Elemen kawalan. Pendakwaan menghujahkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan terhadap dadah tersebut. Ini kerana pertamanya, semasa serbuan dijalankan, ayah tertuduh menyatakan bahawa bilik tempat dadah ditemui adalah bilik tertuduh dan kunci hanya dimiliki oleh tertuduh seorang sahaja. 6 Alasan kedua adalah kerana SP-6 menemui barang-barang peribadi milik OKT di dalam bilik tersebut iaitu sehelai baju, sehelai seluar dan kad rawatan kesihatan atas nama tertuduh. Pendakwa menghujahkan ini telah jelas menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan terhadap bilik di mana dadah dirampas. Pembelaan menghujahkan bahawa semasa tangkapan, tertuduh ditahan di bilik belakang rumah dan tiada sebarang dadah dijumpai di dalam bilik di mana tertuduh ditangkap. Semasa tertuduh ditahan, ayah, emak, abang dan sepupu tertuduh turut berada di dalam rumah tersebut. Tambahan pula tiada kesan cap jari ditemui di atas eksibit-eksibit yang dirampas. Rujukan dibuat kepada kes-kes: (PP v Mohd Zambri bin Mohd Zelah [2005] 2 AMR 23; PP v Lin Lian Chen [1992] 4 CLJ 2086). Memandangkan dalam kes ini tertuduh dituduh berseorangan, sebelum Mahkamah menilai isu kawalan, jagaan dan milikan ini, Mahkamah haruslah menentukan bahawa dadah yang ditemui adalah eksklusif kepada tertuduh sahaja Leow Nghee Lim v. Reg. [1955] 1 LNS 53; Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] 1 LNS 17. Ini juga memberi makna bahawa dadah yang ditemui digunakan sepenuhnya (”actual use”) secara eksklusif oleh tertuduh dan tertuduh sekaligus telah mengenepikan kemungkinan akses oleh orang lain (Abdullah Zawawi bin Yusoff v. Public Prosecutor [1993] 4 CLJ 1; Azizan Yahaya v. PP [2012] 8 CLJ 405, PP v. Tukiman Demin [2008] 8 CLJ 856) 7 Mahkamah melihat kepada fakta berkenaan bilik tempat dadah ditemui terlebih dahulu. Berdasarkan soal siasat yang dijalankan oleh SP-2 ke atas ayah tertuduh, ayah tertuduh menyatakan bahawa kunci bilik dimiliki oleh tertuduh. Namun sepanjang proses tangkapan dan rampasan, tiada sebarang fakta menunjukkan bahawa kunci ditemui pada tertuduh atau dalam mana-mana bahagian rumah tersebut. SP-2 seterusnya membuat kesimpulan mudah bahawa tertuduh enggan memberikan kerjasama berkenaan kunci bilik tersebut. Pada hemat Mahkamah, dalam keadaan bilik tempat dadah ditemui ini berkunci dan kunci gagal ditemui pada tertuduh, Mahkamah tidak dengan mudah boleh membuat inferens bahawa bilik dan dadah adalah di bawah kawalan, jagaan dan milikan tertuduh secara eksklusif dan tertuduh adalah pengguna bilik secara mutlak. Fakta bilik berkunci ini juga tidak menunjukkan bahawa tertuduh berupaya untuk berurusan dengan bahan dadah tersebut. Malahan lebih meragukan adalah, siasatan SP-2 lebih menjurus kepada tertuduh sahaja sedangkan terdapat ahli keluarga lain di dalam rumah tersebut semasa serbuan dijalankan. Persoalan yang belum terjawab, mengapakah siasatan tidak menjurus juga kepada ayah, emak, adik-beradik juga sepupu tertuduh yang turut berada di dalam rumah tersebut dan lebih hampir kedudukannya dengan bilik tempat dadah ditemui? Ini kerana, mereke semua berada di ruang tamu rumah dan melihat kepada kedudukan dalam rajah kasar, ruang tamu ini lebih hampir dengan bilik tempat dadah ditemui. 8 Hanya disebabkan ayah tertuduh memberitahu SP-2 semasa soal siasat dijalankan bahawa kunci bilik berada pada tertuduh, ia tidak sekaligus menjadikan barang kes adalah di bawah jagaan dan kawalan eksklusif tertuduh. Soal siasat yang dinyatakan oleh SP-2 terhadap ayah tertuduh juga harus dinilai secara berhati-hati apabila tiada keterangan menunjukkan bahawa amaran telah diberikan kepada ayah tertuduh. Tambahan pula, ayah tertuduh tidak dipanggil untuk memberikan keterangan di dalam Mahkamah secara bersumpah bagi mengesahkan soal siasat yang dijalankan ini. Kini, Mahkamah beralih kepada fakta penemuan barang peribadi tertuduh di dalam bilik tempat dadah dirampas. Mahkamah dalam menilai pembuktian kes ini tidak terikat kepada bukti langsung malahan juga mengambilkira ”circumstantial evidence” yang ada. Dalam kes ini, jikalaupun ada barang milik tertuduh di dalam bilik tersebut, ia bukanlah satu bukti konklusif dan bukti langsung ”direct evidence” bahawa bilik dan dadah yang ditemui adalah di bawah jagaan, kawalan atau milikan eksklusif tertuduh. Ini kerana, tiada keterangan menunjukkan bahawa barangan peribadi tertuduh telah berada lebih lama di dalam bilik tersebut sebelum dadah ditemui. Garis masa ini penting bagi membuktikan bahawa tertuduh menggunakan bilik tersebut sebelum serbuan dan rampasan dilakukan bagi mengaitkan dadah yang ditemui adalah dalam kawalan tertuduh. 9 Pada hemat Mahkamah, fakta berkenaan bilik beserta bahan dadah yang ditemui tidak menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kawalan, jagaan atau milikan yang mutlak dan eksklusif ke atasnya.