Keterangan pengecaman tulisan oleh SP2 dan SP3 merupakan keterangan pendapat di bawah Seksyen 47 Akta 56, iaitu keterangan orang yang didakwa biasa dengan tulisan Si Mati. Keterangan sedemikian boleh diterima tetapi tidak muktamad dan hendaklah ditimbang. Saya sedar HMS turut bergantung kepada SP2, yang mengesahkan bahawa tulisan pada nota dan baucar menyamai tulisan pada borang permohonan kerja Si Mati. Namun, SP2 ialah Pengurus Akaun Plaintif, iaitu saksi yang berkepentingan dalam tuntutan ini dan pengecamannya adalah pendapat biasa tanpa sokongan keterangan pakar. Keterangan tersebut turut ditentang oleh SD1, ahli keluarga yang mempunyai pengetahuan tentang tulisan Si Mati yang menyatakan bahawa tulisan pada P5 dan nota tulisan adalah berbeza. Berserta perbezaan ketara antara nota-nota tulisan itu sendiri seperti yang saya nyatakan di atas, saya mendapati keterangan pengecaman SP2 dan SP3 dinilai secara keseluruhan, tidak mencukupi untuk membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa nota tulisan tersebut ditulis oleh Si Mati.