(iii) samada keterangan prima facie Plaintif menurut seksyen 38(4) berjaya disangkal oleh kedua-dua Defendan. [33] Plaintif di dalam kes ini telah menuntut kehilangan hasil atau kerugiannya terhadap bekalan elektrik yang penggunaannya tidak direkodkan pembacaan atas pengusikan meter di premis Defendan Pertama dan kos perbelanjaan yang telah ditanggung oleh Plaintif yang timbul dari pengusikan meter tersebut. Plaintif telah membuat pengiraan atau perhitungan kebelakang unit penggunaan yang tidak direkodkan bacaan di mana bagi premis Defendan Pertama peratusan ralat penggunaan adalah sebanyak -25.48%, manakala bagi premis Defendan Kedua peratusan ralat unit yang tidak direkodkan pembacaannya adalah -59.98%. 31 [34] Kedua-dua Defendan di dalam mempertikaikan dan dalam usaha mereka untuk mematahkan penyataan seksyen 38(4) Akta yang dikeluarkan Plaintif telah semata-mata bergantung kepada hujahan bahawa Plaintif telah cuba membuktikan keberhutangan kedua-dua Defendan atas kerugian yang dialaminya akibat penggunaan bekalan elektik yang tidak direkodkan pembacaannya bersandarkan kepada seorang saksi sahaja iaitu SP4 yang merupakan pegawai kewangan Plaintif yang yang bertanggungjawab membuat pengiraan bil ke belakang bagi tujuan tuntutan pembayaran terhadap kedua-dua Defendan. Peguam kedua-dua Defendan yang bergantung sepenuhnya kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Sumbang Projeks Sdn Bhd v Tenaga Nasional Berhad [2014] 4 CLJ 323, telah menggunakan pendekatan yang sama di dalam cubaannya mematahkan keterangan prima facie Plaintif menurut seksyen 38(4) Akta. Peguam kedua-dua Defendan telah menghujahkan bahawa keterangan SP4 bukanlah keterangan teknikal seorang yang mempunyai pengetahuan teknikal yang berupaya membuat pengiraan tepat bagi membuat pengiraan bil ke belakang Plaintif. Adalah dihujahkan selanjutnya oleh peguam kedua-dua Defendan bahawa pengiraan yang dibuat oleh SP4 melalui graf-graf di muka surat 83-84 Jilid B (bagi Defendan Pertama mulai tarikh 9.11.2005 ) dan muka surat 87-89, Jilid B (bagi Defendan Kedua mulai tarikh 10.11.2005) berdasarkan penurunan mendadak penggunaan elektrik (sudden and sharp drop electricity consumption) adalah spekulasi dan andaian SP4 semata-mata tanpa pengesahan mana-mana keterangan saksi teknikal. 32 [35] Untuk hujahan tersebut, peguam kedua-dua Defendan telah menarik perhatian saya kepada perenggan 52, 53, 54 dan 55 penghakiman Mahkamah Rayuan di dalam kes Sumbang Projeks. Pembacaan saya atas perenggan-perenggan tersebut adalah bahawa Mahkamah Rayuan di dalam kes Sumbang Projeks itu telah menolak keterangan pengiraan bil ke belakang yang dibuat oleh SP3 di dalam kes itu berdasarkan penurunan mendadak penggunaan elektrik walaupun pengiraannya telah disahkan oleh tiga pegawai kanannya, tanpa keterangan ketiga-tiga pegawai kanannya, maka ketepatan pengiraan yang dibuat oleh SP3 adalah tanpa sokongan. Dengan yang demikian pengiraan dan cara pengiraan yang dibuat oleh SP3 adalah semata-mata andaian (a mere conjecture) di pihaknya dan timbul keraguan yang serius akan ketepatannya. Untuk tujuan pengiraan bil ke belakang ini, Mahkamah Rayuan telah meletakkan ke atas bahu Plaintif untuk mengemukakan kaedah yang ketara, lebih dipercayai dan pengiraan saintifik daripada andaian semata-mata berdasarkan kepada beberapa graf perbandingan (a more tangible, reliable and scientific method of calculation than a mere assumption based on some comparative graphs) seperti yang telah dibuat oleh SP3 di dalam kes itu. [36] Berbalik kepada kes di hadapan mahkamah ini, bagaimanakah pengiraan bil kebelakang di dalam kedua-dua guaman ini dibuat oleh Plaintif? Untuk itu, saya telah meneliti keterangan SP4. SP4 di dalam keterangannya memberitahu bahawa bagi akaun kedua-dua Defendan menunjukkan penurunan peggunaan yang mendadak 33 bermula selepas 5.10.2005. SP4 dalam keterangannya lagi menyatakan bahawa selepas tarikh 5.10.2005 terdapat penurunan dalam penggunaan kWh yang konsisten di mana penggunaan kWh tidak meningkat ke tahap penggunaan kWh sebelum 5.10.2005. Oleh itu, tarikh mula pengiraan kebelakang kehilangan hasil TNB bermula pada bil 10.11.2005. Menurut SP4 lagi, bagi Defendan Pertama jumlah perbezaan di antara jumlah yang telah dibilkan dan jumlah bil sebenar adalah sebanyak RM 496,682.28. Apabila ditambah dengan kos operasi pemeriksaan Plaintif sebanyak RM1,000.00 jumlah tertunggak yang masih terhutang oleh Defendan Pertama kepada Plaintif adalah sebanyak RM497,682.28. Manakala, bagi Defendan Kedua pula, jumlah perbezaan di antara jumlah yang telah dibilkan dan jumlah bil sebenar adalah sebanyak RM1,131.812.95 dan apabila ditambah dengan kos operasi pemeriksaan Plaintif sebanyak RM1,000.00, jumlah tertunggak yang masih terhutang oleh Defendan Kedua kepada Plaintif adalah sebanyak RM1,132,812.95. [37] Namun begitu perlu dinyatakan di sini bahawa keterangan SP4 mengenai pengiraan jumlah bil belakang tidak berhenti setakat melihat trend penurunan mendadak yang bermula di premis kedua-dua mulai 5.10.2005 tetapi apa yang telah dilakukan juga oleh SP4 adalah mengkaji juga trend penggunaan bulanan sebelum 5.10.2005 untuk tempoh empat (4) tahun bersamaan bil pengunaan sepanjang 48 bulan mulai bil 3 Mei 2002 sehingga bil 5 Oktober 2005. SP4 telah mendapati bahawa dalam tempoh tersebut penggunaan elektrik di kedua-dua premis adalah konsisten sehingga bil 5 Oktober 2005. 34 Penurunan mendadak telah bermula pada 5.10.2005, maka dengan itu pengeluaran bil ke belakang bagi penggunaan elektrik yang tidak direkodkan bacaannya bagi pengiraan bil bulanan November 2005 yakni bermula 9.11.2005 sehingga bagi kedua-dua premis. Pengiraan bil ke belakang bagi premis kedua-dua Defendan adalah untuk bil November 2005 sehinggalah bil 22.5. 2006 bagi Defendan Pertama dan 5.6.2006 bagi Defendan Kedua iaitu apabila meter dan pepasangannya diperbetulkan dan diganti selepas pemeriksaan dibuat pada 22 dan 23 Mei 2006. SP4 di dalam keterangannya lagi, bagi tujuan pengeluaran ke belakang untuk tempoh-tempoh tersebut, kaedah yang telah digunakan oleh SP4 adalah dengan menggunakan peratusan ralat yang telah didapati oleh beliau dari pengiraan peratusan ralat yang telah dibuat oleh SP3 iaitu bagi Defendan Pertama sebanyak -25.48% dan Defendan Kedua -59.98%. Dengan peratusan ralat yang telah ditentukan oleh SP3 bagi kedua-dua premis. SP4 telah kemudiannya menentukan jumlah kWh (peak), kWh (off peak) dan kW yang sebenar bagi bulan-bulan yang terpakai yang mana beliau akan menentukan jumlah sebenar 100% penggunaan elektrik kedua-dua Defendan di dalam jangka masa tarikh mula dan tarikh akhir pengiraan di atas. Di dalam perkara ini, menurut SP4 lagi ralat yang telah ditemui untuk meter Plaintif bagi akaun Defendan Pertama adalah sebanyak -25.48%. Ini bermaksud bahawa meter tersebut hanya merekodkan 74.52% elektrik yang telah dibekalkan kepada Defendan Pertama. Oleh itu, bil elektrik yang dikeluarkan oleh TNB tidak akan menunjukkan penggunaan elektrik yang sebenar Defendan Pertama. Begitu juga dengan meter di premis Defendan Kedua menunjukkan bahawa ralat 35 tertinggi sebanyak -59.98%, ini bermaksud bahawa meter Plaintif hanya merekodkan sebanyak 40.02% elektrik yang telah dibekalkan kepada Defendan Kedua. Oleh itu, bil elektrik Defendan Kedua juga tidak menunjukkan penggunaan sebenar elektrik sebenar di premis Defendan Kedua. [38] Setelah mendapat jumlah sebenar penggunaan elektrik bulanan, barulah SP4 menentukan jumlah terkurang bil dengan menolak jumlah kWh (peak), kWh (off peak) dan kW yang telah terkurang bil didarab dengan tarif masing-masing. Di dalam hal ini, tarif bagi kWh (peak), kWh (off peak) dan kW kedua-dua Defendan adalah 0.208,