1.3 SP 3 adalah Pegawai Serbuan Insp. Fairiz bin Nawi. Beliau telah menjalankan serbuan dirumah OKT pada 14.7.2016 jam 2.00 pagi. SP 3 bersama anggota pasukan sampai lebih kurang 0200 hrs di tempat kejadian. Keadaan tempat kejadian semasa mereka sampai adalah sunyi kerana waktu malam dan terdapat cahaya lampu dari dalam rumah. Tiada pergerakkan atau terlihat orang di luar rumah tersebut. Rumah ini jenis rumah kampung sesebuah. Ia separuh batu dan separuh kayu. Apabila tiba di tempat kejadian, SP 3 bersama Kpl. Mat Zain membuat pemerhatian dari hadapan rumah dan lain-lain anggota membuat pemerhatian di sekeliling rumah tersebut. Anggota-anggota lain bersembunyi di sebalik pokok-pokok yang ada di sekeliling rumah tersebut dan membuat pemerhatian lebih kurang 5 minit. Hasil pemerhatian, SP 3 mendapati pintu hadapan dan pintu belakang rumah dalam keadaan bertutup dan tiada pergerakkan keluar masuk melalui pintu-pintu tersebut. Seterusnya, SP 3 hampiri pintu hadapan rumah, mengetuk pintu sambil memperkenalkan diri polis. Namun tiada jawapan. Keadaan pintu hadapan dalam keadaan bertutup dan berkunci. Setelah tiada jawapan, SP 3 bersama Kpl. Mat Zain pergi ke pintu belakang dan arahkan Kpl. Mat Zain memecah pintu tersebut secara paksa. Pintu itu juga dalam keadaan bertutup dan berkunci. Sebaik berjaya buka pintu belakang, SP 3 bersama Kpl. Mat Zain masuk ke dalam rumah tersebut melalui bahagian dapur rumah tersebut. Setelah masuk ke dalam rumah, SP 3 mendapati ada 2 buah bilik dalam rumah tersebut dimana bilik No. 2 di dalam keadaan bertutup dan berkunci. Keadaan rumah adalah cerah kerana lampu dapur terpasang. SP 3 mendapati ada lubang di sebelah atas pintu dan dia mengambil kerusi di bahagian dapur untuk berdiri di atas kerusi dan membuat intipan melalui lubang pintu tersebut. Lubang tersebut adalah lubang besar atau boleh dikatakan ruang kosong yang besar dimana dinding hadapan bilik tersebut tidak bercantum sepenuhnya dengan siling. Lubang ini di bahagian atas pintu bilik tersebut. Hasil intipan, SP 3 nampak OKT dalam keadaan tergesa-gesa menyelit sesuatu objek ke dalam celah-celah katil. Pada masa intipan, keadaan dalam bilik adalah jelas kerana terdapat cahaya dari lampu dapur yang masuk ke dalam bilik tersebut melalui lubang disebutkan tadi. Selepas itu SP 3 membuka pintu bilik No. 2 secara paksa kerana beliau khuatiri barang kes tersebut sempat dilupuskan oleh OKT. Selepas itu SP 3 nampak satu lelaki Melayu berada di atas katil tersebut di dalam bilik tersebut. Dia adalah lelaki Melayu yang SP 3 nampak apabila dia mengintip. Lelaki Melayu tersebut adalah OKT di dalam kes ini. Semasa SP 3 masuk ke dalam bilik, lelaki itu dalam keadaan takut dan gelisah dan tergagam, tidak buat apa-apa. Seterusnya SP 3 terus pergi ke celah katil tersebut dan dicelah katil tersebut hanya terdapat 1 objek sahaja. Objek itu ialah sebuah beg hitam berzip. SP 3 memeriksa kandungan beg tersebut dan hasil pemeriksaan, SP 3 menjumpai 4 paket plastik besar lutsinar. Setiap satu berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis Syabu. SP 3 juga menjumpai 1 paket plastik lutsinar dan 14 paket kecil plastik lutsinar, setiap satu berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin. Kandungan 1 paket plastik besar lutsinar adalah sama seperti kandungan 14 paket kecil plastik lutsinar. OKT kemudian ditangkap dan OKT dan barang kes dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik, IPD Kuala Muda. Eksibit P2 A-I adalah gambar tempat kejadian. SP 3 telah menandakan ‘X’ pada gambar F iaitu tempat dimana barang kes dijumpai antara katil dan dinding. Gambar I dirujuk dan SP 3 menyatakan gambar ini menunjukkan satu beg berzip berwarna hitam dijumpai di antara celah katil dan dinding bilik. Barang kes tergantung, ia tersekat di bahagian tengah katil. Semasa SP 3 membuat tandaan, jumlah sebenar adalah sepertimana di dalam Bukit Selambau Rpt 409-410/16. Semasa SP 3 sampai di pejabat selepas menyedari kesilapan tersebut, dia tidak membuat pembetulan, sebaliknya terus menggunakan borang yang dikeluarkan di rumah tersebut kerana adalah tidak beretika sekiranya beliau keluarkan borang untuk kali kedua. Senarai geledah hanya boleh dikeluarkan di tempat kejadian dan melanggar SOP sekiranya beliau mengeluarkan di pejabat. G. Pada tahap pemeriksaan balas, SP 3 memberi keterangan bahawa rajah kasar (P 17) dilukis oleh I.O atas maklumat yang diberikan kepadanya. SP 3 setuju bahawa tempat barang kes dijumpai yang ditunjuk di dalam rajah kasar adalah berbeza daripada tempat yang ditunjuk oleh SP 3 kepada Mahkamah. Gambar P 2 I dirujuk. Katil mempunyai dua angle, satu panjang dan satu lebar. Barang kes dijumpai di bahagian panjang. Peguambela merujuk kepada gambar P2 F dan mencadangkan tiada papan pada bahagian panjang. SP 3 menjawab ada papan tetapi terlindung di dalam gambar. Peguam juga merujuk kepada eksibit P2 E, bahagian panjang di sebelah bertentangan dan tanya samada ada papan dan terdapat kusyen sahaja. SP 3 menjawab tidak nampak. Apabila ditanya samada ada papan di bahagian lebar sahaja, SP 3 menjawab ya, di hadapan.