menyatakan apa-apa cagaran yang akan dikehendaki diberi oleh orang itu di bawah seksyen 28. [29] Walaubagaimanapun, dalam kes ini menurut keterangan SP6 yang merupakan Ketua Kerani di TNB Kuala Selangor, kontrak bekalan elektrik Defendan bermula pada 29.2.2016 yang mana permohonan pembukaan akaun berdaftar Defendan tersebut telah dibuat oleh wakil pemaju, Guppyunip Sdn. Bhd secara pukal yang melibatkan projek pembinaan kedai. Dokumen-dokumen yang telah dihantar oleh wakil pemaju kepada Plantif ketika itu adalah: borang kontrak, salinan IC wakil syarikat, surat wakil di bawah kepala surat syarikat, salinan sijil pendaftaran syarikat (i.e borang 9 dan borang 49) dan bukti penghunian premis (i.e perjanjian jual beli). Walaubagaimanapun, dokumen-dokumen tersebut gagal dikemukakan di Mahkamah kerana telah hilang dalam simpanan keras pihak stesen akibat dicuri oleh pihak yang tidak dikenal pasti. [30] Mahkamah berpendapat keterangan SP6 adalah suatu keterangan yang gagal dibuktikan dan bersifat dengar cakap. Mahkamah mendapati tiada keterangan yang membuktikan permohonan telah dibuat oleh Plantif secara manual mahupun secara atas talian. Hal ini penting kerana SP6 bukan orang yang bertanggungjawab menerima dokumen-dokumen tersebut maka keteranganya adalah suatu keterangan dengar cakap. Malahan itu, sekiranya permohonan tersebut dibuat secara atas talian keadaan juga berbeza tertakluk kesemua dokumen tersebut dikemukakan dan individu yang memproses permohonan dalam talian tersebut hadir memberikan keterangan di Mahkamah. [31] Mahkamah juga mendapati keterangan SP7 semasa pemeriksaan semula yang disandarkan oleh Peguamcara Plantif bukanlah keterangan sokongan kepada keterangan SP6 yang dapat dibuktikan di mahkamah malah suatu dengar cakap; yang diperturunkan seperti berikut: PP : Puan juga dicadangkan yang semua eksibit dalam G, tiada 1 eksibit pun bagi borang permohonan defendan. Puan jawab untuk kontrak bekalan tiada. Boleh jelaskan? SP7 : Untuk akaun ini setelah saya semak, dia melalui permohonan secara pukal. Dalam konteks permohonan ada 2 fasa. Borang kontrak adalah fasa 2 walaubagaimana pun fasa pertama terdapat permohonan daripada pihak bukit cherakah melalui pemaju. Documentation tersebut ada dibahagian planning project. Kita memang buat semakan memang ada. [32] Sementelahan, laporan polis bertarikh 28.3.2018 Tg Karang/000605/18 yang dibuat oleh Hashim bin Ismail [rujuk Ikatan dokumen tambahan Plantif /s 9] berkenaan dokumen-dokumen telah dicuri juga gagal hadir memberikan keterangan di Mahkamah bagi mengesahkan kandungan laporan polis tersebut dan tiada juga wakil syarikat pemaju seperti yang didakwa menghantar permohonan telah gagal dipanggil sebagai saksi sapina Plantif. [33] Oleh yang demikian, Plantif gagal membuktikan Defendan adalah pengguna berdaftar bagi bekalan elektrik yang telah dibekalkan oleh Plantif berikutan ketiadaan keterangan kukuh dikemukakan bagi menunjukkan wujud permintaan daripada Defendan untuk disalurkan bekalan elektrik ke premis tersebut atas imbangan kebarangkalian. Hal keadaan ini juga adalah lebih berkemungkinan dan munasabah apabila disokong dengan keterangan lain dalam kes ini iaitu keterangan SD1 yang memaklumkan perjanjian jual beli antara Pemaju dan Defendan telah terbatal akibat kegagalan Defendan menjelaskan baki harga belian dengan mengemukakan surat pemaju bertarikh 10.12.2015 – D27. Di samping itu, SP6 mengakui ketika pemeriksaan balas bahawa Borang Permohonan Bekalan adalah dokumen wajib di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan beliau tidak mengetahui siapa yang telah memproses dokumen-dokumen permohonan bekalan elektrik dan tidak pasti samada ianya telah dibuat oleh syarikat Pemaju. [34] Maka, Plantif atas imbangan kebarangkalian telah gagal melepaskan beban pembuktian Plantif sebelum beban pembuktian tersebut beralih kepada Defendan (rujuk kes SINNIYAH & SONS SDN BHD V. DAMAI SETIA SDN BHD [2015] 7 CLJ 584). Sehubungan itu, isu kedua dan isu ketiga adalah tidak perlu diputuskan oleh Mahkamah ini kerana Plantif sememangnya tidak boleh mengkehendaki Defendan membayar kerugian yang disebabkan pengusikan pada pepasangan meter tersebut malah seperti yang telah dinyatakan dalam kes THOMAS THOMAS (supra) bahawa Plantif tidak berada dalam keadaan yang perlu membuktikan bahawa pengguna berdaftar yang merosakkan atau mengganggu pepasangan meter sebelum ia berjaya dalam tuntutannya kerana Mahkamah ini berpendapat pada setiap masa yang material, Defendan bukan pengguna berdaftar yang sah. Isu Berbangkit Defendan: Adakah prinsip judicial precedence dan stare decisis bagi keputusan kes no. BJ-A52NCVC-6-10/2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor yang kemudiannya telah dirayu oleh Plantif di Mahkamah Tinggi Klang adalah terpakai dan akan mengikat keputusan Mahkamah Majistret ini. [35] Defendan telah membangkitkan berkenaan isu dalam hujahan bertulisnya di samping semasa perbicaraan penuh dijalankan Defendan telah mengemukakan Penghakiman Mahkamah Sesyen bertarikh 15.9.2022 – D32 dan Writ Saman & Penyataan Tuntutan – D31 a-b. Menurut Defendan, keseluruhan writ saman dan penyataan tuntutan dalam tindakan kes no. BJ-A52NCVC-6-20/2021 (kes mahkamah sesyen) dan kes ini adalah verbatim i.e “in verbatim statement of the legal action”. Perbezaan kedua-dua kes adalah pada tarikh pemeriksaan, jenis usikan pada pepasangan meter dan jumlah ganti. Secara ringkas, Mahkamah Sesyen Kuala Selangor telah menolak tuntutan Plantif dan kemudian Plantif telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Klang di mana Mahkamah Tinggi Klang telah menolak rayuan Plantif. Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen adalah dikekalkan. [36] Walaubagaimanapun, Mahkamah ini tidak bercadang untuk memutuskan adakah prinsip judicial precedence dan stare decisis bagi keputusan kes no. BJ-A52NCVC-6-10/2021 di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor yang kemudiannya telah dirayu oleh Plantif di Mahkamah Tinggi Klang adalah terpakai dan akan mengikat keputusan Mahkamah Majistret ini. Hal ini kerana, Mahkamah ini tidak berkewajipan bagi mempertimbangkan perkara-perkara semasa perbicaraan mahupun hujahan yang tidak diplidkan oleh mereka dalam pliding masing-masing. Mahkamah ini merujuk kepada kes JANAGI V. ONG BOON KIAT [1971] 2 MLJ 196 yang memutuskan seperti berikut: It is not the duty of the court to make out a case for one parties when the party concerned does not raise or wish to raise the point. In disposing of a suit or matter involving a disputed question of fact, it is not proper for the court to displace the case made by a party in its pleadings and give effects to an entirely new case which the paty had not made out in its own pleadings. The trial of a suit should be confined to the pleas in which the parties are at variance. WALHASIL [37] Setelah meneliti keterangan saksi-saksi dan dokumentar kedua-dua pihak, serta hujahan-hujahan yang dikemukakan secara keseluruhannya, dan berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah atas imbangan kebarangkalian, berpuas hati dan memutuskan Plantif gagal membuktikan tuntutannya terhadap Defendan. Oleh yang demikian, tuntutan Plantif adalah ditolak dengan kos mengikut skala seperti Aturan 59 Kaedah 23 KKM 2012. Bertarikh pada 13 Julai 2024 Disediakan oleh: SITI HAJAR BINTI ALI Majistret Mahkamah Majistret Kuala Selangor Tetuan Nik Saghir & Ismail Peguamcara pihak Plantif Tetuan Halim Ashgar Peguamcara pihak Defendan