Preamble
Menurut beliau: a) Melalui suatu Perintah bertarikh 17 Mei 2018 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah Writ Saman No. BA-21NCVC-32-05/2017 (“Perintah Mahkamah tersebut”), Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan dan membuat deklarasi bahawa pindahmilik hartanah yang dikenali sebagai. No. HS(M) 3238, No. PT 361, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Negeri Selangor Darul Ehsan (“Hartanah Terlibat”) oleh Plaintif kepada Orion Palma Sdn Bhd adalah tidak sah, batal dan tiada kesan di sisi undang-undang; b) Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Defendan Pertama membatalkan pendaftaran memorial perserahan nombor 923/2007 pada 2 Mac 2007 dan memadam nama Orion Palma Sdn Bhd dari pendaftaran hakmilik ke atas Hartanah Terlibat dan mengembalikan semula nama Plaintif sebagai tuanpunya berdaftar Hartanah Terlibat; c) Berdasarkan Perintah tersebut, peguamcara Plaintif terdahulu telah mengemukakan salinan Perintah tersebut dan yang terkini Perintah tersebut telah dikemukakan melalui surat Tetuan Saleh & Aizac bertarikh 5 Januari 2023 kepada Defendan Pertama namun tiada tindakan pendaftaran diambil oleh Pihak Defendan Pertama sehingga kini; d) Defendan Pertama sepatutnya mendaftaraikan nama Plaintif pada Suratcara Hakmilik Geran Hartanah Terlibat berdasarkan Perintah tersebut; e) Pada 11 November 2024, suatu Notis Mengenai Siasatan di bawah Seksyen 27 Kanun Tanah Negara 1965 telah dikeluarkan oleh Defendan Pertama kepada Plainif memanggil kehadiran Plaintif untuk suatu siasatan berkenaan “Permasalahan Rekod Gadaian pada Hakmilik No. HS(M) 3238, No. PT 361, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Negeri Selangor” pada pukul 9:30 pagi, 25 November 2024 bertempat di Bilik Rundingan Unit Pendaftaran, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling. f) Sewaktu Siasatan Tanah yang dilaksanakan oleh Defendan Pertama pada 25 November 2024 yang turut dihadiri Plaintif, peguamcara Plaintif serta peguamcara Defendan Kedua, Defendan Pertama telah mengarahkan agar Plaintif membuat permohonan pembatalan Gadaian Pihak Ketiga No. Perserahan 5726/2011 yang dimasukkan oleh Defendan Kedua sebelum Defendan Pertama boleh mendaftaraikan nama Plaintif ke atas Suratcara Geran Hakmilik Hartanah Terlibat tersebut berdasarkan Perintah Mahkamah tersebut; g) Defendan Kedua, walaupun telah mengetahui berkenaan Perintah Mahkamah tersebut, telah secara cuai dan/atau engkar melelong Hartanah Terlibat secara lelongan atas talian (“On-line auction”) pada 7 November 2024 dan Defendan Ketiga adalah pembida yang berjaya membeli Hartanah Terlibat; h) Plaintif menamakan pembida tersebut sebagai Defendan Ketiga di dalam Saman Pemula ini kerana Plaintif turut ingin menghalang apa-apa proses pendaftaran oleh Defendan Pertama ke atas nama Defendan Ketiga atas sebab Perintah Mahkamah tersebut mengikat kesemua pihak-pihak yang terlibat di dalam pertikaian berkenaan Hartanah Terlibat. Fakta Latar Belakang Penting Menurut Defendan Kedua [16] Fakta latar belakang yang ditekankan dan yang diberi perhatian serta yang dianggap sebagai relevan oleh Defendan Kedua adalah seperti berikut. a) Bahawa pada setiap masa yang matan, Orion Palma Sdn Bhd merupakan Tuan Empunya berdaftar bagi Hartanah yang dipegang di bawah Hakmilik No. H.S.(M) 3238, PT 361, Tempat Kampong Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Negeri Selangor Darul Ehsan (selepas ini dirujuk sebagai “Hartanah tersebut”). [ b) Bahawa atas permohonan NG HIN MUN (No. K/P: 701112- 08- 5777) dan SHEILA SEE MAY LING (No. K/P: 750204-14- 5336) [selepas ini dirujuk sebagai “Peminjam-Peminjam tersebut”], Defendan Kedua telah memberikan Kemudahan Pinjaman “Vacant Land Financing”, Jenis Kemudahan Pinjaman Berjangka sebanyak RM459,686.00 (“Kemudahan Pertama”) melalui Surat Tawaran yang bertarikh 27.04.2010 (“Surat Tawaran tersebut”) dan Perjanjian Kemudahan bertarikh 30.6.2010. c) Atas balasan Defendan Kedua mengeluarkan/melepaskan Kemudahan tersebut, Orion Palma Sdn Bhd telah melaksanakan satu Gadaian Pihak Ketiga melalui Bil Perserahan No. 5726/2011 ke atas Hartanah tersebut sebagai suatu sekuriti dengan Defendan Kedua yang mana telah didaftarkan pada 13.09.2011 (selepas ini dirujuk sebagai “Gadaian tersebut”). Gadaian tersebut telah menjadi jaminan kepada Kemudahan tersebut dengan jumlah sebanyak RM459,686.00 bersama faedah tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam Gadaian tersebut. d) Bahawa terdapat Surat Kebenaran daripada Pejabat Daerah/Tanah Petaling bertarikh 05.06.2010 kepada Orion Palma Sdn Bhd yang memberi kebenaran untuk menggadaikan Hartanah tersebut kepada Defendan Kedua. e) Bahawa Peminjam-Peminjam tersebut telah memungkiri terma-terma dan syarat-syarat Kemudahan tersebut dan telah gagal, enggan dan/atau cuai untuk mengawalselia Kemudahan tersebut dengan gagal membuat bayaran tertunggak terhadap Kemudahan tersebut. f) Atas keingkaran Peminjam-Peminjam tersebut membuat bayaran tertunggak untuk Kemudahan tersebut, Defendan Kedua telah cuba untuk memulakan tindakan halang tebus ke atas Hartanah tersebut di Pejabat Tanah/Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan. Tetapi permohonan Defendan Kedua ditolak atas alasan “Ada Kaveat Pendaftar” dan “Terlibat dengan kes polis” dan berdasarkan carian rasmi bagi Kaveat Pendaftar ke atas Hartanah tersebut di Pejabat Tanah/Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan, Defendan Kedua mendapati satu Kaveat Pendaftar telah didaftar pada 28.9.2012 dan satu Kaveat Persendirian telah didaftar pada 10.10.2012 di atas permohonan Plaintif. g) Oleh yang demikian Defendan Kedua melalui Saman Pemula No. 24-1348-12/2014 di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam telah memohon agar Kaveat Pendaftar dan Kaveat Persendirian dibatalkan. Selepas pendengaran penuh, Mahkamah Tinggi telah pada 29.9.2015 dan 27.11.2015 membenarkan Saman Pemula tersebut dan membatalkan dan mengenepikan pendaftaran Kaveat Pendaftar dan Kaveat Persendirian masing-masing. h) Selanjutnya, melalui Guaman No. BA-21NCVC-32-05/2017, Plaintif telah memulakan satu prosiding Writ terhadap Defendan Kedua dimana kausa tindakan dan isu-isu yang diplidkan oleh Plaintif dalam tindakan tersebut, secara langsung atau tidak langsung adalah berkenaan dan/atau berkaitan dengan bahawa kononnya Gadaian yang memihak Defendan Kedua melalui Perserahan No. 5726/2011 adalah tidak sah, terbatal dan tiada kesan undang-undang. i) Dengan merujuk kepada Pernyataan Tuntutan yang difailkan dibawah Guaman No. BA-21NCVC-32-05/2017 tersebut, Plaintif telah membangkitkan isu-isu dan/atau memohon deklarasi supaya Gadaian yang memihak Defendan Kedua melalui Perserahan No. 5726/2011 adalah tidak sah, terbatal dan tiada kesan undang-undang kerana pindahmilik yang telah didaftarkan atas nama Plaintif Pertama diperolehi melalui instrument yang tidak sah. j) Defendan Kedua selanjutnya telah memfailkan satu Notis Permohonan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif tersebut dan melalui Perintah Mahkamah bertarikh 13.12.2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan permohonan Defendan Kedua tersebut. k) Plaintif selanjutnya telah memfailkan satu Notis Rayuan terhadap Perintah bertarikh 13.12.2017 tersebut namun, ianya telah ditarikbalik melalui Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 20.04.2018. [17] Defendan Kedua turut merujuk kepada beberapa prosiding mahkamah sebelum ini. [18] Defendan Kedua memaklumkan bahawa ia telah memulakan prosiding halangtebus melalui Saman Pemula BA-24FC-70-02/2022 di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Namun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Ogos, 2022 telah menolak Saman Pemula BA-24FC-70-02/2022 tersebut danberukutan Keputusan di atas, Defendan Kedua telah memfailkan Rayuan di Mahkamah Rayuan melalui Rayuan Sivil No.: B- 02(A)-1606-08/2022 di mana pada 23 Ogos, 2023, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Rayuan Defendan Kedua di mana, antara lain, Saman Pemula BA-24FC-70-02/2022 tersebut dibenarkan. [19] Defendan Kedua turut memaklumkan bahawa selaras dengan Perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 23 Ogos, 2023 tersebut, ia telah melalui Permohonan Perlaksanaan No. BA-38-2357-08/2024 memperolehi satu Perintah bertarikh 24 September, 2024 supaya satu lelongan awam terhadap Hartanah tersebut dijalankan pada 07 November, 2024 dengan harga rezab sebanyak RM970,000.00. Hujahan Masing-Masing [20] Secara ringkasan, hujahan utama Plaintif adalah bahawa Defendan Kedua tidak memperoleh hak milik dengan suci hati sebagai bank pemegang gadaian. Hujahan ini berlandaskan kepada dakwaan bahawa pertama, satu penipuan telah diperkatakan dilakukan terhadap Plaintif berhubung dengan pindah milik hartanah tersebut dan kedua, bahawa memandangkan pindah milik itu tidak sah, maka gadaian kepada Defendan Kedua juga kononnya tidak sah. [21] Untuk menyokong dakwaan pertama, Plaintif bergantung kepada, antara lain peruntukan seperti seksyen 205(1) Kanun Tanah Negara (setiap pindahmilik hartanah mestilah dibuat melalui instrumen yang sah), seksyen-seksyen 17 dan 19 Akta Kontrak 1950 dan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San [2010] 1 AMR 557; [2010] 2 CLJ 269; [2010] 2 MLJ 1; [2010] 1 MLRA 1. [22] Untuk dakwaan kedua pula, Plaintif bergantung kepada seksyen-seksyen 305, 312 dan 340(2) Kanun Tanah Negara dibaca bersama Aturan 44 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta kes Mahkamah Rayuan Au Meng Nam & Anor v Ung Yak Chew & Ors [2007] 4 AMR 546; [2007] 4 CLJ 526; [2007] 5 MLJ 136; [2007] MLRA 657 untuk menyokong permohonan Saman Pemulanya. [23] Sebaliknya, hujahan Defendan Kedua adalah bahawa berdasarkan fakta yang telah dikemukakan, adalah jelas dan nyata bahawa berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini, “adalah terbukti bahawa Defendan Kedua sebagai Pemegang Gadaian berdaftar mempunyai satu hak dan kepentingan yang tidak boleh disangkal”. Menurut Defendan Kedua, “memandangkan Gadaian ke atas Hartanah tersebut yang memihak Defendan Kedua adalah masih berkuatkuasa walaupun pemilikan Hartanah tersebut telah ditukar daripada Orion Plama Sdn Bhd kepada Plaintif Defendan Kedua mempunyai hak yang sah disisi undang-undang untuk melaksanakan haknya sebagai Pemegang Gadaian yang berdaftar ke atas Hartanah tersebut di bawah Gadaian yang masih sah dan berkuatkuasa tersebut”. [24] Secara rumusan, hujahan kembar Defendan Kedua adalah: Pertama, Plaintif adalah diestop atas dasar prinsip ‘res judicata’ untuk membangkitkan isu yang sama bahawa kononnya Gadaian tersebut yang memihak Defendan Kedua melalui Perserahan No. 5726/2011 adalah tidak sah, terbatal dan tiada kesan undang-undang; dan kedua, bahawa kepentingan Defendan Kedua terhadap hartanah tersebut tidak boleh disangkal di bawah proviso kepada Seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara. [25] Untuk menyokong alasan pertama di atas, Defendan Kedua merujuk kepada Asia Commercial Finance (M) Bhd v Kawal Teliti Sdn Bhd [1995] 3 AMR 2559; [1995] 3 MLJ 189, [1995] 3 CLJ 783, [1995] 1 MLRA 611, Dato’ Sivanathan a/l Shanmugam v Artisan Fokus Sdn Bhd [2016] 3 [2015] 3 AMR 104; [2015] 2 CLJ 1062 MLJ 122; [2015] 4 MLRA 674, Mayban Allied Bhd (formerly known as Phileo Allied Bank (M) Bhd) v Kenneth Godfrey Gomez & Anor [2010] AMEJ 0653; [2010] 9 CLJ 702; [2011] 5 MLJ 219; [2012] 6 MLRA 671, Kerajaan Malaysia v Mat Shuhaimi bin Shafiei [2018] 1 AMR 837; [2018] 3 CLJ 1; [2018] 2 MLJ 133; [2018] 2 MLRA 185, Chai Kuet Sow v Khoo Teck Seng [2018] AMEJ 1212; [2018] MLJU 1460; [2018] MLRHU 1198, Malayan United Finance Bhd v Noormurni Sdn Bhd & Anor [[1988] 1 CLJ Rep 190; [1988] 1 MLJ 395; [1987] 1 MLRA 285 dan Serac Asia Sdn Bhd v Sepakat Insurance Brokers Sdn Bhd [2013] 4 AMR 385, [2013] 6 CLJ 673; [2013] 5 MLJ 1; [2013] 5 MLRA 175. [26] Kes-kes seperti CIMB Bank Berhad v Ambank (M) Berhad & Ors [2017] 6 AMR 309; [2017] 9 CLJ 145; [2017] 5 MLJ 142; [2017] 5 MLRA 1 dan Public Bank Bhd v T Sivam a/l Tharamalingam (as the representative/executor for the estate of the late Nagamuthu a/l Periasamy) [2017] 2 MLJ 489; [2017] 6 MLRA 436 pula telah dikemukakan untuk menyokong alasan kedua Defendan Kedua. Peruntukan Undang-Undang [27] Untuk memudahkan rujukan, peruntukan-peruntukan undang-undang yang telah dirujuk serta yang relevan adalah seperti berikut. [28] Seksyen-seksyen terlibat daripada Kanun Tanah Negara adalah seperti berikut. Dealings capable of being effected, and persons capable of taking thereunder