Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA [PERBICARAAN JENAYAH NO: JA-45A-30-04/2021]
JA-45A-30-04/2021
High Court of Malaysia24 Jan 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“osed its case. Therefore a case can be said to have been proved beyond reasonable doubt at the conslusion of the trial upon a consideration of all the evidence adduced as provided by s 182A(1) of the Criminal Procedure Code. That would normally be the position where the accused has given evidence. However, where the ac”
“rosecutor v Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 MLJ 233 (MP) yang diputuskan oleh Chong Siew Fai CJ - Much had been canvassed before us respecting the drawing of adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act 1950 from the non-calling of Cholar and Amran. Whether or not such an inference should be drawn is not a ma”
“n tidak cuba menyembunyi sebarang fakta yang tidak menyebelahi mereka apabila kedua-dua saksi ini tidak dipanggil. [51] Bagi pencerahan, Mahkamah ingin merujuk kepada kes Tan Tai Kwan v Pendakwa Raya [2025] CLJU 698 (MR) yang menyatakan seperti berikut – [37] Tertuduh seterusnya membangkitkan isu bahawa Soo Chong Lim m”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA [PERBICARAAN JENAYAH NO: JA-45A-30-04/2021]
1
Tertuduh (OKT) telah dituduh mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis seberat bersih 561.66gram di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB1952) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. OKT juga telah dituduh memiliki racun jenis Etizolam seberat bersih 17.80 gram yang menjadi kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (AR1952) yang boleh dihukum di bawah seksyen 30(5) Akta yang sama. [2] Pertuduhan-pertuduhan terhadap OKT adalah seperti berikut : Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu pada 20.5.2020 jam lebih kurang 0300 hrs, di alamat No 50, Jalan Kemboja, Majidee Baru di dalam daerah Johor Bahru, di dalam negeri Johor Darul Ta’zim telah mengedar dadah berbahaya berat bersih 561.66gram Cannabis. Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama”. Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 20.5.2020 jam lebih kurang 0300 hrs, di alamat No 50, Jalan Kemboja, Majidee Baru di dalam daerah Johor Bahru, di dalam negeri Johor Darul Ta’zim telah memiliki racun berat bersih 17.80gram Etizolam yang tersenarai dalam Jadual Ketiga (Bahan Psikotropik). Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun yang boleh dihukum di bawah seksyen 30(5) Akta yang sama”.
3
Semasa pertuduhan dibacakan OKT tidak mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan maka OKT telah menjalani perbicaraan penuh di Mahkamah ini. Di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah mendapati satu kes Prima Facie telah berjaya dibuktikan terhadap OKT. Mahkamah ini telah berpuas hati bahawa OKT mempunyai milikan, kawalan dan jagaan serta pengetahuan terhadap dadah dan racun sepertimana dalam pertuduhan. Rantaian keterangan dan barang kes juga tidak terputus. Seterusnya Mahkamah ini telah memerintahkan OKT dipanggil untuk membela diri. [4] Di akhir kes Pembelaan, Mahkamah mendapati OKT gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes Pendakwaan melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan. Oleh yang demikian, Mahkamah ini mendapati Pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) terhadap OKT bagi kedua-dua pertuduhan. [5] Setelah mendengar mitigasi dan hujahan pemberatan hukuman daripada kedua-dua pihak, bagi pertuduhan pertama iaitu mengedar dadah berbahaya OKT dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 12 sebatan manakala bagi pertuduhan kedua hukuman penjara tiga (3) tahun daripada tarikh tangkap. Hukuman pemenjaraan berjalan serentak. [6] OKT telah tidak berpuas hati terhadap sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas dirinya dan telah memfailkan rayuan.
7
Pada 20/5/2020 jam lebih kurang 3.00 pagi, bertindak atas maklumat risikan, Pengadu iaitu Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah (SP4) bersama-sama anggota serbuan daripada Balai Polis Majidee, Johor Bharu, Johor telah pergi ke sebuah rumah yang beralamat No.50, Jalan Kemboja Majidee Baru, Johor Bahru, Johor. Semasa sampai di rumah tersebut, SP4 telah menuju ke sebuah bilik yang berada di bahagian belakang rumah tersebut. [8] Seterusnya SP4 telah mengetuk pintu bilik beberapa kali dan akhirnya pintu bilik telah dibuka oleh seorang perempuan Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Syafia Komariah Binti Munadi (No K/P: 920130-01-7022) iaitu isteri OKT. [9] Setelah SP4 masuk ke dalam bilik tersebut, beliau telah melihat terdapat seorang lelaki tidur. SP4 telah mengejutkan lelaki tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis. Lelaki tersebut kemudiannya dikenali sebagai Umarul Izwan bin Mustaffah (No K/P: 920110-01-5927), OKT di dalam kes ini. [10] SP4 telah menjalankan pemeriksaan di dalam bilik dengan disaksikan oleh OKT dan isteri. Hasil pemeriksaan SP4 ke atas laci kayu hitam mendapati di dalamnya mengandungi barang-barang seperti berikut:
a
1 gulung plastik wrapping (P6(1))
b
2 balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat besar tumbuhan kering disyaki ganja (P6(2))
c
1 kotak bertulis ‘hand grenade’ di dalamnya terdapat 9 balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki ganja (P6(4)(a-i))
d
9 kerajang timah mengandungi 90 biji pil yang disyaki pil eramin 5 (P6(5) dan P6(5)(a-i))
e
Wang tunai campur-campur berjumlah RM1000.00 (P48) [11] Seterusnya SP4 telah membuat tangkapan terhadap OKT dan isterinya serta merampas barang-barang salah yang ditemui di dalam bilik tersebut. SP4 kemudiannya telah membawa tangkapan dan rampasan dadah ke Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada jam 3.45 pagi untuk tindakan susulan. [12] Di Balai Polis Majidee, SP4 telah membuat timbangan dadah yang dirampas dan menyediakan borang senarai geledah (P17) untuk diserahkan kepada OKT. Satu laporan polis juga dibuat iaitu Majidee 4554-4555/20 (P18) berkenaan tangkapan dan rampasan dadah tersebut. Selain itu, terdapat satu lagi laporan polis iaitu pembetulan kepada laporan polis pertama iaitu Majidee 4556/20 bagi pindaan kepada penandaan pada barang kes yang dirampas daripada D1-D9 kepada E1-E9 (P19). [13] Pada tarikh yang sama, jam lebih kurang 7.00 pagi, SP4 telah menyerahkan tangkapan, rampasan dadah dan barang-barang lain yang dirampas kepada Pegawai Penyiasat yang bertugas iaitu Inspektor Letchumanan a/l Nandagopal (SP8). Berikutan serahan tersebut, SP4 turut menyerahkan satu borang akuan serah menyerah (P20) kepada SP8 sebagai bukti penyerahan. [14] SP8 telah menimbang semula barang kes dadah dengan disaksikan oleh kedua-dua tangkapan. Seterusnya SP8 membuat tandaan ke atas barang-barang kes tersebut, termasuklah sebuah laci kayu berwarna hitam (P36). Setiap tandaan disertai dengan tandaan tarikh dan tandatangan SP8. [15] Seterusnya pada 20/5/2020, jam lebih kurang 10.30 pagi, SP8 telah mengarahkan jurugambar Kpl Abu Bakar (SP1) untuk merakam 4 keping gambar barang kes (P5(1-4)) di Pejabat Narkotik IPD Johor Bahru. [16] Kemudian pada 21/5/2020 jam lebih kurang 11.30 pm, SP8 bersama SP1 telah pergi ke rumah tempat kejadian dan menjalankan siasatan. Di tempat kejadian juga, SP8 melukis gambar rajah kasar (P43) dan mengarahkan SP1 untuk mengambil gambar tempat kejadian sebanyak 21 keping. [17] Di tempat kejadian juga, pasukan forensik turut hadir diketuai oleh ASP Mohd Nur Azri bin Mohd Sabri (SP7). SP7 telah memeriksa tempat kejadian dan mengambil sebanyak 10 sampel-sampel forensik lalu diserahkan kepada SP8 bagi membuat perbandingan DNA. Satu borang serah menyerah (P39) yang menyenaraikan butiran sampel-sampel telah diserahkan kepada SP8 :
a
1 seluar pendek berwarna biru gelap (P25(1))
b
1 kain warna merah (P26(1))
c
1 sarung bantal bercorak bertanda 3 (P27(1))
d
1 sarung bantal bercorak bertanda 4 (P28(1))
e
1 sarung bantal bercorak bertanda 5 (P29(1))
f
1 kain selimut warna coklat (P8(1))
g
1 tilam warna merah (P9(1))
h
1 sarung bantal bercorak bertanda 8 (P30(1))
i
1 sarung bantal bercorak bertanda 9 (P31(1))
j
1 selipar sebelah kiri warna merah/coklat (P32(1)) [18] Dalam meneruskan siasatan, SP8 telah membuat acupakai terhadap OKT dengan pakaian yang dirampas di rumah tempat kejadian pada 22/5/2020. SP8 telah merakam 2 keping gambar OKT untuk acupakai ini dan gambar-gambar tersebut diekshibit sebagai P44(1-2). Satu laporan polis telah dibuat berkenaan rampasan ini iaitu Majidee Report 4604/20 (P45). [19] Bagi tujuan penyimpanan, SP8 telah memasukkan barang kes dalam satu kotak berwarna oren yang ditandakan ‘LN’(P6). SP8 turut meletakkan nombor report dan nombor kertas siasatan pada kotak. Kotak tersebut kemudiannya dimeterai dengan meterai PDRM 642 dan seterusnya disimpan di dalam almari yang berkunci oleh SP8. [20] Pada 2/6/2020, jam lebih kurang 4.15 petang, SP8 telah menghantar sampel-sampel forensik ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk perbandingan DNA. SP8 telah menyerahkan 12 sampul bertanda LN1-LN12 kepada pegawai sains Wan Nur Zawani binti W.M. Samsudin (SP5) disertai borang polis 31 (POL31 - P22). [21] Seterusnya, pada 3/6/2020 jam lebih kurang 11.15 pagi, SP8 telah pergi ke JKM dan menyerahkan P6 disertai borang POL31 (P10) kepada ahli kimia Noor Hidayah binti Idris (SP3) untuk mengesahkan kandungan dadah yang dirampas. SP3 kemudiannya telah mengeluarkan satu resit kimia JKM (P11) kepada SP8 sebagai bukti penerimaan. [22] Pada 6/12/2020 jam lebih kurang 2.35 petang, SP8 telah menerima semula barang kes dadah setelah dianalisa oleh SP3 dalam kotak yang sama iaitu (P6). SP3 juga turut menyerahkan kepada SP8 satu laporan kimia (P12). Hasil analisa oleh SP3 mendapati barang kes dadah mengandungi dadah berbahaya jenis Cannabis dengan berat bersih 561.66 gram. Turut ditemui racun jenis Etizolam dengan berat bersih 17.80 gram. [23] Berdasarkan Laporan Kimia DNA (P24) yang disediakan oleh SP5, telah merekodkan kehadiran DNA OKT yang dikesan melalui surihan pada seluar pendek ‘LN1’ (P25(1). P25(1) telah dirampas di tempat kejadian. [24] Siasatan lanjut oleh SP8 mendapati bahawa OKT dan isterinya tinggal di bilik tersebut. Semasa serbuan, pegawai serbuan mendapati pintu bilik dalam keadaan berkunci dari dalam. Bilik ini merupakan bilik yang berasingan daripada rumah induk. [25] Akses keluar masuk bilik ini hanya melalui pintu di bahagian hadapan bilik. Pintu ini hanya boleh dikunci dari luar dan dari dalam bilik. Jika ia berkunci dari dalam bilik, ia hanya boleh boleh dibuka dari dalam. [26] Selain itu, siasatan SP8 mendapati ada satu lagi pintu yang berada di belakang bilik ini yang bersambung dengan rumah induk, tetapi pintu ini tidak boleh dibuka dari dalam atau dari luar bilik tempat kejadian. Terdapat juga pakaian yang dirampas dari dalam bilik tersebut dan setelah diacupakai kepada OKT, ia adalah sepadan. PRIMA FACIE DI AKHIR KES PENDAKWAAN [27] Di akhir kes Pendakwaan Mahkamah telah berpuas hati bahawa satu kes “prima facie” berdasarkan kepada seksyen 180(4) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) telah berjaya dibuktikan. Rujukan juga takrifan kes-kes terdahulu Mahkamah Persekutuan iaitu Balachandran v PP (2005) 2 MLJ 301 (MP), PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 (MP) dan Looi Kow Chai v PP [2003] 2 MLJ 65 (MR) di mana intipatinya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang di sini. Mahkamah juga mendapati keterangan saksi-saksi yang dikemukakan oleh Pendakwaan sepanjang kes Pendakwaan juga adalah kredibel dan boleh dipercayai. Bagi perkara ini Mahkamah merujuk kepada kes Abdullah Atan v. PP [2020] 6 MLJ 727 (MP) - By reading s 180(4) of the CPC in the light of its context and legislative purpose, the phrase ‘credible evidence proving each ingredient of the offence’ meant that the prosecution could prove each ingredient of the offence either: (a) by adducing credible direct evidence of that ingredient; (b) by drawing inferences of fact, ie, adducing credible circumstantial evidence, from which the ingredient could be inferred; or (c) by invoking presumptions of law, ie, adducing credible evidence of relevant basic facts, to invoke a statutory presumption that the ingredient existed. Therefore, in order to rely on the presumption of trafficking in s 37(da) of the DDA, the prosecution had to adduce credible evidence of the basic facts, ie, the nature and amount of the illicit drug in question and the element of possession. [28] Secara ringkasnya, dalam mengesahkan satu kes Prima Facie telah berjaya dibuktikan, Mahkamah telah melihat kepada pembuktian intipati-intipati berikut oleh Pendakwaan –
a
Dadah dan racun tersebut adalah tersenarai di bawah ADB1952 dan Akta Racun 1952 dan dengan berat seperti yang dinyatakan di dalam pertuduhan-pertuduhan;
b
OKT memiliki dan mempunyai jagaan dan kawalan serta pengetahuan terhadap dadah dan racun yang dirampas di tempat kejadian;
c
anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB
1952
1952.
a
Dadah dan racun tersebut adalah tersenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dan dengan berat seperti yang dinyatakan di dalam pertuduhan-pertuduhan; [29] SP4 telah menyerahkan P6 (kotak barang kes) yang di dalamnya mengandungi (P6(1), P6(2) dan P6(3), P6(4) dan P(6)(a-i), P6(5) dan P6(5)(a-i) – barang kes dadah) kepada SP3 di JKM untuk dianalisa. SP3 telah mengesahkan penerimaan dan seterusnya membuat analisa. Satu laporan kimia (P12) telah disediakan oleh SP3 bagi mengesahkan analisa yang dijalankan telah mengesan kehadiran dadah berbahaya jenis Cannabis dengan berat bersih 561.66gram dan kehadiran racun jenis Etizolam dengan berat bersih 17.80gram. [30] Mahkamah mendapati pengesahan daripada SP3 adalah satu keterangan yang konklusif dan muktamad. Mahkamah merujuk kepada kes Munusamy v PP (1987) 1 MLJ 492 (SC): “Held: (5) In this type of cases where the opinion of the Chemist is confined only to the elementary nature and identity of the substance, the court is entitled to accept the opinion of the expert on its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible opinion is given by the Chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step”. [31] Prinsip di dalam kes ini juga telah digunapakai di Mahkamah Rayuan, dalam kes Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP (2006) 6 MLJ 197 di mana diputuskan bahawa, Mahkamah perbicaraan hendaklah menerima secara prima facie keterangan ahli kimia melainkan ia ternyata sukar dipercayai hingga tiada orang yang berfikiran waras boleh percaya kebenarannya. [32] Semasa SP3 memberi keterangan di peringkat Pendakwaan, Mahkamah mendapati Pembelaan gagal mencabar kesahihan dapatan SP3 dalam analisanya terhadap barang kes dari mula ia diserahkan oleh SP8 sehinggalah ia dipulangkan semula kepada SP8. Berdasarkan kepada perkara itu dan kes Munusamy, Mahkamah ini berpandangan keterangan SP3 dan laporan kimia (P12) telah terjumlah kepada satu keterangan prima facie yang muktamad.
b
OKT memiliki dan mempunyai jagaan dan kawalan serta pengetahuan terhadap dadah dan racun yang dirampas di tempat kejadian [33] Keterangan yang telah diberikan oleh SP4 mengesahkan bahawa semasa serbuan dijalankan pada 20/5/2020 jam lebih kurang 3.00 pagi di tempat kejadian, OKT di dapati sedang tidur di dalam bilik bersama isterinya. Tiada orang lain ditemui di dalam bilik tersebut. SP4 juga mengesahkan bahawa bilik tersebut dalam keadaan berkunci dari dalam. [34] Berdasarkan keterangan SP8, walaupun bilik tersebut kelihatan seolah-oleh sebahagian daripada rumah induk, namun sebenarnya ia adalah satu bilik yang berasingan. Pintu hadapan bilik tersebut merupakan satu-satunya pintu yang boleh memberi akses masuk ke dalam bilik. Pintu itu boleh dikunci sama ada dari dalam atau dari luar. Ini disahkan oleh SP4 dalam keterangannya, semasa serbuan pintu bilik dalam keadaan berkunci, ia hanya dapat dibuka setelah isteri OKT membukanya dari dalam bilik atas arahan SP4. [35] Saksi juga memberi keterangan bahawa bahawa terdapat satu lagi pintu di bahagian belakang bilik ini, di mana pintu ini bersambung dengan rumah induk. Namun, pintu ini tidak boleh digunakan untuk masuk atau keluar dari bilik ini. Pintu di bahagian belakang ini tidak boleh dibuka mahupun dari dalam atau dari luar bilik. [36] Daripada keterangan-keterangan ini Mahkamah berpandangan, hanya penghuni yang menghuni bilik ini sahaja yang dapat mengakses keluar dan masuk bilik melalui pintu hadapan bilik itu. Apabila pintu tersebut dikunci oleh penghuni, maka penghuni di dalamnya sahaja yang mempunyai kawalan dan jagaan terhadap bilik tersebut. Keadaan ini secara tidak langsung mengecualikan akses orang lain mahupun dari arah luar atau dalam rumah induk untuk masuk bilik itu. [37] Pada pandangan Mahkamah oleh kerana pada masa tangkapan hanya OKT dan isterinya berada di dalam bilik ini, adalah wajar OKT mempunyai kawalan dan jagaan terhadap bilik tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah berkesimpulan bahawa OKT mempunyai milikan terhadap barang-barang di dalam bilik tersebut termasuklah dadah iaitu P6(1), P6(2) dan P6(3), P6(4) dan P(6)(a-i), P6(5) dan P6(5)(a-i) yang dijumpai di dalam laci hitam yang berada di dalam bilik itu. [38] Selain daripada itu, Mahkamah turut meneliti hasil analisis DNA dari JKM iaitu P24. Dalam P24, satu profil DNA lelaki telah diperolehi daripada surihan pada seluar pendek “LN1”, di mana ia berpadanan dengan profil DNA OKT. Surihan ini telah dibandingkan dengan spesimen darah “LN12” yang berlabel Umarul Izwan bin Mustaffah iaitu OKT. Seluar pendek “LN1” tersebut adalah merupakan barang kes yang dirampas oleh pihak forensik di dalam bilik tempat kejadian. [39] Laporan P24 juga turut merekodkan bahawa terdapatnya profil DNA campuran ditemui pada beberapa sampel lain seperti comforter, sarung bantal peluk dan sarung bantal. Di dalam DNA campuran tersebut, SP5 telah berjaya memadankan profil DNA OKT dan isteri OKT sebagai penyumbang utama di dalam DNA campuran tersebut. Berdasarkan kepada perkara ini, terdapat pengesahan yang jelas bahawa OKT dan isterinya menghuni tempat kejadian memandangkan DNA OKT dan isterinya telah ditemui pada barang-barang kegunaan harian yang dirampas di tempat kejadian. Dalam hal ini, sungguhpun terdapat campuran DNA ditemui, namun tiada keterangan bahawa adanya orang lain, selain OKT dan isterinya menghuni dan mempunyai akses terhadap bilik tersebut semasa kejadian. [40] Berdasarkan perkara di atas, Mahkamah ini berpuashati bahawa tiada orang lain selain OKT mempunyai jagaan dan kawalan terhadap dadah yang dijumpai di dalam bilik tersebut. Daripada pengamatan Mahkamah, adalah amat mustahil untuk OKT tidak mengetahui adanya dadah di dalam bilik tersebut apabila di bilik itulah OKT telah tidur bersama-sama isterinya. Tiada keterangan lain yang menyangkal keterangan ini. Keterangan ini dikuatkan lagi apabila bilik tersebut berkunci dari dalam dan tidak boleh diakses dari luar. Berpandukan keterangan ini, Mahkamah berpandangan telah terdapat keterangan yang kukuh dan mencukupi bahawa OKT mempunyai milikan dadah yang dijumpai di tempat kejadian. [41] Mahkamah juga mendapati rantaian keterangan adalah tidak terputus bermula rampasan sehinggalah perbicaraan berakhir. Ini dapat dilihat melalui keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan terutamanya SP2 iaitu Jurustor, SP4 Pengadu, SP3 Ahli Kimia, SP7 dan SP5 Pegawai Sains DNA dan Pegawai Penyiasat SP8. Semasa saksi-saksi Pendakwaan ini memberikan keterangan di Mahkamah, mereka telah menjelaskan bahawa barang-barang kes telah dijaga dengan baik dan ia tidak dikacau ganggu selain daripada pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan barang-barang kes tersebut. [42] Berkenaan dengan rantaian barang kes pula, keterangan yang paling penting adalah keterangan daripada SP4, SP2, SP3, SP5, SP7 dan SP8 di mana telah mengesahkan bahawa rantaian barang kes tidak terputus dari mula ia dirampas oleh SP4 sehingga diserahkan kepada SP8 dan kemudiannya diserahkan kepada Ahli Kimia, SP3 untuk dianalisa. SP3 juga telah menyerahkan semua barang kes yang sama setelah dianalisa kepada SP8, yang kemudiannya SP8 serahkan kepada SP2 untuk disimpan di dalam stor sehingga ia dibawa keluar ke Mahkamah bagi tujuan perbicaraan. [43] Merujuk kepada kes Su Ah Ping v PP (1980) 1 MLJ 75 dan kes Adhy Tedjajadi v PP (Criminal Appeal No P-05-67-03/2014), di mana telah menjelaskan bahawa adalah mencukupi untuk memanggil pegawai yang menjumpai barang kes di tempat kejadian untuk memberikan keterangan dan tiada keperluan untuk memanggil setiap seorang daripada mereka yang terlibat untuk memberikan keterangan di Mahkamah. Apa yang penting pegawai yang memberikan keterangan di Mahkamah itu boleh mengesahkan dan mengenalpasti barang kes yang sama iaitu barang kes yang dirampas daripada tempat kejadian, dan ia juga adalah barang kes yang sama diserahkan kepada mereka. [44] Selain itu, Mahkamah merujuk kepada keputusan kes Gunalan Ramachandran & Ors v PP (2004) 4 CLJ 551 di muka surat 568 dan 569 yang menyatakan seperti berikut: “I am of the view that, in a drug trafficking case what is important is that it must be proved that it is substance that was recovered that same substance that is found to be heroin or cannabis etc and it is in respect of that substance that an accused is charged within trafficking. So, the chain of evidence is more important for the period from the time of recovery until the completion of the analysis by the chemist. Even then it does not necessarily mean that if the exhibit is passed from one person to another, every one of them must be called to give evidence of the handling over from one person to another and if there is a break, even for one day, the case fall what has to be proved is that it is the substance that was recovered that was analysed by the chemist and found to be heroin, cannabis etc … , and it is for trafficking of that same substance that the accused is charged with”. Oleh itu, Mahkamah ini mendapati rantaian barang kes masih kukuh.
c
Anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. [45] Merujuk kepada P12, hasil analisa barang kes mendapati kehadiran dadah berbahaya jenis Cannabis dengan berat bersih 561.66 gram dan racun jenis Etizolam dengan berat bersih 17.80 gram. Secara automatisnya pemakaian anggapan statutori di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB 1952 diaktifkan. Dalam kes ini, berat bersih Cannabis ialah 561.66 gram, di mana ia telah melebihi berat minimum 200 gram sepertimana disenaraikan di bawah sekyen 37(da)(vi) ADB 1952. [46] Bagi memudahkan rujukan, perenggan seksyen 37(da)(vi) diperturunkan seperti berikut: Presumptions.
37
In al lproceedings under this Act or any regulation made thereunder- … (da) any person who is found in posession of-
VI
(vi) 200 grammes or more in weight of Cannabis otherwise than in accordence with the authority of this Act or any other written law, shall be presumed, until the contrary is proved, to be trafficking in the said drug;” [47] Mahkamah mendapati peruntukan anggapan di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB 1952 telah dibuktikan terhadap OKT. ISU LAIN: PEMAKAIAN SEKSYEN 114(g) AKTA KETERANGAN 1950 [48] Di dalam kes ini, satu isu utama yang terang-terangan wajib diperjelaskan di peringkat Pendakwaan baik kepada Mahkamah atau Pembelaan ialah inferens di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Wajarkah seksyen 114(g) ini diketengahkan apabila tuan rumah iaitu ibu kepada OKT bernama Hanapiah binti Hassan (kemudiannya sebagai saksi Pembelaan SD2) dan isteri OKT iaitu Syafia Komariah binti Munandi tidak dikemukakan sebagai saksi Pendakwaan? Adakah mereka saksi material dalam kes Pendakwaan dan kegagalan memanggil mereka sebagai saksi adalah memudaratkan/fatal kepada kes Pendakwaan. Perlu diingatkan bahawa di akhir kes Pendakwaan kedua-dua saksi ini telah ditawarkan kepada Pembelaan dan ibu OKT telah dipanggil sebagai SD2. Kesalnya, isteri OKT gagal ditemui. [49] Berbalik kepada kes di Mahkamah ini, dengan merujuk kepada fakta kes Pendakwaan, tiada keterangan yang meletakkan SD2 di tempat kejadian, lebih-lebih lagi di bilik tersebut. Semasa serbuan berlaku, hanya OKT dan isteri OKT sahaja yang berada di dalam bilik. Walaupun, SD2 adalah tuan rumah, SD2 tidak mempunyai akses untuk memasuki bilik tersebut. Ini adalah kerana pintu yang mengakses bilik tidak boleh dibuka dari luar dan bilik ini juga terasing dari rumah induk (perkara ini telah dijelaskan di atas). [50] Berpandukan kepada keterangan sedia ada yang diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan yang telah dipanggil, Mahkamah ini mendapati ketidakpanggilan kedua-dua saksi ini tidak memudaratkan kes Pendakwaan. Oleh itu, inferens di bawah seksyen 114(g) tidak wajar dibangkitkan. Penawaran saksi-saksi ini oleh Pendakwaan di akhir kes, telah menunjukkan bahawa Pendakwaan tidak cuba menyembunyi sebarang fakta yang tidak menyebelahi mereka apabila kedua-dua saksi ini tidak dipanggil. [51] Bagi pencerahan, Mahkamah ingin merujuk kepada kes Tan Tai Kwan v Pendakwa Raya [2025] CLJU 698 (MR) yang menyatakan seperti berikut – [37] Tertuduh seterusnya membangkitkan isu bahawa Soo Chong Lim merupakan seorang saksi yang material dalam membuktikan naratif kes pendakwaan. Justeru, kegagalan pihak pendakwaan memanggilnya sebagai saksi telah membangkitkan anggapan adverse inference menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. [38] Pihak pendakwaan pula menghujahkan bahawa sungguhpun tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan, Soo Chong Lim telah ditawarkan kepada pihak pembelaan dan telah pun hadir memberikan keterangannya sebagai SD2. Justeru dalam keadaan ini, isu anggapan adverse inference menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 sama sekali tidak berbangkit. [52] Selain daripada itu, Mahkamah juga merujuk kepada kes Public Prosecutor v Mansor Md Rashid & Anor [1997] 1 MLJ 233 (MP) yang diputuskan oleh Chong Siew Fai CJ - Much had been canvassed before us respecting the drawing of adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act 1950 from the non-calling of Cholar and Amran. Whether or not such an inference should be drawn is not a matter of an inflexible rule but depends upon the circumstances of each particular case. In determining this issue, the question to consider is whether the existence of a fact or a state of things (i.e. Cholar introducing PW9 and was present the meetings; Amran staying in room ‘K’) makes the existence of another fact or state of things so likely that it may be presumed to exist. The answer must naturally vary according to the circumstances, the nature of the fact required to be proved and its importance in the controversy, the usual and commonly recognised mode proving it, the nature, quality and cogency of the evidence which had not been produced and its accessibility to the party concerned. In our instant case under appeal, there can be no doubt that the basis of the prosecution’s case to substantiate the charge is on sale of the cannabis resulting from negotiation. There is ample evidence of direct negotiation between PW9 and the 1st respondent, and the carrying of the cannabis from room “K” by the 2nd respondent at the behest of the 1st respondent. On that basis, and given the roles played by Cholar and Amran as reflected from the evidence adduced, it is difficult to see how the two of them can be material to the point in issue i.e. sale through negotiation. Furthermore, the materials on record do not in any way suggest that the prosecution had withheld them with ulterior motives. We do not think any adverse inference should be drawn against the prosecution for the non-production of them, at least at this stage of the trial. [53] Berbalik kepada kes di Mahkamah ini, Ibu OKT tiada di tempat kejadian, maka ia bukanlah saksi material dalam kes Pendakwaan. Isteri OKT pula, walaupun beliau ada ditempat kejadian, ketiadaan keterangannya tidaklah memudaratkan kes Pendakwaan apabila keterangan daripada saksi-saksi Pendakwaan sendiri telah cukup untuk menerangkan naratif kes Pendakwaan. Sepanjang kes Pendakwaan, keterangan saksi-saksi polis yang dikemukakan tidak bercanggah atau di dapati tidak boleh dipercayai. Oleh itu, Mahkamah berpandangan, ketidakpanggilan kedua-dua saksi ini adalah tidak material kepada kes Pendakwaan. Tindakan Pendakwaan menawarkan mereka di akhir kes, adalah satu bentuk full disclosure bahawa tiada sebarang keterangan cuba disembunyikan oleh Pendakwaan. Ketiadaan keterangan daripada mereka tidak mewujudkan satu kelompangan dalam kes Pendakwaan. Selari dengan prinsip yang diketengahkan dalam kes Mansor Md Rashid dengan ketidakpanggilan Amran sebagai saksi walaupun Amran duduk serumah dengan tertuduh dalam kes tersebut. [54] Rujukan lanjut kepada kes Yusri Pialmi v PP [2010] 6 CLJ 878 (MP) yang menyatakan – Walaupun saksi-saksi tidak dipanggil atau ditawarkan dari ahli-ahli lain dari pasukan anggota polis yang telah membuat serbuan, kes pihak Pendakwaan adalah cukup dengan keterangan SP-2 yang boleh dipercayai dan patut dipercayai. SP-2 bukanlah saksi berkepentingan tetapi seorang pegawai polis yang menjalankan tanggungjawabnya. Tidak terdapat penahanan atau penyekatan keterangan material oleh pihak Pendakwaan untuk menggunakan pemakaian seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap kes Pendakwaan. Secara fakta keterangan SP-2 telah memberitahu nama- nama ahli lain dari pasukan anggota polis yang telah membuat serbuan. Tidak terdapat penyembunyian langsung. Tidak terdapat cabaran oleh pihak pembelaan atas keterangan SP-2 mengenai apa-apa motif yang tidak baik sehingga SP-2 terpaksa mereka-reka keterangan terhadap Perayu. Kegagalan memeriksa-balas seorang saksi mengenai bahagian penting kes boleh mengakibatkan penerimaan testimoni saksi. Tidak terdapat merit dalam hujahan-hujahan yang dibangkitkan oleh Perayu atas alasan ini” Menggunapakai prinsip-prinsip yang diketengahkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa inferens di bawah seksyen 114(g) AK 1950 tidaklah boleh sewenang-wenangnya dibangkitkan. Kewajarannya hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu. [55] Selain itu juga, Mahkamah ini merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan khasnya di bawah Perkara 145(3). Peruntukan tersebut memberikan Timbalan Pendakwa Raya kuasa sepenuhnya dalam merancang naratif kes Pendakwaan, termasuklah perancangan bilangan saksi yang hendak dipanggil memberi keterangan. [56] Suka Mahkamah ini menegaskan bahawa Pendakwaan tidak mempunyai alasan dan tidak juga diusulkan oleh Pembelaan bahawa ketidakpanggilan saksi-saksi ini merupakan strategi Pendakwaan untuk menyembunyikan apa-apa maklumat daripada pengetahuan Pembelaan. Kesimpulannya, Mahkamah telah berpuas hati dengan semua keterangan yang diketengahkan oleh Pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes Prima Facie terhadap OKT. [57] OKT telah dipanggil untuk membela diri. PERINGKAT PEMBELAAN [58] Merujuk kepada Balachandran v. PP [2005] 2 MLJ 301, beban pembuktian yang perlu dibuktikan oleh Pembelaan adalah menimbulkan keraguan munasabah. Namun sekiranya OKT berkeputusan untuk berdiam diri maka keterangan prima facie Pendakwaan adalah terpakai untuk mensabitkan OKT melampaui keraguan munasabah. Pengamatan kepada keputusan kes Balachandran, seperti di bawah: “Proof beyond reasonable doubt involves two aspects. While one is the legal burden on the prosecution to prove its case beyond reasonable doubt the other is the evidential burden on the accused to raise a reasonable doubt. Both these burdens can only be fully discharged at the end of the whole case when the defence has closed its case. Therefore a case can be said to have been proved beyond reasonable doubt at the conslusion of the trial upon a consideration of all the evidence adduced as provided by s 182A(1) of the Criminal Procedure Code. That would normally be the position where the accused has given evidence. However, where the accused remains silent there will no necessity to re-evaluate in order to determine whether there is a reasonable doubt in the absence of any further evidence for such a consideration. The prima facie evidence which was capable of supporting a conviction beyond resonable doubt will constitute proof beyond reasonable doubt.” KERAGUAN MUNASABAH DALAM KES PENDAKWAAN [59] Dalam membentangkan kesnya, Pembelaan telah memanggil seramai 3 orang saksi iaitu:
a
Umarul Izwan bin Mustaffah (SD1) (OKT)
b
Hanapiah Binti Hassan (SD2)
c
Mohamad Ikmal bin Mustaffah (SD3) KETERANGAN SD1 (OKT) [60]
Preamble
Menurut keterangan daripada SD1/OKT, SD1 telah berada di rumah ibunya di alamat No.50, Jalan Kemboja, Majidee Baru untuk berbuka puasa dan bersahur bersama dengan keluarga iaitu isterinya, ibu dan anak saudara SD1. Menurut SD1, SD1 tidak tinggal di rumah tersebut sebaliknya tinggal di Flat Majidee bersama dengan isterinya. [61] Dalam keterangan SD1, selepas berbuka puasa dan bersahur, SD1 dan isterinya telah tidur di dalam bilik tersebut sehinggalah dikejutkan oleh isterinya yang memberitahu bahawa ada polis membuat serbuan. SD1 memberitahu bahawa isterinya telah membuka pintu belakang bilik mereka yang mana pintu ini adalah berhubung terus iaitu bercantum dengan rumah SD2. Apabila pintu bahagian belakang bilik ini dibuka, polis telah masuk ke dalam rumah dan menjumpai dadah di dalam laci. Selepas itu polis telah membawa SD1 ke bahagian dapur dan menjumpai dadah di dalam satu rak meja solek di bahagian kerusi meja solek itu. [62] Setelah polis menjumpai dadah tersebut, SD1 telah dibawa semula ke dalam bilik dan isteri SD1 telah diarahkan untuk keluar dari dalam bilik. Polis telah menutup pintu bilik dan SD1 telah dipukul oleh dua orang anggota polis menggunakan kaki. Apabila kejadian menjadi kecoh, SD2 dan isteri SD1 meminta polis untuk membuka pintu. Apabila pintu dibuka isteri SD1 terus meluru untuk melindungi SD1. Selepas itu SD1 dan isteri di bawa ke balai polis Majidee untuk tindakan lanjut. [63] Dalam keterangannya juga, SD1 menyatakan bahawa dadah yang dijumpai adalah kepunyaan sepupu OKT yang bernama Fuad bin Maseri (Fuad). Bilik yang didiami oleh SD1 dan isterinya itu juga adalah dihuni oleh Fuad. SD1 hanya pergi ke rumah ibunya hanya dua (2) kali di dalam tahun 2020 iaitu pada hari jadi SD2 bertarikh 20.2.2020 dan sekali lagi pada tarikh kejadian 20.5.2020. KETERANGAN IBU OKT (SD2) [64] SD2 merupakan ibu kepada OKT. SD2 juga adalah pemilik rumah, tempat kejadian. SD2 dan suaminya telah tinggal di rumah tersebut hampir 40 tahun. Dalam keterangannya, SD2 menyatakan selain daripada anaknya, SD1, mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Mohamad Ikmal bin Mustaffah/SD3. SD3 akan menghantar anaknya ke rumah SD2 untuk dijaga oleh SD2 dan suaminya. [65]
Preamble
Menurut SD2, bilik yang merupakan tempat kejadian itu digunakan untuk menyimpan barang-barang lama. Bilik ini juga pernah dihuni oleh anak saudaranya bernama Fuad sekitar April/Mei 2020. Ini adalah kerana Fuad ada perselisihan faham dengan bapanya. [66] SD2 turut menyatakan bahawa SD1 tinggal di 08-18 Flat Majidee bersama isterinya. SD1 hanya datang ke rumah sekali sahaja iaitu pada tarikh kejadian, 20.5.2020 untuk berbuka puasa. Mereka seterusnya bermalam di bilik tersebut, kemudiannya bersahur bersama-sama keluarga. Walaubagaimana pun, malangnya, SD1 telah ditangkap oleh polis di bilik tersebut. Fuad pula tidak pulang ke rumah pada masa itu. KETERANGAN ABANG OKT/SD3 [67] SD3 merupakan abang kepada SD1. SD3 mengesahkan keterangan SD2 bahawa bilik itu dihuni oleh Fuad selama lebih kurang dua (2) minggu. SD3 cuba menghubungi Fuad selepas SD1 ditangkap namun Fuad tidak dapat dikesan. [68] Adakah keterangan saksi-saksi Pembelaan ini berjaya menimbulkan keraguan dalam kes Pendakwaan? Sebelum jawapan kepada soalan itu diberikan, Mahkamah merujuk terlebih dahulu kepada isu-isu yang timbul sepanjang kes Pembelaan. Isu-isu tersebut dihuraikan sepertimana berikut. ISU-ISU DI DALAM KETERANGAN KES PEMBELAAN SD2 dan SD3 SEBAGAI SAKSI BERKEPENTINGAN / INTERESTED WITNESSES [69] Selain OKT, dua (2) saksi yang dipanggil untuk menyokong kesnya terdiri daripada ibu dan abang OKT. Apabila saksi-saksi yang dipanggil mempunyai pertalian darah dengan OKT, keterangan yang diberikan tidak akan lari daripada bersifat berat sebelah atau memihak kepada OKT. Dalam keadaan ini, Mahkamah wajib mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan tidak menerima sebulat-bulatnya keterangan yang diberikan. [70] Rujukan kepada kes Kumaran a/l Sappani v Public Prosecutor [2012] 6 MLJ 153 (MP) oleh Heliliah FCJ berbunyi – [24] The evidence of SD2 has been scrutinised in the light of the fact that SD2 being a brother of the appellant is an interested witness. There were certain portions of his statements where there was an attempt to amend it during trial and this has led the trial judge to question the credibility of his statements as there was an attempt to tilt the evidence in favour of the appellant. KETERANGAN BERSIFAT AFTERTHOUGHTS [71] Merujuk kepada keterangan SD2 dan SD3, mereka telah menyokong kewujudan ‘Fuad”. Mahkamah telah merujuk semula kepada keterangan saksi-saksi semasa kes ini diperingkat Pendakwaan. Watak Fuad tidak pernah dibangkitkan. Namanya juga tidak pernah diketengahkan oleh Pembelaan kepada saksi-saksi Pendakwaan. Oleh itu, Mahkamah mendapati ‘Fuad’adalah satu watak yang direka-reka oleh Pembelaan, dan akhirnya dapat disimpulkan ia merupakan satu keterangan ‘afterthought’ . [72] Sungguhpun Fuad ini benar-benar wujud, mengapakah dia gagal dikesan atau maklumat berkenaannya tiada langsung? Mahkamah mendapati saksi-saksi Pembelaan ini gagal untuk memberikan keterangan yang menyakinkan berkenaan kewujudan Fuad. Berlatarbelakangkan budaya dan adat kemelayuan di Malaysia, sukar untuk Mahkamah ini mempercayai bahawa SD2 dan SD3 tidak mempunyai atau menyimpan nombor telefon Fuad, lebih-lebih lagi Fuad adalah sepupu kepada OKT. Paling tidak nombor telefon atau alamat tempat tinggal ibu atau bapa Fuad bagi membolehkan Fuad dikesan. [73] Selanjutnya, Mahkamah yakin keterangan SD2 dan SD3 adalah satu cerita yang direka-reka. Ia menjadi bertambah pelik di mana timbulnya pelbagai persoalan apabila tiba-tiba sahaja pada tarikh kejadian Fuad tidak pulang ke bilik itu, sungguhpun dia telah menumpang di bilik tersebut lebih kurang 2 minggu sebelum tarikh serbuan. [74] Mahkamah ingin merujuk juga kepada Megat Halim Megat Omar v. PP [2009] 1 CLJ 154 dan PP v. Dato Seri Anwar bin Ibrahim (No.3) [1999] 2 CLJ 215, di mana di dalam kes-kes tersebut dengan terang dan jelas menyatakan bahawa, adalah satu prinsip undang-undang yang mantap sebarang pembelaan hendaklah ditimbulkan di peringkat Pendakwaan lagi. Sekiranya ia secara tiba-tiba, ia terjumlah kepada ‘afterthought’. Sekiranya ini yang terjadi, ia membolehkan Mahkamah ini untuk tidak mengambilkira terhadap pembelaan tersebut. [75] Prinsip dari keputusan kes yang diputuskan di peringkat Mahkamah Rayuan Megat halim Megat Omar v. PP [2009] 1 CLJ 154 adalah seperti berikut: “[63] Although in our criminal jurisprudence, there is no burden on an accused person to prove his innocence but merely for him to raise a resonable doubt as to his gulit, it is trite that his defence should be put to the prosecution at an early stage during the prosecution case. Failure to do so may move the trial court to dismiss a particular line of defence as an afterthought, or a recent invention as happened in his case. [64] Raja Azlan Shah CJ (Malaya) (as His Highness then was) in Wong Swee Chin v. PP [1981] 1 MLJ 211 puts this principle in these now famous words: … there is a general rule that failure to cross-examine a witness on a crucial part of the case will amount to an acceptance of a witness’s testimony. [65] In our adversarial system, that principle in both civil and criminals trials.” [76] Di dalam kes PP v. Dato Seri Anwar bin Ibrahim (No.3) [1999] 2 CLJ 215, secara khususnya telah merujuk kepada kes Kuli & Ors v. Emperor AIR [1930] Cal 442, seperti berikut: “It is wrong that this is merely a technical rule of evidence. It is a rule of essential justice. It serves to prevent suprise at trial and misscarriage of justice, because it gives notice to the other side of the actual case that is going to be made when the turn of the party on whose behalf the cross-examination is being made comes to give and lead evidence by producing witness. It has been stated on high authority of the House of Lords that this much a counsel is bound to do when cross-examination that he must put to each of his oponent’s witnesses in turn, so much of his own case as concerns that particular witness or in which that witness had any share.” KETERANGAN PEMBELAAN BERSIFAT ‘BARE DENIAL’ [77] Setelah mendengar keterangan saksi-saksi Pembelaan, Mahkamah mendapati keterangan mereka lebih kepada penafian semata-mata. Walaupun ia tidak bercanggah antara satu sama lain, namun perlu diberi perhatian bahawa keterangan ini datangnya daripada saksi-saksi berkepentingan yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan OKT. Keterangan yang menyebelahi OKT adalah boleh diramal daripada mereka. Selain itu juga, ia adalah sekadar keterangan yang tidak disokong oleh apa-apa pembuktian. [78] Merujuk kepada kes Public Prosecutor v. Ling Tee Huah [1982] 2 MLJ 324 di muka surat 326, memutuskan seperti berikut: “A mere denial without other proof to reasonably dislodge the prosecution’s evidence is not sufficient. A magistrate is, of course, entitled to believe a witness at a trail but a general references to the demeanour of witnesses without more, gives rise to suspicion that an attempt is being made to bolster up a verdict which is contrary not only to the weight of evidence but to the probabilities and which could not be supported on a detailed examination of the evidence.” [79] Selain itu, penafian berkenaan tiadanya pengetahuan tentang dadah yang dijumpai dan dadah itu adalah milik Fuad, jelas bersifat ‘bare denial’ semata-mata. Dalam keadaan ini, ia gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes Pendakwaan. Rujukan kes Da Duncan v. Public Prosecutor [1980] 2 MLJ 195 (MP), di muka surat 195 telah memutuskan seperti berikut: “The defence was, in effect, a simple denial of the evidence connecting the appellant with the four boxes. We cannot see any plausible ground for saying that the four boxes were not his. In teh circumstances of the prosecution evidence, the High Court came, in our view, to the correct conclusion that this denial did not cast a doubt on the prosecuiton case against the appellant.” [80] Sebelum membuat kesimpulan ini, Mahkamah telah terlebih dahulu meneliti semula keterangan saksi-saksi Pendakwaan dan mendapati ia adalah ‘consistent’ dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Mahkamah juga berpuas hati bahawa kredibiliti saksi-saksi Pendakwaan masih kukuh dan tidak goyah. Maka, disimpulkan di sini bahawa, Pembelaan telah gagal menimbukan sebarang keraguan munasabah terhadap keterangan-keterangan yang telah diberikan oleh saksi-saksi Pendakwaan, sejak dari peringkat ‘Prima Facie’ lagi. Mahkamah merujuk kepada kes PP v. Shaaban b. Abd. Rahman [1989] 2 MLJ 313: “I can see no reason for any of the 3 police eye-witnesses to tell lies. They gave their evidence in a clear straightforward way.” KEBOLEHPERCAYAAN KETERANGAN / IMPEACHMENT SD2 [81] Semasa SD2 memberi keterangan sebagai saksi Pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya terpelajar (TPR) mendapati wujudnya percanggahan material dalam keterangan lisan SD2, apabila dibandingkan dengan rakaman percakapan (di bawah seksyen 112 KTJ) yang diambil oleh polis. Dengan rasa tidak puas hati, TPR terpelajar telah memohon kepada Mahkamah untuk menyoal balas SD2 bagi mendapatkan pengesahan berkenaan dengan percanggahan tersebut. TPR telah merujuk kepada SD2 salinan rakaman percakapan beliau dan keterangan yang bercanggah. [82] Tindakan TPR terpelajar tidak memberikan kesan kepada SD2 malah SD2 menafikan kandungan rakaman percakapan tersebut. Tidak cukup dengan itu, agak memeranjatkan apabila SD2 turut menafikan ada memberikan rakaman percakapan kepada polis berkenaan kes ini sejurus selepas tangkapan OKT, iaitu anaknya. [83] Berikutan daripada itu, TPR terpelajar telah memohon kepada Mahkamah untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan keterangan atau ‘impeachment’ SD2. Permohonan dibuat berpandukan kepada seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950. TPR terpelajar seterusnya telah mengemukakan salinan rakaman percakapan SD2 untuk Mahkamah ini membuat perbandingan. Oleh kerana SD2 masih menafikan bahawa beliau ada membuat rakaman percakapan tersebut, Mahkamah tiada pilihan selain meneruskan untuk menjalankan prosiding perbicaraan dalam bicara / trial within a trial (TWT). [84] Proses TWT telah dijalankan dengan Pendakwaan memanggil Pegawai Penyiasat selaku saksi tunggal iaitu Insp Lecthumanan A/L Nandagopal sebagai TWT SP1. TWT SP1 telah mengesahkan bahawa beliau ada merakam percakapan SD2 mengikut peruntukan seksyen 112 KTJ. SP1 telah mengesahkan rakaman percakapan SD2 telah ditandatangani oleh SD2 dan beliau sendiri bertindak sebagai pegawai perakam. Pembelaan tidak mengemukakan sebarang saksi sepanjang TWT berlangsung dan hanya berpuas hati dengan soal balas terhadap Pegawai Penyiasat itu sahaja. Pendakwaan menutup TWT dengan rakaman percakapan SD2 dijadikan eksibit Mahkamah, P50(1-4). [85] Mahkamah telah berpuas hati dengan proses TWT yang telah dijalankan selari dengan keputusan kes Muthusamy v. PP [1948] 1 MLJ 57. Selesai TWT, proses perbicaraan peringkat Pembelaan diteruskan dengan Pembelaan memanggil SD3 untuk memberi keterangan. Kemudiannnya Pembelaan telah menutup kesnya. [86] Bagi memutuskan sama ada Pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan dalam kes Pendakwaan, Mahkamah perlulah melihat semula kepada keterangan yang diberikan sepanjang kes Pembelaan, terutamanya keterangan SD2. Proses TWT ditamatkan tanpa Mahkamah memberikan keputusan sama ada keterangan SD2 boleh diterima atau dibuang semuanya. [87] Kini, Mahkamah ingin memberikan keputusannya. Setelah mendengar hujahan pihak-pihak berkenaan dan memperhalusi setiap keterangan, Mahkamah mendapati wujudnya percanggahan yang material dalam keterangan SD2 apabila dibandingkan dengan P50(1-4) yang dikemukakan oleh TPR terpelajar. [88] Mahkamah ini berpeluang menyemak P50(1-4) SD2 dan berpeluang mendengar keterangan lisan SD2 di Mahkamah. Akhirnya Mahkamah ini mendapati SD2 bukanlah saksi yang kredibel, oleh itu keterangan SD2 juga tidak boleh dipercayai. Mahkamah ini mendapati SD2 berbohong semasa memberikan keterangan kepada Mahkamah ini semata-mata ingin menutup kesalahan OKT. [89] Sungguhpun begitu, Mahkamah ini haruslah adil dan impartial dalam membuat keputusan. Keputusan Mahkamah adalah berdasakan kepada kewujudan percanggahan keterangan SD2 sendiri. Mahkamah ini telah merekodkan kelakuan/‘demenour” SD2 berhubung perkara ini. Mahkamah mendapati kelakuan SD2 ini amat mencurigakan semasa memberikan keterangan di Mahkamah. Mahkamah dapat melihat SD2 sering kelihatan resah gelisah, tergagap-gagap dan teragak-agak untuk memberikan jawapan kepada soalan-soalan Pendakwaan terutamanya apabila dirujuk kepada rakaman percakapannya, P50(1-4). [90] SD2 juga seringkali mengelak daripada menjawab soalan-soalan Pendakwaan. Jika ada soalan yang dijawab, jawapan SD2 tidak konsisten kerana kerap memberikan jawapan yang berbeza-beza apabila soalan yang sama diulang. Di peringkat ini, wajar Mahkamah mengimbau semula kes ini diperingkat Pendakwaan, bila mana SD2 enggan untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis mahupun Pendakwaan apabila gagal hadir ke mahkamah sebagai saksi. Hal ini telah memberikan Mahkamah satu satu anggapan negatif terhadap SD2. [91] Merujuk kepada prinsip undang-undang yang diputuskan di dalam kes Ong Joo Chin v. PP [1946] 1 MLJ 1, Matthew Lim v Game Warden Pahang [1960] 1 MLJ 89 dan PP v. Munusamy [1980] 2 MLJ 133, oleh kerana SD2 bukanlah saksi yang kredibel dan tidak boleh dipercayai, Mahkmah ini telah memutuskan untuk menolak sepenuhnya kerterangan SD2 dari rekod Mahakamah ini. [92] Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa pihak Pembelaan gagal untuk menimbulkan keraguan dalam kes Pendakwaan. Oleh itu dapatan satu kes ‘prima facie’ yang telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan kekal, maka, Pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah, beyond reasonable doubt. KEPUTUSAN [93] Satu kes Prima Facie telah berjaya dibuktikan oleh Pendakwaan. Mahkamah menolak keterangan SD2 sepenuhnya (in total), setelah mendengar dan mempertimbangan keterangan SD2 melalui proses ‘impeachment’ dan ‘trial within trial’. Mahkamah ini seterusnya telah menimbangkan secara maksima keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pembelaan dan yakin bahawa Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi Pertuduhan pertama dan kedua terhadap OKT. Oleh yang demikian OKT disabitkan di bawah kedua-dua pertuduhan. Bertarikh: 13 Mei 2025 ~SIGNED~ (SURIYATI HASIMAH BINTI MOHD HASHIM) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Johor Bahru, Johor Pihak-pihak : Timbalan Pendakwa Raya Chan Lee Lee Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Peguambela Mohd Fazaly Ali bin Mohd Ghazaly The Law Chambers of Fazaly Ali
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.