(vi) Baki 20% berjumlah USD73,800 dibuat selepas pasir sungai sampai di pelabuhan. [4] Seiring dengan Perjanjian Jual Beli tersebut, suatu Perjanjian Amanah melibatkan tiga pihak telah dimasuki oleh plaintif, defendan pertama dan defendan kedua dan dokumen ini dimasukkan sebagai Lampiran kepada Perjanjian Jual Beli tersebut. [5] Melalui Perjanjian Amanah tersebut, defendan kedua dilantik sebagai pemegang amanah oleh plaintif dan defendan pertama untuk mengutip dan menerima bayaran yang dinyatakan dalam Perjanjian tersebut. Bayaran Jumlah Balasan tersebut hendaklah didepositkan dalam akaun penyelesaian yang dipegang oleh defendan kedua (“Akaun Penyelesaian”). Selanjutnya Jumlah Balasan tersebut hanya boleh dilepaskan oleh firma defendan kedua kepada defendan pertama selepas penerimaan maklumat relevan yang sempurna, benar dan efektif berkenaan dengan penghantaran daripada defendan pertama. [6] Plaintif menyatakan perjanjian tersebut dimasuki susulan representasi oleh defendan pertama melalui Raymond Teh bahawa – i. Defendan pertama mempunyai permit eksport pasir sungai (dirujuk sebagai AP). ii. Defendan akan memohon kelulusan bagi pengeksportan pasir sungai selepas perjanjian jual beli dimasuki. iii. Defendan pertama berpengalaman dalam melaksanakan perjanjian sedemikian, [7] Plaintif kemudian membayar USD70,000 kepada defendan pertama iaitu 20% daripada 40% bayaran pertama yang dipersetujui. [8] Kausa tindakan plaintif terhadap defendan pertama berdasarkan pemecahan kontrak kerana gagal mendapatkan kelulusan permit AP dan salahnyataan frod. Plaintif telah menuntut pemulangan wang USD70,000. [9] Mahkamah Sesyen telah membenarkan tuntutan plaintif melainkan tuntutan plaintif yang berasaskan salahnyataan frod. Tiada rayuan difailkan oleh plaintif terhadap keputusan tersebut. Manakala tuntutan plaintif terhadap defendan kedua pula telah ditarik balik. [10] Sehubungan itu, bagi tujuan rayuan di hadapan Mahkamah ini, fakta dan alasan berkaitan dengan salahnyataan frod tidak akan diberi pertimbangan. Pembelaan dan Tuntutan balas defendan [11] Pembelaan defendan pertama adalah bahawa defendan pertama telah memohon kebenaran eksport pasir ke luar negara, membayar yuran, kos dan perbelanjaan pihak-pihak bagi mengeluarkan dan mengeksport pasir sungai selain memulakan kerja-kerja pengeluaran pasir sungai semula jadi. [12] Defendan pertama memplidkan plaintif telah memungkiri kewajipan kontrak kerana setakat 3.12.2020 plaintif hanya membayar 20% dari harga belian yang berjumlah USD70,000.00. Setelah itu, defendan pertama memaklumkan plaintif bahawa surat kebenaran eksport telah diperolehi dan menunggu pemerolehan permit sebelum pengesahan tarikh penghantaran. Plaintif diplidkan sebagai telah mengesahkan untuk membayar baki bayaran pertama berjumlah USD77,6000 selaras klausa 11.1 Perjanjian Jual Beli dan selepas bayaran ini diterima baharulah defendan pertama akan mengesahkan tarikh penghantaran pasir sungai. [13] Namun, plaintif tidak membayar baki bayaran pertama dan menegaskan defendan pertama telah memecahkan terma kontrak akibat gagal mendapatkan AP. Plaintif telah menamatkan perjanjian melalui notis penamatan bertarikh 3.2.2021 dan menuntut pemulangan wang USD70,000 yang dipegang oleh defendan kedua. [14] Defendan pertama menegaskan bahawa penamatan perjanjian secara unilateral oleh plaintif adalah tidak sah dan menuntut ganti rugi akibat penamatan kontrak secara salah. Keputusan Mahkamah Sesyen [15] Mahkamah Sesyen telah membenarkan tuntutan plaintif bagi pemecahan kontrak dan memutuskan – a) Defendan Pertama membayar jumlah USD70,000.00 (bersamaan dengan RM310,380.00 berdasarkan kadar pertukaran USD1 bersamaan dengan RM4.434 pada 24 Februari 2023) kepada Plaintif; b) Faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah penghakiman sehingga penyelesaian penuh; c) Tuntutan Balas Defendan Pertama ditolak; dan d) kos sebanyak RM7,000.00 dibayar oleh Defendan kepada Plaintif. KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG [16] Prinsip berkaitan campurtangan Mahkamah dalam kes rayuan adalah Mahkamah ini tidak akan menganggu keputusan hakim bicara melainkan hakim bicara telah nyata khilaf sebagaimana diputuskan dalam kes Merita Merchant Bank Singapore Ltd v Dewan Bahasa dan Pustaka [2018] Supp MLJ 33. [17] Begitu juga dalam kes Dream Property Sdn Bhd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 MLJ 441, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa – It is well-settled law that an appellate court will not generally speaking, intervene with the decision of a trial court unless the trial court is shown to be plainly wrong in arriving at its decision. A plainly wrong decision happens when the trial court is guilty of no or insufficient judicial appreciation of evidence. ANALISIS DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH Isu 1: Sama ada penamatan kontrak oleh plaintif adalah salah atau pramatang. [18] Berdasarkan Pernyataan Tuntutan, plaintif ada memplidkan tentang fakta yang berlaku antara plaintif dengan defendan pertama sebelum perjanjian jual beli dimasuki. [19] Perjanjian Jual Beli dalam rayuan ini tidak dipertikaikan. Klausa 11.1 Perjanjian Jual Beli memperuntukkan tentang harga belian dan pembayaran oleh plaintif –