HMS telah gagal untuk mengambilkira bukti yang relevan. [21] Isu yang dibawa untuk dibicarakan di hadapan HMS ialah sama ada Defendan masih berhutang Plaintif jumlah sebanyak RM100,739.74 bagi kos membaiki kereta tersebut dan kos kehilangan kegunaan dan susut nilai kereta tersebut yang dituntut oleh pemilik kereta akibat daripada kemalangan yang berlaku ketika kereta tersebut dipandu oleh Defendan. [22] HMS dalam alasan penghakimannya memutuskan bahawa kemalangan tersebut terjadi akibat kecuaian Defendan ketika memandu dan Defendan memandu tanpa kebenaran majikan beliau. HMS juga merujuk kepada kes Malayan Banking Bhd v Basarudin Ahmad Khan [2007] CU 309 di mana HMS menekan keputusan tersebut seperti berikut: [21] … It is trite law that a single act of negligence may give rise to claim either in tort or for breach of a term express or implied in a contract. Of this the negligence of a servant in performance of his duty is a clear example. [23] HMS juga memutuskan bahawa akibat tindakan Defendan tersebut menyebabkan Plaintif perlu membayar kos membaiki kenderaan SP2 dan juga kos kehilangan kegunaan dan susut nilai kereta tersebut. Atas isu ini, HMS mendapati adalah wajar untuk Plaintif membayar gantirugi kepada SP2 kerana kemalangan tersebut adalah akibat kecuaian pekerja Plaintif ketika berada dalam kawalan bengkel Plaintif. SP2 mempunyai sebab yang munasabah untuk memohon gantirugi tersebut kerana beliau akan kehilangan NCD jika menuntut dari insurans nya sendiri. [24] Setelah meneliti Alasan Penghakiman HMS, saya dapati HMS telah secara langsung memutuskan terdapatnya kecuaian di pihak Defendan dengan mengakibatkan kemalangan tersebut sedangkan Plaintif tidak pada sebarang masa memplidkan kecuaian sebagai kausa tindakan dan tuntutannya terhadap Defendan. Tambahan pula, tiada butiran kecuaian Defendan diplidkan dalam Penyata Tuntutan. Apa yang dituntut oleh Plaintif adalah gantirugi atas kegagalan, keengganan dan keingkaran Defendan untuk membayar kos yang dituntut oleh SP2 yang mana Plaintif terpaksa secara sendiri menanggung kos membaiki kereta sebanyak RM60,739.74 dan kos kehilangan kegunaan dan susut nilai kereta tersebut yang dituntut oleh SP2 sebanyak RM40,000.00 yang membawa jumlah keseluruhan RM100,739.74. [25] Selain faktor kecuaian, HMS juga memutuskan bahawa Defendan adalah bertanggungan atas kemalangan disebabkan telah memandu tanpa kebenaran majikan beliau. Fakta menunjukkan arahan tidak membenarkan Defendan memandu tidak dimaklumkan kepada Defendan tetapi apa yang berlaku Plaintif telah memaklumkan pekerjanya yang bernama Loh Zhi Liang bahawa Plaintif sendiri akan memandu uji kereta tersebut. Sungguhpun begitu, Loh Zhi Liang berkemungkinan tidak memaklumkan kepada Defendan bahawa Plaintif sendiri akan memandu uji kereta tersebut sedangkan Loh Zhi Liang ada bersama di dalam kereta tersebut semasa kemalangan berlaku malah Loh Zhi Liang tidak menghalang Defendan daripada memandu uji kereta tersebut. [26] HMS juga membuat penemuan bahawa mengikut prosedur piawai ("standard procedure') bengkel tersebut hanya membenarkan mekanik yang mengendalikan pembaikian kereta sahaja untuk membuat pandu ujian ke atas kereta yang telah dibaiki. Adalah tidak dipertikaikan bahawa Defendan dan Loh Zhi Liang merupakan mekanik yang terlibat dalam pembaikian dan penyeliaan termasuk pemeriksaan kereta tersebut. Pada pendapat saya, Defendan sebagai pekerja Plaintif, secara tidak langsung telah diberi kebenaran untuk memandu uji kereta tersebut selaras dengan prosedur piawai bengkel tersebut. Adalah tidak dipertikaikan juga bahawa semasa kemalangan berlaku kereta tersebut sedang dipandu uji oleh Defendan. Ini disahkan oleh keterangan SP2 sendiri setelah diberitahu oleh Plaintif kepadanya. Saya dapati di sini, HMS telah gagal untuk mengambilkira bahawa kemalangan tersebut berlaku semasa Defendan sebagai pekerja yang menjalankan tugasnya dan oleh itu Plaintif sebagai majikan seharusnya vicariously liable atas perbuatan pekerjanya. [27] Berlanjutan di atas, saya dapati arahan bahawa hanya Plaintif yang akan memandu uji kereta tersebut adalah satu perkara yang penting yang perlu dibuktikan. Loh Zhi Liang merupakan saksi yang semestinya dipanggil oleh Plaintif bagi mengesahkan sama ada arahannya untuk memandu uji sendiri kereta tersebut dan tidak membenarkan sesiapa yang lain termasuk Defendan telah di sampaikan kepada Defendan atau tidak. Walau bagaimanapun, Loh Zhi Liang sebagai saksi penting tidak dipanggil oleh Plaintif untuk memberi keterangan dan oleh itu, suatu “adverse inference” di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950 adalah terpakai terhadap Plaintif. Dengan kedudukan in,i saya berpendapat berkemungkinan arahan yang dikeluarkan oleh Plaintif tidak disampaikan oleh Loh Zhi Liang kepada Defendan. [28] Saya juga mengambil maklum bahawa Plaintif gagal untuk “mitigate” kerugian yang berlaku dengan tidak membuat tuntutan dari pihak insuran. Defendan juga tidak dibawa berbincang mengenai pampasan dan jumlah pampasan yang dibuat oleh Plaintif kepada SP2. Malah ianya dibuat tanpa penglibatan dan pengetahuan Defendan Berkaitan dengan gantirugi juga saya dapati HMS telah gagal menjustifikasikan kuantum tuntutan Plaintif tanpa pengiraan dibuat yang menjurus kepada jumlah yang tuntut oleh Plaintif. [29] Dengan alasan-alasan di atas, saya dapati Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan membuat penemuan yang salah terhadap Defendan yang mana ianya memerlukan campur tangan Mahkamah ini. Dengan ini, diperintahkan bahawa rayuan Perayu adalah dibenarkan dan keseluruhan Penghakiman Mahkamah Sesyen bertarikh 15.7.2022 adalah diketepikan. Kos sebanyak RM10,000.00 hendaklah dibayar oleh Responden kepada Perayu. Tarikh: 26 Julai 2024 Peguamcara bagi Pihak-Pihak Venodjit Singh dan Anoop Singh ((Tetuan Chambers of Cheong & Law) untuk pihak Perayu/Defendan. Habib Rahman bin Seeni Mohideen (Tetuan Mohd Imtiaz Choong & Partners) untuk pihak Responden/Plaintif.