Lampiran
Lampiran 11 2. Lampiran 11 adalah permohonan Defendan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a) dan (c) dan di bawah bidang kuasa sedia ada Mahkamah untuk mendapatkan perintah-perintah, antara lain, seperti berikut: a) Pembelaan Plaintif Kepada Tuntutan Balas Defendan bertarikh 4.8.2025 (‘Pembelaan Plaintif’) dibatalkan; b) Satu Penghakiman Ingkar Pembelaan bagi Tuntutan Balas Defendan dimasukkan terhadap Plaintif; dan c) Kos permohonan ditanggung oleh Plaintif. 3. Bagi menyokong permohonan tersebut, Defendan melalui afidavit sokongan Chew Er Soon bertarikh 13.08.2025 (Lampiran 14) telah mengemukakan alasan, antara lain, bahawa Pembelaan Plaintif tersebut tidak mendedahkan apa-apa pembelaan yang munasabah serta mengaibkan, remeh atau menyusahkan atau boleh menjejaskan, menghalang atau melengahkan perbicaraan tindakan dengan adil kerana pembelaan tersebut hanyalah penafian kosong semata-mata tanpa disokong dengan sebarang keterangan dan/atau fakta, terlalu umum dan tidak menentu serta merupakan fikiran terkemudian (afterthought). 4. Melalui afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Benny Loo bertarikh 30.09.2025 (Lampiran 16), Plaintif membantah permohonan Defendan tersebut, atas alasan, antara lain: a) Persoalan utama yang harus diputuskan samada Tuntutan Balas Defendan mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang sah dan munasabah terhadap Plaintif; b) Tuntutan Balas Defendan sendiri tidak mendedahkan kausa tindakan, maka Plaintif hanyalah perlu meletakkan beban pembuktian ke atas Defendan untuk membuktikan tuntutannya; c) Tututan Balas Defendan hanya merupakan andaian dan bersifat unsubstantiated tanpa menunjukkan asas kontraktual dan undang-undang yang membolehkan Defendan menuntut LAD daripada Plaintif. ii) Lampiran 12 5. Lampiran 12 adalah permohonan Plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(a), (c) dan/atau (d) KKM 2012 untuk mendapatkan perintah antara lain, Tuntutan Balas Defendan bertarikh 10.07.2025 (Lampiran 9) diketepikan. 6. Bagi menyokong permohonan Plaintif tersebut, Plaintif melalui afidavit sokongan Benny Loo bertarikh 10.09.2025 (Lampiran 13) telah mengemukakan alasan, antara lain, seperti berikut: a) Tuntutan Balas Defendan adalah tuntutan tidak berasas, adalah suatu percubaan untuk menyalahi proses Mahkamah, gagal mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan menjejaskan, menghalang dan melengahkan perbicaraan tindakan ini secara adil; b) Tuntutan Balas Defendan bagi LAD adalah bertentangan dengan Akaun Akhir yang disediakan oleh Defendan sendiri; c) Defendan gagal untuk memplidkan tarikh bermulanya tuntutan LAD dikira menunjukkan Tuntutan Balas Defendan gagal mendedahkan kausa tindakan; dan d) Defendan telah gagal untuk memplidkan fakta material bagi menyokong dakwaan Defendan kononnya terdapat kelewatan. 7. Melalui afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Cher Er Soon bertarikh 26.09.2025 (Lampiran 15), Defendan membantah terhadap permohonan Plaintif di Lampiran 12, atas alasan-alasan, antara lain, seperti berikut: a) Tuntutan Balas Defendan terhadap Plaintif mempunyai kausa tindakan yang munasabah berasaskan kepada Klausa 38 Kontrak tersebut diantara Plaintif dan Defendan bertarikh 21.11.2022 (Kontrak tersebut) yang mewajibkan Plaintif untuk memberikan surat jaminan/waranti kepada Defendan; dan b) Tuntutan Balas Defendan juga berasaskan Klausa 22 Kontrak tersebut yang memberikan hak kepada Defendan untuk mengenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) mengikut jumlah kelewatan selama 825 hari yang dikira bermula 9.4.2023 sehingga tarikh pemfailan Tuntutan Balas Defendan yang berjumlah RM99,000.00. B. Ringkasan Latar Belakang Kes 8. Pada 21.11.2022, Defendan telah melantik Plaintif sebagai sub-kontraktor untuk projek yang berkaitan dengan Cadangan Tambahan dan Perubahan ke atas 1 unit Gudang dan Pejabat 1 Tingkat sedia ada kepada 1 Unit Gudang 1 Tingkat beserta 2 Tingkat pejabat dan pelbagai kemudahan utiliti (‘Kontrak tersebut’). 9. Berdasarkan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif bertarikh 2.05.2025 (Lampiran 7), Plaintif telah memplidkan, antara lain, seperti berikut: a) Plaintif telah ditugaskan untuk melaksanakan kerja-kerja “Supply and Apply Waterproofing and Epoxy Works” dengan nilai kontrak sebanyak RM224,913.85 melalui surat Awad bertarikh 21.11.2022; b) Pada 8.04.2024, Defendan mengeluarkan Sijil Akaun Akhir dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM451,002.73 yang merangkumi jumlah kontrak sebanyak RM224,913.85 dan kerja tambahan sebanyak RM402,689.90 tetapi menolak sebanyak RM176,601.02 atas alasan kerja tidak dibuat. Plaintif menafikan penolakan tersebut kerana bercanggah dengan Sijil Kerja Siap yang disahkan oleh Defendan; dan c) Plaintif telah memfailkan tuntutan adjudikasi di mana adjudikasi telah memutuskan bahawa Defendan perlu membayar sebanyak RM76,518.00 kepada Plaintif. Walau bagaimanapun, baki RM149,389.46 masih belum dijelaskan. 10. Berdasarkan Tuntutan Balas Defendan yang juga menggunapakai pernyataan-pernyataan di dalam Pembelaan Defendan bertarikh 11.07.2025 (Lampiran 9), Defendan telah memplidkan, antara lain, seperti berikut: a) Selaras dengan klausa 38 Kontrak tersebut, Plaintif adalah bertanggungjawab untuk memberikan jaminan/warranti kepada Defendan. Biarpun peringatan telah dihantar kepada Plaintif, Plaintif masih enggan, cuai dan/atau gagal untuk melaksanakan obligasinya di bawah klausa tersebut; b) Jumlah tuntutan terakru sebanyak RM149,389.46 tersebut adalah dinafikan. Adjudikator juga berpendapat tiada sebarang bukti untuk menyokong jumlah tuntutan tersebut; c) Kegagalan Plaintif dalam melaksanakan Kontrak tersebut merupakan kemungkiran Plaintif ke atas Kontrak tersebut dan juga merupakan satu pengkayaan yang tidak berpatutan (“unjust enrichment”); d) Selaras dengan klausa 22 Kontrak tersebut, Defendan adalah berhak untuk mengenakan LAD sebanyak RM120 sehari terhadap Plaintif sehinggga obligasi disempurnakan oleh Plaintif; e) LAD yang diperuntukkan di bawah Kontrak tersebut telah membawa kepada jumlah keseluruhan LAD sebanyak RM99,000.00 bagi tempoh kelewatan selama 825 hari yang dikira sehingga tarikh pemfailan Pembelaan. 11. Bagi menjawab kepada Pembelaan dan Pembelaan Plaintif kepada Tuntutan Balas Defendan, Plaintif memplidkan ‘Plaintif merujuk kepada Perenggan 20 hingga 26 Pembelaan Defendan tersebut dan menafikan secara keseluruhan. Defendan diletakkan atas beban pembuktian yang kukuh’. C. Prinsip Undang-Undang Pembatalan Pliding 12. Prinsip undang-undang berkenaan kuasa budibicara Mahkamah untuk membatalkan pliding di bawah mana-mana cabang Aturan 18 Kaedah 19(1) KKM 2012 adalah jitu dan mantap. Prinsip-prinsip tersebut digariskan dengan jelas oleh Mahkamah Agung di dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd & Ors v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36 seperti berikut: a) kuasa mahkamah untuk membatalkan pliding hanya boleh dilaksanakan dalam kes-kes yang jelas dan nyata dan di mana tiada pindaan yang munasabah akan menyembuhkan kecacatan itu; b) mahkamah dalam menjalankan kuasa tersebut tidak seharusnya menjalankan pemeriksaan minit ke atas dokumen dan fakta kes untuk memastikan sama ada pihak itu mempunyai kausa tindakan ataupun tidak; c) Sekiranya sesuatu perkara atau isu di dalam sesuatu tindakan itu memerlukan hujah yang kukuh dan pertimbangan yang teliti, mungkin lebih sesuai bagi tindakan tersebut ditetapkan untuk perbicaraan untuk menetapkannya untuk dibicarakan di bawah Aturan 33 Kaedah 2 KKM 2012; d) mahkamah mesti berpuas hati bahawa tiada kausa tindakan yang munasabah atau bahawa tuntutan itu remeh atau menyusahkan. Dalam erti kata lain, adalah jelas ditunjukkan bahawa tuntutan atau pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan tidak mencukupi, walaupun dibuktikan, untuk melayakkan Plaintif atau Defendan kepada tuntutan atau pembelaannya; dan e) selagimana pliding tersebut mendedahkan beberapa kausa tindakan atau menimbulkan beberapa persoalan yang patut diputuskan oleh hakim, fakta bahawa kes itu lemah dan tidak mungkin berjaya dalam perbicaraan bukanlah alasan untuk pliding itu dibatalkan. 13. Adalah suatu prinsip undang-undang yang kukuh dan mantap juga bahawa penafian atau penegasan Plaintif/Defendan semata-mata tidak menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan dan bukanlah suatu penyangkalan yang mencukupi terhadap sesuatu tuntutan serta tidak mendedahkan kausa tindakan atau pembelaan yang munasabah. Lihat Chen Heng Ping @ Tian Seow Hock & 5 Ors lwn Intradagang Merchant Bankers (M) Berhad [1995] 3 CLJ 690; Gerard Jude Timothy Pereira v Kasi a/l KL Palaniappan [2017] MLJU 925; Lim Boon Hai (Menyaman Bagi Pihak MLF Ingredients Sdn Bhd Melalui Tindakan Derivatif) v MLF Ingredients Sdn Bhd & 1 Lagi [2025] MLJU 352 D. Analisa & Dapatan Mahkamah 14. Berdasarkan penilaian Mahkamah pada pliding pihak-pihak secara khususnya seperti yang telah dinyatakan di perenggan 6 hingga 9 di atas, afidavit-afidavit serta hujahan-hujahan yang telah difailkan, Mahkamah berpuas hati bahawa Tuntutan Balas Defendan terhadap Plaintif ini adalah berasaskan kepada suatu kausa tindakan yang munasabah dan bukannya suatu tuntutan yang remeh atau menyusahkan atau boleh menjejaskan, menghalang atau melengahkan perbicaraan tindakan dengan adil. 15. Mahkamah juga berpuas hati bahawa Tuntutan Balas Defendan sepertimana yang telah diplidkan adalah mencukupi untuk melayakkan Defendan kepada tuntutannya sekaligus memenuhi kriteria yang digariskan oleh Mahkamah Agung di dalam kes Bandar Builder seperti yang diterangkan di perenggan 12 di atas. 16. Dalam memutuskan sedemikian, Mahkamah mengambilkira beberapa fakta penting yang tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak bahawa asas kepada Tuntutan Plaintif dan Tuntutan Balas Defendan adalah berbangkit daripada Kontrak tersebut dan klausa-klausa yang diplidkan di dalam Pembelaan dan Tuntutan Balas Defendan adalah klausa-klausa yang sama di dalam Kontrak tersebut. 17. Mahkamah juga mengambilkira bahawa tiada sebarang dakwaan berkenaan unsur penipuan, paksaan atau salah nyata diplidkan oleh kedua-dua pihak melibatkan Kontrak tersebut. Dalam hal ini, Mahkamah menggunapakai prinsip undang-undang bahawa pihak-pihak yang menandatangani suatu perjanjian adalah terikat dengan terma dan kandungan perjanjian tersebut melainkan mana-mana pihak dapat membuktikan terdapat unsur penipuan, paksaan atau salah nyata terlibat. Lihat Wan Salimah bte Wan Jaafar v Mahmood bin Omar (Anim bte Abdul Azizi, intervener) [1998] 5 MLJ 162. 18. Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Plaintif untuk menyokong permohonan Plaintif di Lampiran 12 dan bantahan Plaintif bagi Lampiran 11 khususnya mengenai butir-butir pengiraan Tuntutan Balas Defendan mengenai LAD tersebut seperti hari kelewatan, tarikh bermula kelewatan dikira dan kerja-kerja yang tidak disiapkan bukanlah suatu alasan yang membolehkan tuntutan balas Defendan ini dibatalkan secara terus melalui permohonan ini kerana isu-isu tersebut adalah suatu kecacatan yang boleh disembuhkan melalui pindaan yang munasabah oleh pihak Defendan. Lihat prinsip kes Bandar Builder di perenggan 12 (a) dan 12 (e) di atas. 19. Berbanding dengan Pembelaan Plaintif terhadap Tuntutan Balas Defendan, Pembelaan Plaintif tersebut hanyalah bersifat penafian kosong semata-mata dan tidak ada langsung sebarang penjelasan dan fakta-fakta material yang diplidkan untuk menyangkal Tuntutan Balas Defendan sepertimana yang telah dibangkitkan di dalam Afidavit Jawapan Plaintif (Lampiran 16) dan Afidavit Sokongan Plaintif (Lampiran 13) secara khususnya berkaitan tuntutan LAD tersebut. Dalam hal ini, Mahkamah menggunapakai prinsip undang-undang sepertimana yang telah dinyatakan di perenggan 13 di atas. 20. Mahkamah juga menggunapakai prinsip undang-undang bahawa pihak-pihak adalah terikat dengan pliding masing-masing dan afidavit tidak boleh digunakan untuk memperbaiki kecacatan atau tinggalan dalam tuntutan/pembelaan yang telah difailkan. Lihat United Malayan Banking Corp Bhd v Palm & Vegetable Oils (M) Sdn Bhd & Ors [1983] 1 MLJ 206; Itramas Technology Sdn Bhd v Maju Holdings Sdn Bhd & Ors [2022] 10 MLJ 656 21. Selain itu, hujahan Plaintif bahawa Tuntutan Balas Defendan sendiri adalah tidak lengkap dan adalah munasabah bagi Plaintif menafikan secara umum dan meletakkan Defendan pada beban pembuktian adalah tidak berasas bilamana Plaintif sendiri sememangnya mengakui kewujudan klausa-klausa berkenaan di dalam Kontrak tersebut. E. Keputusan Mahkamah 22. Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah memutuskan seperti berikut: i. membenarkan permohonan Defendan di Lampiran 11 dengan kos sebanyak RM2,000.00 dibayar oleh Plaintif kepada Defendan; dan ii. menolak permohonan Defendan di Lampiran 12 dengan kos sebanyak RM2,000.00 dibayar oleh Plaintif kepada Defendan. Bertarikh: 3 Januari 2026 t.t (NORMASTURA BINTI AYUB) Hakim Mahkamah Sesyen Mahkamah Sesyen Kajang Selangor Peguamcara Plaintif Tetuan YT SIA Chambers, Peguambela & Peguamcara Block W-05-04, The Gamuda Biz Suites, Persiaran Anggerik Vanilla Seksyen 31, Kota Kemuning, 40460 Selangor Peguamcara Defendan-Defendan Tetuan Heng Xu & Associates, Peguamcara & Peguambela No.2, Jalan Kiara, 50480 Kuala Lumpur