Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI PULAU PINANG RAYUAN SIVIL NO: PA-12BNCVC-23-09/2023 ANTARA TENAGA NASIONAL BERHAD (NO. SYARIKAT: 199001009294 (200866-W)) … PERAYU DAN TAN LI HUA (NO. K/P: 831130-07-5228) … RESPONDEN [DALAM MAHKAMAH SESYEN DI GEORGETOWN DALAM NEGERI PULAU PINANG, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: PA-A52NCVC-117-10/2021 ANTARA TENAGA NASIONAL BERHAD (NO. SYARIKAT: 199001009294 (200866-W)) …PLAINTIF DAN TAN LI HUA (NO. K/P: 831130-07-5228) …DEFENDAN] 30/04/2025 12:17:13 PA-12BNCvC-23-09/2023 Kand. 34 ALASAN PENGHAKIMAN A. PENGENALAN [1] Ini adalah rayuan Perayu/Plaintif terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang diberikan pada 23.8.2023 yang memutuskan bahawa tuntutan Perayu/Plaintif terhadap Responden/Defendan adalah ditolak dengan kos mengikut skala. [2] Pihak-pihak dalam rayuan ini akan dirujuk sebagai Plaintif dan Defendan sebagaimana di Mahkamah Sesyen. B. LATAR BELAKANG [3] Defendan merupakan pengguna berdaftar yang menerima bekalan elektrik daripada Plaintif melalui akaun pengguna nombor 6260- 2205837878-03 (Baru) dan 0260-00653921(lama) bagi premis beralamat di No. 36-A, Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 Georgetown, Pulau Pinang (“premis Defendan"). [4] Plaintif pula merupakan syarikat yang memberikan bekalan elektrik kepada Defendan tertakluk kepada tarif yang telah ditentukan oleh Plaintif dan dipersetujui oleh Defendan. [5] Pada 19.2.2019, Plaintif telah melalui agen/pengkhidmatnya melakukan pemeriksaan ke atas meter di premis Defendan dalam kehadiran wakil/pekerja Defendan. Hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati bahawa meter di premis Defendan telah diusik iaitu Sil terminal tiada, Sil penutup meter putus, pelekat keselamatan diusik, didapati voltan paparan meter bagi fasa merah menunjukkan nilai 0 volt dan Skru link voltan bagi fasa merah dilonggarkan di dalam meter. [6] Akibat daripada usikan tersebut, Plaintif mendakwa bahawa terdapat perbezaan jumlah hasil pada bil-bil serahan bulanan dan bil-bil sebenar yang sepatutnya dikeluarkan oleh Plaintif. Defendan telah diserahkan bil-bil untuk jumlah yang kurang jika dibandingkan dengan bekalan elektrik yang digunakan. Kesan daripada usikan tersebut, penggunaan tenaga elektrik oleh Defendan yang tidak direkodkan adalah sebanyak RM207,932.65 untuk tempoh dari 06.5.2014. [7] Defendan menafikan telah mengusik pepasangan meter dan mempertikaikan pengiraan kehilangan hasil sebanyak RM207,932.65. Defendan juga memplidkan bahawa Plaintif telah gagal menyatakan secara spesifik ujian yang dijalankan sehingga mendapati usikan atas pepasangan meter bagi premis tersebut. Premis Defendan hanya digunakan sebagai sebuah Pejabat dan bukannya sebuah kilang yang memerlukan bekalan elektrik yang tinggi untuk berfungsi. [8] Plaintif yang tidak berpuas hati dengan keputusan HMS yang menolak tuntutan Plaintif, kini merayu ke Mahkamah ini. C. PENEMUAN DAN DAPATAN HMS [9] HMS dalam menolak tuntutan Plaintif berdasar dua perkara iaitu: [a] Plaintif gagal membuktikan berlaku pengusikan pada pepasangan meter tersebut. [i] HMS mendapati tiada penjelasan berkenaan dengan sil penutup meter, pelekat keselamatan dan ketiadaan sil terminal yang diusik. Tiada juga keterangan berkenaan pengusikan pelekat keselamatan dan penjelasan berkenaan bagaimana sil meter terputus. HMS seterusnya memutuskan bahawa jika sekalipun usikan ini dibuktikan, ianya masih tidak membuktikan usikan tersebut telah menyebabkan bacaan meter terganggu. [ii] Melalui ujian kejituan dan ujian perbandingan arus, HMS mendapati Plaintif gagal menunjukan bagaimanakah ujian tersebut dapat menentukan berlakunya usikan. Penemuan HMS ini berdasarkan atas ujian perbandingan arus yang mana kedua-dua bacaan arus sebenar dan bacaan arus paparan adalah sama dimana ianya tidak menunjukan perbezaan ketara. [ii] HMS juga melihat perkara skru fasa merah dilonggarkan dan voltan paparan merah menjadi kosong. Dalam hal ini, HMS memutuskan bahawa jika pepasangan meter diusik, sudah tentu usikan itu akan dikesan oleh pembaca meter melalui bacaan yang tidak normal.