SEASON MEDIA PRODUCTION SDN BHD (No. Syarikat: 201701009529 [1223694-A]) ... DEFENDAN KETIGA ALASAN PENGHAKIMAN A. PENGENALAN 1) Tindakan ini ialah suatu tuntutan sivil yang berbangkit daripada pertikaian berhubung pengedaran, penjualan hak penyiaran dan hasil bayaran bagi filem cereka Tamil berjudul “Venpa” (“Filem tersebut”). Pertikaian utama di hadapan Mahkamah ini ialah sama ada Defendan Pertama (“D1”) telah membuat representasi palsu, salah nyata dan/atau menyembunyikan fakta material mengenai harga sebenar bayaran Jabatan Penyiaran Malaysia (“RTM”) bagi Filem tersebut, 02/07/2026 16:22:09 WA-A52NCvC-604-08/2022 Kand. 124 Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 2 serta sama ada Defendan Kedua (“D2”) dan Defendan Ketiga (“D3”) turut boleh dipertanggungjawabkan terhadap Plaintif. 2) Plaintif, Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd, ialah syarikat produksi yang menerbitkan Filem tersebut. Saksi utama Plaintif ialah Kavi Nanthan A/L Kathiravelo (“SP1”), yang memberi keterangan bahawa beliau ialah Pengarah Urusan Plaintif dan pihak yang berurusan secara langsung dengan D1 bagi pihak Plaintif. 3) D1 ialah T. Veerasegar A/L Thyagarajan. Pada masa material, D1 merupakan pengarah kepada Poketplay Sdn Bhd (“Poketplay”) dan mempunyai pengalaman dalam industri pengedaran filem. D1 tidak menafikan bahawa beliau mengenali SP1 dan mengetahui bahawa Filem “Venpa” diterbitkan oleh Plaintif. 4) D2 ialah Feather Entertainment Sdn Bhd. Melalui saksi SD2, D2 menyatakan bahawa syarikat tersebut menjalankan perniagaan berkaitan produksi, pengarahan, penyuntingan, latihan dan pengedaran filem. 5) D3 ialah Season Media Production Sdn Bhd. Melalui saksi SD3, D3 menyatakan bahawa syarikat tersebut terlibat dalam produksi dan pengedaran filem serta kandungan multimedia. 6) Intipati tuntutan Plaintif ialah D1 telah memaklumkan kepada Plaintif bahawa harga jualan atau hasil bayaran RTM bagi filem “Venpa” adalah sekitar RM65,000.00, sedangkan bukti dokumentar dan keterangan SD3 menunjukkan bahawa jumlah yang dipersetujui antara Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 3 D3 dan RTM adalah RM126,000.00 (dan jumlah bersih yang dibayar oleh RTM setelah ditolak fi perkhidmatan e-Perolehan 0.8% adalah RM124,992.00). Plaintif mendakwa perbezaan jumlah tersebut bukan suatu kesilapan biasa, tetapi penipuan, salah nyata, penyembunyian fakta material dan/atau pelanggaran kewajipan agensi. 7) D1 menafikan tuntutan tersebut. D1 menyatakan bahawa kebenaran pengedaran diberikan kepada Poketplay dan bukannya kepada beliau secara peribadi. D1 juga menyatakan bahawa beliau percaya jumlah sebenar yang diperoleh melalui rantaian pengedaran adalah RM115,000.00 dan bahawa Plaintif mengetahui adanya potongan komisen sebanyak 30%. 8) D2 dan D3 pula menafikan liabiliti terhadap Plaintif. Kedua-dua pihak tersebut menegaskan bahawa tiada hubungan kontrak langsung antara mereka dengan Plaintif, bahawa mereka bertindak berdasarkan representasi dan dokumen yang diterima melalui rantaian transaksi, dan bahawa tiada bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa D2 atau D3 mengetahui representasi yang dibuat oleh D1 kepada Plaintif atau berpakat dengan D1 untuk menipu Plaintif. 9) Setelah meneliti keseluruhan pliding, Ikatan Dokumen Bersama, nota keterangan, penyata saksi-saksi, hujahan bertulis, hujahan balas, otoriti dan peruntukan undang-undang yang dirujuk, Mahkamah ini memutuskan bahawa tuntutan Plaintif terhadap D1 adalah dibenarkan sebahagian, manakala tuntutan Plaintif terhadap D2 dan D3 ditolak. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 4 10) Keputusan Mahkamah ini secara ringkasnya adalah seperti berikut: a) Tuntutan Plaintif terhadap D1 dibenarkan sebahagian atas asas salah nyata material, penyembunyian fakta material dan pelanggaran kewajipan agensi/kepercayaan berhubung hasil bayaran RTM bagi Filem “Venpa”. b) D1 diperintahkan membayar kepada Plaintif jumlah RM126,000.00 sebagai bayaran RTM bagi Filem tersebut. c) D1 juga diperintahkan membayar faedah ke atas jumlah RM126,000.00 pada kadar 5% setahun dari tarikh pemfailan tindakan sehingga tarikh penghakiman, dan seterusnya faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh. d) Tuntutan Plaintif untuk ganti rugi am dibenarkan untuk ditaksirkan. e) D1 hendaklah membayar kos tindakan kepada Plaintif sebanyak RM8,000.00. f) Tuntutan Plaintif terhadap D2 dan D3 ditolak. Plaintif hendaklah membayar kos RM1,000.00 kepada D2 dan kos RM3,000.00 kepada D3. 11) Butiran selanjutnya adalah huraian alasan penghakiman mahkamah ini bagi setiap isu yang berbangkit di dalam kes ini. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 5 B. DOKUMEN, EKSIBIT DAN BAHAN YANG DITELITI 12) Dalam mencapai keputusan penuh tindakan guaman ini, Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan kertas kausa serta dokumen-dokumen material yang dikemukakan dan dirujuk semasa perbicaraan. 13) Ikatan Dokumen Bersama adalah amat material kerana ia memuatkan, antara lain, Surat Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd bertarikh 1.3.2020 di m/s 13, Perjanjian antara Feather Entertainment Sdn Bhd dan Season Media Production Sdn Bhd bertarikh 18.12.2021 di m/s 14-18, Perjanjian antara Feather Entertainment Sdn Bhd dan Season Media Production Sdn Bhd bertarikh 20.12.2021 di m/s 19-27, Perjanjian bertarikh 28.11.2021 di m/s 28-36, Baucer Bayaran Kerajaan Malaysia di m/s 41-42, Surat Setuju Terima RTM bertarikh 10.12.2021 di m/s 43-58, tangkap layar WhatsApp antara D1 dan Plaintif, emel D1 bertarikh 2.6.2022 di m/s 62-64 dan emel D1 bertarikh 20.5.2022 di m/s 66. 14) Mahkamah ini turut mengambil kira bahawa dokumen-dokumen tertentu adalah dalam Kategori A dan B dalam Ikatan Dokumen Bersama. Namun demikian, pengelasan dokumen semata-mata tidak menghalang Mahkamah daripada menilai berat keterangan saksi-saksi serta keterangan dokumentar, konteks transaksi dan kebolehpercayaan saksi-saksi yang menjelaskan dokumen tersebut. C. RINGKASAN FAKTA 15) Filem “Venpa” diterbitkan oleh Plaintif dan telah ditayangkan di pawagam pada atau sekitar tahun 2019. SP1 menyatakan bahawa Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 6 Filem tersebut merupakan hasil karya dan aset komersial Plaintif. SP1 pada mulanya mengenali D1 ketika D1 berkhidmat dengan DMY Creation Sdn Bhd, iaitu syarikat yang pernah terlibat dalam pengedaran Filem tersebut untuk tayangan pawagam. 16) Selepas D1 tidak lagi bersama DMY Creation Sdn Bhd, D1 telah berhubung dengan SP1 dan mencadangkan supaya Filem “Venpa” diedarkan kepada platform lain seperti RTM, Mediacorp Singapore, Netflix dan Amazon Prime. Dalam keterangan D1 sendiri, D1 menyatakan bahawa beliau mencadangkan saluran-saluran tersebut kerana Plaintif mencari jalan lain untuk menjana pendapatan daripada Filem tersebut. 17) Pada atau sekitar 1.3.2020, Plaintif telah mengeluarkan suatu Letter of Authorisation kepada Poketplay. Intipati surat tersebut adalah untuk membolehkan Poketplay menjalankan kerja-kerja perlu bagi membawa Filem tersebut kepada platform berkaitan seperti terrestrial television, satellite television, video on demand, cable television, digital, pay per view, internet dan NVOD rights. 18) Fakta material adalah bahawa Poketplay Sdn. Bhd. hanya diperbadankan secara rasmi pada 1 Jun 2020, iaitu kira-kira tiga (3) bulan selepas LOA bertarikh 1.3.2020 dikeluarkan oleh Plaintif. Hakikat ini diakui sendiri oleh D1 dalam pemeriksaan balas (“In ROC sir, it’s June 1st 2020 sir... officially sir” — Nota Keterangan ms 86) dan turut diakui oleh SD2 yang menyatakan beliau tidak menyedari Poketplay belum wujud pada tarikh tersebut (“Now only I’m aware of that” — Nota Keterangan ms 187). Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 7 19) Pertikaian utama berhubung Letter of Authorisation tersebut ialah tafsiran dan kesannya. D1 menyatakan bahawa surat itu memberi kuasa luas kepada Poketplay untuk mendapatkan bantuan pihak ketiga seperti D2 dan seterusnya D3. Plaintif pula menegaskan bahawa surat itu tidak memberi kebenaran mutlak kepada D1 atau Poketplay untuk menyembunyikan harga sebenar RTM, membuat keuntungan rahsia, mengemukakan dokumen yang tidak tepat atau memindahkan urusan pengedaran kepada pihak lain tanpa pendedahan penuh kepada Plaintif. 20) Rantaian transaksi yang akhirnya terdedah melalui dokumen menunjukkan bahawa Poketplay/D1 berurusan dengan D2, D2 berurusan dengan D3, dan D3 berurusan dengan RTM. D3 mengesahkan bahawa RTM bersetuju membayar RM126,000.00, manakala jumlah yang dipersetujui di antara D3 dan D2 ialah RM115,000.00 selepas kos dokumentasi. 21) D1 menyatakan bahawa perjanjian antara Poketplay dan D2 adalah pada nilai RM115,000.00 dan D2 berhak kepada komisen 30%. D1 juga menyatakan bahawa jumlah yang tersedia kepada Plaintif selepas potongan 30% dan pelarasan tertentu adalah sekitar RM77,456.00 atau RM78,536.00 sebagaimana yang dihujahkan dan dijelaskan oleh saksi D2. 22) Plaintif pula menegaskan bahawa D1 pada masa material memaklumkan kepada Plaintif jumlah yang jauh lebih rendah, khususnya RM60,000.00 dan kemudian RM65,000.00, serta Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 8 memaklumkan bahawa syarikat “Bumiputra” yang tidak didedahkan akan mengambil komisen 30%. Plaintif hanya mengetahui jumlah sebenar RM126,000.00 selepas dokumen diperoleh melalui proses Mahkamah/RTM. E. RINGKASAN TUNTUTAN PLAINTIF 23) Intipati tuntutan Plaintif ialah D1 telah melakukan salah nyata, penipuan, penyembunyian fakta material dan/atau pelanggaran kewajipan agensi dengan memaklumkan harga RTM yang tidak benar dan menyembunyikan jumlah sebenar yang dibayar oleh RTM. 24) Plaintif menyatakan bahawa D1 bukan sekadar “mencadangkan” pengedaran, tetapi telah berjanji untuk menguruskan pengedaran Filem tersebut kepada RTM, Syarikat Televisyen Singapura, Netflix dan Amazon Prime. Plaintif juga menyatakan bahawa D1 telah memberi representasi bahawa beliau mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja tersebut. 25) Plaintif seterusnya menyatakan bahawa D1 telah memaklumkan harga RTM pada 25.11.2021 sebagai RM60,000.00 dan kemudian RM65,000.00, sedangkan RTM sebenarnya membayar RM126,000.00. Menurut Plaintif, perbezaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai kesilapan biasa atau isu komisen semata-mata kerana harga asal yang dimaklumkan kepada Plaintif adalah tidak benar. 26) Plaintif turut mendakwa bahawa D1 gagal mendedahkan penglibatan sebenar D2 dan D3 serta menyatakan bahawa pihak yang terlibat ialah Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 9 suatu “syarikat Bumiputra”. Selepas penzahiran dokumen, Plaintif mengetahui bahawa pihak yang berurusan dengan RTM ialah D3, iaitu Season Media Production Sdn Bhd. 27) Terhadap D2 dan D3 pula, Plaintif pada asalnya menuntut, antara lain, penzahiran dokumen-dokumen RTM, penjelasan berhubung dokumen yang diterima daripada RTM, dan pembuktian bahawa dokumen RTM tersebut tidak dipalsukan. Plaintif juga cuba membangkitkan isu hak cipta dan kebenaran menangani kandungan Filem tersebut, namun isu tersebut perlu dianalisis berdasarkan pliding sebenar dan bukti yang dikemukakan. F. RINGKASAN PEMBELAAN D1 28) D1 menafikan tuntutan Plaintif. D1 menyatakan bahawa Letter of Authorisation bertarikh 1.3.2020 diberikan kepada Poketplay dan bukan kepada D1 secara peribadi. D1 berhujah bahawa Poketplay diberi kuasa untuk melaksanakan kerja-kerja perlu bagi mengedarkan Filem tersebut kepada platform yang dinyatakan. 29) D1 juga menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuota mencukupi untuk menawar Filem tersebut kepada RTM pada masa material. Oleh itu, Poketplay mendapatkan bantuan D2 kerana D2 mempunyai pengalaman dan rangkaian dengan RTM. D1 juga menyatakan bahawa beliau percaya jumlah sebenar yang diperoleh melalui rantaian pengedaran ialah RM115,000.00 dan bahawa D2 berhak kepada komisen 30%. Menurut D1, beliau tidak mengetahui jumlah RM126,000.00 pada masa material dan hanya mengetahui perbezaan jumlah tersebut selepas tindakan guaman ini berjalan. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 10 30) D1 juga menafikan bahawa beliau memalsukan apa-apa dokumen. D1 cuba meletakkan tanggungjawab terhadap dokumen yang memaparkan jumlah RM115,000.00 kepada D2 atau pihak lain. Walau bagaimanapun, isu ini perlu dinilai bersama-sama keterangan lisan D1, keterangan D2/D3 dan dokumen objektif yang ada di hadapan Mahkamah. G. RINGKASAN PEMBELAAN D2 DAN D3 31) D2 dan D3 menafikan liabiliti terhadap Plaintif. Kedua-dua Defendan ini menegaskan bahawa tiada hubungan kontrak langsung antara mereka dengan Plaintif. 32) D2 melalui SD2 menyatakan bahawa D1 atau Poketplay telah menghampiri D2 untuk membantu pengedaran Filem “Venpa” kepada RTM. D2 menyatakan bahawa D1 mendakwa mempunyai semua hak daripada Plaintif untuk mengedarkan Filem tersebut. D2 menyatakan bahawa harga yang dipersetujui antara D1/Poketplay dan D2 ialah RM115,000.00. Daripada jumlah tersebut, D2 menolak 30% komisen sebanyak RM34,500.00 dan suatu invois tertunggak/kerja konversi sebanyak RM1,964.00 selepas diskaun, lalu jumlah yang dibayar kepada Poketplay adalah RM78,536.00 atau jumlah yang bersamaan setelah pelarasan. 33) D3 melalui SD3 menyatakan bahawa D3 tidak mengenali Plaintif dan tidak mengenali D1. D3 berurusan dengan D2 kerana D2 menghampiri D3 untuk membantu pengedaran Filem tersebut kepada RTM. D3 mengesahkan bahawa RTM membayar RM126,000.00, tetapi D3 Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 11 bersetuju membayar D2 jumlah RM115,000.00 selepas kos dokumentasi. 34) D2 dan D3 selanjutnya menyatakan bahawa Plaintif tidak membuktikan elemen fraud, conspiracy, pengetahuan, pakatan atau perbuatan salah terhadap mereka. D2 dan D3 menghujahkan bahawa isu hak cipta tidak diplidkan sebagai kausa tindakan yang lengkap terhadap mereka, dan tidak boleh diperluaskan di peringkat hujahan atau pemeriksaan balas untuk mengenakan liabiliti yang tidak diplidkan. H. KETERANGAN SAKSI-SAKSI SP1 - Kavi Nanthan A/L Kathiravelo 35) SP1 ialah Pengarah Urusan Plaintif. Dalam pernyataan saksi beliau, SP1 menyatakan: “Saya adalah pengarah urusan di dalam Syarikat Plaintif. Saya adalah pihak yang sering berhubung dengan Defendan Pertama bagi pihak Plaintif.” 36) SP1 menjelaskan bahawa beliau mengenali D1 sejak tahun 2019 semasa D1 bekerja dengan DMY Creation Sdn Bhd sebagai Pengurus Besar. SP1 menyatakan bahawa selepas D1 berhenti daripada DMY Creation Sdn Bhd, D1 mengambil kandungan Filem tersebut dan berjanji untuk membuat kerja-kerja pengedaran kepada RTM, Televisyen Singapura, Netflix dan Amazon Prime. “Apabila Defendan Pertama berhenti kerja dengan DMY Creation Sdn Bhd, Defendan Pertama telah ambil bersamanya kandungan Filem tersebut dan Defendan Pertama berjanji dengan saya sebagai Pengarah Urusan Plaintif bahawa Defendan Pertama akan Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 12 membuat kerja-kerja pengedaran Filem tersebut kepada RTM, Televisyen Singapura, Netflix dan Amazon Prime.” 37) Berhubung representasi harga RTM, SP1 memberi keterangan bahawa D1 pada 25.11.2021 menghantar mesej WhatsApp menyatakan bahawa suatu syarikat Bumiputra berjaya membuat tawaran kepada RTM pada harga RM60,000.00 dan akan mengambil komisen 30%, kemudiannya menyatakan bahawa RTM mengambil Filem tersebut pada harga RM65,000.00. “Pada 25/11/2021 Defendan Pertama hantar mesej WhatsApp mengatakan bahawa Syarikat Bumiputra berjaya untuk membuat tawaran kepada RTM untuk harga RM60,000.00 dari mana pihak Syarikat Bumiputra akan ambil komission RM18,000.00 (30%). Kemudian pada hari yang sama Defendan Pertama menghatar mesej WhatsApp mengatakan RTM telah ambil Filem tersebut untuk harga tawaran RM65,000.00 dan pihak syarikat Bumiputra akan ambil 30% dari bayaran berkenaan.” 38) SP1 turut menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati kerana D1 tidak memaklumkan ketidakupayaan D1 untuk membuat tawaran kepada RTM sendiri dan tidak mendapatkan kebenaran Plaintif untuk menggunakan syarikat lain bagi tujuan tersebut. Dalam pemeriksaan balas, SP1 menerima bahawa Letter of Authorisation bertarikh 1.3.2020 diberikan kepada Poketplay. Namun, SP1 menjelaskan bahawa urusan itu bermula dengan D1 secara peribadi dan bukan dengan Poketplay sebagai entiti bebas. SP1 menyatakan: “Kerana sebuah urusan sebelum surat ini keluar, sebelum surat ini keluar kita sudah ada perbincangan dalam whatsapp dengan Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 13 Veera, bukan dengan Poketplay. So apabila beliau berhasrat untuk mengedarkan filem ini mesti kena ada melalui sebuah syarikat dan syarikat yang dimiliki oleh Poketplay beliau sendiri memberi cadangan dan memberi contoh surat...” 39) SP1 juga menyatakan bahawa tiada hak eksklusif diberikan kepada Poketplay atau D1 dan Plaintif masih boleh mendapatkan perkhidmatan pengedaran daripada pihak lain. Namun SP1 dengan tegas menolak cadangan bahawa D1 atau Poketplay diberi kebenaran untuk “membuat apa cara sekalipun” tanpa pendedahan dan kawalan Plaintif. “D1: Adakah kamu memberikan hak eksklusif kepada Poketplay untuk mengedarkan filem Venpa? SP1: Bukan. Mana hak ekslusif. Hak saja... D1: Maksudnya tiada hak eksklusif kepada Poketplay ataupun defendan pertama setuju atau tidak? SP1: Betul.” D1: Setuju atau tidak jika saya katakan bahawa defendan pertama diberikan kebenaran untuk membuat apa cara sekalipun untuk mengedarkan filem Venpa? SP1: Tidak. D1: Tidak. SP1: Tidak setuju.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 14 40) Keterangan paling material SP1 ialah mengenai perbezaan harga antara RM65,000.00, RM115,000.00 dan RM126,000.00. Dalam pemeriksaan balas, SP1 menyatakan: “Harga asal yang diberitahu oleh defendan pertama adalah RM60,000.00 lepas tu dia perbetulkannya kepada RM65,000.00. Dan dalam RM65,000 terdapat potongan 30%... Tetapi itu bukan harga jualan yang asal. Harga jualan asal adalah RM126,000.00. Maksudnya dalam lebih kurang RM80,000.00, hampir disapu oleh Defendan dan hanya memberi saya RM45,000.00...” 41) SP1 juga menjelaskan bahawa SST yang diberikan oleh D1 menunjukkan RM115,000.00, tetapi dokumen RTM yang diperoleh melalui perintah Mahkamah menunjukkan RM126,000.00. SP1 menyatakan: “SST dari RTM yang diberikan oleh defendan pertama dan nyatakan RM115,000.00. Tetapi selepas kami dapat perintah, surat daripada RTM. Sebenarnya RM126,000.00. Maksudnya SST yang diberikan oleh defendan pertama kepada kami telah dimodified. Tampered.” 42) Mahkamah mengambil perhatian bahawa SP1 juga menyatakan bahawa dokumen RTM tidak pernah sampai kepada Plaintif sebelum ini, dan Plaintif hanya memperolehnya melalui proses Mahkamah. Ini menjadikan isu pendedahan sebenar dan kejujuran D1 amat material. SD1 - T. Veerasegar A/L Thyagarajan 43) SD1 ialah D1 sendiri. Dalam pernyataan saksi beliau, SD1 menyatakan bahawa beliau ialah pengarah Poketplay dan syarikat tersebut terlibat Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 15 dalam perniagaan produksi serta pengedaran filem. SD1 juga mengakui bahawa beliau mengenali SP1 dan mengetahui Filem “Venpa” diterbitkan oleh Plaintif. “I am a director of a company known as POKETPLAY SDN BHD... My company is involved in the business of production and distribution of movies.” 44) SD1 menyatakan bahawa selepas Plaintif tidak berpuas hati dengan royalti melalui DMY Creation Sdn Bhd, SD1 mencadangkan kepada SP1 untuk meneroka saluran lain seperti RTM, Mediacorp Singapore, Netflix dan Amazon Prime. Menurut SD1, SP1 bersetuju dan meminta bantuan SD1 kerana SD1 mempunyai pengalaman dan kenalan. “Since the Plaintiff was looking at other avenues to generate money from the movie, I suggested to Mr. Kavinanthan to explore other avenues to distribute his film such as to RTM, Mediacorp Singapore and other Over the Top (OTT) platforms such as Netflix and Amazon Prime.” 45) SD1 menyatakan bahawa Letter of Authorisation bertarikh 1.3.2020 memberi hak kepada Poketplay untuk menjalankan kerja-kerja perlu bagi mengedarkan Filem tersebut ke pelbagai platform. “Vide this Letter, my company was given the rights to carry out all necessary works to distribute the movie i.e. Venpa to various platforms such as Terrestrial television, Satellite television, Video on Demand, Cable Television, Digital, Pay per View, Internet & NVOD rights worldwide.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 16 46) Berhubung RTM, SD1 menyatakan bahawa Poketplay tidak mempunyai slot mencukupi untuk menawarkan Filem tersebut kepada RTM pada masa material dan oleh itu mendapatkan bantuan D2. Dalam pemeriksaan balas, SD1 bersetuju bahawa beliau memerlukan perkhidmatan D2 kerana kuota syarikatnya telah habis. “SM: ... the need for you to engage 2nd defendant services. SD1: Because my company quota is already finished, sir.” 47) SD1 juga mengakui bahawa beliau memasuki perjanjian dengan D2 dan bahawa harga dalam perjanjian tersebut ialah RM115,000.00 dengan komisen 30%. “Q23: What are the terms of the Agreement between your company and the Second Defendant? A23: ... the licencing fee for the movie is for a sum of RM115,000.00. The Second Defendant is entitled to a 30% commission...” 48) Namun demikian, apabila D1 mendakwa bahawa dokumen yang menunjukkan RM115,000.00 diterima daripada D2 atau pihak lain, keterangan D1 tidak disokong dengan bukti bebas yang mencukupi. Dalam pemeriksaan balas, SD1 mengakui bahawa tiada WhatsApp, emel atau dokumen yang dapat menunjukkan bahawa dokumen tersebut datang daripada D2. “SM: ... when you allege that my client gave you the document, you must prove that it came from my client. But in this case, you couldn’t even give me one evidence to support your contention. Correct? There is no evidence at all. No WhatsApp, no email, nothing. SD1: Yes, sir I do not have it.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 17 49) Mahkamah ini mendapati bahawa bahagian keterangan SD1 ini adalah material kerana D1 ialah pihak yang menghantar atau memajukan maklumat harga kepada Plaintif. Jika D1 mahu mengatakan bahawa dokumen atau maklumat harga RM115,000.00 datang daripada D2, beban pembuktian fakta tersebut terletak pada D1. SD2 - Ramakathiravan Govindarajan 50) SD2 memberi keterangan bagi pihak D2. SD2 ialah pengarah D2. SD2 menyatakan bahawa D2 terlibat dalam produksi, latihan, rundingan dan bantuan pengedaran filem. SD2 juga menyatakan bahawa D1 menghampiri D2 untuk membantu pengedaran Filem “Venpa” kepada RTM. “Somewhere in 2021, the 1st Defendant had approached the 2nd Defendant to help him with the distribution the Tamil film called ‘Venpa’ to RTM. The reason for the 1st Defendant to approach us is because we have worked with RTM in the past and had helped introduce many films to RTM through our networks.” 51) SD2 menyatakan bahawa D1 mendakwa mempunyai semua hak daripada Plaintif untuk mengedarkan Filem tersebut. D2 tiada hubungan perniagaan langsung dengan Plaintif dan tiada pengetahuan mengenai perjanjian antara Plaintif dengan D1. “The 1st Defendant claimed that he had all the rights from the Plaintiff to distribute the said film... However, our dealing with the 1st Defendant is only with the distribution of Venpa to RTM.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 18 52) SD2 juga mengesahkan bahawa harga yang dipersetujui antara D1/Poketplay dan D2 ialah RM115,000.00. SD2 menjelaskan bahawa jumlah yang dibayar kepada Poketplay/D1 adalah selepas penolakan 30% komisen dan bayaran konversi sebanyak RM2,400.00 yang didiskaunkan kepada RM1,964.00. “The price agreed by both parties was RM115,000.00... From that amount we deducted 30% or RM34,500.00 as our commission and RM1,964.00 (after discount) for the outstanding invoice dated 15.04.2022...” 53) Dalam nota keterangan, SD2 menjelaskan pengiraan jumlah sekitar RM78,000.00 seperti berikut: “From RM115,000 minus 0.8%... RM114,080. From this amount minus 30% = RM79,856. From this amount, there are some material and editing charges RM2,400... that RM79,856 minus RM2,400, the amount is RM77,456...” 54) SD2 turut menyatakan bahawa D2 tidak tahu ke mana lebihan RM11,000.00 antara RM126,000.00 yang dibayar oleh RTM kepada D3 dengan RM115,000.00 yang dipersetujui antara D2 dan D3, kerana jumlah jualan lebih itu tidak dimaklumkan kepada D2. “D1: RTM paid RM126,000 to D3 but the agreed sum between D2 and D3 is RM115,000. Does the witness know about where does the excess of RM11,000 goes in this case? SD2: D2 and D3 was agreed to RM115,000 based on agreement. The excess amount sell was not to be informed to us.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 19 55) Mahkamah menilai keterangan SD2 dengan mengambil kira bahawa D2 mungkin tidak membuat pengesahan terus dengan Plaintif berhubung hak D1/Poketplay. Namun, kegagalan sedemikian, tanpa lebih, tidak semestinya membuktikan fraud, pemalsuan dokumen atau pakatan dengan D1 untuk menipu Plaintif. SD3 - Jaganath Raghunathan 56) SD3 memberi keterangan bagi pihak D3. SD3 ialah business development manager D3 dan diberi kuasa untuk memberi keterangan bagi pihak D3. SD3 menyatakan bahawa D3 tidak mengenali Plaintif dan tidak mengenali D1. “Q-5. Do you know the Plaintiff in this suit? A: No. Q-6. Do you know the 1st Defendant in this suit? A: No.” 57) SD3 menyatakan bahawa D2 telah menghampiri D3 untuk membantu pengedaran Filem “Venpa” kepada RTM, dan D2 mendakwa telah diberikan hak untuk mengedarkan Filem tersebut oleh D1. SD3 juga menyatakan bahawa D3 tiada urusan langsung dengan D1. “The 2nd Defendant claimed that they have been given the rights to distribute the film Venpa by the 1st Defendant. However, we have no direct dealing with the 1st Defendant.” 58) SD3 mengesahkan bahawa D3 menandatangani perjanjian dengan D2 pada 18.12.2021 dan kemudiannya memasuki Sub Distribution Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 20 License Agreement pada 20.12.2021 untuk tujuan penyerahan kepada RTM. 59) Keterangan SD3 yang paling material ialah pengesahan jumlah sebenar RTM. Dalam pernyataan saksi, SD3 menyatakan: “Yes, the amount paid by RTM is RM126,000.00. However, the amount we (3rd Defendant) have agreed to pay the 2nd Defendant after deducting all the cost for documentation is RM115,000.00.” 60) SD3 juga menjelaskan bahawa jumlah RM126,000.00 ditentukan oleh RTM selepas siri rundingan dengan pegawai RTM, dan selepas harga dipersetujui, semua terma serta syarat perlu dipatuhi dalam tempoh masa tertentu. “The amount is determined by RTM for all films that we or any agents introduce to them. This will be finalised after a series of negotiation during meeting with officials from RTM.” 61) Dalam pemeriksaan balas, SD3 menyatakan bahawa hanya D3 mempunyai pengetahuan mengenai tawaran RM126,000.00 daripada RTM, dan bersetuju bahawa D1 dan D2 tidak semestinya mengetahui jumlah tersebut. “D1: And I put it to you that only D3 have the knowledge about the offer of RM126,000 from RTM, correct? SD3: Yes. D1: There is in no way D2 and D1 can know about it, correct? SD3: Correct.” Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 21 62) Walaupun keterangan ini membantu D2 dan D3 dari sudut ketiadaan pengetahuan mengenai representasi D1 kepada Plaintif, ia tidak mengubah dapatan Mahkamah bahawa D1, sebagai pihak yang berurusan dengan Plaintif, wajib mendedahkan kepada Plaintif secara jujur segala maklumat material yang diketahuinya atau sepatutnya dimaklumkan dalam transaksi tersebut. I. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN 63) Berdasarkan pliding, dokumen dan hujahan pihak-pihak, isu-isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah adalah seperti berikut: a) Sama ada wujud hubungan kontraktual, agensi dan/atau hubungan kepercayaan antara Plaintif dengan D1/Poketplay melalui D1; b) Sama ada Letter of Authorisation bertarikh 1.3.2020 memberi kebenaran mutlak kepada D1/Poketplay untuk melibatkan D2/D3 tanpa pendedahan dan tanpa akauntabiliti kepada Plaintif; c) Sama ada D1 telah membuat representasi palsu dan/atau menyembunyikan fakta material mengenai bayaran RTM; d) Sama ada perbezaan antara RM65,000.00, RM115,000.00 dan RM126,000.00 membuktikan salah nyata material dan/atau pelanggaran kewajipan agensi oleh D1; e) Sama ada D2 bertanggungan kepada Plaintif; f) Sama ada D3 bertanggungan kepada Plaintif; Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 22 g) Sama ada isu hak cipta dan pengendalian kandungan Filem boleh dijadikan asas liabiliti terhadap D2 dan D3; h) Sama ada Plaintif membuktikan tuntutan ganti rugi khas dan ganti rugi am yang dituntut; dan i) Apakah perintah yang wajar dibuat berhubung faedah dan kos. J. HUJAHAN PIHAK-PIHAK Hujahan Plaintif 64) Plaintif menghujahkan bahawa D1 ialah pihak yang mengawal sepenuhnya komunikasi material dengan SP1. Menurut Plaintif, walaupun surat kuasa dikeluarkan kepada Poketplay, semua representasi mengenai status pengedaran, syarikat yang terlibat, harga RTM dan kadar komisen dibuat oleh D1 sendiri. Justeru, D1 tidak boleh mengelakkan liabiliti dengan mengatakan bahawa segala tindakan dilakukan oleh Poketplay sebagai entiti berasingan. 65) Plaintif menekankan bahawa isu pokok bukan semata-mata sama ada Poketplay mempunyai kuasa untuk mendapatkan bantuan pengedar lain, tetapi sama ada D1 bertindak secara jujur dan telus terhadap Plaintif. Plaintif menegaskan bahawa seorang ejen atau pihak yang diberi amanah tidak boleh menyembunyikan harga sebenar, membuat keuntungan rahsia, atau memberikan dokumen/angka yang tidak menggambarkan keadaan transaksi sebenar. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 23 66) Plaintif juga menghujahkan bahawa D1 pada mulanya memaklumkan harga RTM sebanyak RM60,000.00, kemudian RM65,000.00, dan kemudian dokumen yang dikemukakan kepada Plaintif menunjukkan RM115,000.00. Pada masa yang sama, dokumen RTM yang diperoleh kemudian menunjukkan RM126,000.00. Plaintif menyatakan bahawa turun naik angka yang ketara ini, tanpa penjelasan dokumentar yang jujur daripada D1, menunjukkan penyembunyian fakta material. 67) Plaintif selanjutnya menghujahkan bahawa keterangan SP1 tidak goyah pada perkara pokok. Walaupun SP1 mengakui bahawa surat kebenaran diberikan kepada Poketplay dan bukan kepada D1 secara peribadi, SP1 menjelaskan bahawa perbincangan asal dan kepercayaan komersial adalah dengan D1. SP1 juga menjelaskan bahawa “necessary work” dalam surat itu bukanlah lesen untuk mengendalikan transaksi secara sulit atau untuk menyorokkan harga sebenar daripada pemilik Filem. 68) Plaintif menegaskan bahawa gagal memanggil atau mengemukakan saksi atau dokumen material untuk membuktikan bahawa dokumen yang dipersoalkan datang daripada D2. Khususnya, tiada WhatsApp, emel atau keterangan daripada individu yang disebut sebagai pihak yang menerima atau menghantar dokumen tersebut. Oleh itu, Plaintif memohon Mahkamah membuat inferens bahawa kegagalan ini memudaratkan versi D1. 69) Plaintif juga merujuk kepada prinsip agensi di bawah Akta Kontrak 1950, khususnya seksyen 166, 167, 168, 169 dan 171, untuk menyokong bahawa D1 wajib memberikan akaun yang betul, Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 24 berkomunikasi dalam keadaan kesukaran, tidak menyembunyikan fakta material dan membayar kepada prinsipal jumlah yang diterima atas akaun prinsipal. 70) Terhadap D2 dan D3, Plaintif menghujahkan bahawa kedua-dua pihak tersebut tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada representasi D1 tanpa membuat due diligence terhadap pemilik Filem. Plaintif menyatakan bahawa sebagai syarikat dalam industri filem, D2 dan D3 patut mengetahui bahawa hak mengedarkan kandungan filem memerlukan kebenaran pemilik atau penerbit. 71) Walau bagaimanapun, Plaintif tidak dapat menafikan bahawa tuntutan yang diplidkan terhadap D2 dan D3 adalah lebih terhad berbanding tuntutan terhadap D1. Dalam hal ini, Mahkamah ini menilai hujahan Plaintif terhadap D2 dan D3 dengan berhati-hati agar tidak melampaui skop pliding. Hujahan Defendan Pertama 72) Defendan Pertama menghujahkan bahawa tindakan Plaintif terhadap D1 secara peribadi adalah salah kerana Letter of Authorisation bertarikh 1.3.2020 diberikan kepada Poketplay, bukan kepada D1. D1 menegaskan bahawa Poketplay ialah syarikat yang sah dan berasingan, dan bahawa tindakan material dilakukan dalam kapasiti korporat. D1 juga menghujahkan bahawa Letter of Authorisation memberikan kuasa yang luas kepada Poketplay untuk menjalankan kerja-kerja perlu bagi pengedaran Filem. Menurut D1, penggunaan D2 sebagai pengedar atau sub-pengedar adalah dalam skop kuasa yang Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 25 diberikan kerana Poketplay tidak mempunyai slot yang mencukupi dengan RTM. 73) D1 seterusnya menghujahkan bahawa Plaintif mengetahui mengenai penglibatan D2 dan mengetahui mengenai komisen 30%. D1 menyatakan bahawa Plaintif tidak membantah struktur tersebut pada masa material dan hanya mempertikaikannya selepas mengetahui isu perbezaan angka daripada dokumen RTM. Berhubung jumlah RM126,000.00, D1 menghujahkan bahawa D1 tidak mempunyai pengetahuan mengenai jumlah tersebut pada masa material. D1 menyatakan bahawa jumlah yang diketahui oleh ialah RM115,000.00 berdasarkan perjanjian dengan D2. juga menghujahkan bahawa sekiranya terdapat perbezaan antara RM115,000.00 dan RM126,000.00, perbezaan itu adalah dalam pengetahuan D3 dan bukan D1. 74) D1 turut menghujahkan bahawa Plaintif tidak mengalami kerugian yang dibuktikan bagi tuntutan kehilangan peluang Netflix, Amazon Prime, Mediacorp Singapore atau platform lain. Menurut D1, saluran penyiaran tidak wajib menerima Filem tersebut dan nilai komersial sesuatu filem berubah mengikut masa, pasaran dan minat platform. 75) Mahkamah ini telah menimbang hujahan-hujahan D1 tersebut. Namun, Mahkamah ini mendapati hujahan tersebut tidak menjawab persoalan utama, iaitu kewajipan D1 untuk memberi akaun yang telus kepada Plaintif dan kegagalan menjelaskan representasi awal RM60,000.00/RM65,000.00 berbanding jumlah RM115,000.00 yang diketahui melalui perjanjian dengan D2. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 26 Hujahan Defendan Kedua dan Defendan Ketiga 76) D2 dan D3 menghujahkan bahawa tuntutan Plaintif terhadap mereka mesti dinilai berdasarkan pliding. Menurut D2 dan D3, tuntutan terhadap mereka pada dasarnya berkisar kepada penzahiran dokumen RTM dan dakwaan sama ada dokumen RTM yang diterima atau dikemukakan telah dipalsukan. D2 dan D3 menegaskan bahawa tiada kausa tindakan kontrak langsung terhadap mereka. 77) D2 dan D3 merujuk kepada prinsip undang-udang yang mantap bahawa pihak-pihak adalah terikat dengan pliding, khususnya sebagaimana yang telah diputuskan di dalam kes Samuel Naik Siang Ting v Public Bank Bhd [2015] 6 MLJ 1 dan Blay v Pollard & Morris [1930] 1 KB 628 yang memutuskan bahawa pliding adalah asas kepada perbicaraan sivil. Mahkamah tidak boleh melayani hujah-hujah baharu yang tidak dipleadkan secara sah kerana ia melanggar prinsip keadilan dan hak pihak lawan untuk mengetahui kes yang perlu mereka jawab. Plaintif tidak boleh pada peringkat perbicaraan memperluaskan kes kepada isu hak cipta atau kesalahan menangani kandungan yang tidak diplidkan secara khusus. 78) D2 menghujahkan bahawa D1 sendiri telah datang kepada D2 dan mendakwa mempunyai hak penuh daripada Plaintif. D2 menyatakan bahawa D2 berurusan dengan D1/Poketplay atas asas representasi tersebut. D2 juga menyatakan bahawa tiada hubungan kontrak langsung dengan Plaintif dan D2 tiada pengetahuan mengenai apa-apa terma yang dipersetujui antara Plaintif dengan D1. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 27 79) D2 selanjutnya menghujahkan bahawa harga yang dipersetujui antara D1/Poketplay dan D2 ialah RM115,000.00. Menurut D2, potongan 30% dan bayaran konversi adalah berdasarkan perjanjian dan invois yang berkaitan. D2 menafikan menghantar dokumen palsu kepada D1 dan menegaskan bahawa D1 sendiri telah gagal mengemukakan bukti bahawa dokumen yang dipersoalkan tersebut datang daripada D2. 80) D3 menghujahkan bahawa D3 tidak mengenali Plaintif atau D1. D3 berurusan dengan D2 sahaja. D3 mengesahkan bahawa RTM membayar RM126,000.00, tetapi D3 telah bersetuju dengan D2 pada jumlah RM115,000.00 selepas kos dokumentasi. D3 menegaskan bahawa pengesahan jumlah bayaran dari RTM tersebut tidak membuktikan D3 telah bersekongkol dengan D1 atau mengetahui representasi D1 kepada Plaintif. 81) D2 dan D3 juga menghujahkan bahawa kegagalan mereka untuk membuat semakan terus dengan Plaintif, jika pun dianggap suatu kelemahan komersial, tidak mencapai tahap bukti fraud, conspiracy atau pemalsuan dokumen. D2 dan D3 menegaskan bahawa beban membuktikan fraud atau pemalsuan terletak utuh pada Plaintif atau pada D1 yang telah membuat dakwaan dan/atau tuduhan terhadap D2. 82) Mahkamah ini menerima bahawa hujahan D2 dan D3 berkenaan pliding dan beban pembuktian mempunyai merit yang berasas. Namun, Mahkamah ini juga menegaskan bahawa kes terhadap D1 berdiri atas asas yang berbeza, iaitu hubungan langsung D1 dengan Plaintif dan kewajipan D1 untuk memberi pendedahan serta akuan yang jujur kepada Plaintif. Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 28 Penilaian Mahkamah terhadap hujahan-hujahan 83) Setelah meneliti dan menimbang hujahan-hujahan semua pihak, Mahkamah ini mendapati bahawa inti sebenar pertikaian ialah ketelusan dan akauntabiliti D1 terhadap Plaintif. Walaupun terdapat rantaian transaksi komersial melibatkan D2 dan D3, rantaian tersebut tidak memadamkan kewajipan D1 terhadap Plaintif sebagai pihak yang berurusan secara langsung dengan pemilik Filem. 84) Mahkamah ini mendapati D1 mungkin tidak mengetahui jumlah RM126,000.00 pada saat D3 berunding dengan RTM. Namun demikian, Mahkamah ini tidak dapat menerima bahawa D1 hanya memaklumkan kepada Plaintif harga RM60,000.00 atau RM65,000.00 sedangkan D1 sendiri kemudian berurusan pada angka RM115,000.00 dengan D2. Setidak-tidaknya, jumlah RM115,000.00 itu adalah fakta material yang wajib dan mustahak untuk didedahkan kepada Plaintif dengan jujur dan telus. 85) Mahkamah ini juga mendapati bahawa D2 dan D3 tidak boleh dipertanggungjawabkan semata-mata kerana berada dalam rantaian pengedaran. Undang-undang memerlukan pembuktian yang lebih khusus tentang pengetahuan, pakatan, pemalsuan, penipuan atau sebarang perbuatan salah. Bukti sedemikian tidak mencukupi dan tidak dibuktikan di dalam kes ini. 86) Pada akhirnya, Mahkamah ini perlu menilai dan menimbangkan bahawa isu di dalam tindakan guaman ini bukanlah hanya berkisar persoalan teknikal semata-mata mengenai nama di atas Letter of Vadai Productions Version (2) Sdn Bhd v T. Veerasegar A/L Thyagarajan & Ors | WA-A52NCvC-604-08/2022 Muka surat 29 Authorisation, tetapi lebih menjurus kepada persoalan sama ada pihak yang diberi amanah untuk membantu pemilik Filem telah bertindak telus dan jujur dalam tindakannya. Berdasarkan bukti dan keterangan yang telah dibentangkan, jawapan yang boleh diberikan oleh Mahkamah ini terhadap D1 adalah tidak, manakala bukti terhadap D2 dan D3 pula adalah tidak mencukupi untuk liability diputuskan terhadap mereka. K. PRINSIP UNDANG-UNDANG YANG TERPAKAI Beban Pembuktian dan Imbangan Kebarangkalian 87) Dalam kes sivil, beban membuktikan sesuatu kes adalah terletak pada pihak yang menegaskan fakta tersebut. Seksyen 101 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan seperti berikut: “101. (1) Whoever desires any court to give judgment as to any legal right or liability, dependent on the existence of facts which he asserts, must prove that those facts exist.