Sama ada Plaintif telah menanggung kerugian dan kerosakan akibat kecuaian Defendan? ANALISIS Isu Pertama : Sama ada Defendan terlibat dalam kerja-kerja pengorekan tanah di antara PE Taman Bendahara 2, Jalan Maktab, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan? Tuntutan Plaintif [16] Mahkamah merujuk kepada keterangan yang diberikan oleh SP1 dimana SP1 mengatakan bahawa terdapatnya gangguan elektrik di Kawasan Taman Bendahara, Taman Bendahara Pengkalan Chepa pada 8/8/2021 dan perkara ini juga telah dinyatakan di dalam Laporan Polis yang ditanda sebagai “P-1”. [17] Setelah mengesahkan lokasi kerosakan bersama "locate team", SP1 menyatakan bahawa kerja-kerja pengorekan di tempat kejadian dilakukan oleh Defendan kerana semasa hadir di tempat kejadian pada 8/8/2021, Penyelia 5 | P a g e Tapak Binaan projek Defendan memaklumkan bahawa kerja-kerja di tapak projek tersebut dijalankan oleh RBN ENTERPRISE. [18] Laporan Polis yang telah ditandakan sebagai "P-1" juga dengan jelas menyatakan bahawa kerosakan adalah disebabkan oleh kerja pembinaan oleh RBN Enterprise, iaitu Defendan dalam kes ini yang lengkap dengan alamat Defendan sebagaimana alamat dalam Penyata Tuntutan Plaintif yang diakui oleh perenggan 2 penyataan Pembelaan Defendan. [19] Dengan wujudnya kenyataan dari saksi Plaintif SP1 yang mengatakan telah hadir ke tempat kejadian setelah dikesan menggunakan alat yang boleh mengenalpasti lokasi bermasalah, menunjukkan suatu kawasan yang spesifik di antara jaluran saluran wayar transmisi elektrik, telah mendapati kerja-kerja pengorekan telah dijalankan di kawasan tersebut. Setelah ditanya pihak yang menjalankan kerja pengorekan di kawasan tersebut, telah mengaku bahawa pengorekan tersebut dijalankan oleh Syarikat RBN Enterprise. [20] Secara jelasnya menunjukkan Laporan Polis yang dibuat oleh SP1 adalah bukti konklusif dengan menyatakan bahawa Syarikat RBN Enterprise telah menjalankan kerja pembinaan di Kawasan yang dikenalpasti bermasalah bagi gangguan elektrik. Tambahan pula, Laporan Polis “P-1” diletakkan di dalam Ikatan Dokumen Bersama yang mana Defendan turut mengakui kesahihan dokumen tersebut beserta kandungannya. Tidak mungkin dengan Laporan Polis ini, pihak Plaintif mereka-reka atau meletakkan nama syarikat Defendan tanpa memikirkan impak negatif yang akan menimpanya sekiranya hal itu adalah tidak benar. [21] SD1 telah menyangkal dalam keterangan beliau bahawa tempat yang berlakunya kerosakan adalah bukan tempat yang kerja-kerja Defendan lakukan. SD1 juga mengesahkan bahawa tapak pembinaan adalah sebagaimana Lukisan dan Pelan Susun Atur Tapak Bina yang diekshibit "D-14". 6 | P a g e [22] Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif yang menyatakan bahawa jika dibandingkan pelan lukisan tersebut (D-14) dengan Gambar Satelit dalam mukasurat 7 Ikatan B (ekshibit "P-4"), tempat yang ditanda adalah sama dengan tempat kerja projek Defendan. [23] Perihal tempat kejadian yang dinyatakan di dalam Laporan Polis ("P-1"), Gambar Satelit dalam mukasurat 7 ("P-4") dan Notis Pemberitahuan Kerosakan ("P-7") yang menyebut persimpangan hadapan Mc Donalds Taman Bendahara adalah lokasi yang sama dengan Lukisan dan Pelan Susun Atur Tapak Bina yang diekshibit ("D-14") dan juga sama dengan gambar pada muka surat 34 dalam ekshibit (D-16). [24] Oleh itu, adalah jelas bahawa tempat kerosakan adalah tempat yang sama dengan tempat tapak kerja Defendan. Mahkamah melihat bahawa penafian Defendan adalah semata-mata untuk melepaskan liabiliti ke atas kerosakan yang telah dilakukan. [25] Defendan juga menyatakan bahawa kerosakan yang dialami Plaintif pada 8/8/2021 adalah sebelum Defendan memulakan kerja-kerja bagi projek tersebut. Keterangan SP1 telah menyangkal kenyataan ini dimana SP1 telah hadir di tempat kejadian bersama SP2, dan SP3 setelah menerima panggilan telefon dari Pusat Pengurusan Bekalan TNB Kota Bharu memaklumkan lokasi gangguan yang dikenalpasti, mendapati jentera Pile Excavator dan kesan korekan di kawasan tersebut. [26] Tindakan SP-1 telah membuat Laporan Polis “P-1” berkenaan kejadian kerja-kerja pengorekan setelah mendapat tahu iainya adalah hasil dari tindakan pekerja RBN Enterprise. “P-1” adalah bukti lengkap bahawa maklumat berkenaan tarikh, masa dan tempat kejadian beserta nama Syarikat serta alamat sebagaimana diakui pihak Defendan di dalam Penyataan Pembelaannya. 7 | P a g e [27] Pihak Defendan telah gagal mengemukakan pembelaan yang boleh mengubah kebarangkalian terjadinya perkara sebagaimana di dalam Laporan Polis “P-1” namun hanya menggunakan Pembelaan secara menimbul keraguan teknikal sahaja dengan mengatakan bahawa tarikh 8/8/2021 adalah dipertikaikan dengan menumpukan pelbagai keraguan teknikal dari segi tarikh gambar, waktu gambar diambil, kedalaman kabel milik Plaintif, pasukan pekerja Plaintif dan nama-nama individu yang terlibat sewaktu kerja-kerja pembaikan dan berbagai lagi helah teknikal. [28] Perkara yang diketengahkan oleh pihak Defendan ini langsung tidak menggangu gugat keyakinan Mahkamah bahawa kesan kerosakan yang berlaku ke atas kabel milik Plaintif adalah secara terus merupakan hasil kegagalan atau kecuaian atau pelanggaran kewajipan penjagaan pihak Defendan sewaktu menjalankan tugas pengorekan sebagaimana bukti konklusif iaitu Laporan Polis “P-1” yang dibuat pada 9/8/2021 jam 3:26 pm, hanya beberapa jam setelah pihak pasukan Plaintif mendatangi lokasi kejadian dan diakui oleh pekerja Defendan bahawa mereka menjalankan pekerjaan bagi Syarikat RBN Enterprise. [29] Maka secara konklusinya, pihak Defendan adalah terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pengorekan tanah di antara PE Taman Bendahara 2, Jalan Maktab, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Mahkamah bersetuju bahawa penafian Defendan adalah semata-mata untuk melepaskan liabiliti ke atas kerosakan yang telah dilakukan. Isu Kedua : Sama ada Defendan memaklumkan kepada pihak Plaintif sebelum Defendan menjalankan kerja-kerja mereka? [30] Saksi Plaintif menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan dan tiada sebarang kebenaran bagi utiliti mapping dilaksanakan oleh pihak Defendan. 8 | P a g e [31] SD-1 menyatakan bahawa pihak Indah Water telah memohon kebenaran daripada TNB untuk utility mapping. Keterangan SD-1 menyatakan bahawa ada dua orang pegawai TNB yang bernama John dan Kamal telah hadir membuat utility mapping serta menandakan dengan tanda merah yang bermaksud ada wayar/kabel TNB di situ dan memberi Notis Pemberitahuan kepada pihak Defendan. Notis Pemberitahuan menyatakan seperti berikut:- NOTIS PEMBERITAHUAN Adalah dimaklumkan bahawa terdapat kabel bawah tanah di lokasi pembinaan yang sedag tuan jalankan ini. Sebarang kecuaian yang menyebabkan kabel akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan berkemungkinan akan mendatangkan kecederaan kepada pekerja di tapak. Dengan itu, tuan adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dalam perlaksanaan kerja korekan. Sebarang kerosakan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Tenaga Nasional Berhad disebabkan oleh kerja yang tuan laksanakan ini, segala kos pembaikan dan kerugian akan dituntut dari tuan. Ini selaras dengan peruntukan undang-undang sebagaimana di bawah:- Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) "Seksyen 41(1) - Sesiapa sahaja yang menanggalkan, memusnahkan atau merosakkan, samada dengan sengaja atau sebaliknya, sebarang pemasangan atau sebarang bahagiannya, atau sebarang lampu awam atau sebarang tiang, pendakap atau sebarang contoh tupang yang lain untuk sesuatu lampu awam itu atau sebarang alat yang digunakan dengan sebarang pemasangan untuk mencatitkan pengeluaran atau penggunaan tenaga, akan kena, sebagai tambahan kepada hukuman yang mungkin ditanggungnya menurut undang-undang ini, membayar gantirugi yang penuh untuk kerosakan yang telah 9 | P a g e dilakukannya dan gantirugi seumpama itu boleh didapatkan secara tindakan atau dakwaan madani di sebarang mahkamah yang berkuasa layak" Untuk Tujuan Mengenalpasti Kedudukan Sebenar Kabel Di Tapak, Tuan Boleh Berhubung Dengan Penyelia Kami Seperti Di Bawah : (Nama) : No Tel Hp/Ofis : 1) John 013-9271662 2) Kamal 013-9358559 [32] Rondaan oleh staf SP-4 mendapati terdapat kerja-kerja pengorekan dibuat yang mana Notis Pemberitahuan telah ditinggalkan bagi memaklumkan bahawa terdapat kabel bawah tanah di lokasi pembinaan tersebut. [33] Saksi Defendan SD1 menyatakan bahawa terdapat dua kakitangan Plaintif membuat tandaan semburan merah di kawasan terdapatnya kabel milik Plaintif setelah dibuat Utility Mapping. SP4 menyatakan tandaan dibuat bagi anggaran sekitar satu atau dua meter sahaja dari lokasi sebenar kabel elektrik. [34] Sewajarnya kebenaran dari pihak Plaintif perlu dipohon sebelum utility mapping dijalankan oleh pihak Plaintif. Mahkamah dengan ini menyatakan tiada kebenaran dibuat oleh pihak Defendan untuk tujuan tersebut. Isu Ketiga : Sama ada Plaintif telah memaklumkan kepada Defendan mengenai kehadiran kabel elektrik di bawah tanah di kawasan projek tersebut? 10 | P a g e [35] SD1 dan SP4 menyatakan bahawa Notis Pemberitahuan telah ditinggalkan bagi menunjukkan kewujuda kabel bawah tanah milik Plaintif di kawasan pembinaan tersebut. Namun, pihak Defendan tetap menjalankan pengorekan di kawasan tersebut. [36] Mahkamah mengambil perhatian terhadap kes yang dirujuk oleh pihak Plaintif iaitu kes Tenaga Nasional Berhad Iwn. Wasilah Bumi (M) Sdn. Bhd [2011] 6 MLRH di muka surat 853; yang mana Defendan dalam kes ini juga sebuah syarikat pembinaan yang menjalankan kerja-kerja penanaman cerucuk yang menyebabkan kerosakan kabel milik Plaintif. Dalam kes ini, walaupun Plaintif telah memajukan surat kepada Defendan memaklumkan di mana kedudukan kabel dan juga langkah-langkah yang perlu diikuti Defendan, namun Defendan dalam kes ini telah gagal mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan Plaintif yang telah mengakibatkan kerosakan kabel. Mahkamah dalam kes ini telah membenarkan tuntutan Plaintif. [37] Hal yang sama berlaku di dalam kes ini dimana Notis Pemberitahuan telah ditinggalkan untuk tindakan dan langkah berhati-hati dimabil oleh pihak Defendan bagi memastikan tiada kerosakan fizikal bagi kabel bawah tanah yang ada di kawasan pembinaan tersebut yang telah ditandakan dengan semburan merah. Tindakan Defendan dengan tetap meneruskan kerja pengorekan di kawasan sekitar tandaan semburan merah jelas menunjukkan pengabaian atau kecuaian dan pelanggaran kewajipan penjagaan dan telah menyebabkan kerugian bagi Plaintif. Isu Keempat : Sama ada Defendan telah mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan tiada kerosakan fizikal kepada kabel bawah tanah? [38] Defendan sewajarnya mengambil tindakan yang lebih berhati-hati agar tidak menyebabkan keroskan fizikal ke atas kabel bawah tanah yang ditanam oleh Plaintif dan telah dibuat penandaan dan ditinggalkan Notis Pemberitahuan bagi 11 | P a g e mengelakkan gangguan bekalan elektrik. Gangguan bekalan elektrik dapat menyebabkan gangguan kepada pengguna dan menyebabkan banyak kerugian dan ketidakselesaan dialami bagi pengguna. [39] Sikap Defendan yang tetap meneruskan korekan menunjukkan bahawa adanya tanggungjawab untuk menjaga oleh pihak Defendan, namun berlakunya pelanggaran kewajipan penjagaan, adanya kaitan langsung antara pelanggaran kewajipan Defendan dengan kerugian yang dialami oleh Plaintif, dan kemudaratan yang berlaku mestilah boleh dijangka secara munasabah oleh Defendan. Maka undang-undang tort kecuaian telah berlaku menjadikan Defendan bertanggungan atas segala kerugian yang dialami Plaintif sebagaimana diperincikan di dalam kes Tenaga Nasional Berhad v. Trans Resources Corporation Sdn Bhd & Anor [2009] 9 MLRH 296. [40] Defendan sepatutnya mencari penyelesaian lain dengan meminta Plaintif untuk mengalihkan semula kabel bawah tanah tersebut dan meletakkan di kedudukan dan jaluran yang lain. Impak pembaikian kabel yang telah mengalami kerosakan fizikal adalah lebih parah dan merugikan kerana pembaikiannya akan memakan masa yang lama dan kos yang lebih banyak. Isu Kelima : Sama ada Plaintif telah menanggung kerugian dan kerosakan akibat kecuaian Defendan? [41] SP3 menyatakan bahawa kos yang dikeluarkan oleh Plaintif untuk membaikpulih kerosakan yang disebabkan oleh kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh Defendan dan/atau pekerja-pekerja Defendan dan/atau ejen-ejen Defendan adalah berjumlah sebanyak RM58,947.58. [42] Berdasarkan ekshibit "P-2" yang disediakan oleh SP1 dan disahkan oleh SP3, adalah jelas bahawa kos yang telah dihabiskan oleh pihak Plaintif untuk membaikpulih kerosakan akibat kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh Defendan adalah sebagaimana dalam Ringkasan Kos, "P-2" yang disokong oleh 12 | P a g e "P-5" dan "P-6" Sebagaimana keterangan SP yang telah dinyatakan dalam "PSP-1", butiran kos/gantirugi bagi kerja-kerja membaikpulih adalah sebagaimana berikut:- i. RM3,335.15 Bagi bayaran gaji kepada pekerja-pekerja Plaintif; ii. RM11,520.29 Bagi kos barang-barang; iii. RM43,934.38 Bayaran bagi kerja-kerja kontrak, belian tempatan dan lain-lain perbelanjaan; iv. RM157.76 Bayaran bagi pengangkutan, perjalanan dan lain-lain elaun; [43] Bagi memastikan keadilan tercapai bagi pihak yang terkesan, Mahkamah bertanggungjawab untuk memastikan pihak yang wajar diberikan keadilan mendapatkan keadilan yang selayaknya. Plaintif tidak wajar menanggung kerugian yang telah disebabkan oleh kerja-kerja yang dilakukan oleh Defendan di tapak projek tersebut dengan tanpa pengawasan terhadap tanggungjawab untuk menjaga. Defendan juga pada pengamatan Mahkamah menafikan telah melakukan kerja-kerja pengorekan pada 8/8/2021 dan telah mengemukakan bukti dengan mengelirukan tarikh mula kerja yang didakwa bermula selepas kelulusan permit dikeluarkan, iaitu selepas 22/08/2021 walaupun kontrak diaward pada 9/12/2020. [44] Tiada bukti yang dikemukakan oleh Defendan bahawa tarikh mula projek adalah selepas 22/08/2021, iaitu selepas tarikh kerosakan 8/8/2021. Keterangan yang dikeluarkan oleh Defendan adalah jelas bercanggah dengan kandungan "D-15". Permit utiliti yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu melalui "D- 15" juga dengan jelas menyatakan bahawa permit utiliti adalah berkuatkuasa pada 1/8/2021 hingga 22/9/2022. 13 | P a g e [45] Dalam kes Tenaga Nasional Berhad v. Tetuan Ariff & Co [2013] 6 MLRH 580, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa: Damage is an essential element in a cause of action for negligence (see Pegasus Management Holdings Sca And Another v. Ernst & Young (A Firm) And Another [2010] EWCA Civ 181; and Law Society v. Sephton & Co (A Firm) And Others [2006] 2 AC 543, HL). In this regard, plaintiff must show loss to have actually occurred and that it is recoverable before an award of damages can be made (see Popular Industries Ltd v. The Eastern Garment Manufacturing Co Sdn Bhd [1989] 2 MLRH 705; and Penang Port Commission v. Kanawangi Seperumaniam (No 1) [1995] 2 MLRA 499). Therefore, in order to found a case in negligence, it is necessary for the plaintiff to prove that it has suffered damages that are recoverable and establish the causal link between the defendant's breach of duty and the plaintiff 's loss. [46] Kes ini telah dirujuk di dalam kes Telekom Malaysia Berhad v. Mudajaya Corporation Berhad [2014] 2 MLRH yang telah memutuskan bahawa Defendan adalah bertanggungan ke atas tuntutan gantirugi Plaintif di mana Hakim menyatakan bahawa:- The basic idea behind damages is that the plaintiff should be restored - in the form of money-to his or her original position before the negligence occurred. By reason of the aforesaid negligence the defendant, its servant and/ or agent caused the plaintiff cable to be damaged. As a result of the damage caused by the defendant, the plaintiff had to rectify the damage to the plaintiff's cables at a cost of RM733,999.43. [47] Adalah menjadi aspirasi Mahkamah untuk menegakkan keadilan dan menjamin tiadanya penindasan berlaku ke atas mana-mana pihak. Plaintif harus dipulihkan kepada kedudukan asalnya sebelum kecuaian berlaku. Atas sebab kecuaian oleh Defendan dan/atau pekerja-pekerja Defendan dan/atau ejen-ejen Defendan, 14 | P a g e Plaintif terpaksa membetulkan kerosakan kabel Plaintif yang memakan sejumlah kos.