Preamble
Menurut SD2, SD2 bertugas di Jabatan Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 27.08.2021 dan melakukan pemeriksaan ke atas tertuduh pada tarikh tersebut. [76] SD2 telah menyatakan bahawa keadaan tertuduh adalah sedar dan stabil, tetapi mengadu kesakitan pada bahagian leher. Tambahnya lagi, tertuduh sendiri yang memaklumkan bahawa kecederaan berlaku semasa kekecohan di rumahnya, di mana beliau telah dipukul di bahagian leher. Selepas pemeriksaan, SD2 telah menyediakan Laporan Awal Pemeriksaan Perubatan pada hari yang sama. Di akhir pemeriksaan, SD2 telah memberikan ubat tahan sakit kepada tertuduh. Dapatan Mahkamah selepas kes pembelaan [77] Setelah meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan, Mahkamah mendapati bahawa keterangan tertuduh hanyalah berbentuk penafian semata-mata tanpa sokongan bukti bebas yang kukuh. Dakwaan bahawa SP3 telah menyerang tertuduh tidak disokong oleh sebarang saksi bebas atau bukti fizikal yang meyakinkan. [78] Mahkamah juga telah meneliti keterangan SD2 dan mendapati bahawa catatan dalam laporan perubatan dibuat semata-mata berdasarkan sejarah kejadian yang diceritakan oleh tertuduh sendiri. Tiada sebarang kecederaan fizikal yang jelas direkodkan semasa pemeriksaan dijalankan. Oleh itu, keterangan SD2 tidak dapat mengukuhkan versi pembelaan tertuduh. [79] Mahkamah berpendapat bahawa pembelaan yang dikemukakan hendaklah sekurang-kurangnya bersifat munasabah dan mampu menimbulkan keraguan terhadap keterangan pihak pendakwaan, sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Public Prosecutor v Datuk Haji Harun Bin Idris & Ors [1977] 1 MLJ 180, di Mahkamah Persekutuan, di mana YA Abdool Cader menyatakan seperti berikut: “..I have considered with great care every aspect of the evidence adduced and the submissions made on behalf of the three accused. It is not necessary for the defence to prove anything and all that is necessary for the accused to do is to give an explanation that is reasonable and throws a reasonable doubt on the case made out for the prosecution. It cannot be a fanciful or whimsical or imaginary doubt, and in considering the question as to whether a reasonable doubt has been raised, the evidence adduced by and the case for the defence must be viewed in at least some amount of light, not necessarily bright sunlight, but certainly not against the dark shadows of the night. I do not in all the circumstances find the explanation given by the three accused reasonable or as casting any reasonable doubt on the case for the prosecution if indeed according to their evidence there was nothing to conceal and everything was open. Having regard to the evidence as a whole, both oral and documentary, the explanation given by the three accused is not only unreasonable but also inconsistent with their innocence…” [80] Dengan itu, setelah menilai pembelaan tertuduh secara keseluruhannya, Mahkamah mendapati pembelaan tertuduh sebagai penafian kosong yang tidak munasabah, serta gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [81] Sebaliknya, keterangan SP1, SP3 dan SP4 adalah konsisten antara satu sama lain serta disokong oleh SP2 dan SP6. Mahkamah mendapati tiada percanggahan material yang menjejaskan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan tersebut. Hujahan pembelaan bahawa mereka merupakan “saksi berkepentingan” tidak dapat diterima kerana keterangan mereka tetap teguh dan disokong oleh bukti bebas yang relevan. [82] Setelah menimbangkan semua keterangan dan hujahan, Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. [83] Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan pertuduhan di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh. Maka, Mahkamah mensabitkan tertuduh atas kesalahan tersebut. MITIGASI DAN HUKUMAN [84] Setelah disabitkan dan didapati bersalah, Mahkamah telah mendengar rayuan daripada peguambela yang mewakili tertuduh. Rayuan tertuduh adalah seperti berikut: “Tertuduh berumur 42, kerja sebagai anggota PDRM, pendapatan RM4000 sebulan, duda, pohon denda yang minima, percaya ini kesalahan tertuduh yang pertama, tertuduh menyesal dan akur dengan keputusan Mahkamah.” [85] Pihak pendakwaan pula berhujah supaya untuk Mahkamah menjatuhkan hukuman berat menurut seksyen 182 Kanun Keseksaan. Hujahan pihak pendakwaan secara ringkasnya adalah seperti berikut: “Pihak pendakwaan menghujahkan hukuman berat, merujuk kepada peruntukan seksyen 182 ada peruntukan untuk penjara.” [86] Sebelum menjatuhkan hukuman, Mahkamah merujuk kepada kes PP V Sim Joo Liong [2014] 1 LNS 402 di mana telah dinyatakan seperti berikut: “Our law does not therefore fix the sentence for a particular offence but it fixes a maximum sentence and leaves it to the court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular, the court has the right and duty to decide whether to be lenient or severe”. [87] Kemudian, Mahkamah merujuk kepada petikan keputusan YA Augustine Paul JC (pada ketika itu) dalam kes Zaidon Shariff V PP [1996] 4 CLJ 441: “The right to determine the quantum of punishment on a guilty party is absolutely in the discretion of the trial Court. It will exercise that power judicially and will not tolerate any encroachment or even semblance of encroachment by either the prosecution or the defence in respect of that right (see New Tuck Shen v. PP [1982] 1 MLJ 27).” [88] Saya dalam mengikuti prinsip-prinsip hukuman telah memberi keutamaan kepada kepentingan awam yang mengatasi kepentingan peribadi tertuduh sepertimana yang ditekankan di dalam kes PP v. Loo Choon Fatt [1976] CLJU 102; [1976] 1 LNS 102; [1976] 2 MLJ 256. Prinsip ini secara nyata bertujuan untuk menghukum sesuatu perbuatan jenayah dan menghalang jenayah tersebut daripada dilakukan oleh masyarakat umum. Mahkamah ini juga merujuk kepada panduan yang diberikan di dalam kes Rex v. Kenneth John Ball (1951) Criminal Appeal Report di mana Y. A. Hakim menyatakan: “In deciding the appropriate sentence, a court should always be guided by certain consideration. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicy enforced, not only the object of punishing crime but also in the hope of preventing it ….” Selanjutnya, dinyatakan “public interest is indeed served and best served if the offender in induced to turn from criminal way to honest living”. [89] Merujuk kepada petikan di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa kepentingan awam hanya dapat dipelihara sekiranya setiap individu, khususnya mereka yang diberi amanah menjaga ketenteraman awam, menukar haluan hidup mereka daripada melakukan perbuatan jenayah kepada menjalani kehidupan yang jujur, berintegriti dan berlandaskan undang-undang. Mahkamah menegaskan bahawa aspek pemulihan diri dan pencegahan adalah dua (2) matlamat utama dalam menjatuhkan hukuman. [90] Dalam kes ini, tertuduh merupakan seorang anggota polis yang diamanahkan untuk melindungi masyarakat serta menegakkan undang-undang. Namun, tertuduh telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan tersebut dengan membuat satu laporan palsu semata-mata untuk kepentingan peribadi. Perbuatan tertuduh bukan sahaja telah mencemarkan nama baik pasukan polis, tetapi juga menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. Kesan daripada tindakan tertuduh amat serius apabila bekas abang iparnya telah ditangkap dan direman tanpa sebarang sebab yang sah. Perkara ini bukan sahaja mendatangkan aib kepada mangsa, tetapi juga merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh dipandang ringan oleh Mahkamah. [91] Mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh sebagai pegawai polis seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam mematuhi undang-undang. Namun, beliau telah bertindak sebaliknya dan menjejaskan kepercayaan awam terhadap pasukan keselamatan. Maka, hukuman yang berat dan setimpal perlu dikenakan bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi juga sebagai mesej jelas kepada anggota polis lain agar tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka. [92] Setelah menimbangkan semua faktor yang relevan termasuk kepentingan awam, kedudukan tertuduh sebagai penjawat awam, sifat dan keseriusan kesalahan serta kesan terhadap mangsa, Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama dua (2) bulan bermula dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM2,000. Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, maka hukuman penjara selama dua (2) bulan tambahan akan dikenakan. [93] Mahkamah berharap agar hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh untuk memperbetulkan haluan hidupnya serta menjadi peringatan kepada semua anggota penguatkuasa bahawa amanah dan kuasa yang diberikan tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan peribadi. [94] Mahkamah juga mengambil kira bahawa sabitan terhadap tertuduh adalah hasil daripada satu perbicaraan penuh yang telah memakan masa yang agak panjang, melibatkan keterangan saksi-saksi dan hujahan mendalam daripada kedua-dua pihak. Walaupun pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama dan memohon agar Mahkamah mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan, namun Mahkamah berpandangan bahawa hujahan tersebut tidak dapat mengatasi kepentingan awam yang perlu dilindungi. Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh melibatkan unsur penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawai penguatkuasa undang-undang, yang mana satu perbuatan yang amat serius kerana ia menggugat keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan jenayah dan institusi polis itu sendiri. [95] Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa hukuman ringan seperti denda sahaja tidak memadai untuk mencerminkan keseriusan kesalahan ini, sebaliknya hukuman penjara yang setimpal perlu dikenakan bagi menzahirkan prinsip keadilan dan kepentingan awam. PENGGANTUNGAN HUKUMAN [96] Pihak peguambela telah memohon untuk penggantungan hukuman yang dikenakan kepada tertuduh. Mahkamah ini sedia maklum bahawa berdasarkan seksyen 311 Kanun Tatatacara Jenayah, pemfailan rayuan sahaja tidak secara automatik menjadikan sesuatu hukuman perlu digantung kecuali sebatan. Sebaliknya, dalam mempertimbangkan permohonan tertuduh, Mahkamah perlu melihat kepada keadaan khas atau luar biasa (“special circumstances”) tertuduh dalam membenarkan penggantungan hukuman. [97] Mahkamah dalam kes ini telah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman bagi penjara. Memandangkan tertuduh dalam kes ini merupakan seorang penjawat awam, mempunyai masalah kesihatan dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh, Mahkamah berpendapat adalah wajar tertuduh ini diberikan peluang untuk menunggu rayuannya diputuskan terlebih dahulu sebelum menjalani hukuman penjara. [98] Oleh itu, setelah mendengar hujahan pihak-pihak, Mahkamah telah membenarkan permohonan tertuduh bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sahaja, dengan syarat tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan hukuman denda hendaklah dijelaskan pada hari yang sama. [99] Alasan penghakiman ini dikemukakan bagi pertimbangan dan semakan Yang Arif Mahkamah Tinggi. Segala fakta, hujahan dan dapatan Mahkamah ini telah dinilai secara menyeluruh berdasarkan keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan dan undang-undang yang terpakai. Mahkamah yakin bahawa keputusan yang dibuat adalah berasaskan prinsip keadilan, keseimbangan antara kepentingan awam dan hak tertuduh, serta selaras dengan kehendak undang-undang. Bertarikh 23 Oktober 2025