Content
JB-22NCvC-45-09/2025 Kand. 41 19/05/2026 10:26:45 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA MUAR DALAM NEGERI JOHOR RAYUAN SIVIL NO: JB-22NCVC-45-09/2025 ANTARA U HOME REALTY SDN BHD (No. SYARIKAT:201001040539(924464-V)] ... PERAYU DAN TOR LEH HUA (NO. K/P: 570802-01-7117) ... RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN [1] Plaintif merupakan pemilik berdaftar kepada sebidang tanah di Mukim Sri Gading, Daerah Batu Pahat ("Tanah Induk"). Pada 7 Mac 2016, Plaintif dan Defendan telah menandatangani satu Perjanjian Jual Beli, satu Perjanjian Sampingan, dan satu Surat Kuasa Wakil Latar Belakang berhubung dengan pelaksanaan projek pembangunan di atas Tanah Induk tersebut. [2] Menurut Plaintif, kesemua perjanjian bertarikh 7 Mac 2016 itu pada hakikatnya merupakan suatu perjanjian usahasama dalam samaran ("joint venture in disguise") di mana Defendan bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan penuh ke atas tanah tersebut dalam tempoh yang dipersetujui. [3] Permit jualan bagi projek berkenaan telah diluluskan dan tempoh masa untuk menyiapkan projek ditetapkan sehingga 14 November 2019. Melalui surat bertarikh 4 Mac 2019, Defendan telah memohon lanjutan masa selama lima (5) tahun untuk menyiapkan pembangunan berkenaan. Plaintif bersetuju untuk memberi lanjutan masa tersebut sehingga 13 November 2024. [4] Setelah tamat tempoh lanjutan tersebut, projek pembangunan masih gagal disiapkan. Plaintif melalui surat bertarikh 19 Februari 2025 telah menamatkan Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Sampingan tersebut dan menuntut supaya Defendan mengembalikan semua dokumen hakmilik tanah yang telah dipecah sempadankan. [5] Defendan dalam pembelaannya mendakwa bahawa kegagalan menyiapkan projek berpunca daripada keadaan luar jangka termasuk pandemik Covid-19, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, serta gangguan rantaian bekalan dan tenaga kerja, yang menurutnya merupakan keadaan force majeure. Permohonan Plaintiff [6] Plaintif telah memfailkan Notis Permohonan (Kandungan 10) di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 ("KKM 2012") untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Defendan. Perintah-perintah yang dipohon ialah :a) Suatu deklarasi bahawa Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Sampingan ("Supplementary Agreement") masing-masing bertarikh 7-3-2016 telah ditamatkan ("rescinded") oleh Plaintif; b) Sebagai alternatif kepada perenggan (a) di atas, suatu perintah untuk penamatan Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Sampingan ("Supplementary Agreement") masingmasing bertarikh 7-3-2016; c) Suatu deklarasi bahawa Plaintif adalah pemilik berdaftar dan pemilik benefisial kepada tanah-tanah yang disenaraikan dalam "Lampiran A" dalam Pernyataan Tuntutan Plaintif bertarikh 10- 09-2025 (selepas ini dirujuk sebagai "tanah-tanah tersebut"); d) Suatu perintah bahawa Surat Kuasa Wakil ("Power of Attorney") bertarikh 7-3-2016 ("Surat Kuasa Wakil tersebut") dibatalkan; e) Bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Muar hendaklah membatalkan Surat Kuasa Wakil tersebut yang didaftarkan di bawah No. Pendaftaran: 436-03/2016 pada 9-3-2016; f) Bahawa Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat hendaklah membatalkan Surat Kuasa Wakil tersebut yang didaftarkan di bawah Siri Bill: 61/2016; g) Bahawa Defendan hendaklah mengembalikan hakmilik asal tanah-tanah tersebut kepada peguamcara Plaintif dalam masa tujuh (7) hari dari tarikh penghakiman; h) Bahawa sekiranya Defendan gagal mematuhi perintah (g) di atas, Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat hendaklah membatalkan dokumen hakmilik tanah tersebut dan Plaintif dibenarkan membuat permohonan untuk dokumen hakmilik sambungan tanahtanah tersebut di bawah Seksyen 166, 168, 174 dan 417 Kanun Tanah Negara [Akta 828] dan segala kos hendaklah ditanggung oleh Defendan; i) Ganti rugi am, teladan, dan teruk terhadap Defendan; dan j) Relif dan perintah lain yang difikirkan sesuai dan manfaat oleh Mahkamah yang Mulia ini. Isu untuk diputuskan [7] Isu utama yang perlu Mahkamah tentukan ialah :a) Sama ada Plaintif mempunyai hak jelas untuk menamatkan perjanjian-perjanjian bertarikh 7 Mac 2016; dan b) Sama ada wujud sebarang pembelaan munasabah oleh Defendan yang menimbulkan isu triable sehingga menghalang penghakiman terus diberi di bawah Aturan 14. Hujahan dan Analisis Mahkamah