TURNPIKE SYNERGY SDN BHD − DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Tuntutan Responden (Plaintif) terhadap Defendan-Defendan ialah mengenai baki bayaran berjumlah RM200,000.00 bagi pembelian produk pre-tensioned precast U12 beams. Plaintif telah membekalkan produk tersebut selepas mendapat arahan pembelian bertarikh 28-9-2017 daripada Defendan Pertama, sebut harga bertarikh 20-12-2017 dan invois Plaintif. [2] Bagi tujuan mengelak Plaintif mengambil tindakan undang-undang terhadap Defendan Pertama, Defendan Kedua telah secara nyata dan/atau tersirat bersetuju untuk membayar baki bayaran tertunggak bersama-sama dengan Defendan Pertama kepada Plaintif. [3] Selepas suatu perbicaraan penuh, pada 24-1-2022 Puan Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana (selepas ini disebut “Pn HMS”) memutuskan untuk membenarkan tuntutan Responden (Plaintif) terhadap Perayu (Defendan Kedua). Defendan Kedua tidak berpuas hati dengan keputusan Pn HMS dan telah memfailkan memorandum rayuan. [4] Pada 17-6-2022, selepas Mahkamah ini telah meneliti Rekod Rayuan, Rekod Rayuan Tambahan, hujahan bertulis dan Alasan Penghakiman HMS, Mahkamah ini mendapati HMS tidak khilaf dari segi fakta dan/atau undang-undang apabila memutuskan bahawa Plaintif (Responden) berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Defendan Kedua (Perayu). [5] Keputusan HMS sebagai mahkamah yang membicarakan tuntutan ini telah menghargai dan mempertimbangkan setiap keterangan yang dikemukakan di hadapannya. Tiada merit dalam penegasan Perayu bahawa that a decision arrived at by a trial court without judicial appreciation of the evidence and therefore such decision might be aside on appeal. [6] Dengan ini, Mahkamah ini memutuskan untuk menolak rayuan dengan kos sebanyak RM7,000.00 tertakluk kepada fi alokatur. [7] Dalam alasan penghakiman ini, Mahkamah ini menyebut Perayu sebagai Defendan Kedua dan Responden sebagai Plaintif. Latar belakang fakta Hubungan pihak-pihak: [8] Plaintif dan Defenndan-Defendan ialah syarikat. [9] Plaintif menjalankan perniagaan menjual dan membekalkan bahan pembinaan dan Defendan Pertama ialah pelanggan Plaintif. [10] Berdasarkan arahan pembelian (purchase order) bertarikh 28-9- 2017 dan diikuti dengan sebut harga bertarikh 20-12-2017 kepada wakil Defendan Pertama iaitu Perkasa Jauhari Sdn Bhd yang mempunyai alamat yang sama dengan Defendan Pertama, Plaintif telah menjual pre-tensioned precast U12 beams berjumlah sebanyak RM2,273,008.12 untuk Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat-Shah Alam Package DASH-CA2-Construction and Completion of Mainline and Other Associated Works (selepas ini disebut “Projek”) tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam sebut harga. [11] Bagi Projek itu, Perkasa Jauhari Sdn Bhd ialah kontraktor utama, Defendan Pertama ialah subkontraktor kepada kontraktor utama, dan Defendan Kedua ialah pelanggan kepada Perkasa Jauhari Sdn Bhd. [12] Plaintif telah menyempurnakan transaksi jualan pre-tensioned precast U12 beams dan bayaran telah dibuat oleh Defendan Pertama dan meninggalkan baki yang belum dibayar/terunggak dan terhutang sebanyak RM200,000.00. [13] Dalam pembelaannya, Defendan Kedua menyatakan bahawa −