Melalui Surat Lantikan (Letter of Award) bertarikh 21.7.2006, Plaintif telah melantik Defendan sebagai subkontraktor untuk membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliahkan, memberikan perkhidmatan penyelenggaraan lif-lif untuk projek yang dikenali sebagai Cadangan Pembangunan yang mengandungi 3 blok pangsapuri kos sederhana 27 tingkat dengan bilik lif motor dan tangki air ( 798 unit ) , 2 blok 6 tingkat tempat letak kereta dan 1 blok 6 Tingkat tempat letak kereta dengan gelanggang tenis di atas bumbung, rumah kelab serta kolam renang dan 1 unit pondok pengawal serta kemudahan pencawang elektrik dan kebuk sampah di atas Lot 2297- 2303, Serdang, Mukim Petaling, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan. [4] Berdasarkan kepada terma-terma yang terkandung di dalam Letter of Award tersebut. Klausa-klausa yang material di dalam Letter of Award adalah seperti berikut : Contract Period (Klausa 4) The date of commencement for Block A shall be 1 st September 2006, We will advise the Date of Commencement for Block B, Block C, Car park A, Carpark B and Carpark C at later stage. The contract completion shall be 18 months from the Date of Commencement for Block A, Block B and Block C. The Contract Completion Period shall be 12 months from Date of Commencement for Car Park A, Carpark B and Carpark C. Progress Claim (Klausa 7) Progress claim shall be submitted on monthly basis, which is every end of the month, failing which we will make the valuation without your presence. all progress claim for work shall be certified by our Contract manager before payment certificate is made. Progress claim without verification from our Contract manager will not be entertained [5] Plaintif telah melaksanakan kerja-kerja tersebut dan telah memperolehi sijil JKPP bagi kesemua lif-lif tersebut serta telah menyerah milik kesemua lif-lif tersebut kepada defendan. [6] Jumlah nilai perjanjian tersebut adalah sebanyak RM 1,835,000.00 dan pada setiap masa yang material Plaintif telah pun mengemukakan tuntutan 3 berperingkat (progress claim) kepada Defendan untuk tujuan pembayaran seperti mana yang telah diperuntukkan di dalam Perjanjian tersebut. [7] Setakat pada tarikh pemfailan tuntutan ini, Defendan telah membuat bayaran sejumlah RM 1,709,468.30 kepada Plaintif berdasarkan perjanjian ini dan masih ada baki lagi sejumlah RM178,963.70 untuk kerja-kerja asal dan kerja-kerja tambahan yang telah Plaintif lakukan. PEMBELAAN [8] Di dalam Pernyataan Pembelaan terpinda Defendan yang difailkan pada 7.6.2022 menyatakan bahawa pihak-pihak adalah tertakluk kepada Contract Period (Klausa 4) dan Progress claim (Klausa 7). Defendan mendakwa bahawa bayaran yang di buat kepada Plaintif oleh Defendan mengikut terma bayaran tidak mengikut jadual yang dinyatakan di dalam Klausa 7 Letter of Award. [9] Selanjutnya pembacaan klausa ‘progress claim’ tersebut jelas menyatakan pembayaran kepada Plaintif adalah tertakluk kepada budi bicara pengurus kontrak Defendan dalam meluluskan tuntutan–tuntutan Plaintif. [10] Pada setiap masa yang material, pengurus kontrak Defendan telah menyemak tuntutan progress claim Plaintif dan hanya meluluskan mengikut jumlah yang telah diverifikasikan seperti yang diperuntukkan di bawah klausa Letter Of Award. [11] Adalah diakui bahawa jumlah nilai kontrak tersebut adalah sebanyak RM1,835,000.00. Walaubagaimanapun jumlah nilai kontrak tersebut telah disemak semula dan nilai kontrak akhir untuk projek tersebut adalah sebanyak RM 1,773,515.78. Ini adalah jelas dipaparkan di dalam surat Defendan kepada Plaintif bertarikh 17.11.2014 di mana Plaintif tidak ada membuat bantahan kandungan atas surat Defendan tersebut. [12] Jumlah nilai kontrak akhir telah di selaras disebabkan wujudnya peninggalan dan penambahan melalui pesanan Variasi (Variation Order) semasa penyiapan akaun akhir untuk projek tersebut. Pada setiap masa yang material, Defendan telah membuat pembayaran-pembayaran kepada Plaintif berdasarkan “progress claim” selepas disemak dan diluluskan oleh pengurus projek Defendan yang mana jumlah akhir yang perlu dibayar hanyalah RM46,375.36.13. [13] Selepas penyiapan projek tersebut, Plaintif telah mengeluarkan dari tempoh 31.10.2016 sehingga 22.12.2017 sijil-sijil tuntutan progresif sebanyak 9 sehingga 16 kepada Defendan bagi jumlah yang sama iaitu sebanyak RM104,107.50. [14] Defendan telah menafikan kesemua tuntutan-tuntutan sijil progress claim 9 sehingga 16 dengan menyatakan bahawa hanya jumlah sebanyak RM 47,499.16 (sepatutnya jumlah hanya sebanyak RM 46,375.36) selepas penyelarasan akaun) adalah terhutang oleh Defendan kepada Plaintif untuk projek tersebut dan bukannya seperti yang dituntut oleh Plaintif. [15] Tambahan pula Plaintif tidak mengambil tindakan pembetulan atau pun sebarang bantahan untuk memperbetulkan jumlah yang dikatakan terhutang oleh Defendan kepada Plaintif. [16] Pada 24.1.2018, Plaintif menuntut daripada Defendan untuk jumlah sebanyak RM 190,963.70 yang dikatakan jumlah tertunggak oleh Defendan. Kandungan surat Plaintif ini telah dinafikan oleh Defendan melalui surat peguam caranya pada 30.1.2018 dan 12.3.2018 dan selepas itu hal yang sama tuntutan Plaintif melalui surat bertarikh 24.9.2021. [17] Oleh itu Defendan menyatakan bahawa tiada kausa tindakan yang sebenar atas tuntutan Plaintif ini di mana tarikh pembayaran akhir telah di buat oleh Defendan kepada Plaintif untuk projek tersebut adalah pada 8.10.2014 sebanyak RM110,000.00 dan kausa tindakan Plaintif terhadap Defendan adalah bermula dari tarikh akhir pembayaran di buat oleh Defendan kepada Plaintif. [18] Tarikh akhir Plaintif untuk memfailkan tindakan ini adalah pada 7.10.2020. Plaintif hanya memfailkan tindakan ke atas Defendan pada 13.1.2022 iaitu di luar tempoh had masa seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6, Akta Had Masa 1953. ISU-ISU DIBICARAKAN [19] Pihak plaintif dan defendan telah memfailkan isu berikut sebagai isu untuk dibicarakan iaitu satu isu sahaja: Samada plaintif berhak terhadap tuntutan plaintif berjumlah sebanyak RM178,963.70 iaitu jumlah bayaran yang terhutang kepada plaintif daripada defendan berdasarkan perjanjian sub-kontrak untuk kerja plaintif. FAKTA DIPERSETUJUI/TIDAK DIPERTIKAIKAN [20] Selaras dengan arahan semasa pengurusan pra bicara, pihak-pihak telah memfailkan fakta-fakta yang dipersetujui seperti berikut: [20.1] Melalui satu “Letter of Award” [No. Rujukan: TTSB/AH798/MSE/812/0706/TBH] bertarikh 21.07.2006 (selepas ini dirujuk sebagai “Perjanjian Tersebut”), Defendan telah melantik Plaintif sebagai subkontraktor untuk membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliahkan, memberi perkhidmatan penyelenggaraan lif-lif di projek yang dinamakan Cadangan Pembangunan yang Mengandungi: 1) 3 Blok Pangsapuri Kos Sederhana 27 Tingkat Dengan Bilik Lif Motor dan Tangki Air (798 Unit) 2) 2 Blok 6 Tingkat Tempat Letak Kereta dan 1 Blok 6 Tingkat Tempat Letak kereta Dengan Gelanggang Tenis di atas Bumbung 3) Rumah Kelab Serta Kolam Renang 4) 1 Unit Pondok Pengawal Serta Kemudahan Pencawang Elektrik dan Kebuk Sampah di atas Lot 2297-2302 Serdang, Mukim Petaling, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan. 4. Projek tersebut merangkumi tiga Blok iaitu Blok A, Blok B dan Blok C. [20.2] Terma pembayaran berkenaan “progress claim” yang dinyatakan di dalam Perjanjian tersebut adalah seperti berikut:- “Progress Claim (Klausa 7) Progress claim shall be submitted on a monthly basis, which is every end of the month, failing which we will make the valuation without your presence. All progress claims for work done shall be certified by our Contract Manager before payment certificate is made. Progress claim without verification from our Contracts Manager will not be entertained.” [20.3] Selepas penyiapan projek tersebut oleh Plaintif, Plaintif telah mengeluarkan sijil-sijil “progress claim” 9 sehingga 16 dari 31.10.2016 sehingga 22.12.2017. [20.4] Tarikh pembayaran akhir yang telah di buat oleh Defendan kepada Plaintif untuk Projek tersebut adalah pada 8.10.2014 untuk jumlah sebanyak RM110,000.00. [20.5] Di dalam penyata saksi SD1, pihak defendan mengakui masih ada lagi bayaran yang terhutang berdasarkan kiraan beliau iaitu sebanyak RM46,375.36 di jawapan kepada soalan 17 dan di perenggan 8 pembelaan. ANALISA DAN DAPATAN ISU HAD MASA [21] Berdasarkan rekod di dalam kes ini, defendan melalui Lampiran 9 di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b) dan atau (d) ) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah memohon untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (b) dan atau (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dengan kos sebanyak RM3000.00 pada 13.1.2022 . [22] Alasan yang dikemukakan oleh defendan bagi permohonan ini adalah isu had masa di mana defendan mendakwa tuntutan plaintif adalah dihalang oleh had masa. [23] Permohonan ini telah dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang terdahulu. Plaintif kemudiannya merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi dan rayuan plaintif dibenarkan.