SP-1 mengalami kerugian atau kecelakaan akibat penipuan tertuduh. ALASAN DAN DAPATAN MAHKAMAH 1- HARTA. Seksyen 415 Kanun Keseksaan sama sekali tidak memperuntukkan bahawa harta tersebut mestilah harta kepunyaan “the person so deceived” sebaliknya menyebut “any property”. Dalam kes ini, harta yang terlibat adalah wang tunai. Keterangan SP-1 di peringkat pemeriksaan utama menyatakan bahawa harta yang terlibat dalam kes ini adalah wang tunai berjumlah RM220,000.00 yang dimasukkan melalui 3 transaksi iaitu (1) pada 08-04-2016 sebanyak RM40,000.00, (2) pada 13-0-2016 sebanyak RM150,000.00 dan (3) pada 8 18-0-2016 sebanyak RM30,000.00. Seterusnya di peringkat pemeriksaan balas, SP-1 menyatakan bahawa wang yang dilaburkan adalah wang SP-1 sendiri termasuk wang insuran mendiang isteri SP-1 dan wang anak SP-1. Mahkamah tidak ragu-ragu mengenai kemasukan wang yang dibuat oleh SP-1 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh. Ini dibuktikan melalui slip bank dengan jumlah RM40,000.00 (P2), deposit cash dengan jumlah RM150,000.00 (P3) dan slip transfer dengan nilai RM30,000.00 (P4). Walau bagaimanapun, kemasukan wang semata-mata ke dalam akaun tertuduh tanpa pembuktian elemen-elemen lain tidak boleh menjadikan pertuduhan di bawah s.420 Kanun Keseksaan yang dipertuduhkan ke atas tertuduh telah terbukti sepenuhnya. 2- DORONGAN. Berhubung dengan kesalahan tipu, pemerdayaan adalah elemen penting. Pemerdayaan boleh dilakukan oleh tertuduh samada melalui perkataan atau tingkah lakunya. Pemerdayaan mempunyai unsur mengelirukan mangsa kerana ianya mendorong mempercayai sesuatu yang tidak benar sebagai benar, sesuatu tidak wujud sebagai wujud. Maka dalam membuktikan pertuduhan tipu di bawah s.420 Kanun Keseksaan, pihak Pendakwaan perlu membuktikan bukan hanya tertuduh telah memperolehi harta atau wang dengan cara yang curang atau tidak jujur tetapi perlu dibuktikan bahawa akibat pemerdayaan tertuduh, mangsa telah menyerahkan harta atau wangnya miliknya yang mana mangsa tidak mungkin akan menyerahkannya jika perkara sebenar diketahuinya (Mohd Jalani Bin Saliman & Anor V PP 9 [1997] 5 MLJ 551 568, Mohamed bin Kasdi v PP [1969] 1 MLJ 135 Liew Min Poh v PP (1962) 3 MLJ 316). Pendakwa menghujahkan bahawa SP-1 telah memindahkan wang kepada tertuduh adalah atas dasar tertuduh telah memperdaya SP-1 dengan menjanjikan pulangan keuntungan di antara 20% hingga 30% dari modal yang dilaburkan ke dalam perniagaan pengurusan pengkebumian jenazah melalui Syarikat Seri Kembangan Casket Global Services. Pembelaan menghujahkan bahawa keterangan pengadu adalah ringkas dan ‘basic’ tanpa menjelaskan mengenai representasi yang dibuat oleh tertuduh berkenaan perniagan yang diterangkan oleh tertuduh. Juga tiada arahan diberikan oleh tertuduh kepada SP-1 untuk memindahkan wang ke akaun tertuduh. Pembelaan juga menghujahkan bahawa Mahkamah tidak boleh bergantung kepada keterangan SP-1 yang ringkas dan ‘basic’ sahaja tanpa apa-apa penjelasan untuk mensabitkan tertuduh. Mahkamah merujuk kepada keterangan SP-1 sebagaimana berikut: “Pada 8 April 2016, 1 hari kemudian, saya sudah balik Kuantan, dia pun telefon saya, Lee Wing Leong panggil saya ada 1 kes pertama. Ini kes mati dengan melabur RM40,000.00 kepada kes kematian pertama ini. Keuntungan akan dapat RM10,000 jadi kita ambil balik RM50,000. Ini kes pertama. Yang saya ingat. Kena dapat keuntungan RM10,000.00. Balik modal RM10,000 jadi semua RM50,000. Lepas itu dia pun ada lagi, kebanyakan lagi kematian 10 orang. Dia pun telefon saya kemasukan wang kedua adalah RM150,000 kepada akaun dia. Dan ketiga, payment masuk adalah RM30,000.00. Kesemuanya adalah RM220,000.00 telah dimasukkan ke dalam akaun suspek, Lee Wing Leong”. Melalui keterangan SP-1, pada hemat Mahkamah, dorongan jika ada dilakukan oleh tertuduh adalah tidak dinyatakan dengan spesifik. Keterangan yang ada hanyalah sekadar serahan wang tunai berjumlah RM10,000.00, kemasukan wang seterusnya berjumlah RM150,000.00 dan diikuti dengan RM30,000.00. Perjalanan perbicaraan diteruskan dengan menandakan eksibit-eksibit berkaitan kemasukan wang-wang ini. Tidak dinyatakan dengan jelas dorongan bagaimanakah yang dibuat oleh tertuduh sehingga wang berjumlah RM150,000.00 ini dimasukkan ke dalam akaun tertuduh. Tiada keterangan seterusnya bahawa arahan telah diberikan oleh tertuduh kepada SP-1 sehingga SP-1 memasukkan wang berjumlah RM30,000.00 ke dalam akaun tertuduh. Dalam erti kata lain, bukti kemasukan wang itu ada iaitu melalui eksibit P2,P3 dan P4 namun keterangan mengenai sebab kenapa kemasukan wang ini masih di awang-awangan, terlalu ringkas dan hanya ‘basic’ sahaja dinyatakan dalam keterangan SP-1. Pada hemat Mahkamah, ianya tidak jelas dan tidak membantu Mahkamah dalam mencapai ‘finding’ yang tepat bahawa terdapatnya dorongan di pihak tertuduh sehingga SP-1 terpedaya dengan dorongan tersebut. 11 Kemuanya tidak spesifik atau dijelaskan dengan lebih lanjut bagi meyakinkan Mahkamah bahawa pada saat permintaan atau dorongan ini dibuat oleh tertuduh , minda SP-1 adalah terdorong, terkeliru atau terpedaya untuk mematuhi permintaan atau dorongan tertuduh ini. Pendakwaan juga menghujahkan bahawa sekiranya tiada keterangan sokongan yang menyokong keterangan SP-1, Mahkamah masih boleh menerima keterangan SP-1. Objektif keterangan sokongan juga adalah untuk memuaskan Mahkamah bahawa SP-1 dan SP-3 telah berkata benar dalam memberikan keterangannnya dan Mahkamah adalah dalam keadaan selamat untuk menggunapakai keterangan tersebut. Rujukan dibuat kepada kes Brabakaran v Public Prosecutor [1965] 1 LNS 12; Ah Mee v Public Prosecutor [1967] 1 LNS 3; Ku Lip See v. Public Prosecutor [1981] 1 LNS 155, PP v. Datuk Haji Harun bin Idris (no 2) [1976] 1 LNS 97. Mahkamah bersetuju dengan prinsip undang-undang yang termaktub ini, namun pemakaiannya amat berbeza di dalam kes hari ini. Bersandarkan kepada keterangan SP-1 sendiri telah tidak mencerminkan dorongan apakah, ayat apakah dan pemerdayaan bagaimanakah yang telah digunakan oleh tertuduh sehingga berlakunya kemasukan wang daripada SP-1 ke dalam akaun tertuduh. Maka, dengan adanya keterangan sokongan ataupun tidak, keterangan SP-1 sendiri telah tidak menyokong kes Pendakwaan. Di dalam kes Liew Min Poh v PP [1962] MC 316 Azmi J menekankan mengenai keperluan untuk membuktikan bagaimanakah cara tertuduh memperdayakan mangsa. Di dalam kes hari ini, melalui keterangan SP-1, cara tertuduh dikatakan memperdaya mangsa adalah dengan mengatur 12 perjumpaan tersebut dan menerangkan mengenai perniagaan pengurusan pengkebumian jenazah ini. Merujuk kepada keterangan awal SP-1 berkaitan perjumpaan tersebut, SP-1 menyatakan: “Dia mula menerangkan macam mana untuk perniagaan ini. Chay Chan Chin dan Lee Wing Leong. Dua-dua orang terangkan bagaimana perniagaan ini”. Dua perkara yang perlu Mahkamah tekankan di sini. Pertama adalah mengenai pertuduhan terhadap tertuduh seorang sahaja. Sehingga Pendakwaan menutup kesnya, tidak dinyatakan bahawa dorongan ini dibuat bersama-sama oleh tertuduh dan Chay Chan Chin. Sedangkan, jika diteliti keterangan SP-1 tadi, elemen “pre-arrange plan” antara tertuduh dan Chay Chan Chin telah wujud. Kedua adalah berkenaan Chay Chan Chin yang tidak dipanggil sebagai saksi dan tidak ditawarkan kepada Pembelaan. Malah, pegawai penyiasat (SP-4) telah gagal memberikan keterangan mengenai langkah-langkah yang telah diambil untuk mengesan Chay Chan Chin. Pembelaan menghujahkan bahawa terdapat empat (4) kesan akibat kegagalan Pendakwaan memanggil Chay Chan Chin mahupun menawarkannya kepada Pembelaan iaitu: