Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO.:WA-A72NCC-5119-02/2023 ANTARA United Overseas Bank (Malaysia) BHD (No.Syarikat: 271809-K) …Plaintif Dan
WA-A72NCC-5119-02/2023
Magistrates Court of Malaysia29 Nov 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA GUAMAN NO.:WA-A72NCC-5119-02/2023 ANTARA United Overseas Bank (Malaysia) BHD (No.Syarikat: 271809-K) …Plaintif Dan
1
UNI PLATINUM SDN BHD (Reg.No:1188991-U)
2
NAZERIHAN BIN SENAWI (I/C No.:720226-02-5709)
3
NYUN LAI SIAM (I/C No.::761219-06-5076)
4
CHEW YEONG PIAU (I/C No.::850404-08-5321)
5
HENG ZOEY (I/C No.::980418-14-6338) …Defendant-Defendan ALASAN PENGHAKIMAN ( Selepas Perbicaraan Penuh ) [A].
1
Plaintif telah menfailkan satu tuntutan terhadap Defendan-defendan atas kegagalan mereka untuk membayar balik pinjaman dana peniagaan yang diperolehi melalui kemudahan kredit, UOB BizMoney Loan. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
2
Pada permulaan kes, pihak D1, D2, dan D3 telah gagal untuk memasukkan kehadiran maka satu Penghakiman Ingkar Kehadiran telah diberikan terhadap ketiga-tiga Defendan ini. Manakala pihak D4 dan D5 telah memasukkan kehadiran mereka.
3
Pihak Plaintif telah memohon untuk Penghakiman Terus terhadap pihak D4 dan D5 (Kandungan 12).
4
Pada masa yang sama, D5 telah mengfailkan tuntutan balas terhadap Plaintif, D1 dan D4 atas alasan terdapatnya satu konspirasi di antara ketiga-tiga pihak ini untuk menggunapakai nama D5 dalam mendapatkan kelulusan Kemudahan tersebut.
5
Lanjutan itu, Plaintif telah menfailkan satu pemohonan untuk membatalkan tuntutan balas D5 tersebut (Kandungan 39).
6
Majistret (pada ketika itu) telah memutuskan untuk membenarkan permohonan untuk Penghakiman Terus terhadap pihak D4 dan D5 (Kand.12). Manakala bagi permohonan untuk membatalkan tuntutan balas D5, Majistret telah memutuskan untuk menolak permohonan itu dengan kebebasan untuk difailkan semula (Kand.39).
7
Pihak D5 tidak berpuas hati dengan keputusan Majistret tersebut, lalu menfailkan 2 Notis Rayuan; 1 Notis Rayuan untuk keputusan terhadap Penghakiman Terus (Kand.12) dan 1 lagi Notis Rayuan untuk keputusan membatalkan tuntutan balas S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w D5 (Kand.39). D4 tidak menfailkan apa-apa rayuan maka Penghakiman Terus yang diberikan terhadap D4 adalah kekal berkuatkuasa.
8
Yang Arif Mahkamah Tinggi setelah mendengar kedua-dua rayuan tersebut telah memutuskan bahawa terdapatnya isu-isu untuk dibicarakan serta tuntutan balas D5 tidak wajar dibatalkan. Lanjutan itu, Yang Arif memerintahkan agar kes diturunkan semula ke Mahkamah Majistret dan untuk dibicarakan di hadapan Majistret yang lain.
9
Perlu dinyatakan di sini bahawa pada tarikh perbicaraan, D5 telah menarik balik tuntutan balas mereka. Maka pada peringkat perbicaraan, Mahkamah ini hanya mendengar kes berkenaan tuntutan Plaintif terhadap D5.
10
Perbicaraan bagi kes ini telah dijalankan di hadapan Mahkamah ini selama 3 hari dan seramai 6 orang saksi telah hadir untuk beri keterangan : Nama Saksi Fungsi / Peranan Tandaan Chin Sook Yee Bekas pengurusan pemasaran BizMoney SP-1 Leong Chee Seng Bekas ketua pasukan Business Banking SP-2 Tan Chen Gie Naib Presiden Pertama Business Banking Credit Management SP-3 Heng Jee Son Bapa kepada D5 SD-1 Heng Zoey D5 SD-2 Teo Chee Hau Ahli kimia (pakar tulisan) SD-3 S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
11
Setelah meneliti kertas-kertas kausa yang difailkan, mendengar keterangan-keterangan saksi-saksi yang dipanggil serta setelah membaca hujahan bertulis dan hujahan balas oleh kedua-dua pihak, atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif telah gagal melepaskan beban pembuktian tuntutan Plaintif terhadap Defendan. Oleh yang demikian, tuntutan Plaintif ditolak dengan kos RM5,000.00 untuk dibayar kepada Defendan.
12
Pihak Plaintif tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini dan telah menfailkan satu Notis Rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah ini.
13
Alasan Penghakiman ini disediakan bagi tujuan menjawab Notis Rayuan tersebut. [B]. FAKTA KES
14
Plaintif adalah sebuah bank yang menjalankan perniagaan di Malaysia manakala Defendan Pertama (“D1”) merupakan satu syarikat dan Defendan Kedua (“D2”) sehingga Defendan Kelima (“D5”) adalah pemegang-pemegang syer dan/atau penjamin untuk D1.
15
Plaintif telah menawarkan kepada D1 satu kemudahan kredit (“Kemudahan tersebut”), UOB BizMoney Loan (WCGS-E SJPP) bagi jumlah RM200,000.00.
16
Syarat-syarat tawaran/kelulusan yang dikeluarkan oleh Plaintif kepada D1 (“Surat Tawaran tersebut”) dan UON BizMoneyTerms & Conditions mengenai syarat-S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w syarat dan terma-terma Kemudahan tersebut telah ditandatangani oleh D2 dan
17
Plaintif mengatakan bahawa melalui satu dokumen Gerenti (Guarantee) bertarikh 19.8.2019 bagi Kemudahan tersebut, D2 sehingga D5 telah secara bersesama dan berasingan menjamin kepada, antara lain : i). Apabila dituntut oleh Plaintif, D2 hingga D5 akan membayar kesemua wang yang kena dibayar atau terhutang oleh D1 kepada Plaintif di bawah kemudahan sehingga had principal RM200,000.00 tersebut beserta faedah, caj, kos (termasuk kos guaman pada penetapan peguamcara dan klien) serta lain-lain perbelanjaan yang dialami oleh Plaintif dan kena dibayar atau terhutang oleh D1; dan ii). D2 hingga D5 bersetuju bahawa satu penyata akaun yang dikeluarkan pleh Plaintif mengenai jumlah wang yang terhutang oleh D2 hingga D5 dan liabiliti D2 hingga D5 adalah keterangan muktamad terhadap D2 hingga D5; iii). D2 hingga D5 bersetuju bahawa apa-apa notis tuntutan boleh disampaikan kepada D2 hingga D5 di alamat sepertimana yang dinyatakan di dalam Gerenti tersebut.
18
Disebabkan D1 telah melanggar terma-terma dan syarat-syarat di bawah Kemudahan tersebut, Plaintif telah menamatkan Kemudahan tersebut. Plaintif kini menuntut semula jumlah pinjaman yang telah diberikan melalui Kemudahan itu daripada D2 hingga D5. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
19
Manakala D5 memplidkan bahawa dia bukanlah pihak yang menandatangan dokumen Gerenti tersebut. D5 menyatakan bahawa tandatangan dia telah dipalsukan oleh pihak D4 serta dia tidak tahu-menahu berkenaan perjanjian Kemudahan yang telah dimasuki oleh pihak D1 tersebut. Oleh itu, dia tidak sepatutnya dipegang sebagai bertanggungjawab di bawah dokumen Gerenti tersebut. [C].
20
Pihak-pihak telah bersetuju bahawa isu-isu yang akan dibicarakan adalah seperti berikut: i). Sama ada Defendan Kelima telah dengan rela hati dan tanpa paksaan menandatangani Gerenti tersebut; ii). Sama ada Defendan Kelima adalah penjamin kepada Kemudahan tersebut; iii). Sama ada Defendan Kelima adalah bertanggunggan ke atas Kemudahan tersebut;dan iv). Sama ada tandatangan D5 telah dipalsukan oleh D4 pada Gerenti tersebut. [D].
21
Antara perkara yang paling diperdebatkan di antara pihak-pihak adalah sama ada Plaintif telah menghantar notis tuntutan kepada D5, selaku salah satu penjamin di dalam Gerenti tersebut. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
22
Plaintif telah membangkitan bantahan awal dengan mengatakan bahawa isu ini tidak diplidkan di dalam dokumen Isu-Isu Untuk Dibicarakan. Oleh itu, pihak Defendan tidak berhak untuk membangkitkan isu ini pada peringkat perbicaraan dan hujahan.
23
Dalam perkara ini, Mahkamah tidak bersependapat dengan hujahan peguamcara Plaintif. Rujukan dibuat kepada senarai Isu-Isu Untuk Dibicarakan (Perenggan 20) dan penekanan dibuat kepada Isu Ketiga iaitu “Sama ada Defendan Kelima adalah bertanggunggan ke atas Kemudahan tersebut”.
24
Tanggungjawab seseorang penjamin hanya akan berbangkit apabila 1) berlakunya satu keingkaran (breach) dan 2) apabila satu notis tuntutan telah dihantar kepada penjamin lanjutan pemakaian klausa on-demand di dalam sesuatu perjanjian pinjaman tersebut.
25
Prinsip berkenaan pra-syarat untuk memulihkan hutang daripada seorang penjamin, satu notis tuntutan hendaklah diserahkan kepada penjamin tersebut telah digunapakai di dalam banyak kes. Antaranya ialah kes Allied Bank (m) Sdn Bhd v Yau Jiok Hua [2006] 5 MLJ 145 para 24 yang menyatakan seperti berikut : [24] Under the circumstances in the instant appeal, we are of the view that no notice of demand need even be sent to the respondent who is the principal borrower himself. There is a pre-existing debt which is payable “on demand” and such a demand, other than the service of proceedings, is not a pre-requisite to the bringing of the action to recover the debt. The writ is a notice of demand in S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w itself. The learned JC failed to appreciate that this was claim against a principal debtor and not a guarantor. We would agree that a separate and proper notice of demand has to be given to a guarantor because he is being sued on a collateral contract but where the borrower himself or the principal debtor is beign sued, the writ itself is sufficient demand.”
26
Dengan mengaplikasikan prinsip itu kepada fakta kes terkini, Mahkamah mendapati selagimana Plaintif tidak menghantar satu notis tuntutan kepada D5, tanggungjawab D5 sebagai seorang penjamin di bawah dokumen Gerenti tersebut tidak akan berbangkit. Atas penjelasan itu, bantahan awal Plaintif adalah ditolak kerana Mahkamah ini mendapati isu berkenaan keperluan untuk menunjukkan serahan notis tuntutan ini sudahpun dinyatakan sebagai salah satu isu sampingan di bawah Isu Ketiga di dalam dokumen Isu-Isu Untuk Dibicarakan
27
Kini, Mahkamah ini akan teruskan dengan isu berkenaan sama ada notis tuntutan telahpun dihantar/diserahkan kepada D5 atau tidak.
28
Peguamcara Plaintif ada membuat rujukan pada kes Hong Leong Bhd v HGM Machinery Sdn Bhd (formerly known as Handee Engineering & Consultancy Services Sdn Bhd) & Ors [2013] 9 MLJ 412 untuk menuntukkan bahawa tiada keperluan terhadap Plaintif untuk menunjukkan bukti penerimaan sesuatu notis tuntutan oleh seseorang penjamin. Memadai sekadar Plaintif menunjukkan bahawa notis tuntutan itu telahpun dihantar atau diisukan kepada penjamin. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
29
Semakan telah dibuat kepada fakta kes tersebut dan didapati fakta kes tersebut adalah berbeza dengan kes terkini. Di dalam kes tersebut, pihak Plaintif telah mengemukakan resit yang dikeluarkan oleh pejabat pos untuk menunjukkan bahawa surat/notis tuntutan telahpun dihantar kepada penjamin. Dengan adanya bukti resit pengeposan itu, Hakim telah memutuskan bahawa ianya adalah memadai untuk menunjukkan bukti pengeposan/penghantaran kepada Defendan, dan tiada keperluan untuk menunjukkan bukti penerimaan di pihak Defendan.
30
Tetapi berbeza di dalam kes terkini di mana bukan sahaja Plaintif tidak mengemukakan apa-apa bukti penerimaan, Plaintif juga tidak mengemukakan apa-apa bukti untuk menunjukkan pengeposan / penghantaran notis tuntutan kepada D5.
31
Di dalam kes ini, Plaintif hanya bersandarkan kepada keterangan saksi SP-3 yang mengatakan bahawa dalam pengetahuan dia, satu notis tuntutan telahpun dihantar kepada semua penjamin (termasuk D5). Untuk menyokong pernyataan SP-3, dia telah membuat rujukan kepada perenggan 9 Pernyataan Tuntutan Plaintif. Mahkamah melihat keterangan SP-3 ini adalah self-serving dan ianya tidak disokong dengan apa-apa bukti lain. Rujukan yang dibuat kepada perenggan 9 Pernyataan Tuntutan Plaintif itu hanyalah pliding Plaintif yang mana ianya tidak membawa sebarang faktor pemberat sekiranya tidak disokong oleh keterangan/bukti lain.
32
Adalah ditekankan di sini bahawa Plaintif telah gagal untuk mengemukakan sesalinan notis tuntutan itu di dalam Ikatan Dokumen Bersama. Plaintif telah cuba S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w menunjukkan bahawa sesalinan notis tuntutan itu pernah dilampirkan sebagai salah satu ekshibit di dalam Afidavit Sokongan mereka untuk menyokong notis permohonan untuk mendapatkan Penghakiman Terus terhadap D5. Namun, Plaintif tidak menafikan bahawa sesalinan notis tuntutan itu tidak difailkan bersama di dalam Ikatan Dokumen Bersama.
33
Dalam perkara ini, bagi tujuan pertimbangan selepas perbicaraan penuh, Mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah hanya boleh membuat rujukan kepada dokumen yang telah difailkan di dalam Ikatan Dokumen Bersama. Oleh itu, rujukan tidak boleh dibuat kepada dokumen yang di ekshibitkan di dalam Afidavit Sokongan untuk Penghakiman Terus.
34
Merujuk kepada perenggan 1 hingga 8 Alasan Penghakiman ini, boleh dilihat bahawa kronologi kes ini adalah panjang di mana kes telah didaftarkan pada bulan Februari 2023, kes ni pernah naik ke Mahkamah Tinggi untuk rayuan dan kemudiannya turun semula ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan pada hujung tahun 2024.
35
Mahkamah juga telah memberi masa secukupnya kepada pihak-pihak untuk menyediakan kesemua dokumen yang ingin dirujuk sewaktu perbicaraan di Mahkamah. Namu, Plaintif telah gagal untuk menyertakan notis tuntutan itu di dalam Ikatan Dokumen Bersama. Mahkamah juga telah memberikan satu hari tambahan sewaktu perbicaraan untuk memberi Plaintif peluang untuk mengemukakan notis tuntutan ini. Namun, Plaintif masih gagal untuk mengemukakan notis tuntutan ini. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
36
Memandangkan isu utama yang berbangkit di dalam kes ini adalah berkenaan sama ada D5 sememangnya telah menandatangan Gerenti tersebut, Mahkamah berpandangan adalah wajar untuk Mahkamah meletakkan penekanan yang lebih terhadap Plaintif untuk menunjukkan serahan notis tuntutan juga telah dibuat dengan sempurna kepada D5.
37
Dalam perkara ini, Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal untuk mengemukakan bukti penerimaan mahupun bukti serahan/pengeposan notis tuntutan itu. Oleh itu, tindakan Plaintif dalam menfailkan tuntutan ini terhadap D5 adalah pra-matang kerana pre-requisite untuk menuntut daripada D5 (selaku salah seorang penjamin) masih belum dilaksanakan. Dengan erti kata lain, liabiliti D5 sebagai seorang penjamin masih belum berbangkit selagimana Plaintif tidak dapat menunjukkan bahawa satu notis tuntutan telah dihantar kepada D5.
38
Atas alasan di atas, Mahkamah mendapati Plaintif telah, atas imbangan kebarangkalian, gagal untuk membuktikan tuntutan Plaintif terhadap D5 dan oleh itu tuntutan Plaintif terhadap D5 adalah ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.00.
39
Secara ringkasnya, Mahkamah ini telah menolak tuntutan Plaintif atas alasan di atas sahaja kerana bagi isu-isu lain, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif iaitu D5 telah dengan rela hati dan tanpa paksaan menandatangi dokumen Gerenti, dia adalah penjamin kepada Kemudahan itu dan tiada bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa tandatangan D5 telah dipalsukan oleh D4. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
40
Bagi tujuan kesempurnaan, Mahkamah akan berikan alasan penghakiman berkenaan keputusan Mahkamah terhadap Isu Pertama, Kedua dan Keempat juga untuk penelitian Yang Arif Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan ini.
41
Memandangkan Isu Pertama, Kedua dan Keempat adalah berkait, Mahkamah ini akan menjelaskan keputusan Mahkamah sekaligus bagi ketiga-tiga isu tersebut.
42
Secara ringkasnya, Mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi Plaintif dan mendapati bahawa penafian D5 bahawa dia tidak menandatangan dokumen Gerenti itu adalah tidak mencukupi untuk mematahkan pembuktian Plaintif.
43
Pertama, Mahkamah telah membuat pemerhatian terhadap demeanour D5 sewaktu memberikan keterangan. D5 menjawab dalam keadaan yang teragak-agak dan kurang menyakinkan. Atas sebab itu, Mahkamah tidak berasa yakin untuk meletakkan 100% kepercayaan kepada keterangan D5 sahaja.
44
Mahkamah juga telah mengambil kira fakta yang mana memandangkan kesan yang akan berbangkit sekiranya satu penghakiman diputuskan terhadap D5, D5 tentunya akan memberikan keterangan untuk menafikan penglibatan dia dalam transaksi ini. Oleh itu Mahkamah telah membuat keputusan untuk menjalakan penilitian terhadap keterangan dan bukti-bukti lain yang contemporaneous.
45
Pertama, Defendan menghujahkan bahawa bukan sahaja dia tidak menandantangan dokumen Gerenti tersebut, D5 juga mengatakan adalah tidak S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w benar bahawa kesemua penjamin (termasuk D5) telah menandatangan dokumen Gerenti pada 17.8.2019 kerana dokumen telah ditarikhkan pada 19.9.2029. Dalam isu ini, SP-1 telah menjelaskan bahawa pada 17.8.2019 (Sabtu) dia telah hadir bersama SP-2 ke pejabat D1 untuk mendapatkan tandatangan D2 hingga D5 kerana itu sahaja masa yang masa penjamin-penjamin semua boleh hadir. Walaubagaimanapun, SP-1 menjelaskan bahawa bahagian tarikh dokumen Gerenti itu telah dibiarkan kosong dan ianya hanya ditulis tarikh 19.8.2019 iaitu hari bekerja pertama selepas tarikh 17.8.2019 (Isnin). SP-1 menjelaskan bahawa walaupun tiada halangan perundangan untuk sesuatu dokumen ditarikhkan pada hari cuti, namun ianya adalah satu amalan biasa bagi bank.
46
Dalam perkara ini, Mahkamah tidak mengkhuatiri keterangan SP-1 dan SP2 kerana ianya menyakinkan dan semakan terhadap kalendar juga menunjukkan pernyataan SP-1 berkenaan hari apa itu adalah konsisten.
47
Seterusnya, saksi SD-1 iaitu bapa kepada D5 menafikan bahawa D5 telah menandatangani Gerenti tersebut dan dia mengakui bahawa dia telah menggunapakai nama D5 kerana nama dia sendiri tidak cukup “kuat” untuk mendapatkan kelulusan bank. Namun, SD-1 sendiri mengakui bahawa dia sendiri tidak berada di lokasi pada tarikh 17.8.2019 semasa Gerenti itu sedang ditandatangan. Oleh itu, dia tiada pengetahuan sendiri (personal knowledge) sama ada D5 benar-benar ada atau tiada pada tarikh dan masa material itu. Maka, Mahkamah mendapati keterangan SD-1 ini tidak membawa apa-apa faktor pemberat kerana ianya bukanlah sesuatu daripada pengetahuan dia sendiri. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
48
Selain itu, Defendan juga telah membuat rujukan pada satu rakaman audio yang mana D4 menyatakan bahawa dia akan meniru tandatangan D5 di dalam dokumen perjanjian pinjaman bank. Dalam perkara ini, D4 sendiri tidak dipanggil sebagai saksi maka pengesahan bahawa audio tu sememangnya dibuat oleh D4 tidak dapat dibuat.
49
Serta, SD-1 dan D5 sendiri telah bersetuju dengan cadangan peguamcara Plaintif bahawa pernyataan audio D4 yang akan memalsukan tandatangan D5 di dalam rakaman audio itu adalah merujuk kepada satu dokumen perjanjian bank yang lain, dan bukannya dokumen Gerenti yang dipertikaikan kini.
50
Perlu ditekankan di sini bahawa Defendan telah membuat pelbagai alegasi terhadap D4 namun tiada usaha untuk mendapatkan kehadiran D4 sebagai saksi. Mahkamah ambil maklum hujahan D5 bahawa D4 tidak akan bekerjasama dan mungkin akan memberi keterangan yang menolak kesemua liabiliti terhadap D5. Namun dengan segala hormatnya kepada peguamcara Defendan, isu sama ada keterangan di itu relevan atau tidak, seharusnya diputuskan oleh Mahkamah dan bukannya oleh pihak Defendan sendiri. Hal ini kerana tanpa memanggil D4, seolah-olah Plaintif cuba menyembunyikan fakta-fakta berkenaan sama ada benar atau tidak tandatangan D5 telah dipalsukan oleh D4.
51
Oleh sebab itu dan mengambil kira kepentingan keterangan saksi D4, Mahkamah melihat keengganan D5 untuk memanggil D4 sebagai mencurigakan dan wajar membangkitkan anggapan bertentangan (adverse inference) di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap D5. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
52
Kemudian, rujukan dibuat kepada keterangan SD-3 dan juga laporan kimia yang disediakan oleh beliau. Rujukan dibuat ke mukasurat 3 laporan kimia (m/s 42 Ikatan Dokumen Bersama) dan mendapati seperti berikut : …… Results and Conclusions On comparisons, I found as follows:
i
The questioned signatures “Q1A”, “Q3A” and “Q4A” showed some similarities in handwriting characteristics as the specimen signatures “SA”. As such and due to the limited handwriting characteristics, I am of the opinion that the possibility of these questioned signatures written by the writer of the specimens could not be ruled out.
II
(ii) ……
53
Penjelasan yang sama juga diberikan sewaktu SD-3 memberi keterangan. SD-3 menekankan bahawa penelitian beliau adalah terbatas kerana sampel tandatangan yang diberikan oleh D5 sebagai rujukan adalah daripada salinan fotostat dan bukanlah dari salinan asal. Namun, setakat mana sampel yang ada pada SD-3, SD-3 tidak menafikan bahawa kebarangkalian tandatangan-tandatangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis specimen (iaitu D5) adalah wujud. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
54
Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa dapatan daripada SD-3 menunjukkan bahawa terdapat kebarangkalian bahawa tandatangan D5 di dokumen Gerenti berkemungkinan adalah daripada D5 sendiri.
55
Selain itu, pemerhatian juga telah dibuat kepada keterangan dan bukti yang dikemukakan melalui SP-1 dan SP2. Kedua-dua saksi Plaintif itu telah mengesahkan bahawa D5 telah hadir bersama penjamin-penjamin lain di pejabat D1 untuk menandatangan dokumen Gerenti itu. Penekanan diberikan terhadap keterangan SP-2 yang mana dia merupakan individu yang membuat pengesahan biometrik sebelum mana-mana penjamin ingin menurunkan tandatangan mereka.
56
SP-2 telah menjelaskan bahawa proses pengesahan biometrik dijalankan dengan pengesahan cap jari dengan rekod yang disimpan di dalam sesuatu kad pengenalan. Kad pengenalan itu hendaklah tulen dan cap jari yang diturunkan juga hendaklah dari pemilik kad pengenalan itu sendiri. Sekiranya salah satu kriteria itu tidak dipenuhi, pengesahan biometrik tidak akan berjaya. Tatacara pengesahan biometrik ini tidak disangkal oleh pihak Defendan.
57
Dalam kes ini, SP-2 dapat mengesahkan identiti D5 kerana kad pengenalan yang dikemukakan adalah tulen dan cap jari yang diturunkan oleh D5 sepadan dengan rekod cap jari yang tersimpan di dalam kad pengenalan tersebut. Salinan asal cetakan biometrik yang mengesahkan identiti D5 itu telah dikemukakan dan diterimapakai sebagai ekshibit Mahkamah sebagai P10. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
58
Bagi perkara ini, Mahkamah mendapati pihak Defendan telah gagal untuk mencantas pembuktian / pengesahan biometrik ini. Dengan itu, sekaligus hujahan Plaintif bahawa tandatangan dia telah dipalsukan dan pembelaan bahawa D5 tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan di bawah Gerenti tersebut juga telah gagal.
59
Setelah mengambil kira keseluruhan bukti-bukti dan keterangan-keterangan di atas, Mahkamah mendapati bahawa D5 sememangnya telah menurunkan tandatangan dia ke atas dokumen Gerenti tersebut. Kehadiran D5 pada 17.8.2019 di pejabat D1 sewaktu masa material disahkan dengan pengesahan kad pengenalan yang tulen, pengesahan biometrik, keterangan saksi-saksi Plaintif dan juga oleh perbandingan tandatangan dia yang telah disemak oleh SD-3. Apabila dipertimbangkan secara keseluruhan, kesemua bukti-bukti dan keterangan-keterangan itu memberikan satu kesimpulan sahaja iaitu; D5 sememangnya telah menandatangan dokumen Gerenti tersebut.
60
Oleh itu, bagi Isu Pertama, Kedua dan Keempat, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif iaitu D5 telah dengan rela hati dan tanpa paksaan menandatangi dokumen Gerenti, dia adalah penjamin kepada Kemudahan itu dan tiada bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa tandatangan D5 telah dipalsukan oleh D4.
61
Malangnya, Mahkamah terpaksa menolak tuntutan Plaintif atas sebab kegagalan mereka untuk menunjukkan bahawa mereka telah menghantar notis tuntutan kepada D5. Selagimana notis tuntutan itu belum/tidak diserahkan kepada D5, tanggungjawab D5 sebagai penjamin tidak akan berbangkit. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w [E].
62
Atas alasan di atas, Mahkamah mendapati Plaintif telah, atas imbangan kebarangkalian, gagal untuk membuktikan tuntutan Plaintif terhadap D5 dan oleh itu tuntutan Plaintif terhadap D5 adalah ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.00. Alasan Penghakiman ini disediakan pada tarikh 20 Februari 2025 SFR …………………………………… (SHAIRIL FARHANA RUSLAN) Majistret Mahkamah Majistret Sivil 2 Kuala Lumpur Nota Tarikh Keputusan : 29 November 2024 Peguamcara Plaintif : Mohd Hisyam Hilmi Bin Abd Rahman dan Yong Gha Yee dari Tetuan Chua & Partners. Peguamcara Defendan : Ling Yee Siew dan Z Y Chai (Pelatih Dalam Kamar) dari Tetuan Y.S.Ling & Co. S/N wXw0fpJR8UZjmqz94k18w
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.