sama ada Plaintif berhak kepada relif deklarasi yang dipohon. ANALISIS MAHKAMAH Kesan Kebankrapan dan Pemakaian Seksyen 349 KTN [23] Teras utama bantahan Defendan adalah bahawa sebaik sahaja Arwah Wan Azmi diisytiharkan bankrap, segala hartanya secara automatik terletakhak kepada KPI menurut Seksyen 8 Akta Insolvensi 1967. Oleh itu, Defendan berhujah bahawa Arwah Wan Azmi telah kehilangan kapasiti undang-undang untuk berurusan dengan hartanah-hartanah tersebut dan sebarang pindah milik yang dibuat selepas itu adalah batal dan tidak sah sejak awal lagi. [24] Bagi menyokong pendirian tersebut, Defendan merujuk antara lain kepada kes Ong Keh Keong v Low Kah Khuen dan Teoh Ah Mooi @ Chow Kui Eng Mooi [2019] MLRAU 100 yang menurut Defendan menegaskan bahawa seorang bankrap tidak lagi mempunyai kapasiti untuk memasuki transaksi melibatkan hartanya tanpa penglibatan KPI. [25] Plaintif pula tidak menafikan kewujudan perintah kebankrapan terhadap Arwah Wan Azmi pada masa material. Namun demikian, Plaintif berhujah bahawa Defendan telah mengambil pendekatan yang terlalu umum terhadap pemakaian Seksyen 8 Akta Insolvensi tanpa mengambil kira sifat khusus urus niaga yang melibatkan hartanah berdaftar di bawah KTN. [26] Pada hemat Mahkamah, isu sebenar yang perlu diputuskan bukan semata-mata sama ada seorang bankrap mempunyai kapasiti umum untuk berurusan dengan hartanya, tetapi sama ada vesting yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Insolvensi dengan sendirinya memberi kesan automatik terhadap hakmilik hartanah berdaftar tanpa perlu mematuhi kehendak khusus KTN. [27] Mahkamah menerima bahawa Seksyen 8 Akta Insolvensi memperuntukkan bahawa harta seorang bankrap terletakhak kepada KPI bagi tujuan pentadbiran kebankrapan. Namun demikian, apabila harta yang terlibat ialah hartanah berdaftar, Mahkamah berpendapat bahawa peruntukan umum tersebut perlu dibaca secara harmoni dengan peruntukan khusus di bawah KTN yang mengawal kaedah letakhak dan pendaftaran kepentingan dalam hartanah. [28] Dalam hal ini, Mahkamah bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa prinsip generalia specialibus non derogant adalah terpakai. KTN merupakan statut khusus yang mentadbir urusan hakmilik dan kepentingan dalam tanah berdaftar manakala Seksyen 349 KTN secara khusus mengawal keadaan melibatkan kebankrapan dan vesting kepentingan tanah kepada KPI. [29] Seksyen 349(3) KTN memperuntukkan dengan jelas bahawa: "Tiada tanah, bahagian atau kepentingan hendaklah terletakhak kepada Pegawai Pemegang Harta ... sehingga ia telah didaftar atas namanya menurut seksyen ini." [30] Plaintif turut merujuk kepada keputusan dalam Tiong Sing Chiong v Ketua Pengarah Insolvensi [2025] 4 MLRH 546 dan Thankamany Ramasamy v Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia [2021] MLRHU 1633 yang menegaskan bahawa KPI perlu terlebih dahulu mendaftarkan kepentingannya sebelum boleh menjalankan kuasa terhadap tanah tersebut. [31] Pada pandangan Mahkamah, bahasa yang digunakan oleh Parlimen adalah jelas dan mandatori. Seksyen tersebut tidak boleh dianggap sebagai suatu formaliti prosedural semata-mata atau peruntukan kosmetik yang tidak membawa kesan substantif. [32] Sekiranya niat Parlimen adalah untuk menjadikan letakhak di bawah Seksyen 8 Akta Insolvensi berkuat kuasa sepenuhnya terhadap tanah tanpa perlu pendaftaran, maka tiada keperluan untuk menggubal Seksyen 349(3) dalam bentuk yang begitu jelas dan spesifik. [33] Pendekatan tersebut juga selaras dengan prinsip asas sistem Torrens yang mendasari KTN, iaitu bahawa hak dan kepentingan dalam tanah berdaftar memperoleh pengiktirafan undang-undang melalui pendaftaran. [34] Mahkamah juga berpendapat bahawa pendekatan yang dicadangkan oleh Defendan akan mewujudkan ketidakpastian serius terhadap integriti sistem Torrens yang mendasari KTN. [35] Sekiranya vesting di bawah Akta Insolvensi 1967 dianggap berkuat kuasa sepenuhnya terhadap tanah berdaftar tanpa perlu pematuhan kepada mekanisme pendaftaran di bawah Seksyen 349 KTN, maka kepastian hakmilik berdaftar akan sentiasa terdedah kepada cabaran retrospektif walaupun tiada sebarang memorial atau pendaftaran pernah dibuat oleh KPI. [36] Pendekatan sedemikian akan menjejaskan prinsip asas bahawa kepentingan dalam tanah berdaftar hendaklah dapat dipastikan melalui daftar hakmilik itu sendiri. [37] Dalam kes semasa, tiada bukti dikemukakan bahawa KPI pernah memohon atau memperoleh pendaftaran di bawah Seksyen 349 KTN. Tiada juga bukti bahawa apa-apa memorial pernah direkodkan pada dokumen hakmilik berkaitan. [38] Lebih penting lagi, sepanjang tempoh kebankrapan Arwah Wan Azmi, KPI tidak pernah mengambil apa-apa tindakan untuk mencabar pindah milik tersebut atau mendapatkan kembali hartanah-hartanah tersebut. [39] Arwah Wan Azmi kemudiannya telah dilepaskan daripada kebankrapannya tanpa sebarang tindakan diambil oleh KPI terhadap hartanah-hartanah tersebut. [40] Mahkamah turut mendapati bahawa pendirian Defendan sendiri mengandungi percanggahan yang sukar dipertahankan secara serentak. Di satu pihak, Defendan berhujah bahawa hartanah-hartanah tersebut telah terletakhak secara sempurna kepada KPI akibat kebankrapan Arwah Wan Azmi sehingga beliau kehilangan sepenuhnya kapasiti untuk memindah milik hartanah-hartanah tersebut kepada Plaintif. [41] Namun pada masa yang sama, Defendan turut menegaskan bahawa hartanah-hartanah tersebut membentuk sebahagian daripada harta pusaka Arwah Wan Azmi dan oleh itu boleh ditadbir oleh Defendan selaku pentadbir pusaka. [42] Pada hemat Mahkamah, kedua-dua pendirian tersebut sukar diselaraskan. Sekiranya benar suatu letakhak sempurna telah berlaku kepada KPI, maka secara logiknya kepentingan terhadap hartanah-hartanah tersebut tidak lagi berada pada Arwah Wan Azmi untuk diwarisi sebagai harta pusaka. [43] Percanggahan asas tersebut melemahkan keseluruhan premis pembelaan Defendan kerana kedua-dua pendirian tersebut tidak dapat berdiri secara serentak tanpa menimbulkan ketidakselarasan undang-undang dan fakta yang nyata. [44] Percanggahan tersebut, apabila dilihat bersama kegagalan KPI untuk mendaftarkan letakhak menurut Seksyen 349 KTN atau mencabar pindah milik tersebut sepanjang tempoh kebankrapan, menguatkan lagi kesimpulan Mahkamah bahawa tiada letakhak sempurna pernah berlaku terhadap hartanah-hartanah tersebut di sisi undang-undang tanah. [45] Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah tidak dapat menerima hujahan Defendan bahawa pindah milik kepada Plaintif adalah batal secara automatik dan tidak mempunyai kesan undang-undang sama sekali. [46] Sebaliknya, Mahkamah berpendapat bahawa sebarang ketidakpatuhan berkaitan status kebankrapan Arwah Wan Azmi pada masa material tidak secara automatik menyingkirkan kesan undang-undang pendaftaran yang telah disempurnakan menurut KTN. [47] Pada tahap tertinggi sekalipun, transaksi tersebut hanya berpotensi untuk dicabar oleh KPI selaku pihak yang mempunyai kepentingan statutori terhadap harta si bankrap. [48] Dalam hal ini, Mahkamah berpendapat bahawa kes Ong Keh Keong boleh dibezakan berdasarkan fakta kerana pertikaian dalam kes tersebut melibatkan power of attorney dan stakeholder letter dan bukannya isu hakmilik berdaftar yang tertakluk kepada mekanisme khusus di bawah Seksyen 349 KTN. Pemakaian Seksyen 340 KTN [49] Adalah tidak dipertikaikan bahawa Plaintif telah didaftarkan sebagai tuanpunya berdaftar hartanah-hartanah tersebut. [50] Maka, selaras dengan Seksyen 340(1) KTN, Plaintif pada prinsipnya menikmati hakmilik yang tidak boleh disangkal. [51] Mahkamah mendapati bahawa Defendan gagal membuktikan bahawa kes ini termasuk dalam mana-mana pengecualian di bawah Seksyen 340(2) KTN. [52] Tiada bukti yang mencukupi dikemukakan bagi membuktikan unsur penipuan, salah nyata, pemalsuan atau apa-apa bentuk ketidaksahan yang boleh menyingkirkan perlindungan statutori tersebut. [53] Dalam konteks sistem Torrens, Mahkamah hendaklah berhati hati daripada menggugat kepastian hakmilik berdaftar hanya berdasarkan dakwaan umum tanpa asas statutori yang jelas. [54] Mahkamah berpendapat bahawa kepastian hakmilik berdaftar merupakan tunjang utama sistem Torrens. Kepastian tersebut tidak boleh digugat hanya berdasarkan inferens retrospektif atau dakwaan umum yang tidak disokong oleh langkah-langkah statutori yang jelas sebagaimana diperuntukkan di bawah KTN. Jika tidak, keyakinan terhadap sistem pendaftaran tanah akan terjejas dan tujuan utama prinsip ketidakbolehsangkalan pemilikan akan menjadi tidak bermakna. [55] Mahkamah turut mengambil kira bahawa selepas pelepasan kebankrapan diberikan dan tanpa sebarang tindakan diambil oleh KPI sepanjang tempoh material, tiada lagi asas untuk Mahkamah pada hari ini menganggap bahawa KPI masih mempunyai kepentingan berterusan terhadap hartanah-hartanah tersebut. [56] Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati bahawa pendaftaran Plaintif sebagai tuanpunya berdaftar kekal sah dan menikmati perlindungan di bawah Seksyen 340(1) KTN. Isu Amanah [57] Sebagai alternatif, Defendan berhujah bahawa Plaintif sebenarnya hanyalah memegang hartanah-hartanah tersebut sebagai pemegang amanah atau nominee bagi pihak Arwah Wan Azmi. [58] Menurut Defendan, pindah milik tersebut tidak pernah dimaksudkan sebagai suatu pelupusan mutlak tetapi hanyalah suatu pengaturan sementara bagi melindungi hartanah-hartanah tersebut daripada implikasi kebankrapan dan masalah kewangan Arwah Wan Azmi. [59] Bagi menyokong dakwaan tersebut, Defendan bergantung kepada beberapa keadaan sekeliling termasuk dakwaan bahawa selepas pindah milik dibuat: