a
(a) Menandatangani satu Perjanjian Bekalan Eksklusif Daging dan Susu pada 7.11.2014 dengan Rockfeller Plaza Broker LCC untuk Perayu membeli sebahagian daripada produk-produk, iaitu karkas dan susu lembu untuk tujuan penjualan kepada Responden;
/akn/my/judgment/court-of-appeal/2018/91abd2d7-c77c-4c27-9a67-ed0ebc9f3cf7
Court of Appeal of Malaysia28 Sept 2018W-01(NCvC)-305-05/2018
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“eri hak kepada Perayu untuk menguatkuasakan Perjanjian Bekalan tersebut terhadap Responden. Peguamcara merujuk kepada kes Freeman & Lockyer (A Firm) v Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd. and Anor [1964] QB 480 dan kes Choo Chin Thye v Concrete Engineering Products Bhd & Other Appeals [2004] 2 MLRA 608 untuk menyoko”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Text
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN SIVIL NO. W - 01(NCvC) - 305 - 05/2018 ANTARA TERATAI SANJUNG HOLDINGS (M) SDN. BHD (NO. SYARIKAT: 425188-W) ... PERAYU DAN [Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Guaman Civil No: 22NCVC-609-11/2015 Antara Teratai Sanjung Holdings (M) Sdn. (No. Syarikat: 425188-W ... Plaintif Dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ... Defendan] KORUM UMI KALTHUM BINTI ABDUL MAJID, HMR ZALEHA BINTI YUSOF, HMR YAACOB BIN HAJI MD SAM, HMR ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Rayuan ini dibawa oleh Perayu terhadap keputusan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, setelah perbicaraan penuh diadakan, yang telah menolak tuntutan Perayu untuk gantirugi kehilangan keuntungan sejumlah RM1,652,640,238.72 berkaitan dengan satu Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 yang dikatakan sebagai telah dimasuki di antara Perayu dan Responden. [2] Kami telah mendengar rayuan ini pada 28.9.2018 dan sebulat suara menolaknya dan tiada kos diperintahkan. [3] Mengikut agihan penulisan alasan penghakiman, penulisan alasan penghakiman rayuan ini ditugaskan kepada YA Dato' Umi Khaltum binti Abdul Majid. Bagaimanapun, oleh kerana YA Hakim tersebut telah bersara daripada perkhidmatan, penulisan alasan penghakiman rayuan ini telah ditugaskan kepada saya melalui surat bertarikh 10.6.2020. [4] Kami kini memberikan alasan penghakiman kami. LATAR BELAKANG Pernyataan Tuntutan Perayu [5] Melalui writ tuntutan terpinda bertarikh 27.9.2016, Perayu mengatakan bahawa Responden melalui surat bertarikh 1.10.2014 telah melantik Perayu untuk membekalkan lembu hidup dan karkas lembu kepada Responden untuk pasaran tempatan di Malaysia dan lain-lain negara pada nilai transaksi dianggarkan bernilai RM500,000,000.00 (muka surat 102 Ikatan Teras Bersama). Perayu selanjutnya mengatakan, lanjutan daripada surat pelantikan tersebut Perayu dan Responden telah memasuki satu Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 (Perjanjian Bekalan/Supply Agreement) berkuatkuasa selama lima (5) tahun mulai 1.11.2014 untuk penjualan lembu hidup daripada Australia serta karkas dan susu lembu daripada Perancis oleh Perayu kepada Responden (muka surat 67-74 Ikatan Teras Bersama). [6] Perayu mengatakan lanjutan daripada Perjanjian Bekalan tersebut, Perayu telah bertindak dan melaksanakan perkara-perkara berikut:
a
(a) Menandatangani satu Perjanjian Bekalan Eksklusif Daging dan Susu pada 7.11.2014 dengan Rockfeller Plaza Broker LCC untuk Perayu membeli sebahagian daripada produk-produk, iaitu karkas dan susu lembu untuk tujuan penjualan kepada Responden;
b
(b) Menandatangani satu Perjanjian Carter Kapal Terbang bertarikh 10.4.2015 dan 28.4.2015 dengan Malaysian Airline System Berhad untuk tujuan pengangkutan udara lembu-lembu hidup yang akan dibeli oleh Perayu daripada Australia untuk dijual kepada Responden di bawah Perjanjian Bekalan;
c
(c) Melantik Fast Airfrieght & Forwarding (M) Sdn Bhd selaku agen forwarding untuk mengendalikan urusan pelepasan dagangan di lapangan terbang dan pelabuhan kapal serta urusan berkaitan penyimpanan dan kurantin untuk produk-produk yang diimport oleh Perayu untuk dijual kepada Responden di bawah Perjanjian Bekalan;
d
(d) Berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bagi mendapatkan kelulusan dan permit pengimportan dan pengekportan produk-produk;
e
(e) Memasuki perjanjian dengan Ikhtiar Factoring Sdn. Bhd. untuk kemudahan modal bergerak dan kemudahan perdagangan untuk Perayu dapat melaksanakan obligasi di bawah Perjanjian Bekalan;
f
(f) Mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pengiktirafan status halal bagi produkproduk yang diimport oleh Perayu untuk dapat dijual kepada Responden di bawah Perjanjian Bekalan;
g
(g) Membiayai dua lawatan ke Australia oleh wakil-wakil Perayu dan Responden dalam bulan November 2014 dan Februari 2015 untuk tujuan rundingan dengan penjual-penjual lembu hidup di Australia;
h
(h) Membuat lawatan ke Perancis dalam bulan Disember 2014 untuk tujuan membuat pengaturan dan persiapan yang perlu untuk membeli karkas dan susu lembu yang akan dijual kepada Responden di bawah Perjanjian Bekalan;
i
(i) Membuat persiapan bagi pihak Responden untuk lawatan rasmi oleh wakil-wakil JAKIM dan DVS ke lokasi-lokasi pembekal dan pengedar karkas dan susu lembu, loji penyembelihan dan loji pemprosesan susu di Perancis bagi tujuan kelulusan pengimportan dan pengeksportan. [7] Perayu mengatakan Responden telah memungkiri Perjanjian Bekalan tersebut apabila pada 25.5.2015 Responden menafikan sebarang obligasi dan liabiliti di bawahnya atas alasan Perjanjian Bekalan tersebut tidak mengikat, tidak sah dan terbatal. [8] Oleh sebab Responden gagal meremedikan kemungkiran, Perayu telah menamatkan Perjanjian Bekalan melalui surat bertarikh 30.7.2015. [9] Tuntutan Perayu terhadap Responden adalah terhadap kemungkiran Perjanjian Bekalan oleh Responden yang mana Perayu mengatakan akibat kemungkiran tersebut menyebabkan Perayu kehilangan keuntungan sejumlah RM1,652,640,238,72. Perayu memohon kepada Mahkamah untuk deklarasi bahawa penolakan Responden terhadap Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 adalah salah dan merupakan suatu kemungkiran perjanjian. Secara alternatif, Perayu memohon jumlah kehilangan keuntungan Perayu ditaksirkan. Pernyataan Pembelaan Responden [10] Responden menafikan pengetahuan terhadap surat lantikan Perayu bertarikh 1.10.2014. Responden mengatakan tidak pernah mengarahkan atau memberi mandat atau kuasa kepada mana-mana pegawai atau kakitangannya untuk mengeluarkan surat lantikan kepada Perayu. [11] Secara spesifik, Responden memplidkan dan menafikan ada memberi kuasa atau melantik kakitangannya bernama Zainal Abidin Alip (ZAA) untuk mengeluarkan surat tawaran bertarikh 1.10.2014. Responden juga menafikan ada memberi kuasa dan melantik Zainal Abidin Alip untuk menandatangani Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 tersebut. [12] Responden memplidkan bahawa Perayu sewajarnya tahu dan mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan bahawa Perjanjian Bekalan yang dikatakan wujud oleh Perayu itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk kontrak yang bernilai melebihi RM500 juta dan bukannya ZAA seorang pegawai yang tidak layak menjalankan urusniaga yang melebihi RM50,000.00. Responden juga menafikan keabsahan Perjanjian Bekalan tersebut yang tidak mempunyai cop atau 'seal' rasmi Responden dan ketiadaan saksi Responden terhadap perjanjian. [13] Responden oleh itu menafikan sebarang ikatan dan tanggungan terhadap Perayu di bawah Perjanjian Bekalan yang tidak sah tersebut. Keputusan Mahkamah Tinggi [14] YA Pesuruhjaya Kehakiman telah memperincikan dalam alasan penghakiman beliau terhadap isu-isu yang dibicarakan, ialah seperti berikut [perenggan (13) dan (14) muka surat 11 ikatan Teras Bersama]: [13] In determining whether FAMA had wrongly repudiates the Supply Agreement, this Court must decide whether the Supply Agreement is a valid, binding and enforceable contract. In doing so, I have to ascertain whether ZAA when he signed the Supply Agreement had the necessary authority to sign the agreement on behalf of FAMA. The authority can be either (i) actual authority; or (ii) apparent or ostensible authority. [14] The next issue to be decided is whether Teratai as an outsider to FAMA can rely on the "indoor management rule" and assume that ZAA was authorised to act on FAMA's behalf to execute the Supply Agreement and that FAMA's relevant internal policies and procedures had been complied with." [15] Setelah perbicaraan penuh, Hakim bicara membuat dapatan dan keputusan berikut [perenggan (7), (8) dan (9) muka surat 14-15 Ikatan Teras Bersama]: [7] At the conclusion of trial, I found that ZAA did not have any actual authority to sign the Supply Agreement on behalf of FAMA. Nevertheless, FAMA by its conduct had represented that ZAA had apparent or ostensible authority to sign the Supply Agreement on FAMA's behalf. [8] I also found that Teratai was put on inquiry based on the provisions of the FAMA as to the irregularity in FAMA's internal procedures. I held that as Teratai did not make any inquiry, it cannot rely on the "indoor management rule" or Turquand rule. [9] For these reasons, I found that the Supply Agreement was not a valid, binding and enforcement contract and dismissed Teratai's claim against FAMA." RAYUAN DI HADAPAN KAMI [16] Peguamcara terpelajar bagi pihak Perayu mengemukakan dua isudalam mencabar penghakiman Hakim bicara. [17] Dua isu tersebut ialah:
a
(a) Hakim bicara khilaf setelah membuat dapatan bahawa ZAA mempunyai 'apparent/ostensible authority', gagal memutuskan Perjanjian Bekalan tersebut sah dan mengikat Responden;
b
(b) Hakim bicara gagal mengguna pakai prinsip estoppel terhadap Responden daripada menafikan tidak terikat dengan Perjanjian Bekalan tersebut. [18] Untuk isu pertama, peguamcara Perayu dalam hujahannya menegaskan bahawa Perayu menerima dapatan dan tidak mempertikaikan keputusan Hakim bicara bahawa ZAA tidak mempunyai 'actual authority' untuk memasuki Perjanjian Bekalan bagi pihak Responden. [19] Peguamcara Perayu bagaimana pun menegaskan disebalik Hakim bicara membuat dapatan fakta bahawa ZAA tidak mempunyai 'actual authority', Hakim bicara juga telah membuat dapatan bahawa ZAA mempunyai 'apparent/ostensible authority' untuk memasuki Perjanjian Bekalan tersebut. [20] Peguamcara Perayu merujuk kepada alasan penghakiman Hakim bicara, yang mana pada perenggan [33], beliau mengatakan: [33] Applying the principle of apparent or ostensible authority in Freeman & Lockyer, as approved in Chew Hock San, to this instant case, FAMA in permitting ZAA to act in the manner he did in the conduct of (sic) FAMA's business, represented to Teratai that ZAA had the authority to negotiate and enter into the Supply Agreement on behalf of FAMA with Teratai." [21] Peguamcara Perayu selanjutnya merujuk kepada perenggan [34] alasan penghakiman Hakim bicara, yang memutuskan: [34] Accordingly, based on the evidence and surrounding facts and circumstances prior to the execution of the Supply Agreement, I find that FAMA had represented to Teratai that ZAA had the apparent or ostensible authority to enter on behalf of FAMA a contract of a kind and for a value within the scope of the Supply Agreement." [22] Bersandarkan kepada dapatan oleh Hakim bicara bahawa ZAA mempunyai 'apparent/ostensible authority', peguamcara Perayu menghujahkan bahawa Hakim bicara sepatutnya memberi hak kepada Perayu untuk menguatkuasakan Perjanjian Bekalan tersebut terhadap Responden. Peguamcara merujuk kepada kes Freeman & Lockyer (A Firm) v Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd. and Anor [1964] QB 480 dan kes Choo Chin Thye v Concrete Engineering Products Bhd & Other Appeals [2004] 2 MLRA 608 untuk menyokong hujahannya dalam isu ini. [23] Untuk isu kedua, peguamcara Perayu menghujahkan bahawa Hakim bicara khilaf apabila gagal mengguna pakai prinsip estoppel terhadap Responden setelah membuat dapatan bahawa ZAA mempunyai 'apparent/ostensible authority' untuk memasuki Perjanjian Bekalan tersebut. Peguamcara Perayu menegaskan atas representasi Responden melalui ZAA, Perayu telah menerima dan bersetuju untuk memasuki Perjanjian Bekalan dan yang demikian Responden terhalang atau 'estopped' daripada mengatakan mereka tidak terikat dengannya. [24] Hujahan oleh peguamcara Perayu ini disandarkan kepada perenggan (55) alasan penghakiman, di mana Hakim bicara mengatakan: "[55] ... The facts that it relied on the representations made by FAMA that ZAA had the apparent or ostensible authority to execute the Supply Agreement on behalf of FAMA". [25] Peguamcara Perayu merujuk kepada kes-kes berikut untuk menyokong hujahannya dalam isu ini: Freeman & Lockyer A Firm) v Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd. and Another (supra); Choo Chin Thye v Concrete Engineering Products Bhd & Other Appeals (supra); Cheng Keng Hong v Government of the Federation of Malaya [1965] 1 MLRH 342. Hujahan Peguamcara Responden [26] Peguamcara terpelajar bagi pihak Responden menghujahkan berdasarkan kepada pliding, Responden telah memplidkan dengan nyata dalam Penyataan Pembelaan Responden bahawa Responden ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta FAMA) dan Perayu sedia memaklumi bahawa Responden adalah terikat dan tertakluk kepada Akta FAMA tersebut. Peguamcara Responden menegaskan Perayu tidak menafikan pengataan oleh Responden tersebut. [27] Peguamcara Responden selanjutnya menghujahkan, oleh kerana Perayu mempunyai pengetahuan dan tidak menafikan bahawa Responden terikat dengan Akta FAMA, maka adalah menjadi tanggungjawab Perayu untuk memastikan terlebih dahulu, tiga perkara berikut:
i
(i) Bahawa pihak pengurusan tertinggi dan Lembaga Pengarah FAMA telah memberikan kuasa dan melantik ZAA untuk mewakili FAMA bagi menandatangani Perjanjian Bekalan tersebut;
subparagraph
(ii) Bahawa Perjanjian Bekalan tersebut telah mematuhi prosedur dan dimasuki atas persetujuan pihak pengurusan tertinggi dan Lembaga Pengarah FAMA; dan
subparagraph
(iii) Perjanjian Bekalan tersebut hanya boleh ditandatangani oleh Ketua Pengarah FAMA bagi kontrak yang bernilai sehingga RM500 juta dan bukannya ZAA iaitu seorang pegawai yang tidak layak menjalankan urusniaga yang melebihi RM50,000.00. [28] Peguamcara responden merujuk kepada eksibit D63. Eksibit D63 dikeluarkan oleh Responden kepada Perayu tiga hari sebelum Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 ditandatangani. Perenggan D63 dengan jelas mengatakan bahawa Responden menolak sebarang liabiliti. Responden mengatakan D63 dikeluarkan oleh Responden atas permintaan Perayu untuk membolehkan Perayu mendapatkan pembiayaan/pinjaman daripada bank. Peguamcara Perayu selanjutnya menegaskan semasa saksi Perayu iaitu SP4 diperiksa balas, SP4 bersetuju bahawa Perayu tidak pernah menjawab atau membantah kandungan D63 yang mengatakan Responden harus dikecualikan daripada sebarang liabiliti dan tidak akan bertanggungjawab terhadap Perjanjian Bekalan yang diminta oleh Perayu untuk disediakan untuk tujuan menjadi dokumen tambahan kepada D63 bagi membolehkan Perayu memohon pinjaman pembiayaan daripada bank. [29] Peguamcara responden oleh itu menghujahkan, disebabkan Perayu mempunyai pengetahuan bahawa responden terikat dengan Akta FAMA dalam memasuki kontrak dan pengetahuan bahawa ZAA hanya seorang pegawai dan tidak ada kuasa untuk memasuki kontrak di luar daripada kapasiti kuasanya, iaitu tidak melebihi RM50,000.00, maka Perayu tidak boleh menggunakan kaedah 'indoor management rule' dan prinsip 'apparent/ostensible authority'. Keputusan kami [30] Perayu tidak mempertikaikan dapatan Hakim bicara bahawa ZAA tidak mempunyai kuasa atau mandat untuk memasuki Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 dengan Perayu. Oleh itu isu ini tidak lagi berbangkit untuk diputuskan. [31] Adalah fakta yang tidak dicabar oleh Perayu bahawa Responden ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta FAMA 1965 (Akta 141). [32] Dalam memberi keabsahan kepada kewujudan dan kuasa untuk memegang harta dan berkontrak, seksyen 2 Akta FAMA memperuntukkan seperti berikut: "The Authority
section
2. (1) There is hereby established a body corporate by the name of "Federal Agriculture Marketing Authority" (herein referred to as "the Authority") with perpetual succession and common seal, and power to acquire and hold movable or immovable property and to dispose thereof or otherwise deal therewith.
subsection
(2) The First Schedule shall have effect with respect to the Authority." [33] Item 4 Jadual Pertama Akta FAMA memperuntukkan: "4. (1) The Authority shall have common seal, which shall bear such device as the Authority shall approve and such seal may from time to time be broken, changed, altered or made anew, as the Authority may think fit.
subsection
(2) The common seal shall be authenticated by either the Chairman or such other person as may be authorized by the Authority or by any officer authorized by either of them in writing, and all deeds, documents and other instruments purporting to be sealed with the said seal, authenticated as aforesaid, shall until contrary is proved be deemed to have been validly executed. Provided that any document or instrument which if executed by a person not being a body corporate would be required under seal may, in like manner, be executed by the Authority and any such document or instrument may be executed on behalf of the Authority by and officer or servant of the Authority generally or specially authorized by the Authority in that behalf." [34] Pentadbiran dan pengurusan harian FAMA diletakkan di bawah kuasa Ketua Pengarah FAMA. Seksyen 4 Akta FAMA memperuntukkan: "Director General of the Authority
section
4. (1) The terms and conditions of appointment of the Director General under subsection 2(3) shall be determined by the Minister and shall be set out in instrument of appointment.
subsection
(2) The Director General shall be responsible for the day to day administration and management of the affairs of the Authority and shall perform such duties and exercise such powers as may be entrusted or delegated by the Authority or the Chairman.
subsection
(3) Without prejudice to the generality of subsection (2), the Director General shall be responsible for the preparation of programmes, schemes or projects for the consideration of the Authority, the issue of policy guidance or elucidation of the decisions of the Authority and the supervision and control of the implementation of such decisions." [35] Dalam hal punca kewangan FAMA, Seksyen 9 Akta FAMA memperuntukkan, antara lain: "Fund and finance
section
9. (1) For the purposes of this Act, there is hereby established a fund to be administered and controlled by the Authority-
a
(a) into which shall be paid-
i
(i) such sum as may be provided from time to time by Parliament;
subparagraph
(ii) such sum as may be from time to time be borrowed by the Authority for the purpose of meeting any of its obligations or discharging any of its duties." [36] Berdasarkan kepada petikan seksyen 2, 4 dan 9 di atas, status FAMA sebagai sebuah badan berkanun kerajaan yang dibiayai sebahagian peruntukan kewangannya oleh kerajaan melalui peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen tidak boleh disamakan dengan status syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 (ketika itu). Keterangan oleh SP4 mengakui bahawa Perayu mengetahui hal tersebut. [37] Peruntukan dan tatacara kuasa yang diberikan kepada pegawai FAMA juga adalah jelas bahawa sebarang kuasa atau penurunan kuasa hendaklah diberikan secara bertulis dan bukan atas sifat jawatan pegawai atau kakitangan. [38] Dalam perkara dokumentasi dan kontrak yang dimasuki oleh FAMA, seksyen 2 dan item 4 Jadual Pertama menghendaki dokumen tersebut dimaterai dengan 'seal' rasmi FAMA yang diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah FAMA. [39] Berlatarbelakangkan peruntukan Akta FAMA yang telah kami buat petikan, adalah berfaedah kami merujuk kepada keterangan saksi-saksi berkaitan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 dan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014. [40] Surat lantikan bertarikh 1.10.2014 ditandatangani oleh ZAA (SD4), Pengarah Ternakan & Akuakultur FAMA bagi pihak Ketua Pengarah FAMA. [41] Dato' Ahmad bin Ishak (SD1), Ketua Pengarah FAMA mengatakan ZAA sebagai Pengarah Ternakan dan Akuakultur adalah merupakan jawatan di bawah Bahagian Urusniaga Segar yang diketuai oleh pegawai bernama Mohd Anis bin Mohd Yasin (SD2). ZAA selaku seorang pegawai bawahan melapor kepada Mohd Anis. SD1 mengakui ada berjumpa sekali dengan wakil daripada Perayu bernama Dato' Rosli bin Hashim (SP4) yang datang berjumpanya bersama ZAA ketika suatu program lain FAMA di Port Dickson pada 21.3.2014, tetapi perjumpaan tersebut tidak ada kaitan dengan apa-apa surat lantikan atau perjanjian bekalan lembu dan susu antara Perayu dan Responden. SD1 tidak ada pengetahuan tentang terdapatnya surat lantikan bertarikh 1.10.2014 yang ditandatangani oleh ZAA. SD1 juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan terhadap Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 yang ditandatangani oleh ZAA dan Perayu. SD1 hanya pertama kali mengetahui tentang terdapatnya Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 pada tahun 2015 setelah diberitahu oleh Timbalan Pengarah FAMA (SD5). [42] Haji Rohaizad bin Ridzwan (SD5) bekas Timbalan Ketua Pengarah FAMA mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang lawatan ZAA ke Australia atas biayaan Perayu. SD5 juga tidak ada pengetahuan tentang surat lantikan Perayu bertarikh 1.10.2014 dan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014. SD5 pertama kali tahu tentang wujudnya Perjanjian Bekalan antara Perayu dan Responden pada 23.4.2015 semasa perjumpaan pengarah-pengarah kanan FAMA di Hotel Quality, Kuala Lumpur. [43] Mohd Anis bin Mohd Yasin (SD2) Pengarah Kanan, Bahagian Urusniaga Segar FAMA mengatakan tidak mempunyai pengetahuan terhadap Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014. SD2 mengatakan beliau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana wakil Perayu sebelum tarikh Perjanjian Bekalan tersebut ditandatangani dan tidak mengenali Perayu. SD2 mengatakan beliau dan pihak atasan FAMA tidak mempunyai pengetahuan bahawa ZAA ada menandatangani Perjanjian Bekalan dengan Perayu. SD2 mengatakan ZAA tidak mempunyai apaapa kuasa untuk menandatangani perjanjian tersebut. [44] Zainal Abidin bin Yang Razali (SD3) ialah pemangku Pengarah Kewangan FAMA sejak bulan April 2012 sehingga Jun 2015 sebelum bertukar jawatan menjadi Pengarah FAMA Negeri Johor. SD3 mengatakan tidak mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 dan hanya mengetahuinya pada sekitar bulan April 2015. [45] ZAA (SD4) mengakui bahawa Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 ditandatangani oleh beliau tanpa pengetahuan pegawai atasan FAMA. ZAA mengakui telah membuat perbincangan dengan Perayu atas usaha beliau sendiri sebagai Pengarah Ternakan & Akuakutur FAMA tanpa melibatkan mana-mana pegawai atasan FAMA (muka surat 429 Rekod Rayuan Jilid 2C - Bahagian B). SD4 juga mengakui surat lantikan Perayu bertarikh 1.10.2014 dikeluarkan oleh SD4 atas kapasiitinya sendiri hanya untuk menjadi surat sokongan kepada Perayu dalam mendapatkan kelulusan dan permit. SD4 mengakui surat lantikan tersebut dikeluarkan tanpa pengetahuan pegawai atasan FAMA (muka surat 432 Rekod Rayuan Jilid 2C - Bahagian B). [46] Pauzi bin Yaman (SD6) ialah Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation. SD6 mengatakan pada 17.11.2014 beliau ada mengikuti wakil syarikat Perayu ke Sydney Australia untuk mengkaji potensi industri pengimportan lembu. SD6 tidak mempunyai pengetahuan tentang terdapatnya Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 dan hanya mengetahuinya pada sekitar bulan Mac 2015 setelah diberitahu oleh Pegawai Undang-Undang FAMA (SD7). [47] Norhayati binti Maulud (SD7) ialah Pegawai Undang-Undang FAMA sejak bulan Jun 2009. SD7 tidak pernah berurusan dengan Perayu dan tidak mengenali Perayu. SD7 mengatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan terhadap kewujudan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 yang ditandatangani oleh ZAA dan Perayu. SD7 cuma mengetahui kewujudan perjanjian tersebut pada sekitar bulan Mac 2015. SD7 menafikan FAMA memasuki Perjanjian Bekalan dengan Perayu. [48] Berdasarkan kepada keterangan yang terdapat, adalah jelas bahawa surat lantikan Perayu bertarikh 1.10.2014, dikeluarkan oleh ZAA atas kapasiti beliau sendiri tanpa apa-apa arahan atau pengetahuan oleh pegawai atasan FAMA. Perkara yang sama berlaku terhadap Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014. Kami dapati Hakim bicara telah membuat dapatan yang betul atas perkara ini dan kami bersetuju dengan dapatan tersebut. [49] Keterangan juga melihatkan ZAA bertindak atas kapasiti beliau sendiri tanpa diberikan apa-apa kuasa ke atasnya dalam mengeluarkan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 tanpa arahan atau pengetahuan pegawai-pegawai atasan FAMA. Maka yang demikian tidak boleh dikatakan bahawa FAMA secara 'in conduct' telah membuat representasi melalui ZAA kepada Perayu. Sebaliknya apa yang berlaku ialah Perayu yang telah mendesak dan menggunakan ZAA untuk mengeluarkan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 dan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2017 bertujuan untuk digunakan oleh Perayu bagi mendapatkan pembaiyaan bank dan berurusan dengah pihak berkuasa. Keterangan yang ada jelas menunjukkan tiada mana-mana wakil FAMA kecuali ZAA yang pernah berbincang dengan Perayu berkaitan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 dan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 yang hanya ditandatangani oleh ZAA dan Perayu tanpa dimateraikan dengan 'seal' rasmi Perayu seperti yang diperlukan di bawah Akta FAMA. Di atas keterangan yang terdapat, kami mendapati Hakim bicara terkhilaf dalam dapatan yang memutuskan ZAA mempunyai 'apparent or ostensible authority' untuk memasuki Perjanjian Bekalan untuk Perayu. Kami akan menyentuh perkara ini dengan lebih lanjut nanti [50] Peguamcara Perayu menghujahkan ZAA selaku "Pengarah Bahagian Ternakan dan Akuakultur" mempunyai kapasiti di bawah Akta FAMA untuk memasuki Perjanjian Bekalan bagi pihak FAMA. Peguamcara Perayu juga menghujahkan Perjanjian Bekalan tersebut yang ditandatangani oleh ZAA atas kapasiti jawatan beliau tidak memerlukan materai 'seal' rasmi FAMA. Dengan hormatnya kami tidak dapat bersetuju dengan hujahan tersebut. Kami telah memetik pada awal penghakiman ini peruntukan seksyen 4 berkaitan pelantikan Ketua Pengarah FAMA yang dibuat oleh Menteri di bawah instrumen pelantikan bersama kuasa-kuasa yang diberikan dan kuasa-kuasa tersebut diberikan secara bertulis. Adalah suatu yang janggal jika ZAA sebagai seorang pegawai bawahan di bawah daripada jawatan Ketua Pengarah boleh mempunyai kuasa yang lebih luas daripada Ketua Pengarah. Jadual 1 dan Jadual 3 Pekeliling Perniagaan FAMA Bil. 1 Tahun 2012 jelas menyatakan had kuasa meluluskan pembelian yang diturunkan kepada Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai di bawahnya. Dalam perkara ini ZAA selaku Pengarah hanya memiliki had kuasa membeli untuk amaun tidak melebihi RM50,000.00. Perjanjian Bekalan dikatakan membawa amaun kontrak sekitar RM500,000,00 (RM500 juta) adalah satu amaun yang sangat berlebihan daripada kuasa yang diberikan kepada ZAA. ZAA sendiri mengakui bahawa Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 tersebut ditandatangani olehnya tanpa arahan pegawai atasan atau mandat oleh FAMA dan perjanjian tersebut dibuat oleh ZAA hanya untuk membantu Perayu untuk menjadi dokumen sokongan dalam mendapatkan pembiayaan bank dan urusan mendapatkan permit mengimport lembu daripada pihak berkuasa (muka surat 290 Rekod Rayuan Jilid 2B – Bahagian B). Semua pegawai atasan ZAA, iaitu SD1, SD2 dan SD3 tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang kewujudan Perjanjian Bekalan tersebut yang dimasuki oleh ZAA tanpa melalui tatacara biasa yang terdapat dalam FAMA. SD7 selaku Pegawai Undang-Undang FAMA juga tidak mempunyai pengetahuan terhadap Perjanjian Bekalan tersebut dan tidak pernah terlibat dalam apa-apa perjumpaan dengan wakil Perayu berkaitan deraf terma dan perjanjian tersebut. Malahan SD1, SD2 dan SD3 dan diakui oleh ZAA sendiri bahawa pegawai atasan tersebut tidak memberikan apa-apa arahan atau terlibat dalam apa-apa sesi rundingan dengan wakil Perayu berkaitan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 (muka surat 287 Rekod Rayuan Jilid 2B – Bahagian B) dan Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 tersebut. Hujahan peguamcara Perayu oleh itu tidak mempunyai merit. [51] Kami juga ingin menegaskan dalam penghakiman ini, apabila sesebuah badan berkanun yang terikat dengan peraturan dan tatacara undang-undang penubuhannya, peraturan dan tatacara tersebut yang menjadi kehendak di bawah statut hendaklah dipatuhi sebelum sesuatu kontrak dapat disahkan dan dikuatkuasakan. Walau apa pun dakwaan 'apparent or ostensible authority' ianya masih tidak boleh mengetepikan atau mengatasi pematuhan statut tersebut. [52] Di atas dapatan kami tersebut, kami berpendapat tidak timbul isu Hakim bicara gagal menimbangkan prinsip estoppel yang terdapat di bawah seksyen 115 Akta Keterangan 1950 terhadap Responden. Perayu pada setiap masa hanya berurusan dengan ZAA dan tidak terdapat apa-apa representasi oleh Responden kepada Perayu bahawa ZAA diberi mandat untuk bertindak mewakili Responden dalam pengeluaran surat lantikan dan memasuki Perjanjian Bekalan. Oleh itu segala representasi yang dibuat oleh ZAA kepada Perayu tidak dibuat bagi pihak Responden dan tidak boleh disifatkan sebagai representasi yang mengikat Responden. Kes Freeman & Lockyer A Firm) v Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd. and Another (supra) yang dirujuk oleh peguamcara Perayu boleh dibezakan daripada kes Perayu ini yang mana dalam kes tersebut jelas melihatkan Lembaga Pengarah Buchurst Park Property (Manga) Ltd. (supra) mempunyai pengetahuan terhadap tindakan yang dilakukan oleh agennya berkaitan urusan penjualan tanah syarikat dan fee bayaran agen seperti yang dizahirkan dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah. Fakta pengetahuan sedemikian tidak ada dalam kes di hadapan kami ini. Kes Choo Chin Thye v Concrete Engineering Products Bhd (supra) juga tidak membantu hujahan peguamcara Perayu. Dalam kes tersebut terdapat keterangan bahawa Choo yang menjadi agen CEPCO adalah juga merupakan de facto Chairman CEPCO dan mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah CEPCO ketika representasi kepada ICP dibuat yang membuatkan ICP percaya Choo mempunyai mandat dan kuasa untuk mewakili CEPCO. Fakta sedemikian tidak ada dalam kes rayuan di hadapan kami. ZAA hanya seorang pengarah bahagian dan di atasnya terdapat ramai pegawai atasan serta Lembaga Pengarah FAMA. Malahan ZAA sebagai pegawai bawahan melapor kepada SD2. SD2 tidak pernah diberitahu tentang apa-apa urusan memasuki Perjanjian Bekalan baik oleh ZAA mahu pun oleh Perayu. Oleh itu tidak terdapat pemakaian prinsip estoppel dalam kes ini terhadap Responden. Semakan kami terhadap tiga hujahan bertulis yang difailkan oleh Perayu di hadapan Hakim bicara juga mendapati isu berkaitan pemakaian estoppel tidak pernah dibangkitkan oleh peguamcara Perayu (Rekod Rayuan Jilid 2G – Bahagian C). Maka itu tidak menghairankan mengapa Hakim bicara tidak menyentuh sebarang isu berkaitan pemakaian estoppel dalam alasan penghakiman beliau. [53] Peguamcara Perayu juga menghujahkan bahawa Hakim bicara khilaf dalam mengguna pakai prinsip kes Royal British Bank v Turquant [1856] 11 ER 474 apabila memutuskan Perayu tidak boleh bersandarkan kepada kaedah 'internal manegement rule' atas kegagalan membuat inkuri dengan Responden atas kuasa dan representasi ZAA. Dalam kes Pekan Nenas Industries Sdn Bhd v Chang Ching Chuen & Ors [1997] 2 MLRA 202 Mahkamah Persekutuan mengatakan di muka surat 218 "... the effect of the Rule in Turquant's case is that it reduces the inquiries which outsiders having dealings with a company - or more correctly - outsiders who reasonably think they are having dealings with a company - must make, which, of course promotes business convenience. Such outsiders have no right to insist on proof by the company's directors that the provisions of its memorandum or articles have been complied with, and thay cannot therefore be deemed to have constructive notice of some failure which they have no means of discovering (Gloucester Country Bank v. Rudry Steam and House Coal Colliery Co. [1895] 1 Ch. 629 at p. 636 per Lindley LJ) and it is this which provides the legal basis for the Rule." [54] Berbalik kepada kes rayuan di hadapan kami. Keterangan ZAA (SD4) jelas mengatakan Perayu yang mendesak ZAA mengeluarkan surat lantikan bertarikh 1.10.2014 (muka surat 283 - 284 Rekod Rayuan Jilid 2B – Bahagian B) dan menandatangani Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 walau pun Perayu tahu bahawa Perayu tidak pernah berurusan dalam perkara tersebut dengan pegawai atasan Responden selain daripada ZAA. Perjanjian Bekalan oleh itu dimasuki oleh Perayu bukan akibat daripada dorongan representasi ZAA tetapi daripada tindak tanduk Perayu sendiri yang terdesak untuk mendapatkan dokumen sokongan atau dokumen tambahan bagi mendapatkan pembaiyaan bank. SD1 selaku Ketua Pengarah FAMA tidak pernah diberitahu tentang keperluan surat lantikan dan Perjanjian Bekalan tersebut oleh Perayu mahu pun ZAA. SD3 mengatakan beliau tidak pernah diberitahu oleh Perayu mahu pun ZAA tentang terdapatnya Perjanjian Bekalan walau pun SD6 ada mengikuti lawatan di Sydney pada awal tahun 2015 dan ini berlaku setelah Perjanjian Bekalan ditandatangani oleh ZAA dan Perayu. Jelasnya, Perayu tidak pernah membuat inkuiri atau melihatkan hasrat membuat inkuiri kepada Responden berkaitan dengan surat lantikan dan Perjanjian Bekalan tersebut. Perayu mempunyai pengetahuan bahawa Responden sebagai sebuah badan berkanun adalah terikat dengan Akta FAMA tetapi tidak membuat apa-apa usaha untuk mengetahui samada Perjanjian Bekalan bertarikh 27.10.2014 yang dimasukinya dengan Responden telah mematuhi keperluan yang dikehendaki di bawah Akta FAMA termasuk perkara berkaitan had kuasa ZAA untuk menandatangani Perjanjian Bekalan yang melibatkan jumlah transaksi kewangan yang sangat besar. Kami bersetuju dengan dapatan oleh Hakim bicara bahawa Perayu tidak boleh mendapat manfaat daripada prinsip 'indoor management rule'. Pengecualian (exception) yang disebutkan dalam kes Turquant (supra) terpakai terhadap Perayu "... a third party who knows or ought to have known of an irregularity in the body corporate's rule and procedures cannot rely on the indoor management rule." Perayu juga gagal mematuhi empat pra-syarat yang dinyatakan oleh kes Freeman & Lockyer (supra) berdasarkan kepada keterangan ZAA bahawa Perayu yang mendesak Perjanjian Bekalan dimasuki oleh ZAA dan bukan akibat daripada representasi dorongan oleh ZAA terhadap Perayu. KESIMPULAN [55] Berdasarkan kepada huraian yang kami berikan di atas, kami dapati rayuan oleh Perayu tidak mempunyai merit. [56] Oleh itu rayuan perayu ditolak. Perintah Hakim bicara bertarikh 30.3.2018 dikekalkan. Tiada kos diperintahkan. (YAACOB BIN HAJI MD SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh 24 Disember 2020 Peguamcara bagi pihak Perayu: Karlos Israphil Jowe Ninoy Almeida Tetuan Amin Karlos Peguambela & Peguamcara 81-M, Plaza Damansara Jalan Medan Setia 1 Bukit Damansara 50490 Kuala Lumpur Peguamcara bagi pihak Responden: Yusman Che Aman Zorah Jan Newaz Md Ridzuan Othman Tetuan Z.J. Newaz & Co. Peguambela dan Peguamcara No. 5-1, $ 1^{\mathrm{st}} $ Floor, Jalan Coco Drive 1 Taman Bandar Senawang 70450 Senawang Negeri Sembilan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.