Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR PERBICARAAN JENAYAH NO: WA-62D-466-07/2025 PENDAKWA RAYA
WA-62D-466-07/2025
Sessions Court of Malaysia7 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“therefore agree with the learned judge that it is open to a court to subject the express provisions regarding bail in section 41B of the Dangerous Drugs Act to the provisions relating thereto in the Criminal Procedure Code. The provisions regulating the granting of bail under Dangerous Drugs Act must be construed in th”
“w. (See also Public Prosecutor v. Chu Beow Hin). […] We do not therefore agree with the learned judge that it is open to a court to subject the express provisions regarding bail in section 41B of the Dangerous Drugs Act to the provisions relating thereto in the Criminal Procedure Code. The provisions regulating the gra”
“hawa Mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan (seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah [KTJ] dirujuk). Sehubungan itu, peguam bela telah merujuk kepada kes: Murugan a/l Subramaniam v. PP [2022] MLJU 2668 dan Saminathan Ganesan vs PP [2020] 3 CLJ 398. [6] Peguam bela turut menghujahkan bahawa OKT berhak men”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR DALAM NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR PERBICARAAN JENAYAH NO: WA-62D-466-07/2025 PENDAKWA RAYA
1
Pada 21.7.2025, Wan Nuqman Danish bin Fareez Prem Raj, No. K/P: 051101-07-0447 (“OKT”) telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan pertuduhan seperti yang berikut: “Bahawa kamu pada 08.07.2025 jam lebih kurang 3.30 petang, bertempat 22-3, Kondominium Setapak Green, Jalan Semarak Api, Setapak, di Dalam Daerah Wangsa Maju, di Dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya iaitu Cannabis (anggaran berat: 55 gram). oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A (2) akta yang sama.
2
Selepas pertuduhan dibacakan, OKT tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.
3
Peguam bela bagi OKT telah membuat permohonan lisan agar OKT dibenarkan diikat jamin sehingga pelupusan kes. Permohonan tersebut telah dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Mahkamah ini setelah mendengar hujahan-hujahan daripada pihak peguam bela dan pihak TPR berhubung permohonan tersebut, telah menolak permohonan jaminan tersebut atas alasan-alasan yang akan dihuraikan dalam perenggan-perenggan selanjutnya.
4
Peguam bela bagi OKT telah menghujahkan bahawa OKT wajar dibenarkan diikat jamin memandangkan OKT berumur 19 tahun dan sedang mengikuti pengajian di Management and Science University (MSU) dalam program Foundation in Information Technology. OKT tinggal bersama ibunya yang bekerja di bahagian kewangan di sebuah syarikat swasta. Ibu OKT merupakan seorang ibu tunggal yang menanggung perbelanjaan hidup OKT serta adik OKT yang berusia 18 tahun.
5
Peguam bela bagi OKT seterusnya menghujahkan bahawa walaupun kes yang dihadapi oleh OKT adalah daripada kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin, terdapat keputusan mahkamah yang membenarkan seorang tertuduh diikat jamin walaupun dituduh atas suatu unbailable offence. Peguam bela juga berhujah bahawa Mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan (seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah [KTJ] dirujuk). Sehubungan itu, peguam bela telah merujuk kepada kes: Murugan a/l Subramaniam v. PP [2022] MLJU 2668 dan Saminathan Ganesan vs PP [2020] 3 CLJ 398.
6
Peguam bela turut menghujahkan bahawa OKT berhak mendapat layanan yang sama rata sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Peguam bela seterusnya menekankan bahawa OKT serta keluarganya memberikan jaminan bahawa OKT tidak akan melarikan diri. Bagi menyokong hujahan tersebut, peguam bela telah merujuk kepada kes Chow Lin Choy lwn Pendakwa Raya [2010] 9 MLJ 813 yang memutuskan bahawa: “Setelah menimbangkan permohonan tertuduh, masalah kesihatan beliau, jaminan beliau untuk tidak akan menghilangkan diri serta hak kesamarataan tertuduh seperti dijamin di bawah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, saya telah membenarkan permohonan tertuduh untuk dijamin keluar sementara menunggu perbicaraan terhadap beliau dengan menggenakan syarat-syarat yang ketat. Tertuduh Dato’ Balwant Singh yang menghadapi tuduhan bunuh di bawah s 302 Kanun Keseksaan telah diberi jamin atas sebab-sebab kesihatan maka tertuduh dalam kes ini wajar dipertimbangkan dan dibenarkan untuk diberi jamin tanpa mengira halangan yang diperuntukkan di bawah s 12 Akta Senjata Api tersebut.”
7
TPR telah berhujah bahawa kesalahan di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh dijamin sama sekali (unbailable). Selanjutnya, seksyen 41B ADB memperuntukkan bahawa tiada jaminan boleh dibenarkan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan melebihi tempoh lima tahun. Pihak pendakwaan turut menghujahkan bahawa ADB mengandungi peruntukan khusus yang melarang pemberian jaminan bagi kesalahan-kesalahan di bawah akta tersebut. Oleh itu, berdasarkan prinsip Generalia Specialibus Non Derogant, peruntukan seksyen 388(1) KTJ adalah tidak terpakai dalam permohonan di hadapan Mahkamah ini. Bagi menyokong hujahan ini, pihak pendakwaan telah merujuk kepada kes PP lwn Cheah Wei Chung [2025] 2 CLJ 983 dan PP v Leong Ying Ming [1993] 1 MLJ 177.
8
Mahkamah ini telah meneliti permohonan OKT, menimbang hujahan yang dikemukakan oleh peguam bela bagi pihak OKT serta hujahan TPR, dan turut merujuk kepada nas-nas yang relevan.
9
OKT telah dituduh di bawah seksyen 12(2) ADB, iaitu suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) ADB. Seksyen 39A(2) ADB memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, serta dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada sepuluh sebatan.
10
Seksyen 41B ADB memperuntukkan seperti berikut: “(1) Bail shall not be granted to an accused person charged with an offence under this Act:-
a
[...]
b
where the offence is punishable with imprisonment for more than five years; or
c
[...]
2
Subsection (1) shall have effect notwithstanding any other written law or any rule of law to the contrary.” [11] Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan TPR bahawa kesalahan di bawah seksyen 39A(2) ADB merupakan suatu kesalahan yang tidak boleh dijamin sama sekali (unbailable offence). Walaupun KTJ tidak memperuntukkan atau menggunakan istilah “unbailable offence”, Mahkamah Tinggi dalam kes Loy Chin Hei v PP [1982] 1 MLJ 31 telah menjelaskan bahawa seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 secara khusus menjadikan kesalahan di bawah Akta tersebut sebagai “an absolutely unbailable offence”. [12] Mahkamah ini juga merujuk kepada kes Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim v PP [1997] 3 MLJ 495, di mana Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa istilah “non-bailable offence” di bawah seksyen 388 KTJ adalah tidak sama dengan “unbailable offence”. Perbezaannya ialah bahawa “unbailable offence” merupakan kesalahan yang sama sekali tidak membenarkan pemberian jaminan. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa kesalahan di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam kes ini adalah suatu “unbailable offence” memandangkan terdapat peruntukan spesifik di bawah seksyen 41B Akta tersebut yang melarang pemberian jaminan kepada OKT. [13] Memandangkan kesalahan yang dipertuduhkan ke atas OKT di bawah seksyen 41B(1)(b) ADB merupakan suatu kesalahan yang sama sekali tidak boleh dijamin (unbailable offence), persoalan utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah dalam permohonan ini ialah sama ada Mahkamah mempunyai budibicara untuk membenarkan pemberian jaminan bagi suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta tersebut. [14] Mahkamah ini merujuk kepada kes Public Prosecutor v. Chew Siew Luan [1982] 2 MLJ 119, Mahkamah Persekutuan menyatakan: “We further note in particular that section 41B of the Act is entirely new section introduced by the Dangerous Drugs (Amendment), 1978 (Act A426) and become operative on 10.3.78. Generalia specialia derogant is a cardinal principle of interpretation. It means that where a special provision is made in a special statute, that special provision excludes the operation of a general provision in the general law. (See also Public Prosecutor v. Chu Beow Hin). […] We do not therefore agree with the learned judge that it is open to a court to subject the express provisions regarding bail in section 41B of the Dangerous Drugs Act to the provisions relating thereto in the Criminal Procedure Code. The provisions regulating the granting of bail under Dangerous Drugs Act must be construed in the context of that Act and not in that of the Criminal Procedure Code and to that extent the general provisions of the Criminal Procedure Code must ex necessitate yield to the specific provisions of section 41B of the Dangerous Drugs Act in that regard.....” [15] Mahkamah ini juga merujuk kes Mahkamah Agung, Public Prosecutor v. Leong Ying Ming (supra) yang menyatakan: “That being so, an offence under s. 39A(2) of the Act clearly comes within the ban imposed by s. 41B(1)(b) of the Act and therefore no bail can be granted in respect of such an offence. It follows that in this case, the offence for which the respondent was charged was not bailable under the specific provisions of the Act and that the learned judge should not have granted bail in this case.” [16] Seperti yang telah diputuskan dalam kes Public Prosecutor v Chew Siew Luan (supra) dan Public Prosecutor v Leong Ying Ming (supra), seksyen 41B ADB merupakan suatu peruntukan khusus berhubung dengan jaminan di bawah ADB. Peruntukan khusus tersebut mengatasi peruntukan umum mengenai jaminan yang terkandung dalam KTJ. Dengan kata lain, proviso kepada seksyen 388(1) KTJ yang memberikan budi bicara kepada Mahkamah untuk membenarkan jaminan kepada mana-mana orang di bawah umur 16 tahun, atau mana-mana perempuan, atau mana-mana orang yang uzur atau sakit yang dituduh dengan suatu kesalahan tidak boleh dijamin yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, adalah tidak terpakai terhadap peruntukan khusus seksyen 41B ADB. [17] Perlu ditekankan bahawa dalam seksyen 41B ADB tidak terdapat proviso sebagaimana yang terkandung dalam seksyen 388(1) KTJ yang membolehkan Mahkamah menggunakan budi bicaranya dalam keadaan-keadaan tertentu untuk membenarkan pemberian jaminan. Jika niat Parlimen adalah untuk memberikan budi bicara sedemikian kepada Mahkamah, sudah semestinya proviso yang sama akan dimasukkan dalam seksyen 41B ADB. [18] Dalam kes Public Prosecutor v Chew Siew Luan (supra), Mahkamah Persekutuan telah memberikan tafsiran berhubung dengan seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB). Walau apa pun, Mahkamah ini adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut memandangkan ia merupakan keputusan mahkamah atasan. [19] Walaupun alasan bahawa OKT masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak pernah dibangkitkan dalam kedua-dua kes Public Prosecutor v Chew Siew Luan (supra) dan Public Prosecutor v Leong Ying Ming (supra), Mahkamah berpendapat bahawa hal tersebut tidak bermakna alasan sedang menyambung pelajaran di IPT, ataupun alasan-alasan lain, boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam memberikan jaminan bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) ADB. Hal ini demikian kerana seksyen 41B ADB merupakan suatu peruntukan khusus berhubung jaminan di bawah ADB. Peruntukan khusus tersebut mengatasi peruntukan umum mengenai jaminan yang terkandung dalam KTJ. Proviso seksyen 388(1) KTJ tidak terpakai terhadap peruntukan khusus seksyen 41B ADB. Tambahan pula, seksyen 41B itu sendiri tidak mengandungi proviso yang sama sebagaimana proviso seksyen 388(1) KTJ. [20] Dengan penuh hormat, saya bersetuju dengan pandangan Mahkamah Tinggi dalam kes Al Faitouri Kamal v PP [2017] 1 LNS 1578 yang menolak penerapan prinsip dalam kes Chow Lin Choy lwn Pendakwa Raya (supra). Seksyen 41B ADB dan seksyen 12 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 merupakan peruntukan khusus berhubung jaminan di bawah kedua-dua akta tersebut. Peruntukan khusus ini mengatasi peruntukan umum mengenai jaminan dalam KTJ, khususnya seksyen 388(1) KTJ. Proviso seksyen 388(1) KTJ tidak terpakai terhadap peruntukan khusus tersebut. Tambahan pula, dalam peruntukan khusus tersebut tidak terdapat proviso sebagaimana yang terkandung dalam seksyen 388(1) KTJ yang membolehkan Mahkamah menggunakan budi bicaranya dalam keadaan-keadaan tertentu bagi membenarkan pemberian jaminan. [21] Maka adalah jelas bahawa di bawah seksyen 41B ADB, Mahkamah ini tidak mempunyai sebarang budibicara dalam apa jua keadaan sekalipun, sama ada atas alasan bahawa OKT sedang menyambung pengajian ataupun atas alasan-alasan lain, untuk membenarkan pemberian jaminan bagi kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta tersebut. [22] Berdasarkan alasan-alasan yang telah dihuraikan di atas, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa permohonan OKT untuk dilepaskan dengan jaminan sehingga pelupusan kes ini adalah ditolak. IZRALIZAM BIN SANUSI Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 7 Kuala Lumpur Bertarikh: 13 Oktober 2025 Pihak Pendakwaan: TPR Faizah Khalilah binti Zaberi Jabatan Peguam Negara (Unit Pendakwaan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tingkat 7, sayap Kanan Wisma Chase Perdana Off Jalan Semantan, Damansara Height 50512 Kuala Lumpur. Pihak Pembelaan: Encik Tharamjit Singh A/L Gurmkh Singh Tetuan Tharamjit Singh & Co. No. 37, 4th Floor, Jalan Melayu, Off Jalan Masjid India 50100 Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.