I. DAPATAN MAHKAMAH Setelah menilai keseluruhan keterangan afidavit, dokumen kontemporari dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah ini atas imbangan kebarangkalian membuat dapatan-dapatan berikut: a. Plaintif telah menunjukkan kes prima facie di bawah Aturan 14 KKM 2012 dan memenuhi ketiga-tiga syarat dalam National Company for Foreign Trade v Kayu Raya Sdn Bhd; b. Defendan tidak menafikan secara material kewujudan TA, kadar sewa, pendudukan Premis, kegagalan membayar sewa sejak Februari 2025, dan kegagalan menyerahkan milikan kosong selepas penamatan yang dipersetujui bersama pada 28.6.2025; c. Isu salah nyataan berhubung istilah ‘sub-lessor’ tidak disokong oleh butiran dan bukti yang memadai, bercanggah dengan kelakuan Defendan sendiri yang menggunakan Premis dan membayar sewa selama tujuh bulan tanpa bantahan, dan merupakan fikiran kemudian yang dibangkitkan lebih setahun selepas TA dimasuki; d. Isu locus standi tidak bermerit kerana Plaintif mempunyai hubungan kontraktual terus dengan Defendan (TMS-3), hubungan dengan OJD (TMS-4), hak eksplisit menyewakan Premis di bawah Klausa 3(9) Perjanjian Penyewaan Induk, dan persetujuan bertulis OJD (TMS-12); e. Defendan juga terikat oleh estoppel penyewa di bawah Seksyen 116 Akta Keterangan 1950, yang kekal terpakai walaupun TA telah tamat, selagi milikan belum diserahkan, sebagaimana dijelaskan dalam kes Goh Choon Whey v KCSB Konsortium Sdn Bhd & Anor [2023] 1 LNS 2380; f. Dakwaan kerugian dan Tuntutan Balas Defendan merupakan isu berasingan yang tidak menghalang penghakiman terus dimasukkan bagi tuntutan utama Plaintif, sejajar dengan prinsip dalam kes Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd v Trane Malaysia Sales & Services Sdn Bhd dan Asian Kitchen (M) Sdn Bhd v Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd & Anor; dan g. Tuntutan sewa tertunggak RM64,000.00 dan sewa dua kali ganda di bawah Seksyen 28(4)(a) Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah wajar diputuskan secara penghakiman terus memandangkan tiada isu boleh bicara yang menghalangnya.