Nurliza binti Abdullah (Tertuduh Kedua) Pertuduhan “Bahawa kamu bersama-sama pada 2 Mei 2020 jam lebih kurang 10.30 pagi, bertempat di No.6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang di dalam Daerah Sepang, di dalam Negeri Selangor, telah didapati memiliki dadah berbahaya seberat 28.69gram Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” [3] Sebelum perbicaraan bermula, pada 20 Februari 2022, Nurliza binti Abdullah (tertuduh kedua) telah menukar pengakuannya dan mengaku salah terhadap pertuduhan bagi Perbicaraan Jenayah No: BA-45A-60-04/2021 (Ekshibit P4). Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana telah menerima pengakuan salahnya dan menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama tiga (3) tahun dari tarikh tangkap. [4] Perbicaraan terhadap perayu diteruskan. [5] Pada akhir kes pendakwaan, 12 Januari 2024, Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut dan memanggil perayu untuk membela dirinya. [6] Perayu memilih untuk memberikan keterangannya secara bersumpah di kandang saksi. Tiada saksi pembelaan lain yang dipanggil oleh perayu. [7] Pada akhir kes pembelaan,10 Mei 2024, perayu telah didapati bersalah dan disabitkan terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut (ekshibit P2 dan P4) dan dikenakan hukuman seperti yang berikut: Perbicaraan Jenayah No: BA-45A-55-04/2021 (Ekshibit P2) Pemenjaraan seumur hidup (30 tahun) dari tarikh tangkap (2 Mei 2020) dan dua belas (12) kali sebatan. Perbicaraan Jenayah No: BA-45A-60-04/2021 (Ekshibit P4) Pemenjaraan selama lima (5) tahun dari tarikh tangkap (2 Mei 2020) dan tiga (3) kali sebatan. [8] Kedua-dua hukuman pemenjaraan tersebut berjalan secara serentak dari tarikh tangkap (2 Mei 2020). [9] Terkilan dengan keputusan tersebut, pada 13 Mei 2024, perayu telah memfailkan dua notis rayuan berasingan ke Mahkamah Rayuan Malaysia terhadap sabitan dan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. [10] Bagi memudahkan rujukan, selepas ini kami akan merujuk perayu sebagai tertuduh sepertimana panggilannya di Mahkamah Tinggi. Keterangan Kes Pendakwaan [11] Bertindak di atas maklumat yang diterima, pada 2 Mei 2020 lebih kurang pukul 10.30 pagi, pengadu, Inspektor Muhammad Firdaus bin Ashaari (SP7) yang bertugas sebagai Inspektor Operasi, Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Seremban Negeri Sembilan bersama pasukannya telah membuat pemerhatian dan intipan terhadap sebuah rumah satu tingkat beralamat di No. 6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang, Selangor. [12] SP7 dan pasukannya menghampiri rumah tersebut dan SP7 mendapati pintu hadapan dan belakang rumah tersebut bergril dan bertutup. Tingkap rumah juga berada di dalam keadaan yang bertutup. Terdapat anggota pasukan yang diarahkan oleh SP7 untuk mengawal bahagian belakang rumah tersebut. [13] SP7 kemudiannya mendengar suara orang bercakap-cakap dari dalam bilik hadapan. Pintu hadapan rumah diketuk berkali-kali sambil SP7 memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan meminta penghuni rumah memberi kerjasama. Apabila tiada jawapan yang diterima dari penghuni rumah tersebut, SP7 telah mengarahkan anggotanya untuk menggunakan alat hidraulik bagi memotong mangga gril dan selepas itu menendang pintu rumah tersebut. [14] Setelah pintu hadapan berjaya dibuka, SP7 dan anggota pasukannya telah memasuki rumah tersebut. SP7 dan Koperal Samad telah memasuki bilik pertama sementara anggota polis yang lain diarahkan untuk memeriksa bilik kedua dan ketiga. Di dalam bilik pertama, SP7 mendapati tertuduh dan SP8 iaitu Nurliza binti Abdullah (tertuduh kedua) sedang berbaring di atas katil. [15] Sejurus selepas SP7 memperkenalkan dirinya sebagai polis, secara tiba-tiba tertuduh telah bergelut dengan polis dan cuba untuk melarikan diri. Namun begitu, tertuduh telah berjaya ditangkap. Pemeriksaan di dalam bilik pertama tersebut menjumpai beberapa barang kes yang disyaki dadah yang berada di atas meja. Barangan tersebut kemudiannya dirampas oleh SP7. [16] Tertuduh dan SP8 telah dibawa ke luar bilik dan diarahkan duduk di kerusi meja makan. Lain-lain penghuni bilik kedua dan ketiga juga dikumpulkan di situ selepas pemeriksaan dibuat. [17] Setelah disoal-siasat oleh SP7, tertuduh kemudiannya telah memandu arah SP7 ke dalam bilik pertama semula dan tertuduh telah mengambil satu bungkusan plastik warna kuning dari dalam almari pakaian yang didapati mengandungi paket-paket plastik disyaki dadah berbahaya. Dadah juga turut dijumpai di dalam bilik ketiga yang dihuni oleh penama Amir Asrap. [18] Tertuduh, SP8 dan Amir Asrap bersama barang rampasan telah dibawa ke Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor untuk tindakan selanjutnya. Penghuni bilik kedua tidak ditahan kerana tiada barang salah dijumpai di dalam bilik tersebut. [19] Tertuduh dan SP8 serta barang rampasan telah diserahkan oleh SP7 kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mardiah binti Mohamed (SP9). [20] Pada 29 Mei 2020, lebih kurang pukul 11.10 pagi, SP9 telah menyerahkan kepada Dr. Nur Nazihah Binti Md Shahari (SP2) Ahli Kimia Malaysia empat (4) sampul surat bertanda "MM1", “MM2", "MM3" dan "MM4" yang bermeterai "POLIS DIRAJA MALAYSIA 651" untuk dianalisis. [21] Setelah dianalisis, SP2 mengesahkan bahawa barang kes yang dirampas adalah dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 28.59gram (yang dijumpa di meja solek) dan 151.60gram (yang dijumpai di dalam almari pakaian). Laporan kimia yang disediakan oleh SP2 bertarikh 30 Oktober 2020 ditandakan sebagai ekshibit P7. Dapatan Mahkamah Tinggi Di Akhir Kes Pendakwaan [22] Dapatan Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana di antara lainnya adalah seperti yang berikut dan kami petik: “[38] Bagi kesalahan mengedar dadah di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu pertuduhan P2, setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, ekshibit yang dikemukakan dan hujahan-hujahan yang telah dikemukakan secara bertulis oleh kedua-dua pihak dan mengaplikasikan penilaian maksima terhadap kesemua keterangan yang dikemukakan, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh setelah membuktikan elemen pertama iaitu jenis dadah berbahaya, elemen kedua iaitu milikan mens rea dengan keterangan langsung dan tidak langsung serta elemen ketiga dengan bergantung kepada anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu anggapan mengedar dadah. Sehubungan itu, Tertuduh diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan P2. [39] Bagi kesalahan memiliki dadah di bawah seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu P4, begitu juga setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, ekshibit yang dikemukakan dan hujahan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak dan mengaplikasikan penilaian maksima terhadap kesemua keterangan yang dikemukakan, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh setelah membuktikan elemen pertama iaitu jenis dadah berbahaya, elemen kedua iaitu milikan mens rea dan elemen ketiga iaitu niat bersama Tertuduh dengan SP8 berdasarkan keterangan langsung dan tidak langsung. Tertuduh dipanggil membela diri kepada pertuduhan P4.” (Penekanan ditambah) Ringkasan Pembelaan Tertuduh (SD1) [23] Tertuduh mengesahkan telah menyewa rumah tempat kejadian dan menghuni bilik pertama bersama isterinya (SP8) dan anak mereka. [24] Bilik kedua dihuni oleh Mohd Hafiz bin Abdul Latif (SP6) manakala bilik ketiga pula diduduki oleh Amir Asrap yang menyewa bilik tersebut dari tertuduh. [25] Pada tarikh kejadian (2 Mei 2020) sekitar pukul 4.00 pagi, ketika tertuduh sedang tidur bersama SP8, tiga lelaki telah memecah masuk ke dalam biliknya dan mengacukan pistol ke arah isterinya. [26] Tertuduh cuba menahan mereka dari mengacukan pistol itu. Kemudian pihak polis telah memperkenalkan diri mereka dan membuat pemeriksaan dalam bilik itu selama 30 minit. Tertuduh mengesahkan melihat pemeriksaan itu bersama SP8. [27] Selepas pemeriksaan, tertuduh diarahkan untuk masuk ke bilik air dan SP8 dibawa keluar dari bilik tersebut. [28] Semasa di dalam bilik air, tertuduh telah dikasari oleh pihak polis dengan dibaringkan, dicurah air dan dipukul dengan paip getah. Bila keluar dari bilik air, keadaan bilik telah bersepah dan katil terbalik. [29] Tertuduh di minta duduk di atas longgokan pakaian dan pemeriksaan bilik kali kedua dibuat dimana seorang anggota polis yang memeriksa almari telah mengambil satu bungkusan plastik kuning dari dalam almari dan bertanya kepada tertuduh “siapa punya?” Tertuduh menjawab tidak tahu. [30] Tertuduh telah dibawa keluar ke meja makan tempat Amir Asrap dan SP8 berada serta diminta duduk menghadap dinding. [31] Lima (5) minit kemudian, ketiga-tiga tangkapan telah diarahkan untuk melihat ke arah meja yang terdapat bungkusan plastik kuning yang dikatakan oleh polis mengandungi dadah. [32] Ketiga-tiga mereka terkejut. Tertuduh tidak tahu siapa yang meletakkan bungkusan itu di atas meja makan. [33] Semasa tertuduh dibawa keluar dari rumah melalui ruang tamu, tertuduh melihat ada bungkusan di atas meja ruang tamu dan diberitahu oleh pihak polis bahawa bungkusan itu juga mengandungi dadah. [34] Tertuduh menafikan pihak polis ada menjumpai dadah di atas meja solek di dalam bilik pertama. [35] Semasa proses reman di Mahkamah Majistret pada keesokan harinya (3 Mei 2020) tertuduh telah membuat aduan kepada Tuan Majistret, Mahkamah Majistret Sepang bahawa dia telah dipukul dengan paip getah dan kad banknya diambil oleh pihak polis. Majistret telah mengarahkan tertuduh dibawa ke balai untuk dibuat laporan polis. [36] Pada 16 Mei 2020, pukul 1.34 petang, tertuduh telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sepang, Selangor menafikan dadah yang dijumpai oleh pihak polis adalah miliknya. Tertuduh juga mendakwa dirinya telah dipukul dengan getah paip sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kiri pahanya. Laporan polis yang dibuat oleh tertuduh ditandakan sebagai ekshibit D44. Analisa Dan Dapatan Mahkamah Tinggi Di Akhir Kes Pembelaan [37] Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana di dalam alasan penghakimannya di antara lainnya menyatakan seperti yang berikut dan kami petik: “Jenis dadah yang terlibat: [48] Tiada keterangan dikemukakan pihak pembelaan untuk menyangkal elemen pertama iaitu jenis dadah yang terlibat. Elemen pertama kekal dibuktikan tanpa keraguan munasabah. Milikan mens rea [49] Isunya sama ada pembelaan Tertuduh berjaya membangkitkan keraguan ke atas elemen milikan mens rea barang kes dadah di dalam almari dan di atas meja solek bilik tersebut yang dibuktikan secara keterangan langsung oleh pihak pendakwaan. [50] Berkaitan dadah di atas meja solek dalam pertuduhan P4, Tertuduh hanya membuat penafian semata-mata. Ini adalah bercanggah dengan pengakuan salah dan fakta kes yang diakui oleh SP8 selain keterangan lisannya di mahkamah. Keadaan meja solek di hadapan katil diakui oleh Tertuduh. Dadah berada dalam keadaan terbuka dan bilik itu dihuni oleh Tertuduh dan SP8 saja turut diakui Tertuduh yang menyokong elemen niat bersama. Oleh itu, mahkamah mendapati pembelaan Tertuduh berkaitan pertuduhan P4 merupakan penafian semata-mata dan gagal membangkitkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. [51] Pihak pembelaan ada mencadangkan Tertuduh dibawa ke tandas semasa kes pendakwaan, tetapi bila perkara itu berlaku dalam kronologi kes tidak dipastikan. Dakwaan didera dengan dicurah air (water-boarding) dan dipukul dengan paip getah juga tidak dicadangkan secara spesifik kepada SP7. Walau apapun, SP7 telah menafikan dakwaan yang Tertuduh telah dipukul. Selain itu, tiada keterangan menyatakan Tertuduh dalam keadaan basah (akibat dicurah air) apabila dibawa keluar dari biliknya selepas pemeriksaan kali kedua daripada SP6 atau SP8 sendiri. [52] Walaupun laporan polis D44 dikemukakan, kandungannya turut bercanggah dengan keterangan Tertuduh. Tiada dakwaan mengenai perbuatan water-boarding tersebut atau penafian tentang keujudan dadah di dalam bilik Tertuduh. Malah, keujudan dadah di dalam rumah tersebut diakui oleh Tertuduh. Mahkamah cenderung mendapati bahawa dakwaan Tertuduh dalam D44 adalah rekaan dan tokok-tambah yang dibuat untuk menyelamatkan diri sahaja. [53] Tertuduh mengatakan keadaan biliknya bersepah dan katil terbalik selepas dia dibawa keluar tandas, tetapi gambar-gambar bilik Tertuduh P26(16-20) menunjukkan bilik dan perabot di dalamnya berada dalam keadaan normal dan kemas saja. [54] Tiada keterangan dari Tertuduh yang orang lain seperti penama Amir Asrap atau SP6 boleh/telah mengakses bilik tidurnya dan meletakkan bungkusan berisi dadah dalam almari di bilik Tertuduh. Tiada pernyataan dari Tertuduh sendiri bahawa bungkusan kuning berisi dadah di dalam almari telah dibawa oleh pihak polis semasa menyerbu rumah sewanya. Mahkamah mendapati pembelaan Tertuduh hanyalah penafian semata-mata dan tidak berjaya membangkitkan keraguan ke atas kes pendakwaan berkaitan elemen milikan mens rea bagi pertuduhan P2. [55] Tertuduh juga seterusnya gagal membangkitkan keraguan atas elemen pertama dan kedua pertuduhan P4 dan elemen ketiga iaitu niat bersama. Tertuduh tidak menafikan dia dan SP8 menghuni bilik pertama dan hanya menafikan keujudan dadah di atas meja solek yang telah diakui oleh SP8. Anggapan pengedaran dadah di bawah seksyen 37(da)(vi) ADB 1952 bagi pertuduhan P2 [56] Tertuduh perlu menyangkal anggapan pengedaran dadah atas imbangan kebarangkalian. Walaubagaimanapun, dengan kegagalan Tertuduh membangkitkan keraguan ke atas elemen milikan mens rea, syarat untuk pemakaian anggapan ini iaitu Tertuduh menyimpan dadah berbahaya dan berat dadah yang terlibat melebihi berat statutori di bawah seksyen 37(da)(xvi) tidak tersangkal dan kekal terpakai. Tiada keterangan lain dari Tertuduh untuk menyangkal anggapan tersebut kecuali penafian semata-mata dan mahkamah mendapati Tertuduh gagal menyangkal anggapan pengedaran atas imbangan kebarangkalian. Keputusan Di Akhir Kes Pembelaan [57] Di akhir kes pembelaan, Tertuduh mempunyai beban untuk membangkitkan keraguan munasabah bagi elemen milikan mens rea untuk pertuduhan memiliki dadah di bawah seksyen 12(2) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (P4) yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Beban tentang milikan mens rea ini juga terpakai bagi pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (P2). [58] Pembuktian elemen pertama kekal tidak tersangkal bagi kedua-dua pertuduhan sehingga akhir kes pembelaan. Tiada keraguan munasabah dibangkitkan oleh Tertuduh bagi elemen ini. [59] Selain itu, Tertuduh mempunyai beban untuk menyangkal anggapan di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi pertuduhan mengedar dadah di bawah seksyen 39B(1)(a) yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2)(P2). [60] Setelah meneliti serta menghalusi keterangan dari pihak pembelaan terhadap kes pendakwaan, penghujahan di setiap peringkat, meneliti kepada kedudukan undang-undang berkaitan isu yang berbangkit, menilai serta menimbangkan keseluruhan keterangan, mahkamah mendapati: