plaintif membayar RM5.85 juta dan kos RM1,000.00 kepada MAB. [9] Tidak berpuas hati terhadap keputusan tersebut, pada 30.4.2018, Defendan Pertama telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. [10] Plaintif mendakwa bahawa Defendan Pertama tidak memaklumkannya mengenai Penghakiman Terus serta rayuan yang difailkan oleh Defendan Pertama ke Mahkamah Rayuan. Plaintif hanya mengetahui perkara ini pada 30.5.2018 melalui sebuah syarikat perunding. [11] Plaintif juga mendakwa, sebaik sahaja Defendan Pertama memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, peguamcara tersebut tidak melakukan apa-apa tindakan berkaitan rayuan berkenaan. [12] Ekoran itu, Plaintif telah melantik Defendan Kedua dan Ketiga untuk mengambil alih pengendalian rayuan seterusnya. [13] Pada 6.6.2018, Plaintif telah melaksanakan waran untuk bertindak yang disediakan oleh Defendan Kedua. Plaintif juga telah membuat bayaran berikut kepada Defendan Ketiga: Tarikh
1
1.
7
7.6.2018
2
2.
6
6.7.2018
3
3.
8
8.8.2018 RM24,000.00 Jumlah keseluruhan RM78,000.00 [14] Bagaimanapun Defendan Ketiga tidak memfailkan notis pertukaran peguamcara di Mahkamah Rayuan dan pada masa yang sama Defendan Pertama pula tidak memfailkan notis permohonan menarik diri daripada mewakili Plaintif. [15] Semasa pengurusan kes di Mahkamah Rayuan, Defendan Kedua telah menghadirinya dan memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa beliau hanya mengambil alih kes rayuan tersebut mulai 17.7.2018 serta beliau tidak mempunyai sebarang dokumen bersamanya. Defendan Kedua juga telah memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa beliau akan memfailkan notis usul bagi mendapatkan pelanjutan masa untuk memfailkan rekod rayuan sehingga 27.7.2018. [16] Berikutan itu, Timbalan Pendaftar telah menetapkan pengurusan kes kedua pada 10.8.2018 bagi Defendan Kedua memaklumkan status pemfailan notis usul tersebut. [17] Malangnya Defendan Kedua tidak menghadiri pengurusan kes kedua pada 10.8.2018 selain tidak memfailkan notis usul yang sepatutnya. Ekoran itu, Timbalan Pendaftar telah menetapkan tarikh 27.8.2018 bagi pelupusan rayuan di hadapan panel Mahkamah Rayuan. [18] Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan surat bertarikh 10.8.2018 kepada Defendan Pertama dan surat bertarikh 17.8.2018 kepada Defendan Kedua dan Ketiga bagi memaklumkan bahawa rayuan telah ditetapkan bagi pelupusan pada 27.8.2018 disebabkan ketiadaan rekod rayuan difailkan. [19] Pada 27.8.2018, kesemua Defendan tidak hadir di hadapan panel Mahkamah Rayuan. Justeru, rayuan Plaintif telah dibatalkan dan syarikat itu diperintahkan membayar RM4,000.00 sebagai kos. [20] Sebelum itu, MAB telah mengemukakan notis bertarikh 18.7.2018 kepada Plaintif bagi membuat tuntutan statutory di bawah s. 465/466 Akta Syarikat 2016 untuk mendapatkan jumlah penghakiman yang telah diperolehinya melalui Penghakiman Terus. [21] Tidak lama selepas itu, Plaintif melalui peguamcara yang baru iaitu Tetuan Thomas Lai & Wallace Wong telah memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Rayuan bagi menghidupkan semula rayuan Plaintif. [22] Plaintif dan MAB kemudiannya telah berunding bagi penyelesaian tuntutan ini dan suatu persetujuan penyesaian (“Persetujuan Penyelesaian”) telah dibuat antara mereka pada 21.11.2018 di mana antara syaratnya adalah–
a
Plaintif bersetuju membayar MAB jumlah sebanyak RM2.85 juta sebagai penyelesaian penuh dan muktamad bagi jumlah yang perlu dibayar oleh Plaintif dalam Saman MAB;
b
Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah bagi menggantung perintah penggulungan terhadapnya dan Persetujuan Penyelesaian hendaklah direkodkan sebagai sebahagian daripada perintah membenarkan penggantungan; dan
c
Plaintif menarik balik semua prosiding yang telah difailkan dan berkaitan dengan Penghakiman Terus termasuklah apa-apa rayuan atau permohonan di Mahkamah Rayuan atau pelaksanaannya. [23] Pada 30.1.2019 Plaintif telah memfailkan tuntutan gantirugi kecuaian terhadap kesemua Defendan sebanyak RM5.85 juta (Lampiran 1). [24] Pada 31.5.2020, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah membenarkan tuntutan Plaintif di mana Defendan Pertama diperintahkan membayar gantirugi nominal sebanyak RM50,000.00 kepada Plaintif manakala tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kedua dan Ketiga ditolak. [25] Plaintif kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan. Selepas pendengaran, Mahkamah Rayuan pada 28.6.2021 membuat keputusan yang berikut (untuk penghakiman penuh, sila lihat Techrew Sdn Bhd v. Nurhamizah bt Hamzah (sued as a sole proprietor of Chamber of Nur Hamizah Hamzah) & Ors [2022] 6 CLJ 56; [2022] 4 MLJ 633):
a
rayuan Plaintif dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 31.5.2020 diketepikan; dan
b
gantirugi sebanyak RM2.85 juta diberikan kepada Plaintif (jumlah yang sama dalam Persetujuan Penyelesaian) di mana Defendan Pertama diperintah membayar kepada Plaintif sebanyak RM1.425 juta manakala Defendan Kedua dan Ketiga secara bersama membayar kepada Plaintif sebanyak RM1.425 juta. [26] Ketiga-tiga Defendan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Mahkamah tertinggi tersebut pada 14.7.2022 memutuskan, antaranya –
a
keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 28.6.2021 berkenaan liability 50:50 antara Defendan Pertama serta Defendan Kedua dan Ketiga disahkan;
b
keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 28.6.2021 berkenaan dengan award gantirugi sebanyak RM2.85 juta diketepikan; dan
c
kes diremitkan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk taksiran semula gantirugi. [27] Bagi maksud gantirugi, Plaintif berhujah bahawa ia layak diberikan gantirugi yang berikut:
a
gantirugi sebanyak RM5.85 juta yang merupakan jumlah asal yang dituntut oleh MAB;
b
kos sebanyak RM1,000.00 merupakan kos yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes JA-22NCvC-266-12/2017;
c
kos sebanyak RM4,000.00 merupakan kos yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan; dan
d
faedah berdasarkan kepada jumlah RM5.85 juta. [28] Bagaimanapun Defendan-defendan menegaskan bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa ia telah menanggung kerugian. Oleh itu, Defendan-defendan berhujah bahawa Plaintif layak diberikan gantirugi nominal sahaja. Bantahan awal Defendan-Defendan [29] Semasa pengurusan kes bagi taksiran gantirugi ini pada 10.1.2023, Defendan-Defendan telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Plaintif untuk mengemukakan keterangan baru melalui pemanggilan saksi-saksi. Defendan-Defendan berhujah bahawa taksiran semula gantirugi kali ini hendaklah berdasarkan kepada nota keterangan dan dokumen yang difailkan semasa perbicaraan penuh sebelum ini. [30] Bagi Plaintif pula, ia berhujah bahawa pihak-pihak sepatutnya dibenarkan untuk memanggil saksi dan mengemukakan keterangan atau dokumen bagi menyokong hujah mereka. Ini berdasarkan Aturan 37 kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang menyatakan bahawa gantirugi hendaklah berdasarkan keterangan semasa taksiran dibuat. [31] Persoalannya, apabila perintah peremitan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan, adakah mahkamah ini akan membuat keputusan berdasarkan kepada nota keterangan dan dokumen yang dikemukakan oleh pihak-pihak sebelum ini atau keterangan baru. [32] Dalam hal ini, disebabkan taksiran semula gantirugi menurut perintah peremitan oleh Mahkamah Persekutuan, maka saya berpandangan taksiran semula gantirugi ini hendaklah berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan semasa perbicaraan asal dan tiada keterangan baru dibenarkan. Ini kerana saya mendapati semua keterangan mengenai gantirugi telah dikemukakan sebelum ini. Oleh yang demikian, saya mendapati tiada keperluan untuk pihak-pihak mengemukakan keterangan baru berkaitan dengan gantirugi. Sebaliknya, pentaksiran semula gantirugi kali ini adalah berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan sebelum ini sahaja. Tambahan pula, sekiranya keterangan baru dikemukakan, ia akan memberi peluang kedua kepada mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan (second bite of the cherry) memperbaiki kelemahan keterangan yang dikemukakan sebelum ini. [33] Oleh yang demikian, tanpa arahan khusus daripada Mahkamah Persekutuan, saya membenarkan bantahan awal Defendan-Defendan dan memerintahkan agar perbicaraan taksiran semula gantirugi ini berdasarkan kepada keterangan yang telah dikemukakan sebelum ini. Sama ada Plaintif layak mendapat gantirugi sebanyak RM5.85 juta [34] Dalam hujahannya, Plaintif mendakwa bahawa ia telah dilucutkan peluang serta kehilangan ruang untuk mengubah Penghakiman Terus yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi. Ekorannya, Plaintif telah diperintahkan membayar MAB sebanyak RM5.85 juta, kos RM1,000.00 bagi Saman MAB dan kos RM4,000.00 bagi rayuan. [35] Bagi menyokong hujahan bahawa Plaintif mempunyai pembelaan yang kukuh, Plaintif menyatakan bahawa MAB bukan mengambil tindakan undang-undang terhadap Plaintif sahaja, sebaliknya syarikat itu juga menyaman 5 lagi subkontrator yang terlibat dalam Projek tersebut disebabkan kelewatan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan. Salah satu subkontrator berkenaan adalah ES Hvac Sdn Bhd (“ESH”). Walapun MAB telah berjaya mendapat penghakiman terus terhadap ESH (sama seperti dalam kes Plaintif), namun penghakiman itu telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan. Oleh yang demikian, Plaintif berhujah bahawa Plaintif juga mempunyai pembelaan kukuh terhadap Saman MAB. Tambahan pula ia disokong sendiri oleh Datuk Clarence Balan (SP2) iaitu peguamcara MAB yang menyatakan semasa di Mahkamah Rayuan peguamcara ESH telah membangkitkan bahawa keenam-kenam subkontraktor yang terlibat dalam Projek itu adalah saling kait mengait dan terdapat pelbagai isu yang boleh dibicarakan mengenai subkontraktor mana yang benar-benar menyumbang kepada kelewatan Projek (lihat ES HVAC Sdn Bhd v. Miracle Asset Builder Sdn Bhd [2019] 1 LNS 209; [2019] 1 LNS 209; [2019] 3 MLJ 485) [36] Dalam menentukan award gantirugi, adalah menjadi tanggungjawab plaintif untuk membawa keterangan yang kukuh bagi menyokong award yang diminta. Dalam kes Popular Industries Ltd v. The Eastern Garment Manufacturing Co. Sdn Bhd [1990] 2 CLJ (Rep) 635 di m/s 648 Edgar Joseph Jr (pada ketika itu) merujuk kepada kata-kata Lord Goddard dalam kes Bonham-Carter v. Hyde Park Hotel [1948] WN 89 yang dipersetujui oleh Thomson HB (ketika itu) dalam kes Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chiang [1960] 1 LNS 56; [1961] MLJ 17, seperti berikut: "Plaintiffs must understand that if they bring actions for damages it is for them to prove their damage; it is not enough to write down the particulars, and so to speak, throw them at the head of the court, saying, This is what I have lost, l ask you to gives me these damages'. They have to prove it". [37] Dalam menuntut jumlah sebanyak RM5.85 juta ini saya mendapati, Plaintif dilihat cuba untuk tidak mendedahkan kepada Mahkamah mengenai Persetujuan Penyelesaian di mana Plaintif bersetuju untuk membayar kepada MAB jumlah sebanyak RM2.85 juta. Ini dapat dilihat apabila perkara mengenai Persetujuan Penyelesaian ini tidak diplidkan langsung oleh Plaintif dan bahkan tidak dimasukkan dalam Ikatan Dokumen Bersama Plaintif. Selain itu, perkara ini juga tidak dinyatakan dalam pernyataan saksi SP2. Apa yang lebih memelikkan ialah SP2 yang merupakan peguamcara MAB menafikan mempunyai pengetahuan mengenai Persetujuan Penyelesaian sedangkan Persetujuan Penyelesaian ini direkodkan dalam
para
Penggantungan Penggulungan bertarikh 6.12.2018. [38] Begitu juga dengan pernyataan saksi SP3 iaitu Tan Sing Jeng yang merupakan Pengarah Urusan Plaintif. Perkara mengenai Persetujuan Penyelesaian tidak dinyatakan dalam pernyataan saksinya. Bahkan semasa sesi soal balas, peguamcara Defendan Kedua dan Ketiga cuba menunjukkan Persetujuan Penyelesaian kepada SP3, namun ia dibantah oleh peguamcara Plaintif atas alasan pihaknya terkejut (they were caught by surprise) dengan pengemukaan Persetujuan Penyelesaian tersebut. Bagaimanapun, bantahan peguamcara Plaintif telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi. [39] Adalah sesuatu yang pelik mengapa Plaintif bersikap begini yang cuba menyembunyikan kewujudan Persetujuan Penyelesaian ini daripada pengetahuan Mahkamah. Perkara mengenai cubaan penyembunyian fakta ini serta gambaran niat tidak baik Plaintif telah disentuh oleh hakim bicara sebelum ini dalam perenggan 50 hingga 57 alasan penghakimannya. Oleh yang demikian, tuntutan Plaintif bagi jumlah ini perlu dipertimbangkan secara berhati-hati. [40] Plaintif menuntut jumlah gantirugi sebanyak RM5.85 juta hanyalah atas asas Perintah Penghakiman Terus. Walaupun Plaintif mengakui Persetujuan Penyelesaian hanyalah melibatkan jumlah sebanyak RM2.85 juta, namun, Plaintif mendakwa syarikat itu tetap dikenakan jumlah RM5.85 juta sekiranya jumlah sebanyak RM2.85 juta gagal dibayar oleh Plaintif. [41] Dalam hal ini, saya mendapati dakwaan Plaintif bahawa syarikat itu akan mengalami kerugian sebanyak RM5.85 juta adalah bersyarat dan bukanlah sebenarnya. Setakat ini tiada sebarang bukti yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa syarikat itu telah mengalami kerugian sebanyak RM5.85 juta. Dalam hal ini saya suka merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan dalam Alliance Connext Sdn Bhd & Anor v. Wangsa Budimas Sdn Bhd [2022] 1 CLJ 173, di mana Vazeer Alam Mydin Meera HMR (sekarang HMP) menyebut – "[33] It is trite law that the respondent bears the burden of proof to establish the damages that it says that it has suffered. See: Popular Industries Ltd. v. The Eastern Garment Manufacturing Co Sdn Bhd [1990] 1 CLJ 133; [1990] 2 CLJ (Rep) 635. The burden of proof rests throughout the trial on the party who asserts that the facts exist (See: s. 101 of the Evidence Act 1950 and the judgment of the Federal Court in Hong Yik Trading v. Liziz Plantation Sdn Bhd [2017] 8 CLJ 491). Hence, it would be incumbent upon the respondent to adduce sufficient evidence of the loss and damage to the gym equipment and how the value of the loss was ascertained." [42] Tiada alasan dan bukti lain yang dikemukakan oleh Plaintif bagi menyokong tuntutan sebanyak RM5.85 juta selain Perintah Penghakiman Terus tersebut sahaja. [43] Berdasarkan kepada naratif yang saya nyatakan sebelum ini mengenai tindakan Plaintif yang cuba menyembunyikan fakta kewujudan Persetujuan Penyelesaian, saya mendapati tindakan Plaintif yang tidak jujur ini menggambarkan syarikat itu cuba untuk menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan sedaya upaya bagi mendapat keuntungan yang berlipat ganda secara tidak sah melalui taksiran gantirugi ini. [44] Tambahan pula, sekiranya jumlah RM5.85 juta itu dirasakan munasabah, mengapa Mahkamah Persekutuan tidak terus memberikan jumlah tersebut semasa memberikan keputusannya mengetepikan jumlah gantirugi yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan? Oleh yang demikian, jelas bahawa tiada asas untuk memberikan Plaintif gantirugi sebanyak jumlah RM5.85 juta. [45] Begitu juga dengan gantirugi berjumlah RM2.85 juta iaitu jumlah yang dibayar oleh Plaintif dalam Persetujuan Penyelesaian, ia juga bukan jumlah yang wajar kerana ia dengan nyata telah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan. Gantirugi yang layak untuk Plaintif [46] Dalam menilai kerugian yang ditanggung oleh Plaintif, saya mendapati panduan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan dalam Pang Yeow Chow v. Advance Specialist Treatment Engineering Sdn Bhd [2014] 8 CLJ 188; [2015] 1 MLJ 490, amat berguna di mana dinyatakan – [8] In negligence the cause of action starts from the date of damage is a good proposition of law but it may not apply to cases where you can sue for damages immediately. (See Watkins v. Jones Maidment Wilson (A Firm) [2008] EWCA Civ 134). In a case for 'loss of chance to sue' there is no reason to defer the action. The status will be the same whether or not the action is deferred. The distinction is like apple and orange and we will deal with this issue further in the judgment. [9] In addition, it must be noted when a matter is struck out there will be at least two types of damages for client. One is actual damage for costs to reinstate or refilling inclusive of instructing new solicitors to take conduct of the matter as the case may be and the other the 'loss of chance to sue'. To say 'actual damage' will not arise upon the case being struck out is a fact quite difficult to comprehend. However, on the second part of 'loss of chance' there will not be any liability if there is no actual loss and/or reasonable prospect of success as advocated in the submission of the appellant. [47] Justeru itu, saya telah meneliti semula nota keterangan sebelum ini bagi menghalusi sama ada kerugian yang dialami oleh Plaintif adalah disebabkan kegagalan Defendan-defendan mempertahankan Plaintif dalam prosiding di mahkamah-mahkamah sebelum ini semata-mata atau status kes Plaintif sememangnya lemah yang jika tanpa kecuaian professional Defendan-defendan sekalipun, Plaintif tetap bertangggungan membayar gantirugi yang sama kepada MAB. Ringkasnya, penilaian harus saya berikan sama ada kes Plaintif adalah boleh menang (winnable) atau sememangya terlalu lemah. [48] Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, MAB berjaya mendapatkan perintah Penghakiman Terus terhadap Plaintif pada 17.4.2018. Adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa Mahkamah akan membenarkan permohonan bagi penghakiman terus hanya apabila “all the issues are clear and the matter in substance can be decided once and for all without going to trial” (lihat kes Citibank NA v Ooi Boon Leong & 2 Ors [1981] 1 MLJ 282). Begitu juga penghakiman terus akan dibenarkan “only be applied to cases where there is no reasonable doubt that the plaintiff is entitled to judgment (lihat kes Malayan Insurance (M) Sdn Bhd v. Asia Hotel Sdn Bhd [1987] CLJ Rep 182; [1987] 2 MLJ 183). [49] Berdasarkan kepada otoriti di atas, saya percaya Mahkamah Tinggi pada masa itu telah membenarkan penghakiman terus disebabkan tiada triable issue or question or that for some reason there ought to be a trial dalam pembelaan Plaintif. Secara ringkasnya saya berpandangan bahawa kes Plaintif sememangnya lemah yang jika tanpa kecuaian professional Defendan-defendan sekalipun, Plaintif tetap bertangggungan membayar gantirugi kepada MAB. Kecuaian Defendan-defendan hanya memudahkan dan mempercepatkan pelupusan kes berkenaan sahaja. [50] Kenyataan bahawa Plaintif mempunyai pembelaan yang kukuh hanyalah melalui SP2 dan SP3. Namun keterangan SP2 perlu diteliti dengan berhati-hati sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Tambahan pula, isu mengenai syarikat ESH yang dibangkitkan oleh SP2 adalah berbeza dengan Plaintif. Dalam kes ES HVAC Sdn Bhd (supra), walaupun penghakiman terus telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi, namun ia telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan berikutan Mahkamah Rayuan mendapati wujud isu yang boleh dibicarakan sebagaimana berikut: [13] In our view, the issues raised by the appellant constituted triable issues such that the Court had no jurisdiction to grant summary judgment. In particular, the merits of the following questions must be examined fairly and justly at a trial:
a
Whether the appellant did in fact delay in the execution and completion of the Aircon Works;
b
If so, whether such delay had caused and/or contributed to the delay in the overall completion of the Works; and
c
If so, to what extent the appellant ought to be held responsible from the overall delay. [51] Berbanding dengan kes di hadapan saya, pembelaan Plaintif hanyalah dalam bentuk penafian semata-mata di mana Plaintif menafikan bahawa kelewatan Projek disebabkan oleh syarikatnya tanpa menyatakan dengan terperinci dalam plidingnya bagaimana dan setakat mana subkontraktor lain wajar dipersalahkan atas kelewatan berkenaan. [52] Sebagai tambahan, ESH adalah subkontraktor penghawa dingin manakala Plaintif adalah subkontraktor bagi kerja-kerja elektrikal dan pendaiawan. Secara munasabahnya, dalam mana-mana pembinaan dan diakui sendiri oleh SP3, kerja-kerja elektrikal dan pendaiawan mestilah disiapkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pemasangan penghawa dingin dijalankan. Oleh yang demikian, pembelaan ESH dan Plaintif adalah jauh berbeza. [53] Berbalik kepada isu kelewatan Projek, berdasarkan kepada nota keterangan, saksi-saksi Plaintif tidak mengemukakan sebarang alasan yang kukuh bagaimana subkontraktor lain adalah penyebab atau menyumbang kepada kelewatan Projek. Hanya satu alasan yang dikemukakan oleh Plaintif iaitu mengenai minit mesyuarat perunding. Bagaimanapun minit mesyuarat tersebut tidak dikemukakan sebagai eksibit mahupun perunding yang terlibat dipanggil ke mahkamah bagi membolehkan penilaian diberikan terhadap keterangan atau bukti ini. Oleh yang demikian, hujah Plaintif bahawa subkontraktor lain menyumbang kepada kelewatan adalah tidak boleh dipertahankan. [54] Wajar dicatatkan di sini bahawa SP3 sendiri mengakui klausa mengenai gantirugi tertentu (LAD clause) adalah cara yang adil bagi pengiraan pampasan yang perlu dibayar kepada MAB. Ini menunjukkan Plaintif tidak berniat untuk mempertikai LAD clause tersebut yang menjadi asas utama tuntutan MAB. Justeru, saya mendapati pembelaan yang ada pada Plaintif sendiri adalah lemah. [55] Mengenai kerugian yang dialami oleh Plaintif, berdasarkan keterangan di hadapan mahkamah, sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, Plaintif gagal membuktikan kerugian yang dialaminya. Dalam kes Popular Industries Ltd (supra) dinyatakan – “It is axiomatic that a plaintiff seeking substantial damages has the burden of proving both the fact and the amount of damages before he can recover. If he proves neither, the action will fail or he may be awarded only nominal damages upon proof of the contravention of a right. Thus nominal damages may be awarded in all cases of breach of contract (see Marzetti v William). And, where damage is shown but its amount is not proved sufficiently or at all, the court will usually decree nominal damages...” [56] Begitu juga dalam kes Bekalan Sains P & C Sdn Bhd v Bank Bumiputra Malaysia Bhd [2011] CLJU 232; [2011] 1 LNS 232; [2011] 5 MLJ 1, di mana Mahkamah Rayuan menolak rayuan perayu dengan menyatakan – "[189] The person who is claiming damages must prove his case. Thus, the claimant in order to justify an award of substantial damages he must satisfy the court as to the fact of damage and as to its quantum (Senate Electrical Wholesalers Ltd v Alcatel Submarine Networks Ltd (Formerly STC Submarine Systems Ltd) [1999] 2 Lloyd's Law Reports 423 (CA)). If the claimant fails to satisfy the court on the fact of damage and quantum, then his action must fail or at the very least he would be awarded nominal damages where his right has been infringed. [190] Put in another way, the claimant must show actual loss and evidence must be led in that direction. It is submitted that the appellant has failed to prove damages with precise evidence (Sony Electronics (M) Sdn Bhd v Direct Interest Sdn Bhd [2007] 2 MLJ 229; [2007] 1 CLJ 611, (CA); and Ban Chuan Trading Co Sdn Bhd & Ors v Ng Bak Guan [2004] 1 MLJ 411; [2003] 4 CLJ 785, (CA)) and that the appellant has also failed to lead evidence to show actual loss." [57] Dalam kes Selva Kumar Murugiah v. Thiagarajah Retnasamy [1995] 2 CLJ 374; [1995] 1 MLRA 188 Mahkamah Persekutuan melalui Peh Swee Chin HMP menyatakan – It is significant to add that there are cases of contract in which evidence therein shows there can be no real loss inherently and in such event, nominal damages will be the only damages for a judgment obtained by a successful plaintiff either to use it "as a peg to hang his costs on", or to establish a right or a declaration of right. It is not difficult to Imagine such a case when the evidence shows clearly there can be no real loss. [58] Oleh itu, saya berpandangan gantirugi nominal wajar diberikan kepada Plaintif. Dalam kes Chandran G Nair & Ors v. Affin Bank Bhd [2014] 8 CLJ 434 dan Tahan Steel Corporation Sdn Bhd v. Bank Islam Malaysia Bhd [2012] 1 CLJ 959; [2012] 2 MLJ 314 MR) Mahkamah Rayuan telah memberikan gantirugi nominal sebanyak RM50,000.00. Kesimpulan [59] Disebabkan terdapatnya liability sedangkan kerugian gagal dibuktikan oleh Plaintif, maka maya berpandangan gantirugi nominal sebanyak RM50,000.00 wajar diberikan kepada Plaintif. Oleh itu, saya memerintah Defendan Pertama membayar kepada Plaintif wang sebanyak RM50,000.00 sebagai gantirugi bagi kecuaian di peringkat Mahkamah Tinggi dan Defendan Kedua dan Ketiga secara bersama juga membayar gantirugi nominal sebanyak RM50,000.00 kepada Plaintif sebagai gantirugi bagi kecuaian di peringkat Mahkamah Rayuan. Tarikh: 1.1.2025 -t.t- (SHAMSULBAHRI BIN HAJI IBRAHIM) Hakim, Mahkamah Tinggi Malaya, Johor Bahru Peguam: Bagi pihak Plaintif – Reuben Netto (C. Sankaran dan Maithily a/p Manoher; Tetuan C. Sankaran & Co. Bagi pihak Defendan Pertama – Chen Wai Juen; Tetuan WJ Chen & Company Bagi pihak Defendan Kedua dan Ketiga – S. Gunasegaran; Tetuan John Ang & Guna Kes yang dirujuk: Bekalan Sains P & C Sdn Bhd v Bank Bumiputra Malaysia Bhd [2011] CLJU 232; [2011] 1 LNS 232; [2011] 5 MLJ 1 Chandran G Nair & Ors v. Affin Bank Bhd [2014] 8 CLJ 434 Citibank NA v Ooi Boon Leong & 2 Ors [1981] 1 MLJ 282 ES HVAC Sdn Bhd v. Miracle Asset Builder Sdn Bhd [2019] 1 LNS 209; [2019] 1 LNS 209; [2019] 3 MLJ 485 Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chiang [1960] 1 LNS 56; Malayan Insurance (M) Sdn Bhd v. Asia Hotel Sdn Bhd [1987] CLJ Rep 182; [1987] 2 MLJ 183 Pang Yeow Chow v. Advance Specialist Treatment Engineering Sdn Bhd [2014] 8 CLJ 188; [2015] 1 MLJ 490 Popular Industries Ltd v. The Eastern Garment Manufacturing Co. Sdn Bhd [1990] 2 CLJ (Rep) 635 Selva Kumar Murugiah v. Thiagarajah Retnasamy [1995] 2 CLJ 374; [1995] 1 MLRA 188 Tahan Steel Corporation Sdn Bhd v. Bank Islam Malaysia Bhd [2012] 1 CLJ 959; [2012] 2 MLJ 314 CA Techrew Sdn Bhd v. Nurhamizah bt Hamzah (sued as a sole proprietor of Chamber of Nur Hamizah Hamzah) & Ors [2022] 6 CLJ 56; [2022] 4 MLJ 633
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.