Mohanraj a/l Murugan] KORAM MOHAMED ZAINI BIN MAZLAN, HMR NOORIN BINTI BADARUDDIN, HMR MOHD RADZI BIN ABDUL HAMID, HMR ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN [1] Ini adalah alasan keputusan Mahkamah ini yang telah menolak rayuan perayu bernama Tevagar a/l Thuraisingam (‘Perayu’) yang telah disabitkan dengan satu kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan pembunuhan ke atas seorang mangsa dikenali sebagai Kalai Selvam @ Ramesh a/l K Boomiarasan (‘Mangsa’). Perayu telah dihukum dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan. [2] Kes rayuan Perayu telah didengar bersekali dengan rayuan tertuduh kedua, Mohanraj a/l Murugan (‘Mohanraj’) yang juga telah disabitkan dengan kesalahan yang sama dengan Perayu di bawah pertuduhan yang dibaca bersekali dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman yang sama. [3] Setelah mendengar hujahan dan mempertimbang keterangan, kami telah menolak rayuan Perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi, manakala kami ini telah membenarkan rayuan Mohanraj di bawah rayuan no. B-05(SH)- 589-12/2023 dan telah mengenepikan keputusan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau. Tidak ada rayuan oleh pihak Pendakwa Raya terhadap keputusan kami itu. [4] Perayu telah terkilan dengan keputusan kami dan telah meneruskan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Maka alasan keputusan ini tertumpu kepada keputusan kami menolak rayuan Perayu yang telah diputuskan secara ex-tempore dan alasan yang diberikan secara umum di akhir pendengaran rayuan pada 29.9.2025. PERTUDUHAN [5] Pertuduhan yang telah dikemukakan terhadap Perayu dan Mohanraj adalah seperti berikut: “Bahawa kamu secara bersama-sama pada 16.7.2019 jam lebih kurang 11.10 malam bertempat di tepi jalan hadapan Blok A, Pangsapuri Rebana, Jalan Gamelan, Bandar Bukit Raja dalam Daerah Klang dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Kalai Selvam @ Ramesh a/l K Boomiarasan (No K/P: 760623-10-5821) dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan” KES PENDAKWAAN [6] Seramai 17 orang saksi telah dipanggil oleh pihak Pendakwaan. [7] Pada 16.07.2019 jam lebih kurang 8 malam, Aemanathan a/l Arumugam (juga dipanggil Nathan) (SP11) meminta pertolongan daripada abangnya iaitu Pirabakaran @ Captain (selepas ini dirujuk sebagai Captain) untuk meminjam kereta bagi mengambil susu dan “pampers” dari rumah ibu mentuanya di Pandamaran. Captain kemudiannya meminjam kereta Nissan Almera daripada Mohanraj. Oleh kerana Mohanraj mabuk, Captain telah memandu kereta itu dari Klang Sentral ke Pangsapuri Rebanda di Bandar Bukit Raja bersama-sama dengan Mohanraj dan Perayu. [8] Apabila tiba di Pangsapuri Rebanda, Captain memanggil SP11 yang berada di rumahnya di Block C, Pangsapuri Rebanda untuk datang dan masuk ke dalam kereta itu. Semasa menuju ke kereta, SP11 melihat Perayu dan Mohanraj bergaduh di Blok D dan SP11 telah menghalang mereka dari bergaduh dan membawa mereka masuk ke dalam kereta. Di dalam kereta, SP11 duduk di bahagian penumpang belakang sebelah kiri dan Perayu duduk di sebelahnya. Mohanraj duduk di bahagian penumpang hadapan dan Captain di tempat pemandu. [9] Tiba-tiba, Mohanraj meminta kereta diberhentikan di Blok A kerana dia ingin berjumpa dengan anaknya. Apabila sampai di Blok A, Mohanraj keluar dari kereta. Pada ketika itu, seorang lelaki bernama Kejana telah datang ke Blok A menaiki motosikal dan mangsa adalah pembonceng. Mohanraj yang keluar dari kereta terus memegang bahu mangsa. Melihat keadaan itu, Perayu yang berada di dalam kereta, telah mengambil sebilah pisau warna perak sepanjang 1 kaki jenama "Berazil" yang disimpan di bawah karpet tempat duduk belakang kereta. Perayu keluar daripada kereta dan kemudian terus menyerang mangsa dengan menetak mangsa di bahagian kaki dan kepala, manakala Mohanraj terus memegang bahu mangsa. Akibat tetakan itu, mangsa telah jatuh. Melihat keadaan itu, Kajena kemudian melarikan diri dan dikejar oleh Perayu dan Mohanraj. Kejadian itu dilihat oleh SP11. [10] SP11 dan Captain berpusing di sekitar kawasan pangsapuri itu untuk mencari Perayu dan Mohanraj. Apabila Captain dan SP11 nampak Perayu dan Mohanraj, Captain telah meminta mereka masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ. [11] Mangsa yang rebah di tempat kejadian telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarga. Di hospital, mangsa telah diterima oleh Dr. Tharishinee a/p Kanniappan (SP7). Menurut SP7 ketika dia menerima mangsa, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan dalam di kepala, peha kiri dan pergelangan kaki kanan. SP7 menyatakan kecederaan yang dialami oleh mangsa ialah kesan luka dalam (laceration wound) dari bahagian depan kepala hingga ke belakang kepala berukuran panjang 15 cm dan lebar 2 cm sehingga retak tempurung kepala. Selain itu, terdapat juga kesan luka dalam (laceration wound) di bahagian peha kiri berukuran panjang 3 cm dan lebar 2 cm dan kesan luka dalam (laceration wound) di bahagian pergelangan kaki kanan berukuran panjang 4 cm dan lebar 2 cm. Pemeriksaan awal oleh SP7 juga mendapati mangsa tiada tanda-tanda hidup semasa diteirmanya. [12] Bedah siasat dijalankan oleh Dr. Nur Ayutimasery binti Abdullah (SP6) pada 17.7.2019 jam lebih kurang 9.45 pagi, selepas dicamkan oleh Iswary a/p Boomo Arasan iaitu kakak mangsa. Berdasarkan hasil bedah siasat, SP6 mengesahkan punca kematian mangsa adalah luka tetak pada kepala. [13] Pada 17.7.2019 jam lebih kurang 2.30 petang, Insp Mohd Safawansa bin Musa, pegawai forensik IPK Selangor (SP10) hadir di tempat kejadian dan telah mengambil spesimen kesan darah di bahagian pintu penumpang hadapan kereta Nissan Almera yang digunakan dalam kejadian ini. Kereta ini ditinggalkan di satu kawasan tersorok selepas kejadian. Spesimen itu dibuat tandaan No. 7 oleh ASP Jagjeet Singh a/l Hazura Singh, Pegawai Penyiasat (SP17) dan dihantar ke Jabatan Kimia. Hasil ujian analisis oleh Jayasilan a/l Sinnathurai, ahli kimia (SP5) mengesahkan bahawa kesan darah itu adalah berpadanan dengan DNA Mohanraj. [14] Perayu telah ditangkap oleh ASP Azhar bin Ali, pegawai tangkapan (SP12) pada 1.8.2019 di Kuala Selangor, manakala Mohanraj ditangkap oleh ASP Mohammad Firdaus bin Mat Tahar, pegawai tangkapan (SP8) pada 8.8.2019 di Sungai Sumun, Perak. FAKTA KES PEMBELAAN [15] Seramai 1 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak Perayu manakala 3 orang saksi termasuk Mohanraj memberi keterangan untuk kesnya. [16] Pembelaan Perayu (SD1) telah menyatakan bahawa pada tarikh kejadian iaitu 16.7.2019, beliau telah minum dan mabuk bersama Mohanraj (juga dipanggil Munna). Kemudian, Mohanraj telah terima panggilan telefon daripada Captain untuk minum bersama-sama di Klang Sentral. Semasa itu, Perayu ikut pelawaan Mohanraj untuk berjumpa dengan Captain menaiki kereta kerana mereka akan hantar Perayu balik ke rumah. Semasa mereka minum, Captain terima panggilan dari adik beliau bernama Nathan menyatakan adik ada masalah. Semasa menaiki kereta, Perayu tidak tahu siapa yang memandu kerana beliau mabuk dan tidur di dalam kereta. Perayu tidak sedar bila mereka sampai di Flat Bukit Raja. Perayu tidak akui beliau ada tetak mangsa (juga dipanggil Cili Padi). [17] Perayu tidak dapat camkan apabila ditunjukkan dengan gambar tempat kejadian, gambar barang kes iaitu kereta Nissan Almera, gambar motorsikal yang dinaiki Kajena, gambar kesan serang Kajena di Blok D-1-13. Perayu tidak tahu bahawa beliau ada mengeluarkan parang dari tempat duduk belakang kereta dan menyerang Kajena dan menetak Cili Padi. Perayu menyatakan beliau tidak membawa kereta. Perayu tidak tahu yang Nathan beritahu Perayu telah menyerang Kajena dan Cili Padi. Perayu tidak tahu Nathan ada duduk di sebelah Perayu dalam kereta. Perayu tidak tahu apa berlaku kerana hanya tidur sebab mabuk. [18] Manakala, versi pembelaan Mohanraj (SD2) pula menyatakan pada 16.7.2019, beliau berjumpa dengan Perayu (juga dipanggil Tara). Ketika mereka sedang minum dalam kereta, Mohanraj mendapat panggilan telefon daripada Captain bertanya sama ada boleh pinjam kereta kerana beliau ingin ambil susu anak adiknya iaitu Nathan di Pandamaran. Captain juga memberitahu perlu ambil adiknya di Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja. Kemudian, Perayu memandu kereta dan Mohanraj bertolak ke Klang Sentral untuk mengambil Captain. Kemudian, Captain mengambil alih memandu kereta kerana Perayu dan Mohanraj mabuk. Semasa itu, Mohanraj duduk di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu dan Perayu duduk di bahagian tempat duduk belakang pemandu di belakang pemandu. [19] Dalam perjalanan dari Klang Sentral ke Pangsapuri Rebana, Mohanraj telah menghubungi isterinya dan memberitahu bahawa dia akan datang ke rumah mak untuk berjumpa dengan anak. [20] Apabila sampai di Blok C Pangsapuri tersebut, Captain memanggil adik beliau iaitu Nathan. Mohanraj telah keluar daripada kereta untuk berbual dengan saudaranya, Gunalan. Pada ketika itu, telah terjadi pertengkaran antara Mohanraj dan Murali, iaitu adik kepada Gunalan. Kemudian, Nathan dan Captain datang menghalang pergaduhan tersebut dan memberitahu Mohanraj supaya masuk ke dalam kereta. Di dalam kereta, Captain sebagai pemandu, Mohanraj di tempat penumpang kereta hadapan, Perayu di tempat duduk belakang kanan di belakang pemandu dan Nathan (SP11) di sebelah Perayu. [21] Apabila mereka sampai di Blok A, Mohanraj telah turun daripada kereta untuk berjumpa dengan isteri dan ibu. Semasa hendak berjalan ke arah mereka, Kajena dan Cili Padi (mangsa) telah datang menaiki motorsikal. Kemudian Mohanraj pergi ke arah Kajena untuk bertanya berkenaan hal hutang RM800. Tiba-tiba Mohanraj melihat Perayu telah turun daripada kereta dan menuju ke arah Mohanraj, Kajena dan Cili Padi. Kemudian, Perayu telah menyerang Kajena dan Cili Padi. Kajena telah panik dan terus turun daripada motosikal. Ini menyebabkan motosikal beliau jatuh ke arah sebelah kiri dan menyebabkan parang yang dilibas oleh Perayu terkena Cili Padi. [22] Selepas itu, Kajena melarikan diri menuju ke Blok D dan dikejar oleh Perayu. Captain dan Mohanraj mengejar Perayu. Mohanraj bertanya kepada Perayu, “Kenapa buat macam itu?”. Semasa di Blok D, Kajena masuk ke dalam sebuah rumah untuk menyelamatkan dirinya. Perayu menjerit menyuruh Kajena keluar. Perayu telah merosakkan motosikal di hadapan rumah di mana Kajena bersembunyi. Kemudian, Mohanraj menarik tangan Perayu untuk masuk ke dalam kereta Nissan Almera. Pada ketika itu, Perayu masih memegang parang. Kesemua mereka kemudian telah pergi ke Klang Sentral. Setelah sampai di Klang Sentral, Mohanraj dan Perayu telah pergi ke rumah sewa abang Perayu yang bernama Gobi. Telah berlaku pergaduhan antara Perayu dan Gobi, lalu Captain dan Nathan telah meleraikan dan membawa Perayu turun. [23] Selepas itu, Captain dan Nathan beredar dari Klang Sentral menaiki motosikal. Kemudian, Mohanraj ingin balik ke rumah dan Perayu ingin balik ke rumah Gobi tetapi dalam perjalanan, kereta mereka terlibat dengan kemalangan. Kemudian pada keesokan hari, Mohanraj terlihat satu video tular mengenai pergaduhan di Pangsapuri Rebana dan mendapat tahu Cili Padi telah meninggal dunia. [24] Mohanraj telah ditangkap di gereja di Bagan Dato, Perak pada malam 8.8.2019. Mohanraj melarikan diri kerana takut untuk terlibat dengan kes ini. Mohanraj tidak pernah menyuruh Perayu untuk menyerang Cili Padi. Peguam telah kemukakan pernyataan 112 Mohanraj di Mahkamah yang ditandakan sebagai Ekshibit D76. [25] Keterangan Mohanraj ini disokong oleh ibu kepada Mohanraj iaitu SD4 dan isteri kepada Mohanraj iaitu SD3 yang menyatakan di Mahkamah bahawa ketika Mohanraj hendak berjumpa dengan anak, isteri dan ibu beliau, telah datang motosikal yang dinaiki dua orang lelaki India dan seorang lelaki India telah keluar dari belakang kereta Nissan Almera sambil memegang barang di tangannya dan menyerang orang di belakang motosikal itu. Kajena melarikan diri dan dikejar individu yang memegang barang tersebut. KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI [26] Di peringkat kes pendakwaan, Hakim Mahkamah Tinggi (‘HMT’) telah membuat dapatan bahawa identiti Mangsa telah dibuktikan dan Mangsa telah meninggal dunia akibat dari kecederaan-kecedaraan parah yang dialami Mangsa khususnya akibat dari tetakan pada bahagian kepala. [27] Dalam mencapai dapatan bahawa Perayu dan Moharaj telah menyebabkan kematian Mangsa, HMT telah membuat dapatan: