Content
NEGERI KEDAH DALAM MAHKAMAH SESYEN JENAYAH (2) DI SUNGAI PETANI KES TANGKAP NO: 62ATIP-02 & 03-08/2017 DI ANTARA PENDAKWA RAYA .…... PIHAK MERAYU DAN BEH POEY HOW .... PIHAK MENENTANG ALASAN PENGHAKIMAN Pihak Menentang iaitu OKT telah dituduh dengan dua kes seperti berikut: Kes No. KB-62-ATIP-02-07/2017 Pertuduhan: “Bahawa kamu bersama-sama pada 1 September 2016, jam lebih kurang 11.30 pagi di No A27, Lorong Semangat 3, Taman Semangat, 08000 Sungai Petani dalam Daerah Kuala Muda, dalam Negeri Kedah Darul Aman dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan Susi Maria Sitompol (No Paspot: A8605576) seorang warganegara Indonesia yang bukan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi iaitu kerja paksa dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Kes No. KB-62-ATIP-02-08/2017 Pertuduhan: “Bahawa kamu bersama-sama pada 1 September 2016, jam lebih kurang 11.30 pagi di No A27, Lorong Semangat 3, Taman Semangat, 08000 Sungai Petani dalam Daerah Kuala Muda, dalam Negeri Kedah Darul Aman dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan Kasiani (No Paspot: B5630009) seorang warganegara Indonesia yang bukan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi iaitu kerja paksa dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.” OKT memohon supaya dibicarakan dan beliau diwakili oleh seorang peguam. Pihak Pendakwaan telah memanggil seramai tujuh (7) orang saksi. Pada akhir kes Pendakwaan, setelah mendengar keterangan saksi-saksi Pendakwaan dan setelah meneliti eksibit-eksibit yang dikemukakan serta setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, saya mendapati pihak Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap OKT dibawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesemua tuduhan. Oleh yang demikian, OKT telah dilepas dan dibebaskan dari kesemua tuduhan. Pendakwa Raya telah tidak berpuas hati dengan keputusan melepaskan dan membebaskan OKT dan kini merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap perintah tersebut.